Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

 

Pendahuluan Pengarang

 

Segala puji hanya bagi Allah, kita memujiNya, meminta pertolonganNya dan pengampunanNya serta bertaubat kepadaNya. Kita juga berlindung dengan Allah dari segala kekejian jiwa kita dan keburukan amalan kita. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiada sesiapapun dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiada sesiapapun dapat memberi petunjuk kepadanya. Saya naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah sahaja tiada sekutu bagiNya dan saya naik saksi bahawa Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya, selawat dan salam ke atas Baginda, keluarganya dan sahabatnya serta sesiapa yang mengikuti jejak mereka.

Seterusnya;

Sesungguhnya di dalam apa sahaja ilmu, perkara yang amat penting bagi orang yang ingin mempelajarinya ialah mengkaji dasar-dasarnya yang dapat membantu memahami ilmu tersebut. Pengajian dasar-dasar sesuatu ilmu akan menjadikan pengkaji itu seorang yang mempunyai tapak yang kuat dalam ilmu itu. Pepatah ada menyatakan bahawa orang yang tidak dapat memahami dasar (ushul), tidak akan kesampaian kepada ilmu itu.

Ilmu yang paling mulia dan berprestij ialah ilmu Tafsir al-Quran yang merupakan penerangan terhadap erti kata-kata Allah Yang Maha Agung lagi Maha Mulia. Para ulamak telah merumuskan dasar-dasar bagi ilmu ini sebagai mana mereka telah merumuskan dasar-dasar bagi ilmu Hadith dan ilmu Fikah.

Saya pernah menulis beberapa perkara berkenaan dengan ilmu ini (dasar Tafsir al-Quran) untuk pelajar-pelajar ma'had-ma'had ilmiyyah di Universiti al-Imam Muhammad bin Saud al-Islamiyyah. Beberapa orang telah datang kepada saya dan meminta supaya saya membukukannya dan sayapun tunaikan permintaannya. Saya meminta supaya Allah menjadikan buku ini bermanfaat untuk semua.

Muhammad bin Salih al-Utsaimin.