FAHAMAN WAHABI MENULAR

SATU ANALISIS TERHADAP DAKWAAN YANG DITIMBULKAN OLEH

AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

 

Penulis

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 

 

ARTIKEL 3

JAKIM PERLU BERSIFAT ADIL KETIKA MENANGANI ISU WAHABI

 

Merujuk kepada tulisan saudara Muhib al-Ghumary di dalam ruangan Forum pada 1 Disember 2005, saya merasakan bahawa bahawa beliau sebenarnya belum benar-benar memahami pegangan sebenar Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ini adalah kerana dakwaan-dakwaan beliau yang terpapar di dalam artikel bertajuk ‘Jakim perlu perjelas bahaya fahaman Wahabi’ tersebut penuh dengan kekeliruan sehingga menyebabkan beliau membuat dakwaan-dakwaan yang palsu. Namun begitu saya menyokong saranan beliau agar pihak Jakim melakukan pengkajian serius serta adil ke atas segala dakwaan terhadap kelompok Wahabi sehinggakan ada yang menuduh mereka bukan termasuk dari kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Disamping itu saya juga meminta pihak Jakim untuk mengkaji ajaran sebenar Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah tentang amalan mengirim pahala bacaan al-Qur’an kepada arwah, majlis Tahlil atau Kenduri Arwah, amalan Talqin, berzikir secara kuat selepas solat seperti yang saudara Muhib al-Ghumary dakwa telah diselesaikan oleh imam-imam mazhab? Cuba perjelaskan di mana di dalam kitab-kitab tulisan Imam al-Syafi’i yang mengajar perkara-perkara tersebut?

Saya juga menganjurkan pihak Jakim juga untuk melakukan penyiasatan yang mendalam tentang aqidah al-Asya’irah dan al-Maturidiyah yang muncul hanya beberapa ratus tahun setelah wafatnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Benarkah ianya adalah aqidah pegangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, para sahabatnya, tabi’in, tabi’ut tabi’in dan keempat-empat Imam Mazhab atau adakah ia sebenarnya gabungan aqidah golongan Jahmiyah dan Muktazilah?

Saya juga meminta pihak Jakim untuk mengkaji asal-usul metode pengajian tauhid dengan menggunakan kaedah Sifat 20? Saya tertanya-tanya bagaimana Allah Subhanahu wa Ta'ala yang Maha Agung lagi Maha Sempurna hanya memilki 20 sifat? Benarkah Sifat 20 ini berasal dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, para sahabatnya dan keempat-empat Imam Mazhab atau adakah ianya hasil dari pengaruh pemikiran Yunani?

Nah! baru adil begini. Adakah saudara Muhib al-Ghumary merasakan pegangannya sudah selari dengan Ahlus Sunnah Wal Jamaah lalu hanya menginginkan pihak Jakim meneliti pegangan pihak lain tanpa ingin penelitian juga di lakukan ke atas pegangan beliau? Adakah beliau anggap pegangan yang telah dipegang oleh kebanyakan orang ramai sudah boleh dianggap sebagai ukuran untuk menepati pegangan Ahlu Sunnah Wal Jamaah? Tidakkah Muhib al-Ghumary pernah terbaca firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata.[1]

 

Berhati-hati wahai Muhib al-Ghumary! Untuk pengetahuan saudara Muhib al-Ghumary, di zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat, tidak pernah wujud pengajian Tauhid Sifat 20.[2] Pada zaman itu aqidah umat Islam masih bersih dari sebarang bentuk penyelewengan dan mereka mengenali Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui nama-namaNya yang indah serta sifat-sifatNya yang Maha Sempurna seperti yang telah dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Kaedah inilah yang dinamakan dengan Tauhid al-Asma wa al-Sifat dan inilah juga kaedah yang telah disepakati oleh Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad rahimahumullah. Kaedah ini memutuskan untuk kita menetapkan apa sahaja yang disampaikan oleh Allah mengenai diriNya di dalam kitabNya dan oleh Rasulllah shallallahu 'alaihi wasallam dengan keimanan yang bersih dari tahrif (mengubah makna tersebut), ta’thil (meniadakan sifat tersebut), takyif (bertanyakan bagaimana sifat tersebut) dan tamthil (menyamakan sifat tersebut dengan makhluk). Ini adalah kerana Allah-lah yang paling mengetahui tentang sesuatu termasuk tentang sifat-sifat yang ada pada diriNya dan manusia yang paling mengetahui dan mengenali Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Saudara Muhib al-Ghumary menjadi bingung apabila terdapat perbahasan di dalam kitab-kitab aqidah yang menyatakan Allah itu di atas langit ataupun Dia bersemayam di atas ‘Arasy. Bagi Muhib al-Ghumary kenyataan-kenyataan seperti ini adalah seperti menyamakan Allah dengan makhluk kerana ia menunjukkan Allah bertempat. Adakah beliau tidak menyedari bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala mengulangi di dalam al-Qur’an bahawa Dia bersemayam di atas ‘Arasy sebanyak 7 kali? Cuba rujuk surah-surah berikut; Taha (20) : 5, al-A’raaf (7) : 54, Yunus (10) : 3, al-Furqan (25) :29, al-Ra’d (13) :2, al-Sajadah (32) : 4 dan al-Hadid (57) : 4. Untuk kebaikan semua terutamanya untuk saudara Muhib al-Ghumary maka penulis perturunkan salah satu dari firman Allah tersebut.

Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?[3]

 

Apakah tidak pernah terlintas di mata saudara Muhib al-Ghumary ketika membaca al-Qur’an bahawa terdapat firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang menunjukkan Dia di atas langit.

Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?[4]

 

Tidakkah kitab-kitab yang menggunakan kaedah pengajian Tauhid Sifat 20 yang diimani oleh saudara Muhib al-Ghumary membahas tentang ayat-ayat al-Qur’an di atas? Tidakkah beliau juga pernah terbaca hadis di bawah ini:

 

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ الْحَكَمِ السُّلَمِيِّ قَالَ: "وَكَانَتْ لِي جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِي قِبَلَ أُحُدٍ وَالْجَوَّانِيَّةِ فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ.

 

فَإِذَا الذِّيبُ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا وَأَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي آدَمَ آسَفُ كَمَا يَأْسَفُونَ.

 

لَكِنِّي صَكَكْتُهَا صَكَّةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ.

 

" قُلْتُ: "يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلاَ أُعْتِقُهَا؟" قَالَ: "ائْتِنِي بِهَا فَأَتَيْتُهُ بِهَا."

 

فَقَالَ لَهَا: "أَيْنَ اللَّهُ؟" قَالَتْ: "فِي السَّمَاءِ."

 

قَالَ: "مَنْ أَنَا." قَالَتْ: "أَنْتَ رَسُولُ اللَّهِ."

 

قَالَ: "أَعْتِقْهَا فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ."

 

Berkata Mu’awiyyah bin Hakam al-Sulami: “Aku memiliki seorang hamba wanita yang menggembalakan kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwaniyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing gembalaannya. Sedangkan aku adalah termasuk anak Adam kebiasaan maka aku mengeluh (atas kehilangan kambing tersebut) sebagaimana mereka. Kerana itu wanita itu aku pukul dan aku marahi. Kemudian aku berjumpa Rasulullah, maka baginda mempersalahkan aku. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, adakah aku harus memerdekakannya?” Jawab Rasulullah: “Bawalah wanita itu ke sini.” Maka Rasulullah bertanya kepada wanita itu: “Di mana Allah?” Dijawabnya (wanita itu): “Di langit.” Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku.” Dijawabnya: “Engkau Rasulullah.” Maka baginda bersabda: Merdekakanlah wanita ini kerana dia seorang mukminah.”[5]

 

Mungkin nanti Muhib al-Ghumary akan berkata bagi mereka yang berpegang kepada mazhab aqidah al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah mereka mentakwilkan atau mengubah nas-nas sifat Allah kepada makna yang lain agar tidak menyerupai sifat makhluk. Jadi Istawa’ (bersemayam) kami rubah menjadi istawla (menguasai), dan di langit kami rubah dengan menyatakan ianya hanyalah sebagai pusat pemerintahanNya. Sedangkan Allah berada dimana-mana. Namun begitu adakah pandangan seperti ini menepati mazhab sebenar Ahlus Sunnah wal Jamaah. Mari kita lihat apa komentar para imam-imam mazhab tentang hal ini.

