FAHAMAN WAHABI MENULAR

SATU ANALISIS TERHADAP DAKWAAN YANG DITIMBULKAN OLEH

AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

 

Penulis

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 

 

ARTIKEL 7

WAHABI GEMAR MENGHUKUM?

 

Apabila saudara Astora menelefon penulis untuk menyiarkan artikel penulis bertajuk ‘MENGHINDARI METODE MENILAI KEBENARAN ALA JAHILIYAH’[1] maka penulis terus mengalu-alukan pelawaan tersebut. Tetapi tatkala saudara Astora menyatakan bahawa beliau tidak akan menyiarkan artikel tersebut sepenuhnya kerana ruangan beliau agak terbatas maka di hati kecil penulis terdetik bahawa ini mungkin boleh menyebabkan maksud sebenar yang ingin disampaikan penulis akan diputar-belitkan oleh beliau. Ternyata kerisauan penulis itu ada landasannya kerana segala dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah serta kenyataan dari para ulamak telah dilenyapkan dari artikel tersebut. Tetapi apa yang menghairankan penulis, walaupun dengan keterbatasan ruang yang ada, saudara Astora masih mampu untuk memaparkan dua riwayat yang penulis ketengahkan tentang keadaan umat jahiliyah ketika menentang dakwah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Setelah membaca perenggan seterusnya baru penulis sedar muslihat saudara Astora. Beliau secara licik ingin menunjukkan behawa golongan Wahabi ini gemar menghukum orang lain dan tulisan penulis ini telah dipergunakan oleh beliau untuk menguatkan hujahnya itu kerana pada tanggapan saudara Astora penulis telah menuduh golongan yang menentang Wahabi ini sama seperti umat jahiliyah yang menentang dakwah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Astora tetap Astora! Silalah baca artikel penulis sepenuhnya yang terdapat di yahoogroups alFikrah dan beberapa laman web lain. Apa yang sebenarnya ingin penulis perkatakan melalui artikel tersebut adalah mentaliti yang sudah lapuk dan memiliki persamaan dengan golongan jahiliyah pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam itu masih wujud di dalam masyarakat moden ini dan ianya harus dikikis dari pemikiran orang Melayu. Adalah tidak benar sama sekali tanggapan saudara Astora bahawa penulis menyamakan penentang dakwah Wahabi (selepas ini akan disebut sebagai Salafi) dengan kelompok musyrik pada zaman jahiliyah.

Sebelum kita menuduh golongan Salafi itu gemar menghukum pihak lain sebagai pengamal bidaah (mubtadi’) yang sesat dan akan dicampakkan ke dalam api neraka, sewajarnya kita terlebih dahulu meneliti metode Salafi apabila berhadapan dengan ahli bidaah. Ada dua komponen yang penting apabila berhadapan dengan ahli bidaah iaitu amalan bidaah dan pelaku amalan bidaah tersebut. Apabila kita membidaahkan sesuatu amalan, ini tidak bermaksud pelaku amalan bidaah itu secara automatik dianggap mubtadi’. Namun terdapat persyaratan yang ketat sebelum kita menuduh seseorang itu mubtadi’

Antara kaedah yang penting di dalam manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama’ah adalah setelah kita memahami perilaku yang bidaah, maka wajiblah ditetapkan perilaku tersebut secara mutlak adalah bidaah. Contohnya ulamak Ahlus Sunnah Wal Jama’ah secara mutlak telah menyesatkan aliran-aliran bidaah yang menyeleweng seperti Khawarij, Murji’ah, Mu’tazilah, Syi’ah Rafidhah dan Jahmiyah. Namun begitu, ini tidak bermakna kita mesti mengkafirkan, menyesatkan atau membidaahkan setiap individu yang menganut fahaman menyeleweng tersebut secara mutlak. Ini adalah kerana kemungkinan individu-individu yang menganut fahaman yang menyeleweng tersebut tidak memenuhi persyaratan atau terdapat penghalang untuk dijatuhkkan hukuman kafir atau mubtadi’. Setelah seseorang Muslim terbukti melakukan perbuatan atau menganut fahaman yang bidaah, maka untuk dijatuhkannya sebagai seorang mubtadi’ beberapat syarat harus dipenuhi. Penulis bahaskan syarat-syarat tersebut satu persatu di bawah ini.

 

1)    Baligh dan berakal.

