FAHAMAN WAHABI MENULAR

SATU ANALISIS TERHADAP DAKWAAN YANG DITIMBULKAN OLEH

AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

 

Penulis

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 

 

ARTIKEL 6

CIRI-CIRI AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH

 

Merujuk kepada artikel bertajuk ‘Mengekalkan Asia Tenggara rantau Ahli Sunni’ tulisan Mohd Shauki Abdul Majid yang dipaparkan di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Disember 2005, penulis merasakan isu yang dibangkitkan oleh Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ini begitu bertepatan dengan suasana semasa di Malaysia. Pada tanggapan penulis maksud beliau untuk mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah merupakan satu usaha untuk memerangi secara habis-habisan segala ajaran-ajaran sesat yang terdapat di Malaysia seperti Syiah Rafidhah, Gerakan Islam Liberal, Golongan Anti Hadis, tarekat-tarekat yang sesat, golongan pemuja setan (budaya punk dan black metal), pengikut Nabi atau Rasul palsu dan lain-lain lagi.

Namun setelah membaca perenggan-perenggan seterusnya ternyata artikel dari Penolong Pengarah YADIM ini hanya ingin meneruskan polemik Wahabi yang dibangkitkan oleh pihak akhbar Utusan Malaysia. Di dalam artikel tersebut beliau telah menyatakan bahawa kelompok Wahabi adalah penganut fahaman keagamaan lain yang dalam ertikata lain bermaksud mereka bukan dari kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Dari sini dapat kita fahami bahawa maksud sebenar Penolong Pengarah YADIM dengan mempertahankan rantau Asia Tenggara ini sebagai rantau Ahli Sunni adalah dengan membendung kebangkitan golongan Wahabi yang semakin diterima dengan baik oleh umat Islam di Malaysia terutamanya di kalangan cerdik pandai.

Sekiranya Penolong Pengarah YADIM ini memperuntukkan sedikit masa beliau untuk mengkaji tentang golongan yang beliau gelar Wahabi ini, penulis yakin kekeliruan seperti ini tidak akan timbul. Ini adalah kerana Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahab rahimahullah dan pengikutnya terdiri dari kalangan mereka yang tegar memperjuangkan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Di dalam sebuah risalah tulisan Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahab kepada ‘Abdur Rahman bin ‘Abdullah beliau telah berkata:

Aqidah dan agama yang aku anuti ialah mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah, sebagai tuntunan yang dipegang oleh para imam kaum muslimin, seperti imam-imam mazhab yang empat dan pengikut-pengikutnya.[1]

 

Namun begitu penulis beranggapan slogan untuk memperkasakan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah di rantau Asia Tenggara dan Malaysia khususnya merupakan satu usaha yang murni yang mana sepatutnya seluruh tokoh-tokoh agama, jabatan-jabatan agama dan pihak-pihak NGO yang berteraskan Islam perlu berganding bahu untuk merealisasikannya. Namun begitu apa yang penting untuk kita ketengahkan kepada masyarakat terlebih dahulu adalah tentang ciri-ciri pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenarnya. Setakat mendefinisikan Ahlus Sunnah Wal Jamaah di Malaysia adalah mereka yang berpegang kepada mazhab Syafi’i dari segi fikahnya dan mazhab Asy’ariyah atau Maturidiyah dari segi akidahnya masih belum memadai untuk memperjelaskan pegangan sebenar Ahlus Sunnah Wal Jamaah apatah lagi untuk memperkasakannya.

