FAHAMAN WAHABI MENULAR

SATU ANALISIS TERHADAP DAKWAAN YANG DITIMBULKAN OLEH

AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

 

Penulis

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 

ARTIKEL 1

PENJELASAN BERKAITAN ISU WAHABI

 

Beberapa hari yang lepas isu Wahabi telah dibangkitkan semula di dada-dada akhbar terutamanya oleh akhbar Utusan Malaysia. Menurut laporan akhbar-akhbar tersebut fahaman Wahabi ini seolah-olah telah terkeluar dari Mazhab Syafi’i dan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Tuduhan yang sebegini berat sebenarnya boleh menimbulkan budaya fitnah-menfitnah di antara sesama Islam serta memecah-belahkan umat Islam di Malaysia. Menurut laporan akhbar tersebut dakwaan itu timbul kerana golongan yang mereka gelar sebagai Wahabi ini menolak amalan Tahlil dan Kenduri Arwah, tidak berzikir sesudah solat, menolak amalan mengirim pahala bacaan al-Qur’an kepada arwah, tidak mengamalkan Talqin, melarang untuk menziarahi kubur, melarang membaca Yassin pada malam Jumaat dan tidak mengamalkan doa Qunut. Di sini penulis akan mengupas setiap isu yang disebutkan di atas supaya kita dapat menilai secara adil tentang kebenaran dakwaan bahawa golongan yang di gelar Wahabi ini yang telah menyimpang daripada mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah mahupun Syafi'iyyah.

Upacara Tahlil atau kenduri arwah adalah satu upacara yang lazimnya dibacakan ayat-ayat suci al-Qur’an tertentu, bacaan zikir La ilaha illallah, Subhanallah dan lain-lain lagi dengan niat agar pahala bacaan tersebut dihadiahkan kepada arwah kaum muslimin pada umumnya. Amalan ini sebenarnya tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mahupun generasi Salaf al-Ummah. Sekiranya amalan ini baik bagi umat Islam pasti mereka telah mendahului kita dalam mengamalkannya. Sebenarnya amalan Tahlil atau juga dikenali sebagai Kenduri Arwah ini adalah bertentangan dengan pendapat Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah sendiri. Ternyata di dalam kitab-kitab Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah tertulis tentang amalan Tahlil ini malah tidak wujud satu riwayat pun yang menunjukkan bahawa beliau pernah mengajarkannya kepada mana-mana anak murid beliau.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

(Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.[1]

Telah berkata al-Hafidz Ibnu Kathir rahimahullah di dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Qur’an al-Adzim ketika mentafsirkan ayat di atas:

Iaitu sebagaimana seseorang tidak akan memikul dosa orang lain demikian juga seseorang tidak akan memperolehi ganjaran (pahala) kecuali apa-apa yang telah dia usahakan untuk dirinya sendiri. Dan dari ayat yang mulia ini Imam al-Syafi’i bersama para ulamak yang mengikutinya telah mengeluarkan hukum bahawa bacaan al-Qur’an tidak akan sampai hadiah pahalanya kepada orang yang telah mati. Kerana bacaan tersebut bukan dari amal dan usaha mereka. Oleh kerana itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah mengsyariahkan umatnya (untuk menghadiahkan bacaan al-Qur’an kepada yang telah mati) dan tidak juga pernah menggemarinya atau memberikan petunjuk kepada mereka baik dengan nash (dalil yang jelas lagi terang) dan tidak juga dengan isyarat dan tidak pernah dinukilkan dari seorang pun sahabat (bahawa mereka pernah mengirim pahala bacaan al-Qur’an kepada orang yang telah mati). Jika sekiranya amalan itu baik tentu para sahabat telah mendahului kita mengamalkannya. Dan di dalam masalah ibadah ianya hanya terbatas pada dalil dan tidak boleh dipalingkan dengan qiyas-qiyas atau pendapat-pendapat.[2]

 

Imam al-Nawawi rahimahullah pula di dalam Syarah Muslim (jilid 1, ms. 90) telah berkata:

Adapun bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada simati) maka yang masyhur di dalam mazhab Syafi’i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim… Sedang dalilnya bagi Imam al-Syafi’i dan pengikut-pengikutnya iaitu firman Allah:

…bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.[3]

Dan Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

 

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلَاثٍ صَدَقَةٌ جَارِيَةٌ وَعِلْمٌ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ.

