Tauhid 3T: Penjelasan Dan Pembelaan.

 

 Oleh: al-Syeikh ‘Abd.al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr

Terjemahan: Mohd Amin Yaacob

 

 

Persoalan 8:

Keyakinan Hassan bin Ali al-Saqqaf Peribadatan Kepada Selain Allah Bukan Perkara Syirik Melainkan Diyakini Ia Memiliki Sebahagian Sifat al-Rububiyah

 

 

Hassan bin Ali al-Saqqaf (hlm. 25) berkata:

Adapun permohonan (al-Du’a) keseluruhannya bukan suatu ibadat kecuali sekiranya kita bermohon kepada sesiapa yang kita yakini memiliki sifat al-Rububiyah.

Dia menambah (hlm. 26):

Permohonan (al-Du’a) merupakan suatu ibadat sekiranya ditujukan kepada Allah atau kepada sesiapa yang si penyeru yakini bahawa yang diseru itu memiliki sifat al-Rububiyah.

Dia menambah (hlm. 27):   

Seruan (al-Nida’), memohon bantuan (al-Istigoshah), memohon pertolongan (al-Isti’anah), takut (al-Khauf), berharap (al-Raja’), menggunakan perantaraan (al-Tawassul) dan tunduk (al-Tazallul) tidak dinamakan sebagai ibadat.

Dia menambah (hlm. 28):

Secara ringkas ibadat dari sudut tatabahasa merupakan ketaatan serta penyerahan (al-Khudhu’) kepada seseorang. Sebaliknya ibadat dari sudut syara’ ialah tunduk (al-Tazallul) serta penyerahan (al-Khudhu’) kepada sesiapa yang diyakini memiliki sebahagian dari sifat al-Rububiyah. Sekiranya engkau memahami perkara ini ketahuilah engkau dengan yakin bahawa sesiapa yang mentaati serta tunduk/menyerah kepada seseorang namun tidak meyakini ia memiliki sebahagian dari sifat al-Rububiyah maka dari sudut syara’ dia tidak dikategorikan sebagai seorang yang menyembah (A’bidan) kepada seseorang.

 

Keyakinan ini salah kerana:

 

Pertama:

Kenyataan Hassan bin Ali al-Saqqaf ini mirip kenyataan penyeru kepada golongan Syi’ah al-Rafidhoh iaitu Khomeini. Menerusi kitabnya Kasyf al-Asrar (hlm. 49), Khomeini berkata:

Jelas bahawa syirik ialah memohon sesuatu selain dari Tuhan sekalian alam di atas asas sesuatu itu berfungsi laksana Tuhan. Adapun sekiranya tidak bersifat demikian maka ia bukan perbuatan syirik. Sehubungan ini tiada perbezaan antara memohon kepada yang masih hidup atau yang sudah mati mahupun memohon hajat kepada batu-batan. Ia bukan merupakan perbuatan syirik.

 

Kedua:

Betapa ajaib kenyataan Hassan bin Ali al-Saqqaf bahawa peribadatan yang dilakukan kepada selain Allah tidak dianggap sebagai syirik selagi mana seseorang itu tidak meyakini tempat pergantungannya itu memiliki sifat al-Rububiyah. Sehubungan ini sesiapa yang bermohon kepada selain Allah, beristigoshah (memohon bantuan) kepada selain Allah, memohon pertolongan (al-Isti’anah) kepada selain Allah, takut (al-Khauf) serta berharap (al-Raja’) kepada selain Allah seperti kepada kubur, pokok serta batu-batan maka ia tidak dikategorikan sebagai syirik. Ini sekiranya tidak diyakini selain Allah itu memiliki sifat al-Rububiyah. Tidakkah dia menyedari sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 4497:

مَنْ مَاتَ وَهْوَ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ نِدًّا دَخَلَ النَّارَ.

Sesiapa mati dalam keadaan dia menyeru kepada selain Allah maka dia merupakan penghuni neraka.

          Ternyata sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam membatalkan syarat (al-Qaid) yang ditetapkan Hassan bin Ali al-Saqqaf iaitu: Sekiranya kita bermohon kepada sesiapa yang kita yakini memiliki sifat al-Rububiyah.”

 

Ketiga:

Adakah golongan ilmuan di kalangan para sahabat radiyallahu ‘anhum, tabi’in serta golongan yang mengikuti mereka tidak menyedari serta mengetahui syarat (al-Qaid) ini sehingga terpaksa dinyatakan si Hassan bin Ali al-Saqqaf serta individu seumpama dengannya di abad ke 14?

