|
Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Fiqhal-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin |
|
2- Al-Ahkam (Hukum-hukum)
Definisi
Pengertian hukum dari sudut Bahasa Arab ialah: perlaksanaan. Pengertian hukum dari sudut istilah ialah: Perkara yang dituntut oleh kata-kata Syara' yang bersangkutan dengan perbuatan orang yang bertanggungjawab, samada permintaan, memberi pilihan mahupun penetapan.
Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:
Maksud kata-kata Syara' ialah al-Quran dan al-Sunnah.
Maksud yang bersangkutan dengan perbuatan ialah perkara yang bersangkutan dengan perbuatan mereka samada percakapan mahupun perbuatan, dari sudut mewujudkan mahupun meninggalkan. Oleh itu apa yang bersangkutan dengan iktiqad tidak termasuk sama kerana ia tidak dinamakan hukum dalam istilah ini.
Maksud orang yang bertanggungjawab ialah orang yang memikul tanggungjawab. Ini merangkumi budak kecil dan juga orang kurang siuman.[1]
Maksud permintaan ialah perintah dan larangan baik dari sudut kemestian mahupun keutamaan.
Maksud memberi pilihan ialah perkara mubah (yang dibenarkan).
Maksud penetapan ialah sah, fasad dan seumpamanya yang terdiri daripada tanda-tanda dan sifat-sifat bagi perlaksanaan ataupun pembatalan yang telah ditetapkan oleh Syara‘ .
Pembahagian hukum-hukum Syara'
Hukum Syara‘ terbahagi kepada dua kategori iaitu al-Taklifiyyah (bebanan/ pertanggungjawaban) dan al-Wad'iyyah (penetapan).
Hukum al-Taklifiyyah - (Bebanan/Pertanggungjawaban)
Hukum al-Taklifiyyah (bebanan/pertanggungjawaban) terbahagi kepada 5: Wajib, Mandub, Muharram, Makruh dan Mubah.
1- Wajib:
Dari sudut Bahasa Arab wajib ialah sesuatu yang jatuh atau sesuatu yang mesti. Dari sudut istilah wajib ialah: Apa yang diperintahkan oleh Syara‘ dalam bentuk kemestian.
Contohnya ialah sembahyang 5 waktu.
Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:
Berdasarkan definisi Apa yang diperintahkan oleh Syara‘ maka terkeluarlah perkara yang muharram, makruh dan mubah.
Berdasarkan dalam bentuk kemestian maka terkeluarlah perkara yang mandub.
Orang yang melaksanakan perkara wajib akan diberi pahala dan orang yang meninggalkannya akan diberi azab. Wajib juga dinamakan sebagai fardhu, faridhah, hatm dan lazim.[2]
2- Mandub:
Dari sudut Bahasa Arab mandub ialah yang dipanggil. Dari sudut istilah mandub ialah: Apa yang diperintahkan oleh Syara‘ tidak dalam bentuk kemestian.
Contohnya ialah sembahyang sunat.
Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:
Berdasarkan definisi apa yang diperintahkan oleh Syara‘ maka terkeluarlah perkara yang haram, makruh dan mubah.
Berdasarkan tidak dalam bentuk kemestian maka terkeluarlah perkara yang wajib.
Orang yang melaksanakan perkara mandub akan diberi pahala dan orang yang meninggalkannya tidak akan diberi azab. Mandub juga dinamakan sunat, masnun, mustahab dan nafl.
3 - Muharram:
Dari sudut Bahasa Arab muharram ialah yang dilarang. Dari sudut istilah muharram ialah: Apa yang dilarang oleh Syara‘ dalam bentuk kemestian untuk ditinggalkan.
Contohnya ialah derhaka terhadap ibu bapa.
Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:
Berdasarkan definisi apa yang dilarang oleh Syara‘ maka terkeluarlah perkara yang wajib, mandub dan mubah.
Berdasarkan dalam bentuk kemestian untuk ditinggalkan terkeluarlah perkara yang makruh.
Orang yang meninggalkan perkara muharram akan diberi pahala dan orang yang melakukannya akan diberi azab. Muharram juga dinamakan mahzur dan mamnu‘.
4 - Makruh:
Dari sudut Bahasa Arab makruh ialah yang dibenci. Dari sudut istilah makruh ialah: Apa yang dilarang oleh Syara‘ tidak dalam bentuk kemestian untuk ditinggalkan.
Contohnya ialah memberi sesuatu dengan tangan kiri dan menerima dengan tangan kiri.
Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:
Berdasarkan definisi apa yang dilarang oleh Syara‘ maka terkeluarlah perkara yang wajib, mandub dan mubah.
Berdasarkan tidak dalam bentuk kemestian untuk ditinggalkan maka terkeluarlah perkara yang muharram.