 

Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya.[4]

 

Dengan menggunakan hujah yang sama seperti di atas maka amalan mengirim pahala bacaan surah Yasin atau mana-mana ayat al-Qur’an kepada arwah juga tidak sampai menurut mazhab sebenar Imam al-Syafi’i.[5] Malah beliau juga tidak pernah mengsyariahkan amalan membaca ayat-ayat al-Qur’an di sisi kuburan sebagaimana yang diamalkan oleh orang ramai di Malaysia. Tentang amalan yang sepatutnya dikerjakan ketika menziarah kubur Imam al-Syafi’i rahimahullah telah berkata:

Dalam ziarah kubur, janganlah kamu mengucapkan kata-kata kotor, iaitu mendoakan perkara yang buruk terhadap mayat atau meratapinya…! Akan tetapi jika engkau ziarah kubur, beristighfarlah[6](memohon keampunan) untuk mayat, maka hatimu akan lembut dan engkau akan ingat akan akhirat, ziarah seperti ini tidaklah aku benci.[7]

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri telah mengharamkan untuk dilakukan ibadah di kawasan perkuburan. Ini sebagaimana sabdanya:

 

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ. إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ.

 

Janganlah kamu jadikan rumah kamu itu sebagai kuburan. Sesungguhnya setan itu lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah.[8]

 

Dari hadis ini dapat kita fahami bahawa rumah yang tidak dikerjakan ibadah seperti membaca al-Qur’an dan solat adalah sama seperti kawasan perkuburan. Oleh itu secara tidak langsung ia memberitahu kepada kita semua bahawa kuburan bukannya tempat untuk beribadah seperti membaca al-Qur’an.

Berkenaan dengan Kenduri Arwah Imam al-Syafi’i rahimahullah telah berkata:

Dan aku telah memakruhkan makan, iaitu berkumpul di rumah[9] (si mati) walaupun bukan untuk tangisan (ratapan).[10]

 

Di dalam kitab I’anatu al-Talibin (jilid 2, ms. 146)[11] ada disebut tentang pengharaman Kenduri Arwah menurut mazhab al-Syafi’i:

Apa yang telah menjadi kebiasaan manusia menjemput orang menyediakan hidangan makanan oleh keluarga si mati adalah bidaah yang dibenci, termasuklah di dalam hal ini berkumpul beramai-ramai di rumah keluarga si mati kerana terdapat hadis sahih dari Jabir bin Abdullah radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

كُنَّا نَرَى الاِجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنْعَةَ الطَّعَامِ مِنْ النِّيَاحَةِ.

Kami menganggap berkumpul beramai-ramai di rumah si mati dan menyiapkan makanan sebagai ratapan.[12]

 

Fatwa-fatwa sedemikian rupa dari ulamak-ulamak bermazhab al-Syafi’i masih banyak lagi. Bagi penulis apa yang telah dipaparkan ini sahaja sudah memadai untuk menangkis dakwaan bahawa mereka yang menolak amalan Tahlil atau Kenduri Arwah terkeluar dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah ataupun mazhab al-Syafi’i. Apa yang lebih bertepatan dengan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah masyarakat sekeliling yang membantu ahli keluarga yang telah ditimpa musibah tersebut dengan memberi makanan kepada mereka dan bukan keluarga si mati itu yang menyediakan makanan kepada masyarakat sekeliling. Sunnah ini boleh difahami dari hadis yang berikut:

 

لَمَّا أُصِيبَ جَعْفَرٌ رَجَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى أَهْلِهِ فَقَالَ:

 

"إِنَّ آلَ جَعْفَرٍ قَدْ شُغِلُوا بِشَأْنِ مَيِّتِهِمْ فَاصْنَعُوا لَهُمْ طَعَامًا."

 

Semasa kematian Ja’far, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pulang menemui keluarga baginda dan bersabda: “Sesungguhnya keluarga Ja’far sedang sibuk dengan urusan kematian, maka buatkanlah untuk mereka makanan.”[13]

 

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahullah telah berkata: “Disukai membuat makanan untuk keluarga si mati.”[14]

 

Tentang berzikir sesudah solat menurut mazhab sebenar Imam al-Syafi’i rahimahullah adalah sebagaimana beliau katakan di dalam kitab beliau al-Umm[15]:

Saya (Imam Syafi'i) memandang baik bagi Imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah keluar (selesai) daripada solat. Kedua-duanya menyembunyikan zikir kecuali bahawa dia itu adalah seorang imam yang harus orang belajar darinya.

