Tauhid 3T: Penjelasan Dan Pembelaan.

 

 Oleh: al-Syeikh ‘Abd.al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr

Terjemahan: Mohd Amin Yaacob

 

 

Persoalan 3:

Penolakan Kenyataan Mengatakan Ibn Abi Al-‘Izzi Bukan Bermadzhab Hanafi

 

 

Hassan bin Ali al-Saqqaf berkata (hlm. 3):

“Ketahuilah! Pembahagian tauhid kepada tiga bahagian merupakan pembahagian yang tidak sahih. Ia merupakan pendapat sebahagian penulis terkemudian antaranya Ibn Abi al’-Izzi, penulis kitab Syarah al-Aqidah al-Tohawiyyah. Tidak benar kenyataan yang mengatakan beliau bermadzhab Hanafi.

Ibn Abi al’-Izzi memalsukan sebahagian keterangan Imam Abi Ja’far al-Tohawi al-Hanafi rahimahullah (penulis asal kitab Matan al-Aqidah al-Tohawiyyah). Ini sehingga menyalahi al-Qur’an, al-Sunnah, Ijma’ serta akidah ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang termaktub menerusi kenyataan Imam Abi Ja’far al-Tohawi. Ia ternyata menerusi hlm. 6, 12, 45. 60 dan sebagainya.”

 

Dakwaan ini dapat dijawab seperti berikut:

 

Pertama:      

Kenyataan Hassan bin Ali al-Saqqaf bahawa pembahagian tauhid kepada tiga bahagian sebagai pembahagian yang tidak sohih merupakan kenyataan membuta tuli sahaja. Dia mengatakan sesuatu terhadap Allah tanpa mengetahui asas serta rukun tauhid dan pegangan ahl al Sunnah wa al-Jamaah di setiap lapangan dan tempat yang meyakini kebenaran pembahagian ini.

 

Kedua:

Mengulas kenyataannya yang berbunyi: “Ia merupakan pendapat sebahagian penulis terkemudian”, keterangan terdahulu jelas menunjukkan tidak benar kenyataan Hassan bin Ali al-Saqqaf. Sehubungan ini daku mengemukakan kenyataan tambahan berdasarkan kedua imam yang terkenal iaitu Imam Abu Hanifah rahimahullah serta Imam Abi Ja’far al-Tohawi rahimahullah. Ternyata kedua imam ini menyebut pembahagian tauhid kepada tiga bahagian sebagaimana kenyataan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Penjelasannya seperti berikut:

          Imam Abu Hanifah (m. 150H). Menerusi kitabnya al-Fiqh al-Absot (hlm. 51) beliau berkata:

Allah Subhanahu wa Ta’ala diseru dari atas bukan dari bawah. Ini kerana bawah bukan daripada al-Rububiyah dan al-Uluhiyyah.

          Ternyata Imam Abu Hanifah menetapkan sifat “Ketinggian” bagi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ia merupakan sebahagian dari tauhid al-Asma’ wa al-Sifat. Ia turut menolak kenyataan golongan al-Jahmiyyah, al-Muktazilah, al-Asy’airah, al-Maturidiyyah serta selain mereka yang menolak sifat “Ketinggian” bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Perkataan Imam Abu Hanifah: “Daripada al-Rububiyah” menetapkan tauhid al-Rububiyah manakala perkataan beliau: “Dan al-Uluhiyyah” menetapkan tauhid al-Uluhiyyah.

          Imam al-Tohawi (m. 321H). Di bahagian pengenalan kitab terkenalnya Aqidah al-Tohawiyyah beliau berkata:

Kami mengatakan mengenai tauhid terhadap Allah dengan meyakini: Sesungguhnya Allah Maha Esa tiada sekutu bagi-Nya, tiada sesuatu menyamai-Nya, tiada sesuatu melemahkan-Nya dan tiada yang disembah selain-Nya.

          Menerusi kenyataan beliau: “Sesungguhnya Allah Maha Esa tiada sekutu bagi-Nya”, terkandung pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Di mana Allah Subhanahu Wa Ta’ala Maha Esa tiada sekutu baginya dari sudut al-Rububiyah, al-Uluhiyyah serta al-Asma’ wa al-Sifat.

          Menerusi kenyataan beliau: “Tiada sesuatu menyamai-Nya”, ia menunjukkan kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat. Menerusi kenyataan beliau: “Tiada sesuatu melemahkan-Nya”, ia menunjukkan kepada tauhid al-Rububiyah. Menerusi kenyataan beliau: “Tiada yang disembah selain-Nya”, ia menunjukkan kepada tauhid al-Uluhiyyah.

Ternyata menerusi kenyataan kedua Imam ini pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Imam al-Tohawi juga menyatakan di bahagian pengenalan kitabnya kenyataan:

Ini merupakan penjelasan kepada akidah ahl al-Sunnah wa al-Jamaah berasaskan kepada madzhab fuqaha’ al-millah Abu Hanifah al-Nu’man bin Thabit al-Kufi, Abi Yusuf Ya’qub bin Ibrahim al-Ansari, Abi Abdillah Muhammad bin Hassan al-Syaibani.