Telah berkata Imam Abu Hanifah rahimahullah di dalam kitab al-Fiqhul-Akbar ms. 46:

“Barangsiapa yang berkata: “Aku tidak tahu Rabbku, di langit atau di bumi” bererti dia kafir. Begitu juga, seorang menjadi kafir apabila mengatakan bahawa “Allah itu di atas ‘Arasy tetapi aku tidak tahu adakah ‘Arasy itu di langit atau di bumi.”[6]

 

Imam al-Baihaqi rahimahullah di dalam kitabnya al-Asma’ was-Sifaat telah meriwayatkan:

Imam Abu Hanifah rahimahullah berkata kepada seorang wanita yang telah bertanya kepadanya: “Dimanakah Tuhanmu yang engkau sembah itu?” Dia menjawab: “Sesungguhnya Allah itu ada di langit, bukan di bumi.” Lalu tampil-lah seorang pemuda mengajukan pertanyaan: “Bagaimana dengan ayat:

 “…Dia tetap bersama-sama kamu..”[7]

Abu Hanifah menjawab: “Dia seperti engkau menulis surat kepada seorang lelaki dengan mengatakan, “Sesungguhnya aku selalu bersamamu”, padahal engkau tidak ada di sampingnya.”[8]

 

Disebutkan di dalam al-Siyar A’lam al-Nubala, Imam Malik bin Anas rahimahullah berkata:

“Allah di langit dan ilmu-Nya berada di setiap tempat, tidaklah tertinggal dari (ilmu Allah) apa jua.”[9]

 

Tentang istawa’ (bersemayam) Imam Malik rahimahullah juga pernah berkata:

Cara bersemayamNya tidak diketahui sedangkan maksud bersemayam (istawa’) telah jelas dan diketahui, beriman kepadanya (iaitu sifat istawa’ tersebut) adalah wajib, dan bertanya tentangnya (iaitu bagaimana sifat istawa’) adalah bidaah.”[10]

 

Imam al-Zahabi rahimahullah di dalam kitabnya al-‘Uluw lil-‘Aliy al-Ghaffar telah menyebutkan bahawa Imam Syafi’i rahimahullah pernah berkata:

“Pendapatku tentang sunnah, di mana aku berpegang kepadanya dan juga berpegang kepadanya oleh orang-orang yang aku lihat semisal Sufyan, Malik dan lain-lain, iaitu pengakuan terhadap persaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, dan bahawa Allah itu di atas ArasyNya yang ada di langitNya.”[11]

 

Imam al-Baihaqi rahimahullah di dalam kitabnya al-Asma’ was-Sifaat menegaskan lagi mazhab sebenar Imam al-Syafi’i rahimahullah dalam hal ini dengan menyatakan:

“Penyebutan dalil-dalil yang menerangkan Istawa’Nya Allah Tabaraka wa Ta’ala di atas ArasyNya, dan juga athar-athar yang berasal dari kalangan salaf yang memiliki pengertian seperti ini cukup banyak jumlahnya dan ini menunjuk kepada Mazhab al-Syafi’i rahimahullah.”[12]

 

Al-Qadhi Abu Ya’la rahimahullah dalam kitabnya Thabaqatul-Hanabilah telah meriwayatkan dari Abu Bakar al-Marwazi rahimahullah dia berkata:

“Aku bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah tentang serangkaian hadis-hadis sifat-sifat Allah, tentang melihat Allah pada hari akhirat, tentang Isra’, dan Arasy. Maka Imam Ahmad bin Hanbal mengsahihkannya dan berkata: “Umat ini telah menerima dan mengakuinya dan membiarkan hadis-hadis itu apa adanya sesuai dengan kedatangannya.”[13]

 

Tidak cukup dengan pendapat ke empat-empat Imam mazhab di atas ini maka kita lihat pula pandangan Imam Abu al-Hassan al-Asya’ari rahimahullah yang tentunya golongan seperti Muhib al-Ghumary yakini sebagai tokoh pendirinya mazhab aqidah al-Asya’irah.