Allah Azza wa jalla telah berfirman:

... dan janganlah engkau menyaringkan bacaan doa engkau atau solatmu, juga janganlah engkau perlahankannya...[16]

Iaitu - Allah sahaja yang Maha Mengetahui ialah doa. Tidaklah engkau keraskan, ertinya janganlah engkau tinggikan suara. Dan tidak engkau diam sahaja, ertinya sehingga tidak dapat engkau dengar sendiri.

Saya (Imam Syafi'i) mengira (berpendapat) bahawa yang diriwayatkan daripada Ibnu Zubair adalah dari tahlilnya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Dan yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas adalah dari takbirnya, sebagaimana yang kami (Imam Syafi'i) riwayatkan dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam

Saya (Imam Syafi'i) mengira (berpendapat) bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam mengeraskan sedikit suaranya, supaya manusia dapat belajar daripadanya. Yang demikian itu kerana umumnya riwayat yang kami (Imam Syafi'i) tuliskan bersama ini dan yang lainnya, tidak disebutkan padanya sesudah salam, akan pembacaan tahlil dan takbir.

Kadang-kadang disebutkan bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam berzikir sesudah solat, dengan yang saya terangkan itu, dan disebutkan juga perginya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dari solat tanpa zikir. Dan Ummu Salamah menyebutkan berhentinya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam  sekejap sesudah solat dan beliau tidak bezikir dengan keras (kuat).

Saya (Imam Syafi'i) mengira, bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam  tidak berhenti yang sekejap itu, selain untuk berzikir dengan zikir yang tidak keras suara.....

 

Al-Hafidz Ibnu Hajar Asqalani rahimahullah pengarang kitab Fathul Baari juga telah menurunkan kata-kata Imam an-Nawawi rahimahullah  (kedua-dua mereka adalah tokoh hadis yang bermazhab Syafi'i) sebagai berikut: 

Imam Syafi'i memahami hadis ini (yakni hadis Ibnu Abbas) bahwa mereka mengeraskan suara hanya beberapa waktu lamanya untuk mengajar sifat (cara) zikir, bukan bererti mereka terus-menerus mengeraskan bacaan zikir. Adapun pandangan yang terpilih adalah bahawa imam dan makmum sama-sama membaca zikir dengan suara perlahan kecuali bertujuan untuk mengajar zikir tersebut kepada orang-orang.[17]

 

Syaikh Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibariy rahimahullah, pengarang kitab Fathul Mu’in sebuah kitab fikah mazhab Syafi’i yang menjadi rujukan utama bagi masyarakat Islam di Malaysia dan Indonesia, telah menulis:

Sunnah sesudah solat, zikir dan berdoa adalah dengan suara perlahan. Maksudnya, sunnah melakukannya dengan suara perlahan bagi munfarid (orang yang solat bersendirian), makmum dan imam yang tidak bermaksud untuk memimpin hadirin atau memperdengarkan doanya agar diaminkan oleh mereka.[18]          

 

Maka secara ringkasnya pandangan Imam al-Syafi’i rahimahullah tentang tatacara berzikir selepas solat adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Baihaqi rahimahullah dalam kitabnya Sunan al-Kubra:

Bahawa zikir dan doa sesudah solat harus diperlahankan (secara sirr) kecuali jika imam ingin mengajarkan zikir itu kepada manusia, maka dikuatkan (secara jahr) supaya dapat dipelajari. Apabila sudah selesai dipelajari dan diketahui, maka zikir dan doa itu haruslah diperlahankan (secara sirr semula – pen).[19]

 

Berkaitan dengan amalan Talqin pula, maka hal ini tidak pernah tertulis di dalam mana-mana kitab Imam al-Syafi’i rahimahullah. Hanya sahaja ulamak-ulamak bermazhab syafi’i yang kemudian menganggap ianya sunat. Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil telah berkata:

Mengenai Talqin, yang popular di kalangan masyarakat yang dilakukan setelah penguburan mayat, di mana salah seorang berdiri di sampingnya untuk mengajari mayat dengan lafaz berikut: “Hai Fulan bin Fulan, ingatlah kalimah yang engkau pegang sampai masuk ke kubur, iaitu bersaksi bahawa tidak adal Illah kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah…” dan seterusnya, atau lafaz lain yang semakna, maka kami tidak mendapatkan keterangan dari Imam al-Syafi’i rahimahullah tentang masalah ini. Kami hanya mendapatkannya dari ulamak mutaakhkhirin dari para pengikut mazhab Imam al-Syafi’i.[20]

 

Namun begitu hadis-hadis yang telah dipergunakan mereka untuk menyokong amalan talqin ini kesemuanya terdapat kelemahan sehingga tidak boleh dijadikan hujah.[21] Apa pun jua Imam al-Syafi’i rahimahullah sendiri tidak pernah memerintah mahupun menganjurkan upacara Talqin ini. Oleh itu sekiranya meninggalkan upacara Talqin ini menyebabkan seseorang itu dilabelkan sebagai Wahabi maka Imam al-Syafi’i juga sepatutnya digelar dengan panggilan Wahabi.

Tentang larangan menziarah kubur, maka tidak pernah wujud di dalam mana-mana kitab ulamak-ulamak yang dilabelkan sebagai Wahabi memberi pendirian yang sedemikian rupa. Telah sepakat ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah akan sunnahnya menziarah kubur. Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
 

...فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ.

            …maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu mengingatkan kita kepada kematian.[22]

 

Apa yang mungkin disalah-tafsirkan oleh sesetengah pihak adalah larangan untuk melakukan perjalanan jauh dengan niat beribadah di kuburan sebagaimana yang biasa dilakukan oleh sesetengah pihak yang pergi ke kuburan para wali untuk mengambil berkat atau memohon syafaat. Ini adalah amalan yang bertentangan dengan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga pernah bersabda:

 

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

وَمَسْجِدِ الْأَقْصَى.

 

Tidak boleh dipersiapkan perjalanan jauh (bertujuan untuk ibadah) kecuali kepada tiga masjid; Masjidil Haram (di Makkah), Masjid Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (masjid Nabawi) dan Masjid al-Aqsa (di Palestin).[23]

 

Para ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah membahagikan zirah kubur kepada tiga jenis:

  1. Ziarah yang disunnahkan iaitu yang sesuai dengan syariah, sebagaimana yang disebutkan dalam sejumlah hadis dengan tujuan untuk memohon ampun (istighfar) bagi mayat dan mengingatkan dirinya akan alam akhirat.

  2. Ziarah yang bidaah yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala di samping kuburan dengan menyakini bahawa tempat tersebut adalah tempat (ibadah) yang paling baik.

  3. Ziarah yang syirik, iaitu ziarah yang dikerjakan seseorang untuk mengharap berkat dari kuburan atau dalam rangka meminta syafaat dan pertolongan dari kuburan tersebut.[24]

Tentang bacaan surah Yassin pada malam Jumaat pula maka tidak wujud hadis yang sahih dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menganjurkan amalan tersebut.[25] Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

 

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

 

Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.[26]

 

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

 

Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia.[27]

 

Hanya sahaja apa yang dianjurkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat

 

مَنْ قَرَأَ سُوْرَةُ الْكَهْفِ يَوْمَ الْجُمَعَةِ أَضَاءَ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ اَلجُمَعَتَيْن.

 

“Barangsiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat maka dia diberi nur yang menerangi diantara dua Jumaat.”[28]

 

Namun hanya segelintir kecil sahaja umat Islam di Malaysia yang mengamalkan sunnah ini kerana mereka disibukkan dengan amalan lain yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda pernah bersabda:

 

مَا أَحْدَثَ قَوْمٌ بِدْعَةً إِلاَّ رُفِعَ مِثْلُهَا مِنْ السُّنَّةِ.

