Tauhid 3T: Penjelasan Dan Pembelaan.

 

 Oleh: al-Syeikh ‘Abd.al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr

Terjemahan: Mohd Amin Yaacob

 

Pendahuluan:
Dr ‘Abd. al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr

         

Secara hakiki jawapan terhadap golongan pembuat bid’ah serta penyeru kepada hawa nafsu, membasmi kebatilan, kekeliruan serta kesesatan, menyatakan keaiban perbuatan dan menjelaskan bahawa tindakan mereka ini menyalahi kebenaran merupakan tanggungjawab penting para ilmuan serta penuntutnya. Ini supaya golongan ini berhati-hati terhadap kejahatan serta kesesatan mereka. Perkara ini merupakan sebahagian dari melakukan kebaikan serta mencegah kemungkaran yang diperintah hukum syariat. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata:

Kaum muslimin bersepakat menghukum penyeru kepada perbuatan bid’ah. Hukuman ke atas pelakunya sama ada dibunuh atau tindakan yang lebih ringan daripadanya. Ini sebagaimana hukuman bunuh yang dilaksanakan oleh golongan salaf terhadap Jahm bin Safwan, Ja’d bin Dirham, Ghailan al-Qadri serta selainnya. Sekiranya hukuman sebegini tidak mampu dilaksanakan maka semestinya dinyatakan perbuatan bid’ah (mereka kepada orang awam) dan (pembid’ah itu) diberikan amaran serta ancaman. Ini merupakan sebahagian dari melakukan kebaikan serta mencegah kemungkaran yang diperintah Allah serta rasul-Nya.

 

          Beliau menambah:

Antara contoh golongan pembuat bid’ah ialah para penulis yang (hasil penulisannya) menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah serta mereka yang melakukan tatacara peribadatan yang menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah. Kaum muslimin bersepakat menyatakan kedudukan serta memberikan amaran terhadap sikap mereka. Ini sehinggakan dikatakan kepada Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah:

 “Seorang lelaki yang berpuasa, mendirikan solat serta menyendiri lebih engkau kasihi atau seorang lelaki yang menyatakan perbuatan golongan pembuat bid’ah?” Beliau menjawab: “Sekiranya dia berpuasa, mendirikan solat serta menyendiri maka itu untuk dirinya. Adapun menyatakan perbuatan golongan pembuat bid’ah ia untuk kaum muslimin, maka ia lebih terutama dilakukan.”

Menyatakan perbuatan bid’ah dari aspek keagamaan kepada kaum muslimin merupakan sebahagian dari jihad pada jalan Allah. Ia bagi mempersucikan jalan Allah serta al-Din, manhaj serta syariat-Nya dan menyatakan penolakan terhadap kesalahan golongan pembuat bid’ah. Kaum muslimin bersepakat hukumnya adalah fardhu kifayah. Sekiranya Allah tidak mewujudkan golongan yang berperanan menolak marabahaya yang dilakukan golongan ini maka rosaklah al-Din.        

Di mana kerosakan ke atas al-Din lebih besar dari kerosakan disebabkan penguasaan musuh ketika peperangan. Ini disebabkan penguasaan musuh tidak merosakkan hati serta memberi pengaruh kecil terhadap al-Din. Sebaliknya golongan pembuat bid’ah melakukan kerosakan besar terhadap al-Din serta hati.[1]

         

Walaupun perkara ini jelas namun wujud di zaman mutakhir sebahagian individu serta kumpulan yang mendiamkan diri, tidak mengambil berat dan memberikan amaran terhadap perbuatan yang dilakukan golongan pembuat bid’ah serta menuruti hawa nafsu. Mereka menyangka ia merupakan tanggungjawab yang dilakukan para penguasa. Malahan sebahagian mereka menyatakan: “Kita semestinya melakukan perdamaian serta bersatu padu”.

          Tidak syak bahawa ini merupakan sikap yang merosakkan serta memberi kesan besar terhadap Islam dan al-Sunnah. Ia memberi kekuatan kepada golongan bid’ah serta menuruti hawa nafsu dalam menyebarkan kesesatan mereka. Sikap ini menyalahi serta bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ketika mengulas sekumpulan pembuat bid’ah yang berpegang dengan akidah sesat namun melihatnya sebagai kebenaran lantas mengkufurkan sesiapa yang menyalahi pegangan mereka berkata:

Golongan yang mengkufurkan orang lain secara batil ini tidak memahami pegangan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah sebagaimana semestinya atau mengetahui sebahagian serta jahil sebahagian lain. Apa yang mereka ketahui daripadanya mereka sembunyikan dari umat Islam. Mereka tidak mencegah perbuatan bid’ah yang menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah serta tidak mengutuk dan menghukum pelakunya.