 

Keempat:

Dalam konteks ini kenyataan Hassan bin Ali al-Saqqaf merupakan pembohongan yang menyalahi Usul al-Din, al-Qur’an dan al-Sunnah. Hakikatnya al-Qur’an mengandungi kenyataan yang menyeru kepada mengikhlaskan al-Din kepada Allah serta menyerahkan keseluruhan peribadatan kepada-Nya sahaja. Sebagai contoh Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman yang berbunyi:

 

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَندَادً۬ا يُحِبُّونَہُمۡ كَحُبِّ ٱللَّهِ‌ۖ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَشَدُّ حُبًّ۬ا لِّلَّهِ‌ۗ

 

Ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. (Surah al-Baqarah 2:165)

 

          Menerusi ayat ini Allah Subhanahu Wa Ta’ala menyatakan keadaan golongan musyrikin apabila mengambil sekutu-sekutu di samping Allah, iaitu mereka mengabdikan diri kepada sekutu-sekutu di samping Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah, sedangkan Tiada Tuhan melainkan Allah yang tidak mempunyai sebarang sekutu di samping-Nya. Termaktub dalam Shahih al-Bukhari (4477) serta Shahih Muslim (86) daripada Abd. Allah bin Mas’ud radiyallahu ‘anh yang berkata:

 

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الذَّنْبِ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ؟ قَالَ: أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ.

 

Daku berkata: wahai Rasulullah, dosa manakah yang paling besar? Baginda menjawab: engkau menjadikan di samping Allah sekutu-sekutu sedangkan Dia yang menjadikan engkau.

 

          Merujuk firman-Nya yang berbunyi: “…sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah (Surah al-Baqarah 2:165), ternyata kecintaan, makrifat, penghormatan serta tauhid golongan beriman kepada Allah adalah sempurna. Mereka tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain. Mereka hanya mengabdikan diri, bertawakal serta memperlindungkan diri kepada-Nya sahaja dalam setiap perkara.[1]

 

Kelima:

Keseluruhan peribadatan hanya diperuntukkan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahaja. Ini merupakan perkara yang semestinya diketahui sekalian umat Islam. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengulas:

Kaum muslimin bersepakat antara kewajipan al-Din Islam: seorang hamba tidak mengabdikan diri, menyeru, memohon bantuan (al-istigoshah) serta bertawakal melainkan kepada Allah. Sesiapa yang mengabdikan diri, memohon serta meminta bantuan (al-istigoshah) kepada malaikat yang dekat (kepada Allah) atau kepada seorang Nabi yang diutuskan maka dia seorang musyrik. Tidak dibolehkan kepada seorang muslim mengatakan: “Wahai Jibril, wahai Mikail, wahai Ibrahim, wahai Musa atau wahai Rasulullah ampunkanlah dosaku, berikanlah rahmat kepadaku, kurniakanlah rezeki kepadaku, tolongilah daku atau bantulah daku dari musuhku” serta ungkapan seumpamanya. Ini disebabkan keseluruhan perkara ini merupakan hak khusus kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.[2]

 

Keenam:

Sehubungan ini, syarat (al-Qaid) yang ditetapkan Hassan bin Ali al-Saqqaf tidak memiliki sebarang asas. Ini disebabkan golongan musyrikin di zaman Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam tidak meyakini sembahan mereka sebagai pencipta, pemberi rezeki, yang menghidup dan mematikan serta yang mengatur segala urusan. Sebaliknya mereka meyakini keseluruhan perkara ini sebagai hak khusus Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagaimana penjelasan terdahulu. Di mana perbuatan syirik yang mereka lakukan disebabkan mengabdikan diri dalam urusan peribadatan kepada selain Allah dengan harapan dapat mendekatkan diri kepada-Nya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengulas:

Golongan musyrikin mengakui sembahan mereka tidak bersekutu dengan Allah dalam menjadikan langit dan bumi serta segala sesuatu. Oleh yang demikian mereka menjadikan sembahan tersebut sebagai pemberi syafaat serta perantaraan. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang berbunyi:

 

وَيَعۡبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمۡ وَلَا يَنفَعُهُمۡ وَيَقُولُونَ هَـٰٓؤُلَآءِ شُفَعَـٰٓؤُنَا عِندَ ٱللَّهِ‌ۚ

 

Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: "Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah." (Surah Yunus 10:18)[3]

 

Ketujuh:

al-Syeikh ‘Abd. al-Latif bin ‘Abd. al-Rahman bin Hassan ketika membantah kekeliruan ini berkata:

Perbuatan syirik menjadikan sekutu kepada Allah memiliki hak yang hanya Allah berhak memilikinya. Individu yang melakukan syirik memberikan hak kepada sekutu dalam perkara peribadatan zahir serta batin. Ia seperti perasaan cinta (al-Hubb), ketundukan (al-Khudhu’), pengagungan (al-Ta’zhim), takut (al-Khauf), berharap (al-Raja’), pembantu (al-Inabah), tawakal, pengorbanan (al-Nisk), ketaatan serta selainnya yang termasuk kategori peribadatan. Sesiapa menyekutukan Allah dengan selain-Nya dalam persoalan ini maka dia seorang musyrik.