 

Tidak akan (dibiarkan) berlaku bidaah pada satu-satu kaum, kecuali akan dicabut (oleh Allah) satu (amal kebaikan) dari mereka yang sepertinya.[29]

 

Dr. Yusuf al-Qaradawi juga telah berkata:

“Ada ungkapan yang diriwayatkan dari kalangan salaf secara mauquf dan marfu’: “Setiap kali suatu kaum menghidupkan bidaah maka saat itu pula mereka mematikan sunnah dengan kadar yang sama.”[30]

 

Dalam hal bersangkutan bacaan Yassin pada malam Jumaat ini, ianya telah memencilkan amalan yang benar-benar sabit dari hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam iaitu membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat.

Sebenarnya baginda shallallahu 'alaihi wasallam juga melarang kita untuk mengkhususkan hari Jumaat dengan ibadah yang tertentu melalui sabdanya:

 

لاَ تَخْتَصُّوا لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ بِقِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِي

 

وَلاَ تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ الأَيَّامِ إلاَّ أَنْ يَكُونَ فِي صَوْمٍ يَصُومُهُ أَحَدُكُمْ.

 

“Jangan mengkhususkan malam Jumaat untuk Solat Malam (Qiyam al-Lail) di antara lain-lain malam, dan jangan mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa di antara lain-lain hari, kecuali puasa wajib.”[31]

 

Berkenaan dengan doa Qunut, sekiranya benar dengan tidak mengamalkannya maka seseorang itu dianggap terkeluar dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah maka tentu sekali kesemua pengikut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali juga akan turut serta dikategorikan sebagaimana kelompok Wahabi ini. Sesungguhnya hadis-hadis tentang bacaan qunut Subuh ini terdapat perbincangan di kalangan ulamak hadis tentang keabsahannya dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Pada masa yang sama wujud hadis-hadis yang sahih yang menunjukkan pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat radhiallahu 'anhum qunut Subuh secara berterusan tidak diamalkan. Di antaranya adalah seperti hadis di bawah ini:

 

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْجَعِيِّ: "قَالَ قُلْتُ لِأَبِي: "يَا أَبَةِ إِنَّكَ قَدْ صَلَّيْتَ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ

 

صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ.

 

هَا هُنَا بِالْكُوفَةِ نَحْوًا مِنْ خَمْسِ سِنِينَ أَكَانُوا يَقْنُتُونَ؟"

 

قَالَ: "أَيْ بُنَيَّ مُحْدَثٌ."

 

Dari Said bin Thariq al-Asyja’i, dia berkata: “Aku pernah bertanya kepada bapaku (Thariq bin Asyim): “Wahai bapaku! Sesungguhnya engkau pernah bersolat di belakang Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Apakah mereka itu semuanya mengerjakan qunut Subuh (terus-menerus).” Jawab ayahku: “Hai anakku! Itu (qunut Subuh terus-menerus) adalah perbuatan bidaah![32]

 

Adakah selayaknya mereka yang mengikuti hadis yang sahih dianggap terkeluar dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Syafi’i? Hayatilah kata-kata Imam al-Syafi’i rahimahullah di bawah ini:

Bila suatu masalah ada hadisnya yang sah dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam menurut kalangan ahlul Hadis, tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya, baik selama aku hidup mahupun setelah aku mati.[33]

 

Selanjutnya Imam al-Syafi’i rahimahullah juga pernah berkata:

Setiap hadis yang datang dari Nabi shallahu 'alaihi wasallam bererti itulah pendapatku, sekalipun kalian tidak mendengarnya sendiri dari aku.[34]

 

Demikianlah penjelasan secara ringkas tentang beberapa tuduhan yang tercatat di dalam sebuah akhbar tempatan sehingga menuduh kelompok Wahabi terkeluar dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah serta bukan dari Mazhab al-Syafi’i. Sewajarnya polemik sedemikian rupa tidak dijadikan bahan untuk melaga-lagakan umat Islam sehingga boleh menimbulkan tuduhan yang sebegini berat. Janganlah disebabkan kebencian kepada sesetengah golongan menyebabkan timbulnya fitnah-memfitnah yang hanya akan merugikan umat Islam. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”[35]


 

 

 


[1] al-Najm (53) : 38-39

[2] Dinukil dari kitab Hukum Membaca al-Qur’an Untuk Orang Mati: Sampaikah Pahalanya Pada Mereka? oleh Syaikh Muhammad Ahmad Abdul Salam, (edisi terjemahan oleh H. Ma’mur Daud, Media Da’wah, Jakarta 2001), ms. 19-20.

