Tauhid 3T: Penjelasan Dan Pembelaan.

 

 Oleh: al-Syeikh ‘Abd.al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr

Terjemahan: Mohd Amin Yaacob

 

 

Persoalan 9:

Pengingkaran Golongan Musyrikin Terhadap Kebangkitan Setelah Mati Tidak Menunjukkan Mereka Tidak Mengakui Kewujudan Allah

 

 

Hassan bin Ali al-Saqaf berkata (hlm. 9):

            Terkenal di kalangan golongan kafir menyembah, menziarahi serta mendekatkan diri kepada berhala. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang berbunyi:

 

وَٱتَّخَذُواْ مِن دُونِ ٱللَّهِ ءَالِهَةً۬ لَّعَلَّهُمۡ يُنصَرُونَ

 

Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, (dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu). (Surah Yasin 36:74)

 

أَفَرَءَيۡتُمُ ٱللَّـٰتَ وَٱلۡعُزَّىٰ

 

وَمَنَوٰةَ ٱلثَّالِثَةَ ٱلۡأُخۡرَىٰٓ

 

(Setelah kamu - wahai kaum musyrik Makkah - mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa "Al-Laat" dan "Al-Uzza" - Serta "Manaat" yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)? (Surah al-Najm 53:19-20)

 

            Selain itu terkenal di kalangan mereka berkata: “Tidak ada yang membinasakan kami melainkan masa (al-Dahr). Sehubungan ini Allah mengatakan kepada kita mengenai mereka:

 

وَقَالُواْ مَا هِىَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنۡيَا نَمُوتُ وَنَحۡيَا وَمَا يُہۡلِكُنَآ إِلَّا ٱلدَّهۡرُ‌ۚ

 

وَمَا لَهُم بِذَٲلِكَ مِنۡ عِلۡمٍ‌ۖ إِنۡ هُمۡ إِلَّا يَظُنُّونَ

 

Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman". Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata. (Surah al-Jathiyah 45:24)

 

            Salah seorang di kalangan golongan musyrikin berkata kepada Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam:

 

مَن يُحۡىِ ٱلۡعِظَـٰمَ وَهِىَ رَمِيمٌ۬

 

"Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?" (Surah Yasin 36:78) Allah menjawab pertanyaan mereka:

 

قُلۡ يُحۡيِيہَا ٱلَّذِىٓ أَنشَأَهَآ أَوَّلَ مَرَّةٍ۬‌ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلۡقٍ عَلِيمٌ

 

Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya).” (Surah Yasin 36:79)

 

Dalam konteks ini adakah perlu kepada kita mensifatkan sesiapa yang tidak mengakui Allah sebagai Pencipta serta Menghidupkan (orang yang sudah mati) sebagai individu yang bertauhid Rububiyah? Sedangkan Allah mengatakan mengenainya:

 

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِى مَنۡ هُوَ كَـٰذِبٌ۬ ڪَفَّارٌ۬

 

Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar 39:3)

 

Dakwaan di atas dapat dijawab seperti berikut:

 

Pertama:

Turut terkenal di kalangan golongan kafir di mana mereka berkata: "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya.” (Surah al-Zumar 39:3) Penafsiran ayat ini dinyatakan menerusi penjelasan terdahulu. Ia berdasarkan kenyataan para ilmuan. Antaranya ulasan Ibn Kathir yang berbunyi:

Golongan musyrikin menjadikan berhala dalam rupabentuk para malaikat –sebagaimana dakwaan mereka – dan apabila mereka menyembah rupabentuk tersebut ia menyamai penyembahan terhadap malaikat. Penyembahan ini dilakukan supaya malaikat dapat memohon pertolongan (syafaat) di sisi Allah untuk mereka agar membantu serta memberi rezeki serta keseluruhan urusan keduniaan lainnya. Merujuk kepada persoalan kebangkitan (setelah mati) majoriti golongan musyrikin menafikan serta tidak mempercayai perkara ini.[1]

 

Kedua:

Dikemukakan menerusi penjelasan terdahulu beberapa keterangan al-Qur’an bagi menunjukkan pengiktirafan golongan musyrikin bahawa Pencipta, Pemberi rezeki serta Yang Mengurus (sekalian alam) ialah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Selain itu turut dinyatakan talbiyah golongan musyrikin pada musim haji serta beberapa rangkap syair yang menunjukkan pengiktirafan mereka terhadap kewujudan Allah.

 

Ketiga:

Merujuk kepada perkara kebangkitan (setelah mati), majoriti di kalangan golongan musyrikin menolak serta tidak beriman kepada perkara ini. Ini berdasarkan kepada keterangan beberapa ayat al-Qur’an. Dalam konteks ini perbezaan semestinya dilakukan terhadap kedua persoalan ini. Di mana golongan musyrikin mengingkari perkara kebangkitan (setelah mati) serta tidak beriman kepadanya sebagaimana kenyataan al-Qur’an. Namun mereka mengiktiraf serta mengakui kewujudan Allah serta Dia sebagai Pencipta, Pemberi rezeki serta Yang Mengurus (sekalian alam). Ini sebagaimana kenyataan al-Qur’an serta para ilmuan seperti Ibn Kathir.

 

Keempat:

Sehubungan ini menggunakan dalil al-Qur’an yang menyatakan keingkaran golongan musyrikin terhadap perkara kebangkitan lalu mengatakan mereka turut mengingkari kewujudan Pencipta serta Pemberi rezeki (iaitu Allah) merupakan kesalahan serta kekeliruan nyata. Ini disebabkan tidak ada perhubungan antara keingkaran terhadap perkara kebangkitan dengan keingkaran terhadap al-Rububiyah.

 

Kelima:

Wujud persoalan yang semestinya menerima penetapan serta penjelasan. Ia merujuk kepada kenyataan para ilmuan bahawa golongan musyrikin mengakui tauhid al-Rububiyah. Ia tidak bermaksud mereka mengakui tauhid al-Rububiyah secara lengkap dan sempurna. Tidak seorangpun di kalangan ilmuan mengatakan golongan musyrikin mengakui perkara ini secara lengkap dan sempurna. Apa yang mereka kehendaki ialah penetapan al-Qur’an bahawa golongan musyrikin mengiktiraf kewujudan Pencipta, Pemberi rezeki serta Yang Mengurus (sekalian alam). Ia merupakan bahagian dari sifat al-Rububiyah yang diyakini golongan musyrikin.

 

Keenam:

Sekiranya keimanan golongan musyrikin terhadap kerububiyahan Allah merupakan keimanan yang sempurna sekalipun ia tidak memberi manfaat kepada mereka sekiranya tidak menyerahkan keseluruhan peribadatan, mengikhlaskan al-Din kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta menolak penyembahan berhala. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengulas:

Golongan musyrikin arab yang diutuskan Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam kepada mereka tidak menentang baginda dari sudut ini (iaitu tauhid al-Rububiyah). Namun disebalik pengakuan ini mereka tetap dikategorikan sebagai golongan musyrik.[2]

 


 

[1] Tafsir Ibn Kathir, Jil. 7, hlm. 75.

[2] al-Fatawa, Jil. 3, hlm.98.