Tauhid 3T: Penjelasan Dan Pembelaan.

 

 Oleh: al-Syeikh ‘Abd.al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr

Terjemahan: Mohd Amin Yaacob

 

 

Persoalan 7:

Pengiktirafan Golongan Musyrikin Mengenai Kewujudan Allah Hanya Disebabkan Peristiwa Perdebatan Dengan Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam

 

 

Hassan bin Ali al-Saqqaf (hlm. 10) berkata:

Golongan kafir yang berkata sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengenai mereka menerusi ayat yang berbunyi:

 

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۚ

 

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". (Surah Luqman 31:25)

 

Golongan kafir turut berkata:

 

مَا نَعۡبُدُهُمۡ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلۡفَىٰٓ

 

"Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya." (Surah al-Zumar 39:3)

 

Ternyata golongan kafir tidak mengakui tauhid al-Rububiyah. Mereka tidak mengakui kewujudan Allah di mana kami akan menyatakan perkara ini insha-Allah. Sehubungan ini mereka hanya mengakui kewujudan Allah disebabkan peristiwa perdebatan dengan Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam. Di mana baginda menetapkan kewujudan Allah serta membatalkan sembahan yang mereka lakukan selain Allah.

 

Dakwaan ini dapat dijawab seperti berikut:

 

Pertama:

Ia merupakan kenyataan sombong lagi tidak berasas. Dalam konteks ini kami telah menyatakan dengan kukuh kenyataan para ilmuan supaya terserlah pembohongan Hassan bin Ali al-Saqqaf. Namun kami akan menyatakan (sebagai penambahan hujah) penafsiran ilmuan bagi membatalkan kenyataannya golongan kafir hanya menyatakan kewujudan Allah disebabkan peristiwa perdebatan dengan Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam.

          Kenyataan Ibn Kathir. Ketika menafsirkan firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang berbunyi:

 

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَسَخَّرَ ٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۖ فَأَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ

 

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintah-Nya)? (Surah al-‘Ankabut 29:61), Ibn Kathir berkata:

Allah Subhanahu Wa Ta’ala menyatakan Tidak ada Tuhan melainkan Dia. Golongan musyrikin yang menyembah beserta-Nya sembahan yang lain mengiktiraf Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagai satu-satunya Pencipta langit, bumi, matahari serta bulan dan Pengatur malam serta siang. Mereka mengakui Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagai Pencipta serta Pemberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya serta Menetapkan ajal mereka. Dia menetapkan perbezaan rezeki sehinggakan ada di kalangan mereka golongan kaya serta miskin. Dia Maha Mengetahui apa yang sesuai kepada setiap hamba-hamba-Nya, siapa yang layak menjadi kaya serta menjadi miskin. Dia turut menyatakan Dia bersendirian Mencipta serta Mengurus segala sesuatu.

Sekiranya ini merupakan hakikat kebenaran, mengapa mengabdikan diri kepada selain-Nya? Mengapa bertawakal kepada selain-Nya? Ini kerana keseluruhan pemilikan merupakan hak-Nya. Oleh itu keseluruhan peribadatan merupakan hak-Nya sahaja. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menetapkan ketuhanan-Nya dengan merujuk kepada pengiktirafan terhadap tauhid al-Rububiyah. Dalam konteks ini golongan musyrikin mengiktiraf tauhid al-Rububiyah sebagaimana ternyata menerusi talbiyah mereka yang berbunyi:     

“Kami menyahut Engkau Ya Allah yang tidak ada sekutu kepada-Mu melainkan sekutu yang ada pada Engkau. Di mana Engkau memilikinya serta apa yang ada padanya.”[1]

 

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Menerusi kitab al-Fatawa, Jil. 1, hlm. 91-92, beliau berkata:

Golongan musyrikin mengakui tauhid al-Rububiyah. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang berbunyi:

 

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۚ

 

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". (Surah Luqman 31:25)

           

Firman-Nya lagi:

 

قُل لِّمَنِ ٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيهَآ إِن ڪُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

 

سَيَقُولُونَ لِلَّهِ‌ۚ

 

Tanyakanlah (wahai Muhammad): "Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah" (Surah al-Mu’minun 23:84-85) hingga kepada firman-Nya yang berbunyi:

 

فَأَنَّىٰ تُسۡحَرُونَ

 

"Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?" (Surah al-Mu’minun 23:89)

 

Sehubungan ayat ini, tidak seorangpun di kalangan golongan musyrikin menyakini berhala mereka yang menurunkan hujan (memberi rezeki) serta mentadbirkan alam. Sebaliknya disebabkan perbuatan syirik, mereka menjadikan sekutu di samping Allah di mana mereka mengasihi sekutu tersebut sebagaimana mengasihi Allah.