Apa yang lebih memburukkan keadaan di Malaysia ini adalah kerana wujudnya beberapa golongan termasuk sesetengah tokoh agama yang beranggapan bahawa Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah mereka yang berqunut Subuh, menganjurkan upacara Tahlil atau Kenduri Arwah, berTalqin, mengirim pahala bacaan al-Qur’an kepada arwah, membaca surah Yasin pada malam Jumaat, menganjurkan majlis Marhaban yang dibaca kitab Barzanji, berzikir beramai-ramai dengan suara yang kuat sesudah solat dan lain-lain perkara seperti apa yang telah dibangkitkan oleh akhbar Utusan Malaysia beberapa minggu yang lalu. Pemikiran yang sedemikian rupa hanya mencerminkan bahawa mereka ini belum benar-benar mengerti apakah ciri-ciri golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenarnya.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah mereka yang berpegang teguh dengan al-Qur’an dan al-Sunnah dan mengikuti semua ajaran yang di bawa oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sama ada di dalam bentuk ‘itiqad (aqidah), ibadah, muamalah dan akhlak sebagaimana yang difahami dan dilaksanakan oleh para sahabat radhiallahu 'anhum, tabi’in, tabi’ut tabi’in dan mereka yang mengikuti mereka ini sehingga ke hari ini. Ahlus Sunnah Wal Jamaah juga adalah mereka yang berpegang teguh dengan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagaimana yang difahami oleh al-Salafussoleh yang telah dijamin oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai generasi terbaik bagi umat Islam sebagaimana sabdanya:

 

خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ.

 

Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ut tabi’in).[2]

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga telah menggambarkan bahawa pada masa hadapan umat Islam akan mengalami perpecahan yang teruk dan kesemuanya adalah golongan yang sesat kecuali al-Jamaah iaitu mereka yang mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan manhaj para sahabat radhiallahu 'anhum. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:

 

افْتَرَقَتْ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً فَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ.

 

وَافْتَرَقَتْ النَّصَارَى عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً فَإِحْدَى وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ.

 

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ.

 

قِيلَ: "يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ."

 

قَال:َ "الْجَمَاعَةُ."

 

Yahudi telah berpecah-belah menjadi 71 firqah (golongan), yang satu firqah berada di syurga sedangkan yang 70 firqah berada di neraka. Dan Nasrani pun telah berpecah belah menjadi 72 firqah, yang 71 firqah berada di neraka, sedangkan yang satu firqah berada di syurga. Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, sesungguhnya umatku akan berpecah-belah menjadi 73 firqah, yang satu firqah berada di syurga sedangkan yang 72 firqah berada di neraka.

Baginda ditanya: “Ya Rasulullah, siapakah mereka (satu firqah yang selamat dari umat Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam) itu?”

Baginda menjawab: “al-Jamaah.”[3]

 

Dan diriwayat yang lain baginda shallallahu 'alaihi wasallammenjawab:

 

"مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي."

“Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan para sahabatku.”[4]

 

Di antara ciri-ciri utama golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (selepas ini akan disebut sebagai Ahlus Sunnah) adalah[5]:

  1. Ahlus Sunnah senantiasa menjadikan al-Qur'an dan al-Sunnah sebagaimana difahami serta dilaksanakan oleh al-Salafussoleh sebagai sumber syariah di dalam semua perkara berkaitan ibadah, akidah, muamalah dan akhlak. Setiap yang sesuai dengan al-Qur'an dan al-Sunnah mereka menerima dan menetapkannya. Sebaliknya, setiap yang bertentangan dengan al-Qur'an dan al-Sunnah mereka menolaknya, dengan tidak mengira siapa pun yang berpendapat dengannya.

     

  2. Ittiba' (mengikuti sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) dan meninggalkan ibtida' (amalan-amalan bidaah). Ahlus Sunnah berkeyakinan bahawa syariat Islam telah sempurna sebelum Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat sehingga tidak memerlukan untuk diciptakan amalan-amalan baru yang tidak pernah dianjurkan mahupun diamalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa yang pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan dari sebahagian agama maka ia tidak menjadi sebahagian agama pada hari ini dan selamanya. Oleh itu segala amal ibadah Ahlus Sunnah senantiasa berdalil dengan Sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang sabit dan meninggalkan amal ibadah yang hanya berdasarkan rekaan akal manusia dan hadis-hadis yang lemah serta palsu. Mereka menggabungkan antara ilmu dan ibadah. Ini berbeza dengan golongan selain mereka yang melakukan amal ibadah tanpa ilmu sehingga mudah amalan-amalan bidaah meresap dan kemudiannya dianggap sunnah.

