Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

Perbezaan Bentuk Dan Isi Ayat Makkiyyah Dan Madaniyyah

 

Di antara perbezaan kedua-dua bentuk ayat ini ialah:

  1. Ayat Makkiyyah lebih kuat caranya dan tegas percakapannya kerana kebanyakan orang yang mendengar bersifat takabbur (sombong dan angkuh) dan tidak memberi perhatian. Cara begini sesuai dengan keadaan mereka. Contohnya surah al-Muddaththir dan al-Qamar. Ayat Madaniyyah lebih lembut caranya dan halus percakapannya kerana kebanyakan orang yang mendengar bersifat taat dan mengambil berat. Contohnya surah al-Maidah.

  2. Ayat Makkiyyah pendek dan hujahnya kuat kerana kebanyakan orang yang mendengar bersifat degil dan melawan. Cara ini sesuai dengan keadaan mereka. Contohnya surah al-Thur. Ayat Madaniyyah panjang dan menerangkan hukum-hukum tanpa hujah kerana keadaan ini sesuai dengan orang yang mendengar. Contohnya surah al-Baqarah.

 

Di antara perbezaan isi ialah:

  1. Ayat Makkiyyah menanam Tauhid dan aqidah suci khususnya Tauhid Uluhiyah dan iman dengan kebangkitan semula kerana kebanyakan pendengar mengingkarinya. Ayat Madaniyyah menjelaskan amalan ibadah dan muamalat kerana kebanyakan pendengar telah menerima Tauhid dan aqidah suci. Mereka sekarang memerlukan penjelasan amalan ibadah dan muamalat.

  2. Ayat Madaniyyah banyak membincangkan tentang hukum-hukum Jihad dan keadaan orang munafiq kerana Jihad telah disyariatkan dan nifaq telah timbul. Ayat Makkiyyah tidak membincangkan perkara-perkara ini.

 

 

 

 

 

Faedah Mengetahui Ayat Makkiyyah Dan Madaniyyah

 

Mengetahui Makkiyyah dan Madaniyyah adalah satu ilmu penting dalam ilmu al-Quran. Antara faedahnya ialah:

 

  1. Menonjolkan ketinggian balaghah (kesusasteraan) al-Quran yang menggunakan bentuk yang sesuai samada kuat dan tegas ataupun lembut dan halus dalam menghadapi setiap kaum bersesuaian dengan keadaan mereka.

  2. Menonjolkan hikmat perundangan (tasyri‘) dalam ketinggian matlamatnya dimana pensyariatan meningkat sedikit demi sedikit mengikut keadaan pendengar dan kesediaan mereka untuk menerima dan melaksana.

  3. Mendidik para pendakwah seupaya mengikut jejak al-Quran dalam cara dan isi yang bersesuaian dengan pendengar. Hendaklah dimulakan dengan perkara terpenting dan disusuli dengan perkara kedua penting. Hendaklah digunakan ketegasan pada tempatnya dan kelembutan pada tempatnya.

  4. Membezakan antara Nasikh dan Mansukh dalam keadaan apabila ayat Makkiyyah bertembung dengan ayat Madaniyyah yang menepati syarat-syarat Naskh. Maka ayat Madaniyyah memansuhkan ayat Makkiyyah kerana ianya terkemudian.

 

 

 

 

 

 

Hikmah Penurunan Al-Quran Secara Beransur-ansur

 

Melalui pembahagian al-Quran kepada Madaniyyah dan Makkiyyah, dapat diketahui bahawa al-Quran turun ke atas Nabi s.a.w. secara beransur-ansur. Penurunan al-Quran dengan cara ini mempunyai hikmah-hikmah tertentu seperti:

  1. Meneguhkan hati Nabi s.a.w.  berdasarkan firman Allah Ta‘ala (al-Furqan 25:32-33) - Maksudnya: Dan berkatalah orang-orang kafir “Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun sahaja?” Demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacakannya secara tartil (teratur dan benar). Tidaklah orang-orang kafir itu datang kepadamu (membawa) sesuatu yang ganjil, melainkan Kami datangkan kepadamu suatu yang benar dan yang paling baik penjelasannya.

  2. Memudahkan hafalan, kefahaman dan amalan terhadap al-Quran kepada manusia dengan membacanya sedikit demi sedikit. Firman Allah Ta‘ala (al-Isra 17:106) - Maksudnya: Dan al-Quran itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.

  3. Memotivasikan kesungguhan mereka untuk menerima dan beramal dengan ayat-ayat yang turun. Cara beransur menjadikan manusia menanti-nanti dengan penuh semangat dan kerinduan terhadap penurunan ayat khususnya apabila keadaan amat memerlukan seperti peristiwa al-Ifk (fitnah/pendustaan) dan al-Li‘an (laknat melaknati).

  4. Pensyariatan secara berperingkat sehinggalah sampai ke tahap sempurna seperti dalam ayat-ayat pengharaman arak yang mana meminum arak itu merupakan amalan dan kebiasaan manusia. Adalah berat bagi mereka sekiranya turun ayat yang serta-merta mengharamkan arak. Ayat pertama turun ialah firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:219) - Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosanya lebih besar dari manfaatnya.”

Ayat ini membuka penerimaan mereka terhadap pengharaman arak kerana akal yang waras menuntut supaya meninggalkan perkara yang dosanya lebih besar daripada manfaatnya.

 

Ayat kedua turun ialah firman Allah Ta‘ala ( al-Nisa 4:43) - Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan.

 

Ayat ini melatih mereka supaya meninggalkan arak pada masa-masa tertentu iaitu masa solat.

     

Ayat terakhir turun ialah firman Allah Ta‘ala (al-Maidah 5:90-92) - Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu). Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada RasulNya dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesunguhnya kewajipan rasul Kami, hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.

 

Ayat ini melarang sama sekali minum arak pada semua ketika selepas hati-hati manusia terbuka untuk menerima pengharaman arak dan juga selepas jiwa-jiwa dilatih meninggalkannya pada masa-masa tertentu.