Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

Pendirian Orang Yang Teguh Ilmunya Dan Orang Yang Sesat

Perihal Al-Mutasyabih (Ayat Samar)

 

Berkenaan ayat-ayat mutasyabih (samar), Allah Ta‘ala telah menjelaskan pegangan orang yang sesat di dalam firmanNya (Ali Imran 3:7) - Maksudnya:

Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan,

maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyabihat (samar) untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya.

 

Allah Ta‘ala juga telah menjelaskan pegangan orang yang teguh ilmunya di dalam firmanNya (Ali Imran 3:7) - Maksudnya:

Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata

"Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat (samar),

semuanya itu datang dari Tuhan kami."

 

Dengan ini jelaslah bahawa orang yang sesat menjadikan ayat-ayat mutasyabih (samar) sebagai media atau perantaraan untuk mencari kelemahan kitab Allah Ta‘ala, menjauhkan manusia daripada al-Quran dan mentafsirkannya dengan erti yang tidak dikehendaki Allah Ta‘ala. Ini menjadikan mereka sesat dan menyesatkan. Orang yang teguh ilmunya beriman bahawa apa sahaja yang terdapat dalam kitab Allah Ta‘ala adalah benar, tidak bercanggahan dan tidak pula berlawanan kerana ianya datang daripada Allah Ta‘ala. Apa sahaja ayat yang mutasyabih akan dirujukkan kepada ayat muhkam supaya semuanya menjadi muhkam. Ini kerana Allah Ta‘ala berfirman (al-Nisa’ 4:82) - Maksudnya:

Kalau kiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah,

tentulah mereka mendapati pertentangan yang banyak dalamnya.

 

 

Merujuk kepada contoh pertama, iaitu firman Allah Ta‘ala (al-Maidah 5:64), mereka mengatakan bahawa Allah mempunyai dua tangan yang tidak layak dengan keagungan dan kehebatanNya. Dua tanganNya tidak menyerupai tangan-tangan makhluk, sebagaimana Allah Ta‘ala mempunyai zat (diri) yang tidak menyerupai zat (diri) makhlukNya. Ini berdasarkan firman Allah Ta‘ala (al-Syura 42:11) - Maksudnya:

Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia,

dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

 

 

Merujuk kepada contoh kedua, iaitu firman Allah Ta‘ala (al-Nisa’ 4:79) dan (al-Nisa’ 4:78), mereka mengatakan bahawa kebaikan dan keburukan adalah daripada Allah. Akan tetapi, kebaikan itu puncanya ialah pemberian daripada Allah Ta‘ala kepada makhlukNya. Keburukan pula berpunca daripada perbuatan hamba berdasarkan firman Allah Ta‘ala (al-Syura 42:30) - Maksudnya:

Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh

 perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar kesalahan-kesalahanmu.

 

 

Justeru, keburukan yang disandarkan kepada hamba adalah sebagaimana sesuatu benda itu disandarkan kepada sebabnya dan bukannya disandarkan kepada Tuhan yang menentukannya. Kebaikan dan keburukan yang disandarkan kepada Allah Ta‘ala pula adalah disandarkan kepada Tuhan yang menentukannya. Dengan perbezaan dalam sandaran, terlerailah apa yang dianggap sebagai perselisihan antara dua ayat ini.

 

Merujuk kepada contoh ketiga, iaitu firman Allah Ta‘ala (Yunus 10:94), mereka mengatakan bahawa Nabi s.a.w. tidak pernah meragui ayat-ayat yang turun kepadanya. Sebaliknya, Baginda s.a.w.  adalah orang yang paling mengetahui tentangnya dan yang paling kuat keyakinannya berdasarkan firman Allah Ta‘ala (Yunus 10:104) - Maksudnya:

Katakanlah "Hai manusia, jika kamu masih dalam keraguan tentang agamaku,

maka ketahuilah aku tidak menyembah apa yang kamu sembah selain Allah.”

 

 

Jadi ertinya, sekiranya kamu meraguinya, sesungguhnya aku amat meyakininya. Oleh sebab itulah aku tidak menyembah apa sahaja yang kamu sembah selain Allah Ta‘ala. Bahkan aku kufur terhadapnya dan aku hanya menyembah Allah Ta‘ala. Apabila Allah Ta‘ala berfirman (Yunus 10:94) - Maksudnya:

Maka jika kamu berada dalam keraguan tentang apa yang Kami turunkan kepadamu.

 

 

FirmanNya ini tidak semestinya membawa maksud bahawa keraguan boleh berlaku atau sedang berlaku kepada Nabi s.a.w.. Lihatlah firman Allah Ta‘ala (al-Zukhruf 43:81) - Maksudnya:

Katakanlah "Jika benar Tuhan yang Maha Pemurah mempunyai anak,

maka akulah orang yang mula-mula memuliakan anak itu."

 

 

Adakah ini bermaksud boleh adanya anak bagi Allah Ta‘ala atau Allah Ta‘ala sememangnya mempunyai anak? Tidak sekali-kali, perkara ini tidak pernah berlaku dan tidak boleh berlaku kepada Allah Ta‘ala berdasarkan firman Allah Ta‘ala (Maryam 19:92-93) - Maksudnya:

Dan tidak layak bagi Tuhan yang Maha Pemurah mengambil anak.

Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi kecuali

akan datang kepada Tuhan yang Maha Pemurah selaku seorang hamba.

 

 

Begitu juga, apabila Allah Ta‘ala berfirman (al-Baqarah 2:147) - Maksudnya:

Sebab itu jangan sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu.

 

 

Ini tidak semestinya membawa maksud bahawa Nabi s.a.w. pernah mempertikaikan sesuatu, kerana larangan terhadap sesuatu perkara boleh diutarakan sebelum seseorang itu melakukannya. Lihatlah firman Allah Ta‘ala (al-Qasas 28:87) - Maksudnya:

Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalangmu dari menyampaikan ayat-ayat Allah

sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu dan serulah mereka kepada jalan tuhanmu

dan janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.

 

 

Diketahui bahawa mereka tidak dapat melarang Nabi s.a.w. daripada ayat-ayat Allah Ta‘ala dan Baginda s.a.w.  pula tidak pernah melakukan syirik. Tujuan mengutarakan larangan kepada orang yang belum melakukan perkara yang dilarang ialah memberi ancaman terhadap mereka yang melakukan perkara tersebut dan memberi amaran daripada mengikut cara mereka.

 

Dengan ini, hilanglah kesamaran dan hapuslah sangkaan yang tidak layak terhadap Rasulullah s.a.w..