     

  3. Ahlus Sunnah tidak mengagungkan mana-mana imam ataupun ulamak yang mereka ambil seluruh ucapannya kecuali Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Walaubagaimanapun mereka tetap menghormati seluruh imam-imam Ahlus Sunnah Wal Jamaah terutamanya imam-imam mazhab yang empat. Bagi Ahlus Sunnah pendapat ataupun ucapan selain daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah tidak terpelihara dari kesilapan maka mereka menimbangnya dengan al-Qur'an dan al-Sunnah. Jika ia sesuai dengan keduanya maka ianya akan diterima sebagai hujah dan sekiranya tidak maka ianya akan terbatal.

     

  4. Ahlus Sunnah adalah orang yang paling mengetahui tentang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka mengetahui petunjuk, amal, ucapan dan ketetapan-ketetapan daripada baginda. Kerana itu, mereka adalah orang yang paling mencintai baginda dan paling setia mengikuti sunnahnya.

     

  5. Para pengikut Ahlus Sunnah mengagungkan para al-Salafussoleh, meneladani dan menjadikan mereka sebagai teladan. Mereka melihat bahwa jalan para al-Salafussoleh adalah jalan yang paling selamat, paling mengetahui dan paling bijaksana tentang syariah yang dibawa oleh Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

     

  6. Ahlus Sunnah tidak mengutamakan atau meninggikan logik akal berbanding dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini adalah kerana akal tidak dapat berdiri sendiri untuk memahami syariah, kerana akal itu lemah dan terbatas. Sebagaimana pendengaran, penglihatan dan kekuatan manusia itu terbatas, demikian pula dengan akalnya. Oleh itu akal harus tunduk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah.

     

  7. Ahlus Sunnah adalah kelompok yang paling amanah dalam hal-hal yang berkaitan dengan ilmu agama. Sekiranya mereka menukil sesuatu pendapat atau pandangan, mereka tidak memalsukan atau memutarbelitkan fakta. Jika mereka menukil dari seseorang yang berbeza pendapat dengan mereka, maka mereka menukilnya dengan sempurna, tidak mengambil apa yang sesuai dengan pendapatnya dan meninggalkan yang lain.

     

  8. Ahlus Sunnah adalah kelompok pertengahan dan pilihan. Sikap kesederhanaan Ahlus Sunnah jelas kelihatan dalam banyak hal yang berkaitan dengan aqidah, hukum, ibadah, akhlak dan lain-lainnya. Mereka adalah kelompok pertengahan di antara yang ekstrem dan yang meremehkan.

     

  9. Ahlus Sunnah tidak berselisih dalam masalah-masalah prinsip aqidah. Para al-Salafussoleh tidak berselisih di dalam masalah-masalah pokok berkaitan aqidah. Dalam masalah Tauhid al-Asma wa al-Sifat misalnya, pendapat mereka adalah satu. Pendapat mereka juga sama dalam masalah iman, defenisi dan berbagai persoalannya, dalam masalah takdir dan juga dalam masalah-masalah prinsip lainnya.

     

  10. Ahlus Sunnah menetapkan nama-nama Allah yang indah serta sifat-sifatNya yang Maha Sempurna seperti yang telah dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Kaedah inilah yang dinamakan dengan Tauhid al-Asma wa al-Sifat dan inilah juga kaedah yang telah disepakati oleh Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i, Imam Ahmad dan juga pegangan sebenar Imam Abu al-Hassan al-Asya’ari rahimahumullah. Kaedah ini memutuskan untuk kita menetapkan apa sahaja yang disampaikan oleh Allah mengenai diriNya di dalam kitabNya dan oleh Rasulllah shallallahu 'alaihi wasallam dengan keimanan yang bersih dari tahrif (mengubah makna tersebut), ta’thil (meniadakan sifat tersebut), takyif (bertanyakan bagaimana sifat tersebut) dan tamthil (menyamakan sifat tersebut dengan makhluk). Ini adalah kerana Allah-lah yang paling mengetahui tentang sesuatu termasuk tentang sifat-sifat yang ada pada diriNya dan manusia yang paling mengetahui dan mengenali Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ahlus Sunnah tidak mengingkari sifat-sifat Allah sebagaimana kelompok Jahmiyah dan Muktazilah.

