Tauhid 3T: Penjelasan Dan Pembelaan.

 

 Oleh: al-Syeikh ‘Abd.al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr

Terjemahan: Mohd Amin Yaacob

 

 

Persoaan 4:

Putarbelit Hassan bin Ali al-Saqqaf Terhadap Kenyataan Mulla Ali al-Qari

 

 

Hassan bin Ali al-Saqqaf (hlm. 6) mengambil kenyataan Mulla Ali al-Qari menerusi kitabnya al-Fiqh al-Akbar (hlm. 172) yang mengulas terhadap Ibn Abi al-‘Izzi (penulis syarh al-Tohawiyah) seperti berikut: “Pengasas pemikiran (madzhab) batil, pengikut kepada segolongan pembuat bid’ah.”

Dakwaan ini dapat dijawab seperti berikut:

 

Pertama:

Merujuk halaman yang dinyatakan Hassan Ali al-Saqqaf mengenai kenyataan Mulla Ali al-Qari ternyata ia tidak sebagaimana yang asal. Kenyataan sebenar ialah pada halaman 30, 32, 39, 57, 69, 130, 132, 140, 152 dan 157 kitab al-Fiqh al-Akbar.

          Dengan meneliti kedudukan Mulla Ali al-Qari terserlah pegangannya berasaskan pemikiran golongan al-Maturidiyyah yang terkeliru kerana menafikan sifat “Ketinggian” (al-‘Ulu) Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dalam konteks ini Mulla Ali al-Qari menyalahi pegangan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang menetapkan “Ketinggian” (al-‘Ulu) Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengatasi makhluk-Nya. Ini berdasarkan lebih 100 dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah, akal serta pandangan yang sejahtera.

Pegangan Mulla Ali al-Qari mengenai “Ketinggian” (al-‘Ulu) yang bercanggah dengan pegangan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ternyata menerusi kritikannya terhadap Ibn Abi al-‘Izzi:

Oleh yang demikian pensyarah kitab ini mengatakan mengenai “ketinggian” kedudukan (‘Ulu al-Makan) dengan menafikan penyerupaan. Kenyataan ini mengikuti pegangan segolongan pembuat bid’ah.

          Namun secara pasti Ibn Abi al-‘Izzi mengikuti pegangan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Mulla Ali al-Qari meneruskan kenyataan dengan berkata:

Sesuatu yang ganjil dia berpegang kepada pemikiran yang batil [iaitu mengenai “Ketinggian” (al-‘Ulu)] dengan mengangkat kedua tangan ketika bermohon. Ia merupakan perkara yang ditolak (mardud).

          Sebaliknya kenyataan Ibn Abi al-‘Izzi merupakan hakikat kebenaran. Ini sebagaimana kenyataan golongan ahl al-Sunnah. Kebatilan merupakan kenyataan yang menyalahi perkara ini sebagaimana kenyataan golongan pembuat bid’ah.

          Apa yang penting Hassan bin Ali al-Saqqaf memalsukan kenyataan yang disandarkan kepada Mulla Ali al-Qari. Dia mengatakan Mulla Ali al-Qari berkata terhadap Ibn Abi al-‘Izzi sebagai:

Pengasas kepada pemikiran (madzhab) batil serta pengikut kepada segolongan pembuat bid’ah.

          Hakikatnya kenyataan Mulla Ali al-Qari merujuk perkara khusus sahaja iaitu persoalan “Ketinggian” (al-‘Ulu). Dalam konteks ini ternyata Mulla Ali al-Qari melakukan kesalahan kerana menyalahi pegangan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Sebaliknya kenyataan Hassan bin Ali al-Saqqaf merujuk perkara umum secara mutlak.

 

Kedua:

Apa yang menarik ialah, Mulla Ali al-Qari yang mengkritik Ibn Abi al-‘Izzi turut mengatakan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Menerusi kitab Syarh Fiqh al-Akbar (hlm. 9-10) beliau berkata:

Pada permulaan firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerusi surah al-Fatihah yang bermaksud (segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam) ia menunjukkan kepada tauhid al-Rububiyah. Ia bersumberkan tauhid al-Uluhiyyah yang diwajibkan kepada makhluk untuk meyakini sifat kehambaan mereka. Diwajibkan kepada para hamba di peringkat permulaan mengenali Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sehubungan ini tauhid al-Uluhiyyah semestinya disertai tauhid al-Rububiyah. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

 

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۚ

 

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". (Surah Luqman 31:25)

 

