|
7 Tipudaya Syaitan ke Atas Umat Islam hafiz firdaus abdullah
|
|
Kata Penutup
Di dalam al-Qur’an, Allah Subhanahu wa Ta'ala mengungkap kata-kata syaitan pada Hari Akhirat kelak:
Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu (perhitungan di hadapan Allah pada Hari Akhirat):
“Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur (terhadap perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku dengan-Nya.”
Sesungguhnya orang-orang yang zalim beroleh azab yang tidak terperi sakitnya. [Ibrahim 14:22]
Syaitan akhirnya bercakap benar, bahawa janji yang sebenar ialah janji Allah manakala janjinya hanya tipu daya. Janji Allah adalah keseluruhan petunjuk-Nya yang ada di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, sesiapa yang mengikutinya nescaya akan beruntung di Hari Akhirat. Manakala janji syaitan adalah pelbagai tipu dayanya yang menyelisihi al-Qur’an dan al-Sunnah, sesiapa yang mengikutinya nescaya akan rugi di Hari Akhirat.
Dari kata-kata syaitan di atas, jelas bahawa di Hari Akhirat kelak kita tidak boleh memberi alasan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala bahawa kesalahan-kesalahan yang kita lakukan di dunia adalah kerana syaitan. Kita tidak boleh berkata: “Ya Allah! Hukumlah syaitan kerana ia yang sebenarnya menyebabkan aku terpesong dari Shirat al-Mustaqim dan mengabaikan perintah larangan Kamu dan Rasul-Mu.” Ini kerana syaitan sendiri akan membantah alasan tersebut dengan berkata: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu…”.
Bahkan seandainya syaitan tidak membantah, alasan tersebut memang tidak diterima kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala sejak awal telah mengingatkan kita:
Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya berkenaan Allah. [Fatir 35:05]
Kemudian syaitan mengeluarkan kata-kata yang amat tajam, yang merupakan tempelak kepada orang ramai pada saat itu. Ia berkata: “…dan tiadalah bagiku sebarang kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu.” Kekuasaan sebenar tidak terletak di tangan syaitan tetapi di tangan kita sendiri. Syaitan hanya menghasut sementara kitalah yang membuat keputusan sama ada untuk mengikutinya atau tidak. Jika kita mengikutinya, maka ia adalah kesalahan kita dan bukannya syaitan. Oleh kerana itulah syaitan meneruskan: “…janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri.” Justeru kata putus terletak pada tangan kita sendiri, sama ada untuk mengikuti hasutan syaitan atau menafikannya.
Yang mana satukah menjadi pilihan kita?
|