     

  11. Ahlus Sunnah percaya bahawa al-Qur’an adalah kalamullah (kata-kata Allah) dan bukan makhluk sebagaimana kelompok Muktazilah.

     

  12. 12) Ahlus Sunnah berkeyakinan bahawa orang-orang yang beriman akan dapat melihat Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan kedua mata mereka di akhirat kelak. Perkara ini diingkari oleh golongan Muktazilah.

     

  13. Ahlus Sunnah percaya bahawa Imam itu boleh bertambah dan berkurangan. Ianya bertambah dengan ketaatan dan berkurangan dengan maksiat.

     

  14. Ahlus Sunnah berpendapat bahawa dosa besar yang dilakukan oleh seorang mukmin tidak mengeluarkannya dari iman selama tidak menganggap dosa-dosa yang dilakukan itu boleh atau halal. Ahlus Sunnah Wal Jama’ah berkeyakinan mukmin yang melakukan dosa besar, bila dia meninggal dunia sebelum sempat bertaubat, sekiranya dia dimasukkan ke dalam neraka, dia tidak kekal di dalamnya lalu akan dimasukkan ke syurga setelah itu. Urusan seorang mukmin yang melakukan dosa-dosa besar diserahkan kepada kehendak Allah Subhanahu wa Ta'ala sepenuhnya sama ada diampunkan segala dosanya atau menerima pembalasan yang setimpal dengan dosanya.

     

  15. Ahlus Sunnah menolak sikap bermudah-mudah di dalam mengkafirkan di antara sesama Islam. Ahlus Sunnah hanya membantah dan menjelaskan kebenaran kepada orang yang berselisih dengan mereka. Ini berbeza dengan kelompok lain seperti Khawarij yang senang berselisih, menyesatkan dan mengkafirkan.

     

  16. 16) Ahlus Sunnah mencintai para Ahlul Bait (ahli keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam) dan kepada para sahabat radhiallahu 'anhum. Hati dan lisan mereka selamat dari mencerca para Ahlul Bait dan sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

     

  17. Ahlus Sunnah tidak menolak keramat para wali Allah dan perkara-perkara luar bisa yang terjadi pada mereka ini boleh berlaku dengan izin Allah. Namun begitu perkara luar biasa yang berlaku kepada seseorang tidak membuktikan dia berada di atas jalan yang haq selagi dia tidak mengikuti al-Qur’an dan al-Sunnah. Yunus bin ‘Abdul A’la berkata:

    Aku berkata kepada Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah: “Teman kita, al-Laits bin Sa’ad pernah berkata, bahawa jika dia melihat seorang pengikut hawa nafsu (ahli bidaah) boleh berjalan di atas air, dia tetap tidak akan mempercayainya.” Maka Imam al-Syafi’i menambah: “Ucapannya itu kurang. Aku tambahkan, jika aku menyaksikan seorang pengikut hawa nafsu terbang, aku tetap tidak percaya kepadanya.”[6]

     

  18. Ahlus Sunnah amat menitik-beratkan untuk menyatukan umat Islam kepada kebenaran. Mereka sangat mengambil berat untuk menguatkan kesatuan umat Islam dan menghilangkan segala sebab-sebab yang boleh membawa pertikaian dan perpecahan. Sebab mereka mengetahui, persatuan adalah rahmat dan perpecahan adalah azab.