Syariah Islam tidak menetapkan kanak-kanak kecil yang belum baligh dan orang gila menerima beban hukum. Mereka ini tidak berdosa apabila melakukan perkara yang dilarang syari’at seperti mengamalkan amalan-amalan yang bidaah. Dalilnya adalah seperti sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam

 

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنْ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنْ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ.

 

“Catatan amal diangkat dari tiga orang, anak kecil hingga baligh, orang tidur hingga terbangun dan dari orang gila hingga sedar”.[2]

 

 

2)    Ucapan atau perbuatan bidaah itu dilakukan dengan kehendak sendiri.

Ucapan atau perbuatan bidaah mahupun yang membawa kekafiran itu hendaklah dilakukan dengan kerelaan hati atau kehendak sendiri. Ianya bukan satu perbuatan yang terpaksa atau satu tindakan di luar kawalan seperti disebabkan oleh kegembiraan atau kesedihan yang melampau. Dalilnya adalah seperti berikut:

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.[3]

 

Sabda Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam:

 

اللَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فَلاَةٍ فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ

 

وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ. فَأَيِسَ مِنْهَا فَأَتَى شَجَرَةً فَاضْطَجَعَ فِي ظِلِّهَا قَدْ أَيِسَ مِنْ رَاحِلَتِهِ فَبَيْنَا هُوَ كَذَلِكَ

 

إِذَا هُوَ بِهَا قَائِمَةً عِنْدَهُ فَأَخَذَ بِخِطَامِهَا ثُمَّ قَالَ:

 

"مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِي وَأَنَا رَبُّكَ أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ."

 

“Allah sangat gembira tatkala hambaNya bertaubat, melebihi gembiranya di antara kalian yang kehilangan kenderaannya di padang pasir yang membawa makanan dan minumannya. Maka apabila dia telah berputus asa darinya (mencari kenderaannya tunggangannya itu – pen) lalu beliau mendatangi sebuah pohon untuk berteduh, di dalam keadaan putus asa tiba-tiba kenderaan itu berdiri di sisinya maka langsung dia pegang talinya dengan rasa gembira lalu dia berkata : ‘Ya Allah, Engkau hambaku dan aku adalah tuhan Mu.’ Dia tersilap kerana terlalu gembira.”[4]

 

 

3)    Telah tertegak hujah keatasnya.

Tidak boleh seseorang itu dihukum sebagai kafir, musyrik atau mubtadi’ sehingga telah sampai atau ditegakkan kepadanya hujah atau dalil-dalil bahawa kelakuannya itu boleh membawa kepada kekufuran ataupun amalan tersebut adalah amalan bidaah. Hujah atau dalil tersebut hanya dikatakan telah sampai atau ditegakkan apabila dia telah memahaminya dengan baik tetapi dia tetap mengingkarinya. Setelah itu barulah boleh pelakunya dihukum kafir, musyrik atau mubtadi’.

Berkata Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah dalam Majmu’ Fatawa (Jilid 12, m.s 501):

Ucapan (yang mengakibatkan – pen) kufur mungkin saja datang dari orang yang belum sampai padanya nas (hujah atau dalil – pen) untuk mengenalkannya kepada kebenaran atau boleh jadi telah sampai (nas tersebut – pen), tetapi hujah tersebut dipandang tidak benar atau belum mungkin baginya untuk memahaminya atau ada syubhat dalam proses memahami kebenaran. Maka dalam kondisi seperti itu Allah memaafkan. Bila kesalahan dari seorang mukmin yang berijtihad dalam keadaan apa pun, Allah mengampuninya, baik berkaitan dengan masalah i’tiqad (keimanan) atau ‘amaliyah (amalan yang zahir). Inilah manhaj para sahabat radhiallahu ‘anhum dan para ulamak sunnah.[5]

 

Beliau juga pernah berkata dalam kitab yang sama (Jilid 12, m.s 523-524):

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan RasulNya secara mutlak dan tidak tahu kebenaran secara rinci, tidak boleh dihukum kafir sehingga telah ditegakkan hujah yang mana sesiapa memperselisihi hujjah tersebut menjadi Kafir. Sebab banyak orang terkadang salah dalam memahami al-Qur’an dan jahil terhadap apa yang warid dari makna-makna al-Qur’an dan Sunnah, maka kesalahan dan lupa diangkat dari umat ini dan penghukuman kafir hanya terjadi setelah ada penjelasan.[6]

 

Ini adalah sebagaimana firmanNya:

...Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).[7]

Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.[8]

 

Disertakan juga di sini beberapa riwayat yang menunjukkan kelakuan atau tindakan yang boleh membawa kekufuran tetapi dimaafkan atas dasar kejahilan pelakunya kerana belum sampai nas kepadanya.