 

al-Maqrizi. Menerusi kitab Tajrid al-Tauhid al-Mufid (hlm. 8) beliau berkata:

Golongan musyrikin sama sekali tidak mengingkari tauhid al-Rububiyah. Mereka mengakui Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahaja sebagai Pencipta serta Yang Mengurus sekalian alam. Golongan musyrikin hanya mengingkari tauhid al-Uluhiyyah serta al-Mahabbah.

 

          Imam al-Son’ani. Menerusi kitabnya Tathir al-I’tiqod (hlm. 32) beliau berkata:

 

Asas keempat: Golongan musyrikin yang kepada mereka diutuskan para rasul ‘alayhimussolatuwassalam mengakui Allah merupakan Pencipta mereka. Ini sepertimana firman-Nya yang berbunyi: “Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!" (Surah al-Zukhruf 43:87)

Golongan musyrikin mengakui Allah sebagai Pencipta langit dan bumi. Ini sepertimana firman-Nya yang berbunyi: Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui". (Surah al-Zukhruf 43:9)

         

Merujuk kepada firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang berbunyi: Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", (Surah al-Zumar 39:3), Ibn Kathir mentafsirkan ayat ini dengan berkata:

Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberitahu mengenai penyembah berhala di kalangan golongan musyrikin di mana mereka mengatakan: "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya". (Surah al-Zumar 39:3)

Dalam konteks ini faktor yang memotivasikan golongan musyrikin menyembah berhala di mana mereka menjadikan berhala dalam rupabentuk para malaikat – sebagaimana dakwaan mereka – dan apabila mereka menyembah rupabentuk tersebut ia menyamai penyembahan terhadap malaikat. Penyembahan ini dilakukan supaya malaikat dapat memohon pertolongan (syafaat) di sisi Allah untuk mereka agar membantu dan memberi rezeki serta keseluruhan urusan keduniaan lainnya. Merujuk kepada persoalan kebangkitan (setelah mati) majoriti golongan musyrikin menafikan serta tidak mempercayai perkara ini.

Qatadah, al-Saddi dan Malik meriwayatkan dari Zaid bin Aslam mengenai ayat yang berbunyi: “…melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya” (Surah al-Zumar 39:3), ia bermaksud: “Supaya (para malaikat) dapat memohon syafaat untuk kita dan membawa kita mendekatkan diri kepada Allah.”

Sehubungan ini golongan musyrikin mengatakan menerusi talbiyah mereka yang berbunyi: “Kami menyahut Engkau Ya Allah yang tidak ada sekutu kepada-Mu melainkan sekutu yang ada pada Engkau. Di mana Engkau memilikinya serta apa yang ada padanya.”[2]

 

Kedua:

Secara hakiki keseluruhan penjelasan di atas dengan kukuh menolak dakwaan Hassan bin Ali al-Saqqaf bahawa golongan musyrikin tidak mengakui Allah sebagai Pencipta serta Pemberi rezeki. Dia tidak menyatakan pembuktian terhadap dakwaannya kecuali kenyataannya berbunyi:

Sekiranya golongan musyrikin mengakui Allah sebagai Pencipta langit dan bumi tidaklah Dia mengemukakan ayat yang menyuruh supaya merenungi keadaan unta bagaimana ia diciptakan, keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan, keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.