Sebaliknya golongan ini mencela kenyataan yang berdasarkan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah serta Usul al-Din. Mereka tidak membezakan kenyataan al-Qur’an dan al-Sunnah serta Ijma’ dengan kenyataan golongan pembuat bid’ah. Hakikatnya pendekatan ini menguasai majoriti golongan Murji’ah, sufi, falsafah, hawa nafsu serta ahli kalam. Ia menyalahi ketetapan al-Qur’an dan al-Sunnah.

Kewajipan ialah dengan menyatakan apa yang dinyatakan Allah dan apa yang disabdakan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam serta setia berpegang teguh kepada perjanjian Allah yang dipertanggungjawabkan kepada para ulama’. Dalam konteks ini merupakan suatu kewajipan mengetahui apa yang dibawa oleh para rasul ‘alayhimussolatuwassalam, beriman, menyampaikan serta menyeru dan berjihad kepadanya. Selain itu menjadi suatu kewajipan mengukur perkara yang bersangkutan urusan manusia sama ada perkataan dan pengamalan dalam perkara pokok (al-Usul) serta cabang (al-Furu’) yang menyangkut perkara batin serta zahir dengan al-Qur’an dan al-Sunnah.

Sehubungan ini hendaklah dijauhi mengikuti hawa nafsu serta sangkaan dari hadith yang lemah (doif) dan qiyas yang rosak (Fasid) atau bertaklid kepada sesiapa yang tidak dibolehkan mengikuti perkataan mahupun pengamalannya. Allah Subhanahu Wa Ta’ala mencela menerusi al-Qur’an golongan yang mengikuti sangkaan serta hawa nafsu lantas meninggalkan ikutan terhadap petunjuk-Nya.[2]

 

          Berdasarkan kenyataan Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah, ternyata kebenaran ialah dengan berpegang teguh kepada al-Qur’an dan al-Sunnah serta mengikuti apa yang bersesuaian dengan keduanya. Penolakan dilakukan terhadap apa sahaja yang menyalahi keduanya seperti kebatilan dan kesesatan.

          Dalam konteks ini ternyata menerusi hasil penulisan golongan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah penolakan terhadap golongan pembuat bid’ah serta menuruti hawa nafsu. Selain itu terkandung di dalamnya nasihat kepada mengikuti Allah serta rasul-Nya dan para pemimpin Islam (al-Aimmah). Ia merupakan penjagaan terhadap sekalian kaum muslimin dari terjebak ke dalam kebatilan yang termaktub menerusi hasil penulisan golongan pembuat bid’ah yang menyebarkan kesesatan. Seorang tokoh salafi kontempelori pernah berkata:

Sebagaimana wujudnya tempat pengasingan (kuarantin) kepada golongan yang menghidapi penyakit berjangkit, maka tidakkah terlebih utama golongan pembuat bid’ah menerima pengasingan yang serupa? Ini kerana golongan yang menghidapi penyakit berjangkit hanya merosakkan jasad sedangkan golongan pembuat bid’ah merosakkan hati serta al-Din.

          Antara individu mutakhir yang menyebarluaskan perbuatan bid’ah, fitnah, kebatilan serta kesesatan kepada umat ialah seorang yang bernama Hassan bin Ali al-Saqqaf. Ini jelas menerusi penulisannya bertajuk: al-Tandid bi man ‘Addada al-Tauhid: Ibtal Muhawalah al-Taslith fi al-Tauhid wa al-‘Aqidah al-Islamiyah. Dia berani menghukum ke atas umat Islam yang mentauhidkan Allah dari sudut Rububiyah, Uluhiyyah serta Asma’ wa al-Sifat sebagai golongan yang menganuti akidah Triniti.

          Umum mengetahui, Triniti merupakan akidah penganut Kristian yang merosakkan. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menyatakan dalam al-Qur’an hukum kafir kepada golongan sebegini. Tidakku sangka Hassan bin Ali al-Saqqaf sanggup menyatakan sebegini terhadap kaum muslimin.