 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى قَال:َ "لَمَّا قَدِمَ مُعَاذٌ مِنْ الشَّامِ سَجَدَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ."

 

قَالَ: "مَا هَذَا يَا مُعَاذُ." قَالَ: "أَتَيْتُ الشَّامَ فَوَافَقْتُهُمْ يَسْجُدُونَ لِأَسَاقِفَتِهِمْ وَبَطَارِقَتِهِمْ فَوَدِدْتُ فِي نَفْسِي

 

 أَنْ نَفْعَلَ ذَلِكَ بِكَ." فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

 

"فَلاَ تَفْعَلُوا فَإِنِّي لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِغَيْرِ اللَّهِ َلأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا."

 

Diriwayatkan dari Abdulllah bin Abu Auf dia berkata: “Tatkala Mu’adz datang dari Syam langsung sujud kepada Nabi. Maka Nabi bersabda: “Apa yang kamu lakukan wahai Mu’adz?” Dia berkata: “Saya datang di Syam saya dapatkan mereka bersujud kepada para uskup dan pendeta mereka, saya senang bila seperti itu saya lakukan untukmu.” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Janganlah kamu lakukan kerana sesungguhnya kalaulah aku membenarkan orang sujud kepada selain Allah, maka aku akan menyuruh wanita sujud kepada suaminya.”[9]

 

 

حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ ذَكْوَانَ عَنْ الرُّبَيِّعِ بِنْتِ مُعَوِّذٍ قَالَتْ:

 

"دَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَدَاةَ بُنِيَ عَلَيَّ فَجَلَسَ عَلَى فِرَاشِي كَمَجْلِسِكَ مِنِّي

 

وَجُوَيْرِيَاتٌ يَضْرِبْنَ بِالدُّفِّ يَنْدُبْنَ مَنْ قُتِلَ مِنْ آبَائِهِنَّ يَوْمَ بَدْرٍ

 

حَتَّى قَالَتْ: "جَارِيَةٌ وَفِينَا نَبِيٌّ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ."

 

فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "لاَ تَقُولِي هَكَذَا وَقُولِي مَا كُنْتِ تَقُولِينَ."

 

Dari Khalid bin Dzakwan dari Rubayyi’ binti Mu’awwidh, berkata: “Nabi shallallahu 'alaihi wasallam datang pada acara pernikahanku lalu baginda duduk di atas tempat tidurku, jaraknya seperti aku denganmu sekarang, sementara itu anak-anak kecil perempuan memukul rebana dan melantunkan syair kenangan untuk nenek moyang mereka yang meninggal pada perang Badar. Salah satu di antara mereka berkata: “Di tengah-tengah kita ada seorang Nabi yang tahu sesuatu yang akan terjadi esok.” Baginda bersabda: “Jangan kau ucapkan kalimat itu dan ucapkan saja kalimat yang tadi kamu ucapkan.”[10]

 

Kedua hadis di atas menunjukkan dua contoh perbuatan kufur iaitu sujud kepada selain dari Allah Subhanahu wa Ta'ala dan menyatakan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam mengetahui perkara ghaib yang bakal terjadi pada masa hadapan. Namun kedua-dua perbuatan tersebut terjadi kerana kejahilan dan kesalahan dalam pentafsiran. Oleh itu kedua-dua keadaan di atas pelakunya tidak dihukum kafir.

Sementara itu bagi mereka yang duduk di kawasan majoriti penduduknya adalah bukan Islam dan sukar untuk mempelajari ilmu-ilmu Islam kerana berjauhan dari ulamak, sukar untuk mendapatkan buku-buku atau risalah-risalah tentang Islam dan masyarakat Islam disekelilingya juga terdiri dari mereka yang kurang pengetahuannya di dalam hal-hal agama maka mereka tidak dihukumkan kafir atau mubtadi’ apabila melakukan perkara yang membawa kepada kekufuran atau kebidaahan sehingga mereka ini telah ditegakkan hujah dan benar-benar memahaminya. Ini juga termasuk bagi mereka yang duduk di dalam negara yang majoriti penduduknya orang Islam, namun mereka ini di kelilingi oleh orang-orang yang jahil tentang agama, tentang konsep bidaah dan konsep ibadah di dalam Islam atau mereka duduk di kawasan terpencil yang jauh dari para ulamak Ahlus Sunnah maka mereka juga diberi uzur atau dimaafkan jika melakukan perkara yang membawa kebidaahan atau kekufuran. Ini adalah sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :

Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya)…[11]

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya... [12]

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh - (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, - merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.[13]

 

Apa yang dapat kita simpulkan dari ayat-ayat di atas adalah apabila seseorang itu telah berusaha sedaya upaya untuk mencari kebenaran tentang perkara berkaitan agama Islam namun masih terdapat kekurangan atau kesilapan akibat dari kelemahan yang wujud di dalam dirinya tanpa disengajakan, sehingga dia melakukan perbuatan yang kufur atau mengerjakan amalan bidaah, nescaya Allah akan mengampuni kesalahannya itu sehingga telah tertegak hujah ke atasnya dan sehingga dia sedar akan kesilapannya itu.

 

 

4)   Keislaman seseorang itu dilihat dari segi zahirnya.

Setiap orang Islam itu diadili berdasarkan apa yang terlihat pada zahir dirinya. Antara kaedah dalam ilmu fikah dan ushul fikah adalah, “Sesungguhnya hukum-hukum itu dilihat dari zahirnya dan Allahlah yang akan menghukumi batinnya.” Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal).[14]

 

Dan hadis yang senada dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di atas adalah seperti yang diriwayatkan dari Usamah bin Zaid radhiallahu 'anh beliau berkata:

 

بَعَثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَرِيَّةٍ فَصَبَّحْنَا الْحُرَقَاتِ مِنْ جُهَيْنَةَ.

 

فَأَدْرَكْتُ رَجُلاً فَقَالَ "لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ" فَطَعَنْتُهُ فَوَقَعَ فِي نَفْسِي مِنْ ذَلِكَ

 

فَذَكَرْتُهُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "أَقَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَقَتَلْتَهُ."

 

قَالَ: "قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّمَا قَالَهَا خَوْفًا مِنْ السِّلاَحِ."

 

قَالَ: "أَفَلاَ شَقَقْتَ عَنْ قَلْبِهِ حَتَّى تَعْلَمَ أَقَالَهَا أَمْ لاَ؟"

 

فَمَا زَالَ يُكَرِّرُهَا عَلَيَّ حَتَّى تَمَنَّيْتُ أَنِّي أَسْلَمْتُ يَوْمَئِذٍ.

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menghantar kami pada satu ekspedisi ketenteraan, pada pagi hari kami menyerbu al-Huraqaat (nama sebuah kabilah) dari kabilah Juhainah. Maka aku bertemu dengan seorang lelaki lalu dia berkata: “Laa ilaha illallah” kemudian aku menusuknya (membunuhnya), tapi aku merasa ada sesuatu di dalam hatiku dari kejadian itu, lalu aku menceritakannya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka baginda berkata: “Apakah dia telah mengatakan “Laa ilaha illallah” kemudian kamu membunuhnya?” Aku menjawab: “Ya wahai Rasulullah, sesungguhnya dia mengatakan hal itu kerana takut pada pedangku. Baginda berkata: “Adakah kamu membelah dadanya, sehingga kamu mengetahui apakah benar-benar dia mengatakannya (dengan jujur) atau tidak?” Baginda mengulangi ucapan itu kepadaku hingga aku berangan-angan seandainya aku masuk Islam pada saat itu.[15]

 

Hal ini diperkuatkan lagi dengan sikap Nabi shallallahu 'alaihi wasallam terhadap golongan munafik yang hidup di zamannya. Walaupun Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui dan mengenali mereka melalui wahyu dari Allah Subhanahu wa Ta'ala namun demikian Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menghukumi mereka berdasarkan apa yang terlihat secara zahirnya yang ada pada diri mereka yakni dengan tidak mengkafirkan mereka. Ini adalah kerana golongan munafik ini secara zahirnya masih dilihat sebagai orang yang beriman kerana mereka mengerjakan ibadah solat, ibadah haji, berpuasa malah berperang bersama para sahabat yang lain. Bahkan masih terjadi pernikahan dan saling mewarisi harta di antara golongan munafik ini dengan orang Islam. Malah bagi Abdullah bin Ubay bin Salul seorang munafik yang terkenal pada zaman Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam, apabila dia meninggal dunia, jenazahnya disolatkan dan hartanya diwarisi oleh anaknya yang mukmin.

