Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

Jenis-Jenis Tasyabuh (Kesamaran) Dalam Al-Quran

 

Kesamaran dalam al-Quran terbahagi kepada dua jenis:

 

 1.  Kesamaran yang hakiki (sebenar): iaitu apa yang tidak dapat diketahui oleh manusia seperti hakikat sifat-sifat

Allah Ta‘ala. Walaupun kita mengetahui erti sifat itu, kita masih tidak mengetahui hakikat dan bentuknya berdasarkan:

  1. Firman Allah Ta‘ala ( Taha 20:110) - Maksudnya: Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka sedang ilmu mereka tidak dapat meliputiNya.

  2. Firman Allah Ta‘ala (al-An'am 6:103) - Maksudnya: Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang dia dapat melihat segala penglihatan itu dan dialah yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

Oleh sebab itu, apabila Imam Malik ditanya, "Bagaimanakah Dia beristiwa’?” merujuk kepada firman Allah Ta‘ala (Taha 20:5) - Maksudnya: Iaitu Tuhan yang Maha Pemurah yang berada tinggi di atas singgahsana.

     

Beliau menjawab:

 

الاستواء غير مجهول، والكيف غير معقول، والإيمان به واجب، والسؤال عنه بدعة.

 

Maksudnya:

Istiwa’ (berada tinggi) itu bukan perkara yang tidak diketahui ertinya dalam bahasa, bentuknya pula tidak dapat dibayangkan akal, beriman dengannya adalah wajib

dan persoalan tentangnya adalah bid‘ah.

 

      Kesamaran jenis ini tidak boleh ditanya tafsirannya kerana jalannya tertutup.

 

 

 2.  Kesamaran yang nisbi (tertakluk): iaitu apa yang samar bagi sesetengah manusia sahaja namun dapat

diketahui oleh golongan yang teguh ilmunya. Jenis kesamaran ini boleh ditanya tafsirannya dan penerangannya kerana jalannya terbuka. Di dalam al-Quran tidak ada perkara yang tidak dapat diketahui oleh kesemua manusia. Ini berdasarkan:

  1. Firman Allah Ta‘ala (Ali Imran 3:138) - Maksudnya: al-Quran ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa.

  2. Firman Allah Ta‘ala (al-Nahl 16:89) - Maksudnya: Dan Kami turunkan kepadamu al-Kitab untuk menjelaskan segala sesuatu.

  3. Firman Allah Ta‘ala (al-Qiyamah 75:18-19) - Maksudnya: Apabila Kami selesai membacakannya maka ikutlah bacaannya itu. Kemudian sesungguhnya atas tanggungan Kamilah penjelasannya.

  4. Firman Allah Ta‘ala (al-Nisa’ 4:174) - Maksudnya: Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari Tuhanmu (Muhammad dengan mukjizatnya) dan telah kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang (al-Quran).

     

Contoh bagi kesamaran jenis kedua ini amat banyak, di antaranya ialah firman Allah Ta‘ala (al-Syura 42:11) - Maksudnya:

Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia,

dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

 

 

Ayat ini samar bagi golongan ta‘til (penolak sifat) yang mengatakan bahawa ayat ini menunjukkan Allah Ta‘ala tidak bersifat. Mereka mendakwa bahawa sekiranya Allah Ta‘ala bersifat, ini bermaksud telah berlakulah penyerupaanNya dengan makhluk. Mereka sebenarnya telah meninggalkan banyak lagi ayat yang menunjukkan bahawa Allah Ta‘ala mempunyai sifat-sifat. Lebih dari itu penetapan makna sifat tidak bererti menyerupakanNya dengan makhluk.

 

Contoh lain ialah firman Allah Ta‘ala (al-Nisa 4:93) - Maksudnya:

 

Dan barangsiapa yang membunuh  seorang mukmin dengan sengaja,

maka balasannya ialah jahannam, ia kekal di dalamnya dan Allah murka kepadanya,

dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya.

 

 

Ayat ini samar bagi golongan al-wa‘idiyah (yang mementingkan ancaman) yang mengatakan bahawa ayat ini menunjukkan orang yang membunuh orang mukmin secara sengaja akan kekal dalam neraka. Mereka kemudiannya menjadikannya kaedah bagi semua pelaku dosa besar.

 

   Sebenarnya mereka telah meninggalkan banyak ayat yang menunjukkan bahawa semua dosa yang tidak sampai ke tahap syirik bergantung kepada kehendak Allah Ta‘ala.

 

      Contoh lain ialah firman Allah Ta‘ala (al-Haj 22:70) - Maksudnya:

 

Apakah kamu tidak mengetahui bahawa sesungguhnya Allah megetahui

apa sahaja yang ada di langit dan di bumi; bahawasanya yang demikian itu

terdapat dalam sebuah kitab (Lauh Mahfuz).

Sesungguhnya yang demikian itu amat mudah bagi Allah.

 

Ayat ini samar bagi golongan al-Jabariyah (yang mengatakan manusia dibawah paksaan) yang mendakwa ayat ini menunjukkan hamba itu terpaksa melakukan amalannya. Mereka mendakwa bahawa hamba itu tidak mempunyai kehendak mahupun kemampuan untuk membuat amalannya. Sebenarnya mereka telah meninggalkan banyak ayat yang menunjukkan bahawa hamba mempunyai kehendak dan kemampuan, dan perbuatan hamba itu terbahagi kepada dua iaitu ikhtiari (di bawah kehendak) dan ghair ikhtiari (bukan di bawah kehendak).

 

Golongan yang teguh ilmunya dan mempunyai akal waras mengetahui cara untuk menyesuaikan ayat-ayat mutasyabih (samar) ialah dengan merujuk kepada ayat-ayat lain supaya dengan itu terbentuk makna yang tepat. Oleh itu sebenarnya kesemua al-Quran menjadi muhkam (jelas) dan tidak mempunyai kesamaran.