         Menerusi penulisannya tersingkap pelbagai jenis keganjilan serta penyakit kronik sehingga mengeluarkan lelaki ini dari kategori ilmuan serta orang yang berakal. Setelah melakukan penelitian maka dapat disimpulkan kedudukan Hassan bin Ali al-Saqqaf seperti berikut:

  1. Dia seorang Jahmiyyan tulin. Dia mengatakan Tuhan tidak mensifati diri-Nya di luar atau di dalam alam. Dia menisbahkan pandangan palsu ini kepada ahl a-Sunnah wa al-Jamaah.

     

  2. Dia memalsukan serta mengubah kenyataan para ilmuan.

     

  3. Dia banyak melakukan pembohongan serta putar belit.

     

  4. Dia banyak mengeluarkan ungkapan tidak sopan serta kotor lagi memalukan terhadap ilmuan ahl al-Sunnah. Antara kenyataannya berbunyi: “al-Mutamaslifin (golongan yang mendakwa sebagai salafi)”, hlm. 6, “yang memiliki pemikiran cetek lagi dungu”, hlm. 12, “ambilllah dengan kemegahan engkau mempertubuhkan Tuhan wahai Ibn al-Qayyim!”, hlm. 17, “ia merupakan dalil pemutus di sisi pembaca yang cerdik bahawa sesiapa yang menyeru kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat maka dia adalah penyembah berhala (al-Wathaniyyah)”, “si pembuat bid’ah lagi penipu (al-Mubtadi’ah al-Karrasun)”, hlm. 23, “yang mempertubuhkan Tuhan (al-Mujassamah)”, hlm. 37, “yang mempertubuhkan lagi menyerupakan Tuhan dengan makhluk (al-Mujassamah al-Musyabbihah)”, hlm. 40 dan “apa yang kami lihat dari golongan al-mutamaslifin ini mereka menyeru kepada akidah mempertubuhkan Tuhan serta akidah berhala yang diperangi Islam”, hlm. 60

    Tidak syak bahawa antara tanda golongan pembuat bid’ah ialah mereka mengutuk golongan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Ishaq bin Rahawaih berkata:

    Tanda bagi golongan al-Jahmiyyah serta pengikutnya ialah mereka secara dusta suka melabelkan golongan ahl al-Sunnah sebagai golongan menyerupakan Tuhan dengan makhluk (al-Musyabbihah) serta membatalkan sifat Tuhan (al-Mu’thillah). Majoriti pemimpin salaf berkata: tanda bagi golongan al-Jahmiyyah ialah mereka suka menggelarkan golongan ahl al-Sunnah sebagai golongan menyerupakan Tuhan dengan makhluk (al-Musyabbihah).[3]

     

  5. Antara tokoh pembuat bid’ah mutakhir yang menjadi rujukannya ialah Muhammad Zahid al-Kauthari. Sehubungan ini Hassan bin Ali al-Saqqaf banyak mengambil kenyataan dia. Kadangkala dengan menyebut namanya (hlm. 38-39) atau tidak menyebutkan namanya (hlm. 11) atau menyatakannya di bahagian notakaki (hlm. 27).

     

  6. Dia memandang rendah kedudukan sebahagian hadith. Ini jelas menerusi kenyataannya berbunyi: “Mereka amat berbangga dengan mengambil dalil berdasarkan hadith jariah”. (hlm. 55)

Berdasarkan faktor di atas, menjadi kewajipan kepadaku memberi amaran serta mengungkapkan kekeliruan, kebatilan dan kesesatan dia. Ini bagi mempertahankan kebenaran dan al-Sunnah, para ulama serta sekalian kaum muslimin. Dalam konteks ini penjelasan berdasarkan kepada sebahagian isi kandungan penulisan sahaja. Ia berfungsi sebagai penunjuk jalan serta mengelakkan huraian yang berjela-jela. Sekiranya dia mendiamkan diri serta menyibukkan diri menghasilkan penulisan yang berasaskan hukum syariat maka ini lebih baik baginya.

Kami memohon kepada Allah supaya memberi hidayah kepada Hasan bin Ali al-Saqqaf serta golongan yang menyesatkan kaum muslimin supaya kembali kepada kebenaran serta jalan yang lurus.

 

 

 ‘Abd. al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr

 

 


 

[1] al-Fatawa, Jil. 28, hlm. 321 dan 232.

[2] al-Fatawa, Jil. 12, hlm. 467-468.

[3] Ibn Abi al-‘Izzi, Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, Jil. 1, hlm. 75.