Di dalam kitab Maqalat al-Islamiyin wa Ikhtilaf al-Musollin, Imam Abu al-Hassan al-Asya’ari telah berkata[14]:

“Sesungguhnya Allah Istiwa’ di atas ArasyNya sebagaimana firmanNya:

 “al-Rahman (Allah) yang Istiwa’ di atas Arasy.”[15]

 

Hal ini beliau ulangi lagi di dalam kitab beliau yang lain bertajuk al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah[16]:

“Percaya bahawa Allah Istiwa di atas ArasyNya sepertimana firman Allah di dalam al-Qur’an:

 “al-Rahman (Allah) yang Istiwa’ di atas Arasy.”[17]

 

Tenyata Imam Abu al-Hassan al-Asya’ari rahimahullah telah menggunakan metode Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat untuk berinteraksi dengan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala yang sempurna dan beliau tidak menggunakan kaedah al-Asya’irah mahupun al-Maturidiyah. Pasti saudara Muhib al-Ghumary dan golongan yang sependapat dengan beliau merasa kurang senang dengan pendedahan ini tetapi inilah hakikat kebenaran yang sebenarnya. Berpijak di atas realiti ini maka sekali lagi saya sarankan pihak Jakim untuk mengkaji dari manakah asal-usulnya metode pengajian Tauhid Sifat 20 dan mazhab aqidah al-Asya’irah ini.

Kesimpulannya apabila kita bertemu dengan ayat-ayat al-Qur’an atau Hadis-Hadis Nabi yang menerangkan tentang sifat-sifat Allah seperti Allah di langit atau Allah bersemayam di atas ‘Arasy maka sebagai pengikut fahman Ahlus Sunnah Wal Jamaah kita wajib beriman kepada sifat-sifat tersebut, menetapkannya sebagai sifat-sifat Allah tanpa bertanya atau memikirkan bagaimana tatacara, ciri-ciri dan bentuk bagi sifat-sifat tersebut. Namun begitu wajib kita untuk menghindari dari menyamakan sifat-sifat tersebut dengan makhluk (tasybih) sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Tiada sesuatupun yang seumpama denganNya dan Dialah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.[18]

 

Imam al-Zahabi rahimahullah di dalam kitanya Siyar A’lam al-Nubala meriwayatkan daripada Imam al-Syafi’i rahimahullah:

“Kita tetapkan sifat-sifat yang disebutkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah dan kita nafikan Tasybih (penyerupaan dengan makhluk) daripadaNya sebagaimana Dia telah menafikan daripada DiriNya.”[19]

 

Semoga saudara Muhib al-Ghumary lebih berhati-hati apabila menyatakan iktiqad yang dipegang oleh golongan Wahabi melalui metode Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat ini membuktikan bahawa golongan ini tergelincir daripada kelompok Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Subhanallah, adakah kebohongan yang lebih besar setelah kebohongan ini?

…besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.[20]

 

Sejarah telah membuktikan kelompok yang gemar menuduh Ahlus Sunnah wal Jamaah sebagai Musyabbihah (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) adalah golongan Jahmiyah (yang tidak termasuk di kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah) iaitu golongan yang menafikan sifat-sifat Allah (melakukan tahrif dan ta’thil) dan menyatakan Allah berada di mana-mana di setiap tempat. Imam Abu Hatim al-Razi rahimahullah pernah berkata:

“Tanda golongan Jahmiyyah adalah mereka menggelarkan Ahlus Sunnah dengan panggilan Musyabbihah.”[21]

 

 


 


[1] al-An’am (6) : 116

[2] Di dalam Forum Hal Ehwal Islam bertajuk Bid’ah yang di anjurkan di Masjid al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan pada 29hb Disember 2005, Dr. Uthman el-Muhammadi telah mengakui bahawa metode pengajian Sifat 20 ini sememangnya tidak pernah wujud di zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam serta para sahabat radhiallahu 'anhum. Mereka mempelajari sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala secara terus daripada al-Qur’an dan al-Hadis. Menurut beliau hal ini adalah mudah untuk dilakukan pada zaman itu kerana hati para sahabat radhiallahu 'anhum itu hidup dan mudah untuk memahami sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala yang terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Hadis. Umat Islam pada masa kini memerlukan cara yang lebih mudah untuk mengenali Allah kerana kelemahan di dalam diri masing-masing berbanding dengan generasi para sahabat radhiallahu 'anhum. Oleh itu para ulamak mencipta kaedah Sifat 20 tersebut. Sekiranya umat Islam pada masa kini masih mengekalkan pengajian sifat Allah secara terus melalui al-Qur’an dan al-Hadis maka ini akan membebankan serta mengambil masa yang begitu panjang sehingga sukar untuk mereka mengerjakan kerja seharian mereka seperti mencari rezeki dan minum teh tarik di gerai.

Inilah tanggapan Dr. Uthman el-Muhammadi terhadap pengajian sifat-sifat Allah melalui al-Qur’an dan al-Hadis. Adakah beliau tidak memahami hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ini:

فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ...

Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah)… (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Jama’ah, hadis no: 867)

Sekiranya beliau memahami hadis di atas kenapa beliau masih memiliki pemikiran yang bingung sehingga beranggapan kaedah mempelajari sifat-sifat Allah melalui hadis-hadis al-Qur’an dan al-Hadis begitu membebankan sehingga memerlukan kaedah baru yakni kaedah ilmu kalam yang di pengaruhi pemikiran Yunani. Kenapa beliau terlalu menitik beratkan minum teh tarik di gerai dari mempelajari sifat-sifat Allah?

Fahamilah wahai wahai pembaca yang budiman, tidak ada kaedah yang lebih senang untuk di fahami dan untuk di pelajari melainkan kaedah yang telah dipergunakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang sesuai sepanjang zaman. Kaedah yang baginda pergunakan telah berjaya untuk mengukuhkan aqidah golongan Arab Badwi serta hamba abdi yang buta huruf lagi rendah ilmu pendidikannya. Kenapa golongan seperti Dr. Uthman el-Muhammadi ini memperlekehkan kemampuan umat Islan di zaman moden ini seolah-olah mereka ini tidak mampu untuk memahami sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala yang terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Hadis. Sebenarnya apa yang perlu di usahakan oleh para ulamak adalah menerangkan tentang kaedah untuk memahami nama-nama serta sifat-sifat Allah melalui al-Qur’an dan al-Hadis dan bukannya untuk mencipta kaedah baru yang bersumber dari ilmu kalam.

Penulis memiliki sebuah buku bertajuk Kaedah Memahami Nama-Nama & Sifat-Sifat Allah terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2004. Di dalam buku tersebut penulis telah memperjelaskan cara yang mudah untuk berinteraksi serta memahami nama-nama dan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala menurut kaedah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Penulis juga telah membuktikan bahawa kaedah yang juga dikenali sebagai Tawhid al-Asma wa al-Sifat ini juga telah dipegang oleh Imam Abu Hanifa, Imam Malik, Imam al-Syafi’i, Imam Ahmad, Imam Abu Hassan al-Asy’ari, Imam al-Ghazali dan Syaikh Abdul Qadir al-Jailani rahimahumullah.

[3] al-Sajadah (32) : 4

[4] al-Mulk (67) : 16

[5] Hadis Riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Masajid wa Mawadhi’ al-Sholah, hadis no: 537.

[6] Dinukil daripada kitab Aqidah Empat Imam Mazhab, terbitan Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 1998,  karya Dr. Muhammad bin Abdurrahman al-Khumais ms. 11.

[7] al-Hadid (57) : 4

[8] Dinukil daripada kitab Aqidah Empat Imam Mazhab, ms. 12.

[9] Dinukil daripada kitab Manhaj Akidah Salaf : Akidah Imam Malik karya Syaikh Muhammad bin Abdurrahman al-Maghrawi, (edisi terjemahan oleh Ibtidain Hamzah Khan, Pustaka Azzam, Jakarta, 2002), ms. 167.

[10] Dinukil daripada kitab Manhaj Akidah Salaf : Akidah Imam Malik, ms. 163.

[11] Dinukil daripada kitab Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafi’i karya Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil, ms. 282.

[12] Dinukil daripada kitab Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafi’i, ms. 282.

[13] Dinukil daripada kitab Aqidah Empat Imam Mazhab, ms. 69.

[14] Dinukil daripada kitab Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah karya Hafiz Firdaus Abdullah, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003, ms: 204.

[15] Taha (20) : 5

[16] Dinukil daripada kertas kerja Dr. Mohd Radzi Hj. Othman yang berjudul Imam Abu Al Hassan Al Asy’ari, Kertas kerja ini boleh dirujuk di dalam buku Koleksi Kertas Kerja Seminar Ahli Sunnah Wal Jamaah Golongan Tauladan, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2004, ms. 119.

[17] Taha (20) : 5

[18] asy-Syuura (42) : 11

[19] Dinukil daripada kitab Aqidah Empat Imam Mazhab, ms. 42.

[20] al-Kahfi  (18) : 5

[21] Dinukil daripada kitab Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bidaah karya Dr. Ibrahim bin Amir al-Ruhaili, (edisi terjemahan oleh Abu Ahmad bin Syamsuddin, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta, 2002), ms. 75