Merujuk ayat di atas, Allah Subhanahu Wa Ta’ala turut berfirman (mengenai kenyataan golongan kafir):

 

أَوۡلِيَآءَ مَا نَعۡبُدُهُمۡ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلۡفَىٰٓ

 

"Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya.” (Surah al-Zumar 39:3)

 

Keseluruhan surah serta ayat al-Qur’an mengandungi kenyataan mengenai kedua jenis tauhid ini. al-Qur’an dari awal hingga akhir menetapkan keduanya. Apabila al-Qur’an memberitahu mengenai Allah serta Asma’ (nama-nama)-Nya, segala Sifat serta Perbuatan-Nya, ia merupakan tauhid (al-‘Ilmi al-Khabari). Apabila al-Qur’an menyeru kepada peribadatan kepada Allah Yang Maha Esa serta menjauhkan segala perbuatan syirik kepada-Nya maka ia merupakan tauhid (al-Iradi al-Tolabi).

Begitu juga apabila al-Qur’an memerintahkan supaya mentaati perintah serta menjauhi larangan Allah maka ia merupakan tauhid. Selain itu apabila Allah menyatakan balasan baik di akhirat kepada golongan yang mentauhidkan-Nya serta mentaati-Nya maka ia merupakan tauhid. Sehubungan ini apabila Allah menyatakan balasan buruk di akhirat kepada golongan yang menyekutukan-Nya serta menghukum perbuatan mereka di akhirat ia merupakan kenyataan kepada golongan yang tidak mentauhidkan-Nya.

 

Sebagai contoh, apabila diteliti surah al-Fatihah maka akan didapati kenyataan seperti berikut:

Segala puji tertentu bagi Allah. Ini ialah tauhid.

Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Ini ialah tauhid.

Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Ini ialah tauhid.

Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan. Ini ialah tauhid.

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah. Ini ialah tauhid.

Dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Ini ialah tauhid.

Tunjukilah kami jalan yang lurus. Ini ialah tauhid kerana merujuk hidayah kepada golongan yang mentauhidkan Allah.

Bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. Ini ialah tauhid kerana ia merujuk golongan yang menyalahi jalan tauhid.

Apa yang penting ialah mengikuti petunjuk al-Qur’an. Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak menghendaki penetapan serta pandangan individu dalam permasalahan asas al-Din kita. Oleh yang demikian sesiapa yang menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah dia merupakan individu yang menerima kebinasaan. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

 

ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَـٰمَ دِينً۬ا‌ۚ

 

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (al-Ma’idah 5:3)

 

Berpandukan ayat ini, kita tidak memerlukan dalam urusan al-Din sesiapa yang menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Kenyataan Mulla Ali al-Qari bermula dari “keseluruhan surah dan ayat al-Qur’an” hingga “golongan yang menyalahi jalan tauhid” merupakan kenyataan yang beliau petik dari kitab Madarij al-Salikin yang ditulis Imam Ibn al-Qayyim (Jil 3, hlm. 450).

Daku mengatakan kepada Hassan bin Ali al-Saqqaf, adakah dia mengatakan Mulla Ali al-Qari sebagai “Pengasas pemikiran (madzhab) batil serta pengikut kepada segolongan pembuat bid’ah” disebabkan Mulla Ali al-Qari turut berpegang kepada pandangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah serta muridnya Ibn al-Qayyim dalam persoalan pembahagian tauhid?

 

Ketiga:

Bagaimana sikap engkau wahai Hassan bin Ali al-Saqqaf mengenai pandangan Imam Abu Hanifah serta Abu Ja’far al-Tohawi? Keduanya turut menyatakan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian sebagaimana perbahasan terdahulu. Para pemuka madzhab Hanafi mengatakan hakikat kebenaran dengan berpegang teguh kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka tidak cenderung kepada pandangan serta penetapan sekian-sekian individu dalam persoalan asas keimanan.

