|
||||
|
Pendahuluan Penyunting
إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره, ونعوذ باالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا,
من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له.
ونشهد أن لا إله الا الله وحده لاشريك له ونشهد أن محمدا عبده ورسوله.
Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.
Alhamdulillah, sukacita dipersembahkan kepada para pencinta ilmu sekalian sebuah tulisan yang amat bermanfaat karya Al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah (1411H). Buku yang kecil tetapi padat ini mengupas ilmu-ilmu al-Qur’an daripada awal penurunannya sehinggalah kepada pelbagai ragam susunan ayatnya dalam konteks penafsiran. Semoga melalui buku ini kita semua dapat lebih mengenali al-Qur’an dan menjadikannya sebagai sumber panduan hidup.
Ustaz Fadlan bin Mohd. Othman telah melakukan sedikit tambahan di dalam edisi terjemahan ini, iaitu dengan menerangkan di bahagian notakaki darjat bagi hadith-hadith yang diriwayatkan oleh selain Imam al-Bukhari dan Muslim. Beliau juga sebelum ini telah menterjemahan sebuah lagi buku karya Al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, iaitu Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Fiqh (Jahabersa, Johor Bahru, 2004). Semoga Allah memelihara beliau dan mengurniakan tambahan ilmu kepada beliau serta kemudahan untuk menyampaikannya kepada kita semua samada dalam bentuk lisan atau tulisan.
Segala usaha telah dilakukan untuk memastikan buku ini diterbitkan dalam kualiti yang terbaik. Namun jika terdapat apa-apa kekurangan, dialu-alukan memberi maklumbalas kepada kami melalui e-mel di alamat fadlan_2@yahoo.com atau hafizfirdaus@yahoo.com atau melalui surat yang dialamatkan kepada penerbit.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Penyunting, Hafiz Firdaus Abdullah 11 Jun 2005
|
||||