          Jawapan terhadap perkara ini, di mana pengertiannya ialah berfikir atau merenungi keesaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dari sudut peribadatan bukan penetapan terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagai Pencipta (al-Khaliq). Ini disebabkan golongan musyrikin mengakuinya. Ibn Kathir mengatakan:

Sekiranya ini merupakan hakikat kebenaran, mengapa mengabdikan diri kepada selain-Nya? Mengapa bertawakal kepada selain-Nya? Ini kerana keseluruhan pemilikan merupakan hak-Nya. Oleh itu keseluruhan peribadatan merupakan hak-Nya sahaja. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menetapkan ketuhanan-Nya dengan merujuk kepada pengiktirafan terhadap tauhid al-Rububiyah.[3]

 

Ketiga:

Wujud kepelbagaian ayat al-Qur’an yang menyatakan perkara ini sebagaimana kenyataan Ibn Kathir. Antaranya firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang berbunyi:

 

إِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱعۡبُدُونِ

 

Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku. (Surah al-Anbiya’ 21:92)

 

 

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

 

ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٲشً۬ا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءً۬ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً۬

 

فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٲتِ رِزۡقً۬ا لَّكُمۡ‌ۖ فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادً۬ا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

 

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. Dia-lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). (Surah al-Baqarah 2: 21-22)

 

Maksud ayat di atas, janganlah kamu menjadikan sekutu kepada Allah dalam urusan peribadatan sedangkan kamu mengetahui Allah jua sebagai Pencipta. Kenyataan ini sebagaimana penafsiran Ibn ‘Abbas radiyallahu ‘anhuma serta selainnya menerusi penjelasan terdahulu. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengulas:

Para rasul ‘alayhimussolatuwassalam diutuskan agar menyeru mereka (golongan musyrikin) kepada mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang tiada sekutu bagi-Nya dari sudut peribadatan. Ini merupakan maksud yang diwajibkan ketika mengakui kerububiyahan-Nya. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menyatakan mengenai (golongan musyrikin) mereka: Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Surah al-Zukhruf 43:87)

Dalam konteks ini ketika ditimpa kesusahan mereka akan menolak sembahan yang lain serta kembali bermohon kepada-Nya. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

 

وَإِذَا غَشِيَہُم مَّوۡجٌ۬ كَٱلظُّلَلِ دَعَوُاْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

 

Dan apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepada-Nya semata-mata. (Surah Luqman 31:32)[4]

         

Hassan bin Ali al-Saqqaf mengatakan:

Golongan musyrikin hanya mengakui kewujudan Allah disebabkan persoalan yang dikemukakan Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam ketika melakukan perdebatan dengan mereka: Siapakah yang menjadikan langit dan bumi? Mereka menjawab: Allah. Sementara kenyataan mereka yang bermaksud: "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", (Surah al-Zumar 39:3) ini hanya kenyataan berbentuk pendustaan serta kekufuran. Ia sebagaimana keterangan al-Qur’an di akhir ayat yang berbunyi:

 

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِى مَنۡ هُوَ كَـٰذِبٌ۬ ڪَفَّارٌ۬

 

Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar 39:3)

 

يُرۡضُونَكُم بِأَفۡوَٲهِهِمۡ وَتَأۡبَىٰ قُلُوبُهُمۡ

 

Mereka menjadikan kamu bersenang hati hanya dengan mulut mereka, sedang hati mereka menolaknya. (Surah al-Taubah 9:8)

 

Keempat:

Kenyataan Hassan Ali al-Saqqaf merupakan suatu kesalahan besar yang menunjukkan bersusun-susun kejahilannya (jahil murakkab). Bagaimana dia mengatakan pengiktirafan golongan musyrikin terhadap kewujudan Allah sebagai bahagian dari kekufuran (mereka)? Sedangkan persoalan pengiktirafan kewujudan Allah merupakan bahagian tauhid yang diwajibkan (al-tauhid al-wajib). Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang berbunyi:

وَمَا يُؤۡمِنُ أَڪۡثَرُهُم بِٱللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشۡرِكُونَ

 

Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain. (Surah Yusuf 12:106)

 

Namun pengakuan sebegini tidak memberi manfaat serta tidak mengeluarkan golongan musyrikin dari ruang lingkup kekufuran. Ini disebabkan mereka mengabdikan diri kepada Allah beserta selain-Nya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengulas:

Tiada sebarang keraguan (pengiktirafan golongan musyrikin Allah sebagai Pencipta) merupakan bahagian tauhid yang diwajibkan (al-tauhid al-wajib). Namun ia hanya sebahagian dari yang diwajibkan. Ia merupakan bahagian yang diwajibkan namun tidak mengeluarkan seorang insan dari perbuatan syirik. Golongan yang disifatkan Allah serta rasul-Nya sebagai musyrikin serta dinyatakan para rasul bahawa Allah tidak mengampuni mereka turut mengakui Allah sebagai Pencipta segala sesuatu. Pengakuan ini merupakan sebahagian dari perkara utama yang diwajibkan ke atas setiap insan.[5]