Maka sewajarnya bagi kita di zaman ini untuk mencontohi Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam dengan tidak terlalu bermudah-mudah di dalam mengkafirkan atau membidaahkan orang lain selagi zahirnya masih menampakkan dia sebagai seorang muslim.

 

 

5)    Kekufuran memiliki cabang-cabangnya.

Sebagaimana iman memiliki cabang-cabangnya, begitu juga dengan kekufuran yang juga memiliki cabang-cabangnya. Di antara cabang-cabang kekufuran ini ada yang boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari Islam dan ada yang tidak. Contohnya mengatakan Nabi Isa ‘alaihi al-Salaam adalah Anak Tuhan atau Tuhan itu Tiga (konsep Triniti) dan menyembah berhala jelas mengeluarkan pelakunya dari agama Islam. Manakala bagi seorang peminum arak atau penzina walaupun dia melakukan perkara yang kufur tetapi tetap hanya ditanggapi sebagai seorang yang fasiq (pelaku dosa besar) dan tidak mengeluarkannya dari Islam selagimana dia tidak menghalalkan perbuatannya itu. Oleh itu seseorang yang terdapat di dalam dirinya beberapa kelakuan daripada cabang-cabang kekufuran, maka tidak berhak dia dilabelkan sebagai kafir secara mutlak dan tidak pula boleh dinamakan mukmin secara total walaupun masih tedapat di dalam dirinya keimanan kepada Allah ’Azza Wa Jalla. Yang benar dia masih seorang Muslim dan sekira Allah ‘Azza Wa Jalla ingin ampunkan dosanya maka dia akan terselamat dari siksaanNya.  Maka apa yang dapat kita katakan, ada ketikanya wujud di dalam diri seseorang Islam itu kekafiran dan keimanan, kesyirikkan dan ketauhidan, ketakwaan dan kemaksiatan. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.[16]

Orang-orang ‘A'raab’ berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ‘kami telah Islam'. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.[17]

 

Dan Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

 

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

 

حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ.

 

Empat perkara, siapa yang empat perkara itu ada pada dirinya maka dia adalah orang munafik yang murni, dan barangsiapa pada dirinya ada salah satu dari yang empat itu, maka di dalam dirinya ada satu perkara dari kemunafikkan sehingga dia meninggalkannya, iaitu: Jika dia diberi amanah dia khianat, Jika berkata dia berdusta, jika berjanji dia ingkar, dan jika bermusuhan dia berbuat jahat.[18]

 

Hadis ini menunjukkan bahawa pada diri seseorang boleh terkumpul sifat munafik dan keimanan. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah Rahimahullah:

Asal kesesatan Mu’tazilah, Khawarij dan selain mereka adalah kerana mereka menyelisihi pokok ini, mereka menjadikan iman itu sesuatu yang satu, bila hilang sebahagiannya maka musnahlah semuanya, oleh kerana itu mereka menghukumi pelaku dosa besar itu tidak memiliki iman sama sekali, mereka tidak mengatakan ada sebahagian yang hilang dan sebahagian lain yang masih tersisa, sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:

“Akan keluar dari Neraka barangsiapa yang hatinya ada sedikit keimanan.”

 

Dengan demikian maka iman itu tidak akan hilang dengan hilangnya sebahagian amal.”[19]

 

Beginilah metode yang dipegang oleh aliran Salafiyah. Oleh itu sekiranya wujud di dalam masyarakat, mereka yang gemar mengkafirkan mahupun membidaahkan orang lain dan dia mengaku bahawa mereka adalah seorang Salafi, maka percayalah bahawa mereka ini bukan Salafi yang sebenar ataupun mereka ini terdiri dari golongan yang baru hendak mendekati dakwah Salafiyah dan tidak memahami manhaj sebenar ketika menghadapi ahli bidaah.

Seterusnya saudara Astora menyatakan bahawa golongan Salafi tidak memahami perkara di dalam agama dari sudut hukum sunat, halal, haram dan harus. Pemikiran yang keliru ini berpunca dari kegagalan saudara Astora untuk memahami definisi bidaah dari segi bahasa dan syariah.