 

Keempat:

Untuk pengetahuan Hassan bin Ali al-Saqqaf, golongan ahl al-Kalam turut membahagikan tauhid kepada tiga bahagian. Imam Ibn Taimiyyah mengulas:

Golongan ahl al-Kalam mengakui tauhid menerusi penulisan mereka. Maka lihatlah mereka turut membahagikan tauhid kepada tiga bahagian. (Ini terbukti) menerusi kenyataan mereka: Dia esa dari sudut zat-Nya dengan tidak ada bahagian padanya. Dia esa dari sudut sifat-Nya yang tidak ada penyerupaan padanya. Dia esa pada perbuatan-Nya dengan tiada sekutu bagi-Nya.[1]

          Secara realiti kenyataan Ibn Taimiyyah terhadap golongan ahl al-Kalam termaktub dalam penulisan mereka. al-Shahrastani mengulas:

Merujuk al-Tauhid, golongan ahl al-Sunnah serta keseluruhan golongan Sifatiyah (ahli sifat) berkata: Sesungguhnya Allah esa pada zat-Nya dengan tidak ada bahagian padanya. Dia esa pada sifat azali-Nya dengan tidak ada bandingan padanya. Dia esa pada perbuatan-Nya dengan tiada sekutu pada-Nya.

          Sehubungan ini bagaimana kenyataan di atas dianggap matlamat kepada tauhid? Ia merupakan kenyataan golongan ahl al-Kalam yang meyakini akidah yang merosakkan lalu menyandarkannya kepada golongan ahl al-Sunnah. Apa yang dimaksudkan Hassan bin Ali al-Saqqaf dengan ahl al-Sunnah ialah golongan al-Asya’irah. Sebaliknya golongan ahl al-Sunnah tidak pernah menyatakan keyakinan sepertimana di atas. al-Baijuri (seorang ahl al-Kalam) berkata:

Diwajibkan pada hak Allah iaitu keesaan pada zat, sifat serta perbuatan. Maksud keesaan pada zat iaitu Dia tidak tersusun dari beberapa bahagian. Maksud keesaan pada sifat, Dia tidak mempunyai dua sifat yang sama seperti dua Qudrat serta selain-Nya tidak memiliki sifat menyerupai sifat-Nya. Maksud keesaan pada perbuatan di mana selain-Nya tidak memiliki perbuatan (pada hakikatnya).[2]

          Secara hakiki kenyataan golongan ahl al-Kalam di atas merupakan kenyataan yang mengandungi beberapa kenyataan yang tidak benar. Antaranya seperti berikut:

  1. Mereka menafikan sifat apabila mengatakan: tidak ada penyerupaan pada sifat-Nya. Sehubungan ini sesiapa yang mengatakan (sebagai contoh): “Allah memiliki Wajah” akan dianggap golongan al-musyabbihah (menyerupakan-Nya dengan makhluk) bukan ahli tauhid. Ibn Abd al-Bar berkata: “Mereka mendakwa sesiapa meyakini perkara ini akan dianggap Musyabbih (menyerupakan Tuhan dengan makhluk)”.[3]

  2. Kenyataan mereka: Sesungguhnya Allah esa pada zat-Nya dengan tidak ada bahagian padanya. Kenyataan ini menafikan Ketinggian (al-‘Ulu) Allah di atas arash-Nya.

  3. Mereka melakukan kecuaian kerana pembahagian tauhid sebegini tidak mengambilkira tauhid al-Uluhiyyah iaitu mengesakan Allah dari sudut peribadatan. Ia merupakan perkara pokok seruan para rasul ‘alayhimussolatuwassalam.

  4. Di antara tiga jenis pembahagian di atas, yang paling terkenal di kalangan golongan ahl al-Kalam ialah tauhid pada perbuatan. Ia antaranya bermaksud Pencipta alam/makhluk ini esa. Mereka menyangka ini merupakan tauhid yang dikehendaki. Diketahui umum golongan musyrikin turut mengakui perkara ini namun ia masih tidak mengeluarkan mereka dari kategori syirik sebagaimana yang disifatkan Allah dalam al-Qur’an serta diperangi Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Ini selagi mana mereka tidak meyakini tauhid al-Uluhiyyah.[4]

          Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengulas:

Secara hakiki “Tauhid” yang diperintahkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagaimana termaktub dalam kitab suci dan pembawaan para rasul serta dinyatakan al-Qur’an dan al-Sunnah yang diketahui secara wajib merupakan bahagian dari al-Din Islam bukan tiga bahagian yang dinyatakan golongan ilmu Kalam. Ia tidak termasuk ke dalam tiga bahagian tauhid yang dibawa para rasul ‘alayhimussolatuwassalam walaupun golongan ilmu Kalam mendakwa mereka golongan yang mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala (al-Muwahhidun).