[3] Al-Najm (53) : 39

[4] Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunan al-Tirmidzi, Kitab al-Ahkam, hadis no: 1297.

[5] Ketika Forum Hal Ehwal Islam bertajuk Bid’ah yang dilangsungkan di Masjid al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan pada 29hb Disember 2006, salah seorang dari ahli panel iaitu Ustaz Mahfuz telah menyatakan bahawa membaca surah Yasin kepada mayat adalah sunnah berdasarkan dalil di bawah:

اقْرَءُوا يس عَلَى مَوْتَاكُمْ.

            Bacakanlah surah Yasin untuk orang-orang yang akan mati (mautaakum) di antara kamu. (Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Janaiz, hadis no: 2714, Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, Kitab Ma Ja’a Fi al-Janaiz, hadis no: 1438, dan juga Imam Ahmad di dalam Musnad Ahmad 19427. Lafaz ini adalah daripada kitab Sunan Abu Dawud)

Pada sangkaan Ustaz Mahfuz maksud مَوْتَاكُمْ (mautaakum) di dalam hadis di atas adalah orang-orang yang telah mati. Status hadis ini sebenarnya masih diperbincangkan oleh para ulamak hadis. Namun apa yang lebih tepat status hadis ini adalah dha’if (lemah). Sekiranya hadis ini sahih sekalipun, مَوْتَاكُمْ (mautaakum) bukan bermaksud orang yang sudah mati tetapi orang yang hampir mati. Perhatikanlah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ini:

لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ.

            Ajarkanlah oleh kamu orang-orang yang akan / hampir mati (mautaakum) di antara kamu La ilaaha illallahu. (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Janaiz, hadis no: 916)

Apa yang diperintah oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di atas adalah untuk mengajar orang yang sedang menghadapi maut bacaan La ilaaha illallah. Adakah Ustaz Mahfuz beranggapan bahawa bacaan La ilaaha illallah itu perlu diajarkan kepada orang yang sudah mati?

Saya yakin orang seperti Ustaz Mahfuz tentu sudah ribuan kali mengkhatam surah Yasin menerusi majlis Yasinan pada malam Jumaat dan ketika menziarah kubur. Tidakkah terlintas di mata beliau ayat di bawah?

Supaya ia (al-Qur’an) memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup… (Yasin (36) : 70)

Jika begitu kenapa anda, duhai Ustaz Mahfuz masih menyibukkan diri untuk menjaja amalan bacaan al-Qur’an kepada orang yang sudah mati? Telah berkata Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat:

Allah Subhanahu wa Ta'ala menyatakan dengan tegas bahwa al-Qur’an ini menjadi peringatan untuk orang-orang yang hidup, dan ayat ini terdapat di dalam surah Yasin. Sedangkan saudara-saudara kita membacakan surah Yasin ini di hadapan orang-orang yang mati (mayyit). Subhanallah! Kejahilan apakah ini namanya??? (Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat, al-Masaa-il : Masalah-Masalah Agama, Darul Qolam, Jakarta 2001, jilid 1, ms. 302)

[6] Di antara doa-doa yang di ajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ketika menziarah kubur adalah:

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلاَحِقُونَ. أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ.

Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin dan insya-Allah kami akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan kalian. (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Janaiz, hadis no: 975)

السَّلاَمُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلاَحِقُونَ.

Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin, semoga Allah memberi rahmat kepada orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian dari kami dan insya-Allah kami akan menyusul. (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Janaiz, hadis no: 974)

[7] Imam al-Syafi’i di dalam al-Umm. Penulis nukil daripada kitab Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i karya Syaikh Muhammad A.W. al-‘Aqil, (edisi terjemahan oleh H. Nabhani Idris, Pustaka Imam asy-Syafi’i, Bogor, 2002), ms. 208.

[8] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab Sholat al-Musafirin wa Qasriha, hadis no: 780.