Bidaah dari segi bahasa bermaksud setiap sesuatu yang diada-adakan yang tidak ada contoh sebelumnya. Lafaz bidaah secara bahasa boleh menunjukkan sesuatu perkara yang baik mahupun tercela.

Bidaah dari segi syariah adalah seperti yang didefinisikan oleh Imam al-Syathibi adalah[20]:

“Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalnya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala”.

 

Dari definisi ini dapat kita fahami bahawa medan operasi bidaah adalah hal-hal yang bersangkutan dengan agama sahaja. Oleh itu apa jua bentuk rekaan terkini di dalam hal kehidupan duniawi ianya tidak termasuk di dalam ruang lingkup perbahasan bidaah secara syariah. Ini adalah kerana terdapat dalil-dalil yang menggalakkan umat Islam untuk terlibat di dalam usaha untuk mencipta rekaan-rekaan yang terkini demi kemajuan umat Islam. Di dalam hal ehwal dunia, manusia memiliki kebebasan untuk melakukan inovasi yang termoden asalkan sahaja tidak mendatangkan keburukan kepada orang ramai serta tidak bertentangan dengan syariah. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

 

أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ.

 

Kamu lebih tahu hal ehwal dunia kamu.[21]

 

إِنْ كَانَ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ دُنْيَاكُمْ فَشَأْنُكُمْ بِهِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أُمُورِ دِينِكُمْ فَإِلَيَّ.

 

Jika sekiranya sesuatu itu urusan dunia kamu, maka uruskanlah dengannya, dan kalau sekiranya urusan agama kamu maka kembalikanlah kepada aku.[22]

 

Bidaah yang kita maksudkan di sini adalah mengada-adakan ritual agama yang baru yang tidak pernah diajar atau diamalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Seluruh bidaah yang bersangkutan dengan agama ini adalah sesat dan pengamalannya adalah sia-sia kerana ianya tidak diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Yang mengharamkan dan menyesatkan amalan bidaah bukannya golongan Salafi tetapi ianya sabit datangnya dari hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Sabda baginda:

 

إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَأَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ

 

وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.

 

Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah), serta seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bidaah) dan setiap yang diada-adakan (bidaah) adalah sesat dan setiap yang sesat itu adalah ke dalam neraka.[23]

 

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

 

Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.[24]

 

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

 

Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia.[25]

 

Dalil-dalil akan haramnya amalan bidaah ini terlalu banyak sehingga sukar untuk mewujudkan perbezaan pendapat dalam hal ini. Silalah rujuk kepada kitab al-I’tishom karya Imam Ibrahim bin Musa al-Syathibi rahimahullah untuk memahami konsep bidaah dengan lebih mendalam. Tentang pembahagian bidaah kepada lima yang sebenarnya dipelopori oleh Imam ‘Izz ‘Abd al-Salam rahimahullah iaitu wajib, sunat, mubah, haram dan makruh, maka menurut Dr. Ibrahim bin Amir al-Ruhaili:

Pembahagian di atas merupakan kebatilan dan di tentang oleh para ulamak, di antaranya Imam al-Syathibi yang menyatakan bahawa pembahagian seperti itu merupakan tindakan mengada-adakan yang tidak boleh dibuktikan dengan dalil bahkan terdapat percanggahan sebab hakikat bidaah adalah suatu yang tidak ada dalilnya secara syarak baik secara nash mahupun kaedah umum. Bila di sana ada dalil daripada syarak yang menunjukkan wajib, sunat, makruh, haram dan mubah, maka itu bukan bidaah.[26]

 

Apatah lagi jika diteliti perbahasan Imam ‘Izz bin ‘Abd al-Salam rahimahullah apabila memperjelaskan maksud bidaah yang wajib, sunat, makruh, haram dan mubah ternyata maksud sebenar beliau adalah bidaah dari segi bahasa. Malah beliau juga pernah menyatakan: “Bidaah adalah perbuatan yang tidak ada pada zaman Rasulullah.”[27] Mari kita lihat definisi Imam ‘Izz bin ‘Abd al-Salam tentang bidaah wajib sebagai contoh:

Bidaah wajib itu beberapa contoh, salah satu daripadanya ialah menyibukkan diri dengan ilmu nahu yang dengannya difahami kalam Allah (al-Qur’an) dan kalam Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (al-hadis).[28]

 

Bidaah dari segi syarak semuanya tercela dan keji. al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah berkata[29]:

Maka bidaah pada takrifan syarak adalah dikeji. Ini berbeza dengan (maksud bidaah dari segi) bahasa di mana setiap yang di ada-adakan tanpa sebarang contoh dinamakan bidaah sama ada dipuji ataupun dikeji.