 

Kelima:

Hakikatnya pengiktirafan golongan musyrikin Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagai Pencipta, Pemberi rezeki serta Yang Mengurus sekalian alam merupakan bahagian keimanan yang diperintahkan syara’. Namun pengakuan sebegini tidak memberi manfaat kepada mereka sekiranya tidak diikuti dengan pengakuan terhadap tauhid al-Uluhiyyah. Dalam konteks ini al-Qur’an dan al-Sunnah mensifatkan golongan musyrikin sebagai golongan kafir bukan disebabkan pengakuan mereka terhadap kerububiyahan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, sebagaimana yang difahami Hassan bin Ali al-Saqqaf. Sebaliknya gelaran kafir diperuntukkan terhadap golongan musyrikin disebabkan perbuatan syirik yang mereka lakukan terhadap Allah dari sudut peribadatan serta tidak mengikhlaskan al-Din kepada-Nya.

 

Keenam:

Perbuatan syirik dari sudut al-Rububiyah menyebabkan berlaku perbuatan syirik dari sudut al-Uluhiyyah serta al-‘Asma’ serta al-Sifat. Sesiapa yang melakukan syirik terhadap salah satu pembahagian tauhid yang tiga bahagian maka dia melakukan syirik ke atas keseluruhan bahagian. Sebagai contoh apabila merujuk kepada perbuatan para pencinta/penyembah kubur di zaman kita. Di kalangan mereka ada yang berkata: “Wahai tuan syeikh (yang sudah mati) sekian-sekian. Tolonglah daku, atau lakukanlah kepadaku sekian-sekian”.

          Permohonan kepada tuan syeikh ini merupakan bentuk peribadatan yang dilakukan kepada selain Allah. Ini disebabkan permohonan (al-Du’a) merupakan pokok kepada peribadatan. Perbuatan ini merupakan syirik dari sudut al-Uluhiyyah.

Selain itu permohonan kepadanya bagi memperolehi hajat bagi mendapatkan sesuatu manfaat atau menolak kemudaratan atau mendapatkan barang ghaib atau menyembuhkan penyakit serta selainnya dalam perkara yang hanya Allah sahaja Yang Maha Berkuasa (Qadir) menunaikannya. Perbuatan ini merupakan syirik dari sudut al-Rububiyah. Ini disebabkan individu yang melakukannya meyakini kewujudan selain Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam menunaikan perkara yang hanya Allah sahaja Yang Maha Berkuasa (Qadir) menunaikannya.

Selain itu apabila si penyeru bermohon dengan permohonan sebegini maka dia meyakini tuan syeikh tersebut (yang berada di alam barzakh) berupaya mendengar serta mengabulkan permohonannya dari jarak jauh mahupun dekat menerusi sebarang tempoh masa serta tempat. Ia merupakan perbuatan syirik dari sudut al-Asma’ serta al-Sifat. Ini disebabkan ia meyakini tuan syeikh itu memiliki pendengaran yang meliputi (sam’an muhithan) yang tidak dilitupi jarak sama ada jauh mahupun dekat.[6]

          Hakikatnya Hassan bin Ali al-Saqqaf serta golongan ahl al-Kalam secara umum tidak memberi perhatian terhadap tauhid al-Uluhiyyah yang diingkari golongan musyrikin. Sekiranya mereka mengulas mengenainya ia menjurus kepada kenyataan golongan jahil. Antaranya sepertimana persoalan seterusnya.

 


 

[1] Tafsir Ibn Kathir, Jil. 6, hlm. 301.

[2] Tafsir Ibn Kathir, Jil. 7, hlm. 75.

[3] Tafsir Ibn Kathir, Jil. 6, hlm. 301.

[4] al-Fatawa, Jil. 14, hlm. 14-15.

[5] Dar’ al-Ta’arud al-‘Aql wa al-Naql, Jil. 9, hlm. 378.

[6] al-Syeikh Hafiz Hukmi, Ma’arij al-Qabul, Jil. 1, hlm. 435.