Tauhid pembawaan golongan ini bukan tauhid yang dinyatakan Allah serta rasul-Nya. Sebaliknya ia tauhid yang menyalahi syara’, akal serta tatabahasa arab. Tauhid pembawaan para rasul yang diyakini golongan mukmin ialah mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa. Sesiapa yang melakukan perkara ini dengan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain maka dia mengesakan-Nya. Sesiapa yang mengabdikan diri kepada sesuatu yang lain maka dia seorang musyrik. Dia bukan seorang yang mentauhidkan-Nya secara ikhlas.[5]

 

          Untuk pengetahuan Hassan bin Ali al-Saqqaf, golongan ilmu Kalam yang merupakan tempat rujukan dia membahagikan tauhid kepada tiga bahagian tanpa merujuk kepada keterangan syara’. Sehubungan ini adakah pembahagian yang mereka lakukan termasuk pembahagian Triniti dalam tauhid? Ini sebagaimana dakwaannya terhadap golongan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang turut membahagikan tauhid kepada tiga bahagian. Dalam konteks ini golongan ahl al-Sunnah merujuk kepada keterangan syara’ apabila menyatakan pembahagian tersebut sedangkan selain mereka merujuk kepada hawa nafsu serta pemikiran akal.

 

Kelima:

Hakikatnya asas kekeliruan sehingga mengingkari pembahagian tauhid menyamai asas kekeliruan golongan al-Jahmiyyah serta selain mereka yang menolak Asma’ (nama-nama) Allah serta sifat-sifat-Nya. Golongan ini mendakwa sesiapa yang menetapkan al-Asma’ serta al-Sifat maka dia menetapkan kewujudan kepelbagaian Tuhan.[6] Ini sehinggakan seorang pemimpin golongan al-Jahmiyyah berkata: “Sekiranya daku mengatakan Allah memiliki 99 nama maka daku menyembah 99 Tuhan.”[7] Imam Ibn al-Qayyim ketika menjawab kekeliruan ini berkata:

Perhatikanlah kepada penipuan ini. Ia mengakibatkan pendengar menyangka bahawa mereka (golongan yang menetapkan al-Asma’ serta al-Sifat) menetapkan kepelbagaian Tuhan di samping Allah. Hakikatnya golongan ini hanya menetapkan Tuhan yang satu dengan memiliki pelbagai sifat. Oleh itu apabila mereka menetapkan Tuhan yang satu, mereka tidak menjadikan sekalian sifat-Nya sebagai Tuhan (yang berasingan).

Dengan kata lain Allah Subhanahu Wa Ta’ala merupakan Tuhan yang satu dengan memiliki pelbagai nama serta sifat. Kenyataan si Jahmiyyan ini menyamai kenyataan golongan musyrikin penyembah berhala yang mendustakan rasul-Nya apabila mengatakan: Muhammad menyeru kepada Tuhan yang satu namun kemudian dia berkata: Ya Allah, Ya Sami’ (Maha Mendengar), Ya Basir (Maha Melihat). Dia menyeru kepelbagaian Tuhan. Sehubungan ini Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

 

قُلِ ٱدۡعُواْ ٱللَّهَ أَوِ ٱدۡعُواْ ٱلرَّحۡمَـٰنَ‌ۖ أَيًّ۬ا مَّا تَدۡعُواْ فَلَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ‌ۚ

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama "Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". (Surah al-Isra’ 17:110)

Keseluruhan nama (merujuk al-Asma’ al-Husna) yang kamu bermohon dengannya ia secara realiti merujuk kepada Tuhan yang satu yang dinamakan dengan nama-nama tersebut. Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberitahu bahawa Dia merupakan Tuhan yang Satu yang memiliki pelbagai nama yang Maha Baik.[8]

 

          Dalam konteks ini di sisi kami tidak wujud perbezaan antara kenyataan pemimpin al-Jahmiyyah di atas dengan kenyataan pengikut-Nya di kalangan al-Jahmiyyah masa kini yang mendakwa sesiapa menetapkan al-Uluhiyyah, al-Rububiyah serta al-Asma wa al-Sifat maka dia mewujudkan kepelbagaian tauhid.

 


 

[1] al-Fatawa, Jil. 3, hlm. 98.

[2] Risalah fi Ilm al-Tauhid, hlm. 40.

[3] al-Tamhid, Jil. 7, hlm. 145.

[4] Ibn Taimiyyah, al-Fatawa, Jil. 3, hlm. 97-101.

[5] al-Ta’sis, Jil. 1, hlm. 478.

[6] Bagi membatalkan kekeliruan ini sila lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa, Jil. 3. hlm. 23-24.

[7] Ibn Hajar, Fath al-Bari, Jil. 1, hlm. 378.

[8] Mukhtasor al-Sawaiq al-Mursalah, hlm. 111.