Hassan bin Ali al-Saqaf berkata (hlm. 12):

Ketahuilah! Matan al-Tohawiyyyah merupakan kitab yang ditulis Imam Abu Ja’far al-Tohawi. Ia kitab yang sahih serta antara hasil penulisan mengenai akidah al-Salaf al-Soleh yang terbaik. Sehubungan ini Imam al-Tohawi menyatakan di bahagian pengenalan kitab bahawa ia merupakan akidah Imam Abu Hanifah serta sahabatnya Imam Muhammad bin al-Hassan dan al-Qadi Abi Yusuf rahimahumullah.

Apa yang menarik, keseluruhan tokoh yang dimaksudkan menyatakan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian sebagaimana keyakinan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Dalam konteks ini Ibn Abi al-‘Izzi mengikuti pandangan mereka dengan tidak mencipta perkara baru sebagaimana yang didakwakan. Tokoh manakah di kalangan golongan salaf mengingkari pandangan sedemikian? Sekiranya ada sila nyatakan kepada kami. Hakikatnya tidak wujud di kalangan mereka menolak pembahagian tauhid kepada tiga bahagian.

Sehubungan ini, Imam Ibn Jarir al-Tobari (m. 310H) turut menyatakan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Ini menerusi pelbagai keterangan kitab tafsirnya[1]. Imam al-Qurthubi menerusi pelbagai keterangan kitab tafsirnya[2]. Imam Ibn Hibban al-Basti (m. 354H) menerusi bahagian pengenalan kitabnya Raudhoh al-‘Uqala’ wa al-Nuzhah al-Fudhola’ mengandungi kenyataan:

Segala puji bagi Allah yang bersendirian dalam keesaan serta al-Uluhiyyah. Yang Maha Berkuasa dengan keagungan al-Rububiyah.

Dia menjadikan makhluk yang dikehendaki-Nya tanpa sebarang contoh terdahulu. Dia menciptakan manusia yang dikehendaki-Nya tanpa sebarang penyerupaan serta bandingan/sekutu. Dia berterusan melakukan perkara ini dengan kekuasaan-Nya serta kehendak-Nya.

Jelas di sini, Ibn Hibban membahagikan tauhid kepada tiga bahagian iaitu al-Uluhiyyah, al-Rububiyah serta al-Asma’ wa al-Sifat. Imam Ibn Abi Zaid al-Qairawani al-Maliki (m. 386H) menerusi pengenalan akidahnya berkata:

Antara bahagian iman yang dinyatakan hati serta lisan: Allah Subhanahu Wa Ta’ala merupakan Tuhan Yang Maha Esa tiada tuhan selain-Nya. Tiada bandingan serta sekutu bagi-Nya. Dia tidak mempunyai anak serta bapa. Kesempurnaan-Nya tidak didahului oleh permulaan serta tidak diakhiri oleh pengakhiran. Dia disifati dengan sifat-sifat yang dinyatakan-Nya. Segala urusan yang ditetapkan-Nya tidak dapat dijangkau akal fikiran…Maha Suci Allah Subhanahu Wa Ta’ala dari berlaku sesuatu dalam kerajaan-Nya tanpa kehendak-Nya. Dia Tuhan segala sesuatu serta pencipta kepada perbuatan mereka.

Ternyata Abi Zaid al-Qairawani al-Maliki membahagikan tauhid kepada tiga bahagian. Imam Abu Bakr Muhammad bin al-Walid al-Tortushi menerusi pengenalan kitabnya Siraj al-Muluk (jil. 1, hlm 7) berkata:

Daku naik saksi ke atas al-Rububiyah dan al-Wahdaniyyah Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta apa yang dinyatakan-Nya terhadap diri-Nya mengenai al-Asma’ al-Husna serta sekalian sifat-Nya.

Jelas Imam Abu Bakr Muhammad bin al-Walid al-Tortushi membahagikan tauhid kepada tiga bahagian.

 

Ketiga:

Merujuk kepada kenyataan Hassan Ali al-Saqqaf terhadap Ibn Abi al-‘Izzi bahawa “Tidak benar Ibn Abi al-‘Izzi bermadzhab Hanafi”. Ini merupakan kenyataan membuta tuli tanpa sebarang pembuktian serta penelitian sebagaimana kebiasaan sikap Hassan Ali al-Saqaf. Sekiranya diteliti hasil penulisan biografi mengenai Ibn Abi al-‘Izzi terserlah pembohongan serta kejahilannya. Antara pembuktian menunjukkan Ibn Abi al-‘Izzi merupakan seorang bermadzhab Hanafi seperti berikut:

  • Ibn Abi al-‘Izzi termasuk lingkungan keluarga yang terkenal bermadzhab Hanafi di kota Damsyik. Ayahnya ialah al-Qadi ‘Ala’ al-Din Ali bin Abi al-‘Izzi al Hanafi (m. 746H) seorang qadi bagi madzhab Hanafi serta khatib di masjid al-Amzam. Datuknya ialah al-Qadi Shams al-Din Abu Abdillah Muhammad bin Abi al-‘Izzi salah seorang pemuka madzhab Hanafi serta terlibat dalam urusan kehakiman. Beliau mengajar di madrasah al-Mu’zomiyyah, Yaghmuriyyah dan al-Qalijiyyah. Di kalangan keluarganya terdapat beberapa pemuka madzhab Hanafi lain seperti al-Qadi Sadr al-Din Sulaiman bin Abi al-‘Izzi, Mufti Muhammad bin Sulaiman bin Abi al-‘Izzi dan Ali bin Yusuf bin Muhammad bin Sulaiman bin Abi al-‘Izzi.

