Tauhid 3T: Penjelasan Dan Pembelaan.

 

 Oleh: al-Syeikh ‘Abd.al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr

Terjemahan: Mohd Amin Yaacob

 

 

Persoalan 6:

Dakwaan Bahawa Golongan Musyrikin Arab Tidak Mengenali al-Rahman

 

 

Hassan bin Ali al-Saqqaf (hlm. 10) dalam pengingkarannya terhadap pengiktirafan golongan musyrikin ke atas kewujudan Allah Subhanahu Wa Ta’ala berkata:

Ternyata kekafiran mereka sebagaimana dinyatakan Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerusi ayat:

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱسۡجُدُواْ لِلرَّحۡمَـٰنِ قَالُواْ وَمَا ٱلرَّحۡمَـٰنُ أَنَسۡجُدُ لِمَا تَأۡمُرُنَا وَزَادَهُمۡ نُفُورً۬ا

 

Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang musyrik itu): "Sujudlah kamu kepada Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah)!" Mereka bertanya: "Dan siapakah Ar-Rahman itu? Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kami?" Dan perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah liar ingkar. (Surah al-Furqan 25:60)

           

Berdasarkan ayat ini, adakah golongan musyrikin mengakui kewujudan al-Rahman serta al-Rahim?

 

Ini dapat dijawab seperti berikut:

 

Pertama:

Hassan bin Ali al-Saqqaf menulis berdasarkan hawa nafsu tanpa merujuk kepada kenyataan para ilmuan serta tanpa mengambil manfaat dari penulisan tafsir mereka. Ini merupakan penyebab kepada kesesatannya. Dalam konteks ini Ibn Jarir berkata menerusi Tafsirnya:

Sebahagian golongan dungu (ahl al-Ghaba’) mendakwa masyarakat arab tidak mengenali al-Rahman. Namun ini bercanggah dengan apa yang termaktub dalam tatabahasa mereka (bahasa arab). Oleh yang demikian ketika golongan musyrikin berkata kepada Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam: “Dan siapakah Ar-Rahman itu? Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kami?", ia hanya pengingkaran mereka terhadap nama sebegini. Mereka mengingkari perkara ini sedangkan mereka mengetahui kesahihan nama tersebut. Ini sebagaimana sikap ahl al-Kitab menerusi ayat yang berbunyi:

 

ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَـٰهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ يَعۡرِفُونَهُ 

 

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya. (Surah al-Baqarah 2:146)…merujuk kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam.

 

كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡ‌ۖ

 

sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. (Surah al-Baqarah 2:146). Berdasarkan ayat ini, walaupun golongan ahl al-Kitab mengetahui serta mengenali Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam mereka tetap mendustakan serta menentang perutusannya.[1]

 

          Ibn Kathir berkata:

Sebahagian mereka mendakwa golongan musyrikin arab tidak mengenali al-Rahman. Namun Allah Subhanahu Wa Ta’ala menolak kenyataan ini menerusi firman-Nya yang berbunyi:

 

قُلِ ٱدۡعُواْ ٱللَّهَ أَوِ ٱدۡعُواْ ٱلرَّحۡمَـٰنَ‌ۖ أَيًّ۬ا مَّا تَدۡعُواْ فَلَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ‌ۚ

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama "Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan itu adalah baik belaka. (Surah al-Isro’ 17: 110)

 

Sehubungan ini golongan kafir Quraisy berkata ketika peristiwa Hudaibiyyah apabila Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda kepada Ali radiyallahu ‘anh: tulislah:

Kami tidak mengenali al-Rahman mahupun al-Rahim. (riwayat al-Bukhari). Menurut sebahagian riwayat lain: Kami tidak mengenali al-Rahman kecuali al-Rahman di al-Yamamah. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang musyrik itu): "Sujudlah kamu kepada Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah)!" Mereka bertanya: "Dan siapakah Ar-Rahman itu? Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kami?" Dan perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah liar ingkar. (Surah al-Furqan 25:60)

Ternyata keingkaran golongan kafir Quraisy hanya berdasarkan sifat kesombongan (yang ada pada diri). Ini disebabkan wujud menerusi syair jahiliyyah mereka menggelar al-Rahman terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala.[2]

 

Kedua:

Apa yang penting, Hassan bin Ali al-Saqqaf tidak mengingkari pengetahuan golongan musyrikin terhadap al-Rahman (suatu sindiran –penterjemah) sepertimana golongan yang disifatkan Ibn Jarir sebagai dungu (al-Ghaba’). Sebaliknya dia mengingkari perkara yang lebih besar dari itu iaitu pengiktirafan golongan musyrikin terhadap kewujudan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ini merupakan sikap pendustaan terhadap al-Qur’an secara pasti.

 


 


[1] Tafsir Ibn Jarir, Jil. 1, hlm. 57-58.

[2] Tafsir Ibn Kathir, Jil. 1, hlm. 36.