 

Seterusnya saudara Astora cuba mebahagikan bidaah ini kepada ibadah dan adat.[30] Kami katakan menerusi laporan yang tersiar di akhbar Utusan Malaysia sendiri telah mengklasifikasikan amalan-amalan tersebut sebagai amalan sunat yang merupakan sebahagian daripada ibadah. Hanya saudara Astora sahaja yang meletakkan amalan-amalan bidaah seperti Mawlid al-Nabi sebagai adat sedangkan sekiranya kita tanya sendiri kepada mereka yang mengajurkannya dengan mengadakan majlis Marhaban ternyata mereka sendiri menganggapnya sebagai amalan sunat. Penulis berkata sedemikian rupa hasil dari pengalaman penulis sendiri melalui perbincangan dengan mereka secara langsung. Amalan seperti Mawlid al-Nabi ini bukan sekadar bidaah tetapi ianya juga menyerupai upcara keagamaan golongan Kristian yang menyambut Krismas bersempena dengan hari kelahiran Nabi Isa ‘alahi al-Salam. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

 

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ.

 

Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.[31]

 

Tambahan pula sambutan Mawlid al-Nabi ini tidak ada contohnya dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam serta para sahabat radhiallahu 'anhum mahupun dari mana-mana para al-Salafussoleh termasuk Imam-Imam mazhab yang empat yakni Abu Hanifah, Malik bin Anas, Muhammad bin Idris al-Syafi’i dan Ahmad Ibnu Hanbal rahimahumullah. Sekiranya amalan itu baik untuk umat Islam tentulah mereka telah mendahului kita di dalam mengamalnya.

Penulis berasa sungguh terharu apabila saudara Astora Jabat seorang tokoh yang terkenal di seluruh tanah air menjemput penulis untuk berjumpa dengannya. Insya-Allah penulis akan penuhi jemputan ini pada masa yang akan datang. Penulis juga dengan penuh rasa rendah diri ingin menjemput saudara saudara Astora untuk memasuki yahoogroups alFikrah. Di sana kita memiliki ruangan yang secukupnya untuk berbincang. Tidak seperti ruangan Bicara Ahad mahupun E-Pembaca milik saudara saudara Astora di Mingguan Malaysia yang agak terhad. Di alFikrah tiada sesiapa yang akan memotong ataupun meringkaskan penulisan masing-masing. Kita berbincang secara bebas lagi terbuka.


 

 

 


[1] Sila rujuk ARTIKEL 2 di dalam buku ini dan bezakan dengan artikel yang dipaparkan oleh saudara Astora di ruangan E-Pembaca di Mingguan Malaysia bertarikh 18 Disember 2005.

[2] Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Hudud, hadis no: 3824.

[3] al-Nahl (16) : 106

[4] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahih Muslim. Kitab al-Taubah, hadis no: 2747

[5] Dinukil daripada kitab Dr. Ibrahim bin Amir al-Ruhaili, Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bid’ah, ms. 119.

[6] Dinukil daripada kitab Dr. Ibrahim bin Amir al-Ruhaili, Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bid’ah, ms. 119.

[7] al-Israa’ (17) : 15

[8] al-Nisaa’ (4) : 165

[9] Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, Kitab al-Nikaah, hadis no: 1843.

[10] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Maghaazi, hadis no: 4001.

[11] al-Taghaabun (64) : 16

[12] al-Baqarah (2) : 286

[ 13 ]  al-A’raaf (7) : 42

[14] al-Nisaa’ (4) : 94

[15] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Iman, hadis no: 96.

[16] Yusuf (12) : 106

[17] al-Hujuraat (49) : 14

[18] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, hadis no: 58.

[19] Dinukil dari kitab Dr. Khalid bin Ali bin Muhammad al- Anbary, Kafirkah Orang Yang Berhukum Dengan Selain Hukum Allah?, ms.16.

[20] Dinukil daripada kitab Meluruskan Tafsir Bidaah karya Syaikh Alwi bin Abdul Qadir al-Seqaf yang merupakan ringkasan kepada kitab al-I’tishom karya Imam Abu Ishaq Al-Syathibi, ms. 2.