     

  19. Ahlus Sunnah adalah golongan yang memiliki wawasan yang luas, pandangan yang jauh ke depan, paling lapang dada dalam soal perselisihan dan paling teguh memegang berbagai peringatan. Mereka tidak segan silu untuk menerima kebenaran dari siapapun, juga tidak malu untuk kembali kepada kebenaran sekiranya kesilapan berada di pihak mereka. Mereka juga tidak memaksa orang lain mengikuti pandangan mereka, tidak mengatakan sesat orang-orang yang menyelisihinya, dan tidak terlalu memberat-beratkan perkara yang wujud perbezaan pendapat di kalangan ulamak Ahlus Sunnah.

     

  20. Ahlus Sunnah juga dikenali sebagai Firqah al-Najiyah (golongan yang selamat) kerana pegangan mereka terselamat dari berbagai bidaah dan kesesatan di dunia ini dan selamat pula dari siksa Allah di akhirat kelak. Mereka adalah Thaifah al-Manshurah (golongan yang menang), kerana Allah senantiasa bersama mereka menolong dan meneguhkan mereka. Ahlus Sunnah juga dikenali sebagai Salafiyah kerana mereka menjadikan pegangan al-Salafussoleh sebagai sumber syariah.

Sekiranya ciri-ciri yang telah penulis gariskan ini tidak diperjelaskan kepada masyarakat rantau ini dan dipersetujui bersama oleh semua pihak, maka slogan untuk memperkasakan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah akan hanya tinggal slogan tanpa dapat dilaksanakan. Oleh itu penulis menasihatkan Penolong Pengarah Yadim untuk mempergunakan kesempatan yang diberikan kepada beliau untuk menulis di akhbar Utusan Malaysia untuk menyebarkan pegangan Ahlus Sunnah yang sebenar dan membanteras segala bentuk ajaran sesat yang berada di Malaysia. Beliau seharusnya tidak membuang masa dengan meneruskan polemik terhadap kelompok Wahabi yang sebenarnya juga kuat berpegang kepada mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

 

 

 

 


 

[1] Syaikh Muhammad Basyir al-Sahsawani, Shiyanah al-Insan, ms. 473. Penulis nukil daripada kitab Syeikh Muhammad ‘Abdul Wahab & Gerakan Wahabi karangan Ibnu Syihab, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 1997, ms. 36-37.

[2] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, hadis no: 3650.

[3] Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam kitab Sunan Ibnu Majah, Kitab al-Fitan, hadis no: 3982.

[4] Hadis riwayat Imam Tirmidzi di dalam Sunan Tirmidzi, Kitab al-Iman, hadis no: 2565.

[5] Penulis rumuskan ciri-ciri ini setelah meneliti artikel-artikel di bawah:-

a)    Kertas kerja bertajuk Ahl Al-Sunnah Wal Jama’ah: Satu Pengenalan yang telah dibentangkan oleh Dr. Johari Mat semasa Seminar Ahli Sunnah Wal Jamaah Golongan Teladan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

b)    Kertas kerja bertajuk Manhaj Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah  yang telah dibentangkan oleh Dr. Abdullah Yassin semasa Seminar Ahli Sunnah Wal Jamaah Golongan Teladan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

c)     Syaikh Muhammad bin Ibrahim al-Hamd, Ciri-Ciri Aqidah Sunnah Wal Jama’ah, Buletin Dakwah An Nur, IV/No: 139/Jumaat I/Rabiul Awal, 1419H. Penulis nukil daripada laman web almanhaj.or.id.

d)       Syaikh Muhammad bin Ibrahim al-Hamd, Karakteristik Pengikut Ahlus Sunnah Wal Jama’ah, Buletin Dakwah An Nur, IV/No: 140/Jumaat II/Rabiul Awal, 1419H. Penulis nukil daripada laman web almanhaj.or.id.

 [6] Imam al-Baihaqi, Manaqib al-Syafi’i, jilid 1, ms. 470. Penulis nukil daripada kitab Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i karya Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil, ms. 112.