|
||||
|
Abdullah Bin Mas’ud
Beliau ialah Abdullah bin Mas‘ud bin Ghafil al-Huzali. Ibunya ialah Ummu ‘Abd. Kadangkala beliau dinasabkan kepada ibunya.[1] Beliau merupakan antara golongan pertama memeluk Islam. Beliau telah turut serta dalam dua hijrah (ke Habsyah, kemudian Madinah), peperangan Badar dan peperangan-peperangan selepas itu. Abdullah bin Mas‘ud mengambil daripada Nabi s.a.w. lebih daripada 70 surah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadanya pada permulaan Islam:
إنك لغلام معلم.[2] Maksudnya: “Sesungguhnya engkau budak yang akan dipenuhi ilmu.”
Baginda s.a.w. juga bersabda:
من أحب أن يقرأ القرآن غضا كما أنزل فليقرأه على قراءة ابن أم عبد.[3]
Maksudnya: “Siapa yang ingin membaca al-Quran segar sebagaimana ianya diturunkan, hendaklah dia membacanya mengikut bacaan anak Ummu ‘Abd.”
Ibnu Mas‘ud pernah berkata:
لقد علم أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم أني من أعلمهم بكتاب الله،
وقال: والله الذي لا إله غيره ما أنزلت سورة من كتاب الله إلا وأنا أعلم أين نزلت،
ولا أنزلت آية من كتاب الله إلا أنا أعلم فيمن أنزلت،
ولو أعلم أحدا أعلم منى بكتاب الله تبلغه الإبل لركبت إليه.[4]
Maksudnya:
“Sesungguhnya para sahabat Rasulullah telah mengetahui bahawa aku adalah yang paling mengetahui al-Quran di kalangan mereka.”
Katanya lagi, “Demi Allah yang tiada tuhan yang berhak disembah melainkanNya, tiada satu surah pun dalam kitab Allah kecuali aku mengetahui di mana ianya turun.
Tiada satu ayatpun dalam kitab Allah kecuali aku mengetahui berkenaan siapa ianya turun.
Sekiranya aku tahu ada orang lain yang lebih mengetahui kitab Allah dan dia dapat dikunjungi dengan menaiki unta, pasti aku akan naik unta untuk mengunjunginya.”
Beliau merupakan salah seorang khadam Nabi s.a.w.. Beliau selalu membawa kasut, air untuk bersuci dan bantal Baginda s.a.w.. Abu Musa al-Ash‘ari berkata:
قدمت أنا وأخي من اليمن فمكثنا حينا ما نرى من دخوله
ودخول أمه على النبي صلى الله عليه وسلم.[5]
Maksudnya:
“Aku datang bersama saudara kandungku daripada Yaman dan kami menetap beberapa ketika di Madinah. Kami menyangka Abdullah bin Mas‘ud adalah daripada keluarga Nabi s.a.w. melihat dia dan ibunya sering keluar masuk rumah Nabi s.a.w..”
Beliau sentiasa bersama Nabi s.a.w. menyebabkan beliau terkesan dengan Baginda dan cara ibadah Baginda. Huzaifah berkata:
قال فيه حذيفة: ما أعرف أحدا أقرب هديا وسمتا ودلا بالنبي صلى الله عليه وسلم من ابن أم عبد.[6]
Maksudnya:
“Aku tidak mengetahui seorangpun yang amat mirip kepada cara ibadah, penonjolan dan hidayah Nabi s.a.w. melebihi anak Ummu ‘Abd.”
Umar telah menghantar beliau ke Kufah untuk mengajar penduduknya agama di samping Ammar yang dihantar menjadi menteri besar Kufah. Umar berkata:
إنهما من النجباء من أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم، فاقتدوا بهما.
Maksudnya:
“Sesungguhnya mereka berdua merupakan di antara golongan cerdik pandai para sahabat Nabi Muhammad s.a.w.. Justeru, jadikanlah mereka sebagai teladan.”
Uthman pula telah melantiknya sebagai Menteri Besar Kufah. Kemudian Uthman memberhentikannya dan mengarahkannya pulang ke Madinah. Ibnu Mas‘ud wafat di sana pada tahun 32 Hijrah pada umur 70 tahun lebih dan dikebumikan di perkuburan al-Baqi‘.
[1] Ini kerana bapa beliau meninggal di zaman Jahiliyyah manakalah ibunya sempat dengan Islam dan telah memeluk agama Islam. [2] Hadith riwayat Ahmad, No. 3598 (Bagi edisi 6 jld, rujuk jld. 1, hlm 379). Sanadnya dinilai hasan oleh al-Syaikh Syu‘aib al-Arna’uth. [3] Hadith riwayat Ibnu Majah: “Kitab Kelebihan para sahabat Rasulullah s.a.w., Bab Kelebihan Abdullah bin Mas’ud r.a.,” No. 138. Hadith ini dihukum sahih oleh al-Shaikh al-Albani dalam Sahih Sunan Ibnu Majah, No. 138. [4] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Kelebihan al-Quran, Bab Para qari di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.,” No. 5000. [5] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Kelebihan para sahabat Nabi, Bab Kelebihan ‘Aishah r.a.,” No. 3763, dan Muslim: “Kitab Kelebihan para sahabat, Bab Kelebihan Abdullah bin Mas’ud dan ibunya r.a.,” No. 2460. [6] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Kelebihan para sahabat Nabi, Bab Kelebihan ‘Aishah r.a.,” No. 3763, dan Muslim: “Kitab Kelebihan para sahabat, Bab Kelebihan Abdullah bin Mas’ud dan ibunya r.a.,” No. 2460.
|
||||