[9] Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani rahimahullah mazhab sebenar imam al-Syafi’i rahimahullah tentang amalan berkumpul di rumah keluarga si mati adalah seperti berikut:

Imam al-Nawawi mengatakan di dalam al-Majmu’nya (jilid 5, ms. 306): “Adapun duduk-duduk dalam rangka bertakziah, maka Imam al-Syafi’i dan penyusun kitab telah menyatakan sebagai hal yang makruh.” Mereka menyatakan: “Hendaknya segera meninggalkan tempat apabila selesai mengucapkan takziah dan kembali mengerjakan keperluan yang lain. Dan tidaklah ada bezanya dalam hal duduk berkumpul untuk mengucapkan takziah ini antara lelaki dan perempuan. (Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani, Tuntunan Lengkap Mengurus Jenazah, (edisi terjemahan oleh A.M. Basalamah, Gema Insani Press, Jakarta, 1999), ms. 161)

[10] Imam al-Syafi’i, al-Umm, jilid 1, ms. 248. Penulis nukil daripada kitab Imam Syafie(rahimahullah) Mengharamkan Kenduri Arwah, Tahlilan, Yasinan & Selamatan karya Ustaz Rasul Dahri, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2001, ms. 23.

[11] Penulis nukil daripada kitab Imam Syafie(rahimahullah) Mengharamkan Kenduri Arwah, Tahlilan, Yasinan & Selamatan karya Ustaz Rasul Dahri, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2001, ms. 24-26.

[12] Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, Kitab Ma Ja’a Fi al-Janaiz, hadis no: 1612.

[13] Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, Kitab Ma Ja’a Fi al-Janaiz, hadis no: 1600.

[14] Imam al-Ghazali, al-Wajiz Fi Fiqhi al-Imam al-Syafi’i, jilid 1, ms. 79. Penulis nukil daripada kitab al-Masaa-il karya Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta, 2003, jilid 2, ms.9.

[15] Imam al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), (edisi terjemahan oleh Prof. TK. H. Ismail Yakub, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1989), jilid 1, ms. 295-297.

[16] al-Israa' (17):110

[17] al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al Bukhari, (edisi terjemahan oleh Amiruddin LC, Pustaka Azzam, Jakarta, 1997) jilid  4, ms. 711. Seterusnya kitab ini hanya akan disebut sebagai Fathul Baari.

[18] Syaikh Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibariy, Fathul Mu’in (edisi terjemahan oleh Drs. Aliy As’ad, Klang Book Centre,  Klang 1988), jilid 1, ms. 170.

[19] Dinukil daripada buku tulisan Hafiz Firdaus Abdullah, Zikir-Zikir Selepas Solat Fardhu Sebagaimana Yang Diajarkan Dan Dilakukan Oleh Rasulullah SAW, ms. 46.

[20] Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil, Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i, ms. 198.

[21] Untuk melihat perbahasan lanjut tentang amalan Talqin sila dapatkan buku bertajuk Amalan Talqin: 
Suatu Perbahasan Llmiah karangan Ustaz Abdul Rasyid Bin Idris diterbitkan oleh Darul Fuqaha’, Bangi, 2005.

[22] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Janaiz, hadis no: 976.

[23] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab Fadhli al-Sholah fi Masjidi Makkah wa al-Madinah, hadis no: 1189.

[24] Muhammad A.W. al-‘Aqil, Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i, ms. 209.

[25] Dr. Uthman el-Muhammadi ketika berucap di Forum Hal Ehwal Islam bertajuk Bid’ah yang dianjurkan oleh Masjid Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan pada 29hb Disember 2005 telah membawa sebuah riwayat dari Kitab Tafsir al-Qurthubi untuk menguatkan amalan membaca Yassin pada malam Jumaat. Riwayat tersebut adalah:

مَنْ قَرَأََ سُوْرَةُ  (يَسٍ) فِي لَيْلَةِ الْجُمَعَة غَفَرَ لَهُ.

            Sesiapa yang membaca surah Yasin pada malam Jumaat akan diampunkan (dosa-dosa) mereka.

Menurut Syaikh Muhammad Nashirudden al-Albani rahimahullah:

Hadith ini sangat dha’if (dha’if jiddan). Hadis tersebut juga telah dikeluarkan oleh al-Asfahani dalam At Targhiib wa At Tarhiib dari jalan Zaid bin Al Harish, menyampaikan kepada kami al-Aghlab bin Tamim, menceritakan kepada kami Ayyub dan Yunus dari al-Hasan dari Abu Hurairah secara marfu’.

