Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

Abdullah Bin Abbas

 

Beliau ialah sepupu Rasulullah s.a.w. . Beliau lahir tiga tahun sebelum Hijrah. Beliau sering mendampingi Nabi s.a.w.  kerana beliau ialah sepupu Baginda dan makciknya (sebelah ibu) iaitu Maimunah adalah isteri Nabi s.a.w.. Baginda pernah mendakap beliau dan memeluknya seraya berkata:

اللهم علمه الحكمة، وفي رواية: الكتاب.[1]

Maksudnya:

 

“Ya Allah, ajarkanlaah dia hikmah (dalam riwayat:) al-Quran.”

 

Baginda s.a.w. pernah berkata kepadanya semasa beliau membawa air wuduk untuk Baginda:

اللهم فقهه في الدين.[2]

Maksudnya:

 “Ya Allah, kurniakanlah dia kefahaman dalam agama.”

 

Berkat doa inilah beliau menjadi hibr (pendita) umat ini dalam menyebarkan tafsir dan fikah. Allah Ta‘ala telah mendorongnya untuk bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan kesabaran dalam menerima dan menyebarnya.

            Dengan usaha ini, beliau telah mendapat kedudukan tinggi sehinggalah Amir al-mukminin Umar bin al-Khattab sering memanggilnya untuk hadir dalam perjumpaan-perjumpaannya dan sering menerima pendapat-pendapatnya. Melihat ini, golongan Muhajirin telah berkata:

ألا تدعو أبناءنا كما تدعو ابن عباس؟

Maksudnya:

“Kenapa engkau tidak memanggil anak-anak kami sebagaimana engkau memanggil Ibnu Abbas?”

 

Umar menjawab:

ذاكم فتى الكهول له لسان سؤول وقلب عقول.

Maksudnya:

“Beliau adalah anak muda yang dewasa. Beliau mempunyai lidah yang banyak bertanya

dan hati yang kuat kefahamannya.”

 

 

Satu hari Umar telah memanggil mereka semua bersama Ibnu Abbas untuk menunjukkan kehebatan Ibnu Abbas kepada mereka. Riwayat itu mencatat seperti berikut:

 

ما تقولون في قول الله تعالى: (إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ) حتى ختم السورة،

أمرنا أن نحمد الله ونستغفره إذا فتح علينا، وسكت بعضهم،

فقال عمر لابن عباس: أكذلك تقول؟

قال: لا،

قال: فما تقول؟

قال: هو أجل رسول الله صلى الله عليه وسلم،

أعلمه الله له إذا جاء نصر الله،

والفتح فتح مكة، فذلك علامة أجلك فسبح بحمد ربك، واستغفره إنه كان توابا،

قال عمر: ما أعلم منها إلا ما تعلم.

Maksudnya:

“Apa pendapat kamu semua tentang firman Allah Ta‘ala (al-Nasr 110:1:  yang bermaksud)

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan.”

Umar membaca sehingga akhir surah.

 

Sesetengah mereka menjawab:

“Kita diperintahkan untuk memuji Allah dan memohon keampunan daripadanya

apabila kita diberi pertolongan.”

 

Sesetengah mereka hanya berdiam diri. Umar bertanya Ibnu Abbas,

“Adakah begitu pendapat kamu?”

 

Jawab Ibnu Abbas, “Tidak.”

 

Umar bertanya, “Kalau tidak, apa dia?”

 

Jawab Ibnu Abbas, “Ianya menunjukkan ajal Rasulullah.

Allah memberitahu Baginda tentang wafatnya.

Apabila datang pertolongan Allah, dan pembukaan itu ialah pembukaan Mekah,

itu adalah petanda dekatnya ajalmu.

Jadi hendaklah kamu memuji tuhanmu dan meminta pengampunanNya

kerana sesungguhnya Dia Maha Penerima taubat.”

 

Umar berkata, “Apa yang aku tahu tentang surah ini tidak melebihi apa yang engkau tahu.”

 

 

Ibnu Mas‘ud berkata:

لنعم ترجمان القرآن ابن عباس ، لو أدرك أسناننا ما عاشره منا أحد.

Maksudnya:

“Ibnu Abbas adalah sebaik-baik pentafsir al-Quran.

Sekiranya dia sebaya dengan kami, pasti tidak seorangpun daripada kami dapat menandinginya.”

 

 

Beginilah keadaan ilmu Ibnu Abbas yang hidup 36 tahun selepas Ibnu Mas‘ud meninggal. Sudah tentu ilmunya banyak bertambah selepas itu.

 

Apabila Ibnu Umar ditanya tentang satu ayat tertentu, dia menjawab:

 

انطلق إلى ابن عبسا فاسأله فإنه اعلم من بقي بما أنزل على محمد صلى الله عليه وسلم.

 

Maksudnya:

“Pergilah berjumpa Ibnu Abbas dan tanyalah dia. Sesungguhnya dialah orang yang paling mengetahui tentang wahyu yang turun ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sekarang ini.”

 

 

Ata’ (seorang tabi’in) berkata:

 

ما رأيت قط أكرم من مجلس ابن عباس فقها وأعظم خشية،

 

إن أصحاب الفقه عنده، وأصحاب القرآن عنده،

 

وأصحاب الشعر عنده، يصدرهم كلهم من واد واسع.

 

Maksudnya:

“Aku tidak pernah melihat majlis ilmu yang lebih mulia daripada majlis ilmu Ibnu Abbas

yang dipenuhi kefahaman dan diselubungi rasa takut terhadap Allah.

Penuntut fikah, tafsir dan syair menghadiri majlisnya.

Beliau akan memenuhi hajat mereka daripada lembah ilmu yang luas.”

 

 

Abu Wail telah berkata:

 

خطبنا ابن عباس وهو على الموسم ( أي وال على موسم الحج من عثمان رضي الله عنه )

 

فافتتح سورة النور لجعل يقرأ ويفسر ، فجعلت أقول ما رأيت،

 

ولا سمعت كلام رجل مثله ، ولو سمعته فارس والروم والترك لأسلمت.

 

Maksudnya:

“Ibnu Abbas, sebagai pemimpin jemaah haji yang dilantik oleh Uthman,

telah membaca khutbah semasa musim haji. Beliau membaca surah al-Nur,

membaca satu demi satu ayat dan mentafsirkannya.

 

Aku lalu berkata,

“Tidak pernah aku lihat mahupun mendengar percakapan lelaki sepertinya.

Kalaulah Parsi, Rom dan Turki mendengar kata-katanya, pasti mereka akan memeluk Islam.”

 

 

Uthman melantiknya memimpin jemaah haji pada tahun 35 hijrah. Ali pula telah melantiknya menjadi menteri besar di Basrah. Apabila Ali dibunuh, Ibnu Abbas telah pergi ke Hijaz dan menetap di Mekah. Kemudian beliau pergi ke Taif. Beliau wafat di sana pada tahun 68H dalam umur 71 tahun.

 


[1] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Kelebihan para sahabat Nabi, Bab Tentang Ibnu Abbas r.a.,” No. 3756.

[2]  Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Wuduk, Bab Meletakkan air dekat tempat buang air,” No. 143.