[21] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Fadhail, hadis no: 2363.

[22] Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, Kitab al-Ahkam, hadis no: 2462.

[23] Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunan al-Nasa’i, Kitab Sholat al-‘Iedaini, hadis no: 1560.

[24] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Sulh, hadis no: 2697.

[25] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Aqdhiyah, hadis no: 1718.

[26] Dr. Ibrahim bin Amir al-Ruhaili, Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bidaah, ms. 56

[27] ‘Izz bin ‘Abd al-Salam, Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, jilid 2, ms. 133. Penulis nukil daripada kitab Bidaah Hasanah: Istilah Yang Disalah Fahami, karya Dr. Asri Zainul Abidin, ms. 31.

[28] ‘Izz bin ‘Abd al-Salam, Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, jilid 2, ms. 133. Penulis nukil daripada kitab Bidaah Hasanah: Istilah Yang Disalah Fahami, karya Dr. Asri Zainul Abidin, ms. 32.

[29] Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 15, ms. 179. Penulis nukil daripada kitab Bidaah Hasanah: Istilah Yang Disalah Fahami, karya Dr. Asri Zainul Abidin, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2004, ms. 25.

[30] Penulis agak hairan bagaimana saudara Astora membuat pembahagian sebegini rupa. Penulis yang pernah mengamalkan amalan-amalan bidaah seperti yang diperbincangkan ini juga menganggapnya sebagian dari ibadah malah penulis dahulunya juga berkeyakinan bahawa amalan-amalan tersebut sememangnya berasal dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan ajaran Imam al-Syafi’i rahimahullah. Jika kita bertanya kepada orang ramai maka merekapun memiliki tanggapan yang sama. Mungkin disebabkan perbezaan budaya kerana beliau berasal dari selatan Thailand maka saudara Astora berpandangan bahawa amalan-amalan tersebut hanyalan adat semata-mata. Namun begitu jika diteliti kitab-kitab ulamak yang masyhur dari kawasan tersebut mereka juga telah membidaahkan amalan Tahlil yang dianggap saudara Astora sebagai adat. Sebagai contohnya Syaikh Daud al-Fatani rahimahullah beranggapan bahawa amalan kenduri arwah seperti Tahlilan dan menghadiahkan pahala kepada orang mati adalah perbuatan yang diharamkan dan dicela. Menurut beliau:

            Adalah perbuatan yang tersebut itu makruh yang dicela ditegah oleh syarak. (Syaikh Daud al-Fatani, Furu’ al-Masa’il, ms. 182-183. Penulis nukil daripada kertas kerja bertajuk Wahhabi: Uthman El-Muhammady Menghina Imam Asy-Syafie, Menipu Ummah & Tidak Amanah, yang telah dibentangkan oleh Ustaz Rasul Dahri di Sungai Besi)

Tambah beliau lagi:

            Makruh lagi bidaah bagi orang yang kematian memperbuat makanan menyerukan sekalian manusia di hari pertama… (Syaikh Daud al-Fatani, Bughyatu al-Tullab, jilid 2, ms. 33-34. Penulis nukil daripada kertas kerja bertajuk Wahhabi: Uthman El-Muhammady Menghina Imam Asy-Syafie, Menipu Ummah & Tidak Amanah, yang telah dibentangkan oleh Ustaz Rasul Dahri di Sungai Besi)

Ibnu Muhammad al-Fatani rahimahullah juga telah mengharamkan kenduri arwah termasuk (Tahlilan dan Yasinan) sebagaimana dijelaskan oleh beliau di dalam kitabnya Kasyf al-Latham ‘An As’ilatil Anam, jilid 1, halaman 89. Penulis nukil daripada kertas kerja bertajuk Wahhabi: Uthman El-Muhammady Menghina Imam Asy-Syafie, Menipu Ummah & Tidak Amanah, yang telah dibentangkan oleh Ustaz Rasul Dahri di Sungai Besi)

Jadi penulis beranggapan saudara Astora hanyalah mencari jalan untuk mengharuskan amalan-amalan bidaah tersebut dengan melabelkannya sebagai adat. Ini adalah kerana beliau tahu bahawa segala amal ibadah yang dicipta tanpa dalil dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam maka ianya termasuk di dalam kategori bidaah yang tercela.

[31] Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Libas, hadis no: 3512.