Permasalahan dalam sanad ini antaranya ialah melibatkan al-Aghlab bin Tamim di mana Ibnu Hibban berkata bahawa beliau munkarul hadis, meriwayatkan dari orang-orang thiqah apa yang bukan dari hadis mereka. Ibnu al-Qattan pula mengatakan tentang perawi bernama Zaid bin Al Harish bahawa dia tidak diketahui keadaaannya (majhul).

Hadith ini juga terdapat dalam ‘Amal Al Yaum wa Al Laylah no: 668 dan al-Kaamil (1/416) tanpa disebut tentang malam jumaat. (Rujuk Silsilah no. 5111)

Oleh itu hadis ini tidak sah untuk di jadikan hujah untuk menyokong amalan membaca Yasin pada malam Jumaat sebagaimana sangkaan Dr. Uthman el-Muhammadi dan Ustaz Mahfuz. Kepada kedua-dua ahli panel forum itu saya ingin sampaikan pesanan dari Imam al-Thahawi rahimahullah di dalam kitabnya Musykilul Athar (jilid 1, ms. 176):

Barangsiapa yang menceritakan (hadis) dari rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam atas dasar zhan / persangkaan, bererti dia telah menceritakan (hadis) dari baginda shallallahu 'alaihi wasallam dengan tanpa haq (dengan tidak benar). Dan orang yang menceritakan (hadis) dari baginda shallallahu 'alaihi wasallam dengan tanpa haq, bererti dia telah menceritakan (hadis) dari baginda shallallahu 'alaihi wasallam dengan cara yang batil. Dan orang yang telah menceritakan (hadis) dari baginda shallallahu 'alaihi wasallam dengan cara yang batil, nescaya dia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ.

Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku, maka hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, hadis no: 107)

(Dinukil daripada kitab al-Masaa-il tulisan Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat, jilid 1, ms. 41)

Sebagai seorang yang bergelar ulamak dan Ustaz, Dr. Uthman el-Muhammadi dan Ustaz Mahfuz seharusnya mampu untuk membezakan hadis yang sabit dan tidak sabit dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam serta tidak menyebarkan hadis-hadis dha’if (lemah) serta mawdhu’ (palsu) di tengah-tengah masyarakat awam. Bagi masyarakat awam apa sahaja yang dikatakan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam oleh mereka yang berstatus Ustaz maka mereka akan menerimanya kerana mereka tidak mampu untuk menyemak kekuatan sanad hadis-hadis tersebut. Oleh itu duhai Dr. Uthman el-Muhammadi dan Ustaz Mahfuz, hindarilah dari menggunakan hadis-hadis yang dhai’f dan mawdhu’ walaupun kamu berdua berada di dalam keadaan yang amat terdesak untuk membenarkan hujah kamu yang sungguh lemah.

[26] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Sulh, hadis no: 2697.

[27] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Aqdhiyah, hadis no: 1718.

[28] Hadis riwayat Imam al-Baihaqi dan Imam al-Hakim.

[29] Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 16356.

[30] Dr. Yusuf Qaradawi, Sunnah dan Bidaah, (edisi terjemahan oleh Abdul Hayyie al-Kattani, Gema Insani Press, Jakarta, 1999), ms. 55

[31] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Shiyam, hadis no: 1144.

[32] Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (Sunan al-Tirmidzi, Kitab al-Shalah, hadis no: 368), Imam al-Nasa’i (Sunan al-Nasa’i, Kitab al-Thathobayaq, hadis no: 1070), Imam Ibnu Majah (Sunan Ibnu Majah, Kitab al-Iqamah al-Shalah wa al-Sunnah Fiha, hadis no: 1231) dan Imam Ahmad (Musnad Ahmad, hadis no: 15317 & 25952.

[33] Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah, al-Harawi, Ibnul Qayyim di dalam al-I’lam dan al-Fullani. Penulis nukil daripada buku Sifat Shalat Nabi shalallahu 'alaihi wasallam oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (edisi terjemahan oleh Muhammad Thalib, Media Hidayah, Yogyakarata, 2000), ms. 59. Di mukasurat yang seterusnya buku ini hanya akan disebut sebagai Sifat Shalat Nabi.

[34] Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim di dalam Adabu Asy-Syafi’i, ms. 93-94. Penulis nukil daripada buku Sifat Shalat Nabi, ms. 58.

[35] al-Maaidah (5) : 8