Betapa ajaib kenyataan sebahagian golongan yang mengakui dan membaca kitab Allah serta mengetahui tatabahasa arab namun dalam persoalan ini mereka termasuk ke dalam makhluk yang paling sesat serta paling jauh dari kefahaman kitab Allah.[4]

Berdasarkan penjelasan di atas, ternyata betapa rosaknya kenyataan Hassan bin Ali al-Saqqaf kerana membuka pintu kepada perbuatan syirik.

 

Kelapan:

Dalam konteks ini daku tidak berhasrat menyatakan keseluruhan keterangan al-Qur’an dan al-Sunnah bagi menolak serta membatalkan perbuatan syirik dengan segala jenisnya. Mencukupi dinyatakan sebuah dalil yang dikemukakan golongan ilmuan berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang berbunyi:

 

قُلِ ٱدۡعُواْ ٱلَّذِينَ زَعَمۡتُم مِّن دُونِ ٱللَّهِۖ لَا يَمۡلِڪُونَ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ۬ فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَلَا فِى ٱلۡأَرۡضِ

 

وَمَا لَهُمۡ فِيهِمَا مِن شِرۡكٍ۬ وَمَا لَهُ ۥ مِنۡہُم مِّن ظَهِيرٍ۬

 

وَلَا تَنفَعُ ٱلشَّفَـٰعَةُ عِندَهُ ۥۤ إِلَّا لِمَنۡ أَذِنَ لَهُۚ ۥ حَتَّىٰٓ إِذَا فُزِّعَ عَن قُلُوبِهِمۡ قَالُواْ مَاذَا قَالَ رَبُّكُمۡۖ

 

قَالُواْ ٱلۡحَقَّۖ وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡكَبِيرُ

 

Katakanlah: "Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu dakwakan sebagai tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi, dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian (dengan Allah) dalam (mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi, dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka".

Dan tidak berfaedah syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah, (maka orang-orang yang hendak memohon syafaat terpaksa menunggu izin itu dengan penuh perasaan takut dan bimbang) sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut dari hati mereka (dengan pemberian izin itu) bersukarialah mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri: "Apakah yang telah dititahkan oleh Tuhan kamu?" Sebahagian di antara mereka menjawab: "Tuhan telah menitahkan kebenaran"; dan Dia-lah jua Yang Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Besar kekuasaan-Nya. (Surah Saba’:22-23)

 

Ayat ini dengan jelas menyatakan pembatalan terhadap perbuatan syirik. Ia turut membatalkan keseluruhan asas yang membabitkan perkara syirik seperti bermohon kepada selain Allah. Sehubungan ini sesiapa yang bermohon kepada selain Allah sama ada kepada malaikat yang dekat (kepada Allah), Nabi yang diutuskan, wali Allah, pokok, batu-batan atau selainnya maka dia memperuntukkan kepada selain Allah empat perkara yang merupakan pengkhususan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahaja. Ia seperti berikut:

  1. al-Milk (Pemilikan). Perkara ini dinafikan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ini menerusi firman-Nya: “Mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi.”

  2. Sekutu kepada Allah. Perkara ini dinafikan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ini menerusi firman-Nya: “dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian (dengan Allah).”

  3. Tempat memohon bantuan serta penolong Allah. Perkara ini dinafikan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ini menerusi firman-Nya: “Dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka.”

  4. Pemberi syafaat (pertolongan). Perkara ini dinafikan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Tidak ada pemberi syafaat di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Hanya Dia yang mengizinkan pemberi syafaat untuk memberikan syafaat.[5]


 

[1] Tafsir Ibn Kathir, Jil. 1, hlm. 291.

[2] al-Fatawa, Jil. 3, hlm. 272.

[3] al-Fatawa, Jil. 7, hlm. 79.

[4] Tuhfah al-Tolib wa al-Jalis fi Kasyf Syibh Daud bin Jurjis, hlm. 59.

[5] Taisir al-‘Aziz al-Hamid, hlm. 290.