Orang yang meninggalkan perkara makruh akan diberi pahala dan orang yang melakukannya tidak akan diberi azab.
5 - Mubah:
Dari sudut Bahasa Arab mubah ialah yang disebarkan dan diizinkan. Dari sudut istilah mubah ialah: Apa yang tidak berkaitan dengannya sebarang perintah mahupun larangan pada dirinya.
Contohnya ialah makan pada malam bulan Ramadhan.
Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:
Berdasarkan definisi apa yang tidak berkaitan dengannya sebarang perintah maka terkeluarlah perkara yang wajib dan mandub.
Berdasarkan mahupun larangan maka terkeluarlah perkara yang muharram dan makruh.
Berdasarkan pada dirinya maka terkeluarlah perkara yang berkait dengannya perintah ataupun larangan pada keadaannya yang merupakan perantaraan untuk perkara yang diperintah atau dilarang. Dalam keadaan ini perkara mubah itu membawa hukum perkara kedua itu samada diperintah mahupun dilarang. Walaupun begitu perkara mubah itu masih kekal mubah pada asalnya.
Orang yang melakukan perkara mubah tidak mendapat pahala mahupun dosa. Mubah juga dinamakan halal dan jaiz.
Hukum al-Wad'iyyah (Penetapan)
Hukum al-Wad'iyyah (penetapan) ialah: Apa yang dijadikan oleh Syara‘ sebagai tanda-tanda untuk sabit, tidak sabit, lulus atau batal.
Di antara hukum al-Wad'iyyah (penetapan) ialah sahih dan fasid.
1- Sahih:
Dari sudut Bahasa Arab sahih ialah yang terselamat dari penyakit. Dari sudut istilah sahih ialah: Apa yang diambil kira kesan-kesan perbuatannya samada ibadah mahupun akad.
Sesuatu perkara itu tidak akan dikira sahih kecuali apabila ia menepati syarat-syarat dan menjauhi larangan-larangan.
Contoh sahih dalam ibadah ialah melaksanakan solat pada waktunya serta menepati segala syarat, rukun dan kewajipannya. Contoh sahih dalam akad ialah melaksanakan jual-beli yang menepati segala syarat disamping jauh dari segala larangannya. Sekiranya tidak cukup satu syarat ataupun wujud satu larangan, kesahihan perkara itu tertolak.
Contoh tidak cukup syarat dalam ibadah ialah solat tanpa menyuci diri (wudhu’). Contoh tidak cukup syarat dalam akad ialah menjual apa yang tidak dimiliki. Contoh wujud larangan dalam ibadah ialah solat sunat tanpa sebab pada masa yang dilarang. Contoh wujud larangan dalam akad ialah menjual selepas azan kedua dalam keadaan yang tidak dibenarkan bagi orang yang wajib melaksanakan solat Jumaat.
2 - Fasid:
Dari sudut Bahasa Arab fasid ialah yang sia-sia dan merugikan. Dari sudut istilah fasid ialah: Apa yang tidak diambil kira kesan-kesan perbuatannya samada ibadah mahupun akad.
Semua perkara yang fasid samada ibadah, akad mahupun syarat adalah diharamkan kerana perkara fasid merupakan perbuatan melampaui had yang ditetapkan oleh Allah Ta'ala, mempermainkan ayat-ayatNya disamping Rasulullah s.a.w. telah melarang orang yang membuat syarat-syarat yang tidak terdapat dalam kitab Allah Ta'ala.
Fasid dan batil membawa maksud yang serupa kecuali dalam dua keadaan:
Pertama: Dalam ihram di mana ulamak mengatakan bahawa fasid ialah perbuatan orang muhrim (berihram) bersetubuh sebelum tahallul pertama, manakala batil ialah perbuatan murtad dari Islam.
Kedua: Dalam nikah di mana mereka mengatakan bahawa fasid ialah perbuatan yang diperselisihkan ulamak terhadap kefasadannya seperti nikah tanpa wali, manakala batil ialah perbuatan yang disepakati ulamak atas kebatilannya seperti nikah wanita yang dalam iddahnya.
[1] Ini ialah pada hukum asal di mana semua manusia termasuk budak kecil dan orang kurang siuman termasuk sama. Namun atas sebab-sebab lain, budak kecil dan orang kurang siuman dikecualikan daripada tanggungjawab ini. Lebih lanjut rujuk Bab Ke-6 (al-Nahy) dalam perbincangan “Individu-individu yang diperintah dan dilarang.” (penyunting) [2] Bagi para pembaca yang lazim membaca buku-buku terjemahan Bahasa Indonesia, perlu diketahui bahawa perkataan “harus” dalam bahasa Indonesia membawa erti wajib. (penyunting)
|