     

  • Ibn Abi al-‘Izzi merupakan tenaga pengajar di madrasah khusus bagi madzhab Hanafi. Beliau mengajar di madrasah Qimaziyyah (748H), madrasah Rukniyyah (777H), madrasah ‘Uzziyyah al-Baraniyyah (748H) serta beberapa pusat pengajian madzhab Hanafi lainnya.

     

  • Ibn Abi al-‘Izzi merupakan seorang hakim bagi madzhab Hanafi. Diperingkat permulaan beliau merupakan pembantu hakim kepada sepupunya Najm al-Din yang dilantik sebagai hakim madzhab Hanafi di Mesir (777H). Setelah sepupunya meletakkan jawatan sebagai hakim, Ibn Abi al-‘Izzi menggantikan tempatnya. Setelah memegang jawatan selama beberapa tempoh Ibn Abi al-‘Izzi meletakkan jawatan serta kembali ke Damsyik. Beliau meneruskan tugas sebagai tenaga pengajar di beberapa pusat pengajian madzhab Hanafi.

     

  • Menurut al-Sakhawi serta selainnya, Ibn Abi al-‘Izzi turut menghasilkan kitab al-Tanbih ala Musykilat al-Hidayah. Ia ditulis bagi mengulas kitab al-Hidayah yang termasuk antara kitab terkenal madzhab Hanafi. Kitab ini ditulis Ali bin Abi Bakr al-Farghani al-Marghinani al-Hanafi (m. 593H).[3]

Namun Ibn Abi al-‘Izzi bukan seorang yang fanatik terhadap madzhab. Antara hasil penulisannya menunjukkan sikap sedemikian ialah kitab al-Ittiba’. Ia bagi menjawab risalah yang ditulis Akmal al-Din Muhammad bin Mahmud bin Ahmad al-Hanafi (786H) yang hidup sezaman dengan beliau. Dengan disertakan penghujahan kukuh Ibn Abi al-‘Izzi menulis kitab al-Ittiba’ bagi memperbetulkan sikap fanatik melampau terhadap madzhab Hanafi. Ini supaya perpecahan di kalangan umat Islam dapat dielakkan.[4]

Dakwaan Hassan bin Ali al-Saqqaf bahawa Ibn Abi al-‘Izzi memalsukan sebahagian keterangan Imam Abi Ja’far al-Tohawi al-Hanafi rahimahullah (penulis asal kitab matan al-Aqidah al-Tohawiyyah) merupakan kenyataan yang tidak benar. Ternyata dia ingin menjauhkan manusia dari mengkaji kitab serta penulis terkenal ini. Sedangkan terserlah menerusinya kealiman, kesahihan pegangan akidah serta pendekatan Ibn Abi al-‘Izzi sehingga memberi banyak manfaat kepada para pembaca.

Termaktub dalam penulisannya pendekatan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang tidak menerima kenyataan individu melainkan bertepatan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini sebagaimana kenyataan golongan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang berbunyi: “Kenyataan seseorang diterima serta ditolak kecuali Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam”.

          Sehubungan ini Ibn Abi al-‘Izzi tidak mencela al-Tohawi serta tidak memalsukan kenyataannya sebagaimana dakwaan Hassan bin Ali al-Saqqaf. Sebaliknya beliau tetap mempertahankan kebenaran kecuali beberapa perkara kecil apabila mendapati al-Tohawi melakukan kesalahan dalam perkara tersebut. Ini merupakan suatu kebiasaan kepada ilmuan kerana al-Tohawi tidak bersifat maksum (terpelihara dari melakukan kesalahan).

 

 


 

[1] Sebagai contoh sila lihat kenyataan Imam al-Tobari mengenai firman Allah dalam surah Muhammad ayat 19 dalam tafsirnya Jami’ al-Bayan, Jil. 1, hlm. 53.

[2] hlm. 105

[3] Ringkasan kenyataan Ibn Abi al-‘Izzi di bahagian pengenalan pentahkikan kitabnya Syarh al-Aqidah al-Tohawiyyah. Ia menerusi pentahkikan Dr ‘Abd. Allah al-Turki serta Syu’aib al-Arnaut, Jil. 1, hlm. 63-82.

[4] Pengenalan kitab Syarh al-Aqidah al-Tohawiyyah yang ditahkik.