Tauhid 3T: Penjelasan Dan Pembelaan.

 

 Oleh: al-Syeikh ‘Abd.al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr

Terjemahan: Mohd Amin Yaacob

 

 

Persoalan 2:

Dakwaan Tauhid Kepada Tiga Bahagian Tidak Termaktub Dalam Al-Qur’an Dan al-Sunnah
Dan Tidak Diketahui Kalangan Salaf.

 

 

Hassan bin Ali al-Saqqaf berkata (hlm. 3): “Pembahagian tauhid sebegini (kepada tiga bahagian) tidak diketahui kalangan salaf. Ia hanya hasil ciptaan yang disebarkan selepas kurun ke tujuh hijrah.” Dia menambah (hlm. 6):

Pembahagian tauhid kepada tiga bahagian iaitu tauhid al-Rububiyah, al-Uluhiyyah, al-Asma’ wa al-Sifat tidak dinyatakan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam al-Qur’an dan tidak dinyatakan Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam dalam al-Sunnahnya. Selain itu pembahagian tauhid sebegini tidak dinyatakan walau seorangpun kalangan para sahabat, tabi’in serta para salaf al-soleh. Sebaliknya pembahagian ini merupakan (perbuatan) bid’ah mendatang kurun ke lapan hijrah yang tercela (mazmumah). Ia tercipta selepas zaman Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam di mana tidak seorangpun mengatakan perkara ini sebelum zaman tersebut.

Dia menambah (hlm. 10): “Ibn Taimiyyah mencipta pembahagian tauhid kepada Uluhiyyah dan Rububiyah.”

Ini adalah dakwaan yang salah kerana:

 

Pertama:

Wujud kepelbagaian dalil berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Ia diketahui golongan ilmuan mahupun kalangan awam yang merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Mencukupi bagi sesiapa yang menghafal surah al-Fatihah[1] serta surah al-Nas di mana dia akan mendapati pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Ia merupakan hakikat syariat yang tertinggi yang termaktub dalam al-Qur’an dan al-Sunnah sebagaimana huraian terdahulu.

 

Kedua:

Kenyataan Hassan bin Ali al-Saqqaf bahawa pembahagian tauhid sebegini merupakan hasil ciptaan Ibn Taimiyyah sehingga tidak dinyatakan walau seorangpun kalangan al-salaf al-soleh serta ia hanya wujud pada kurun ke lapan hijrah merupakan kenyataan yang menunjukkan cetek ilmunya serta kurang pengalaman terhadap hasil penulisan golongan salaf.

Hakikatnya penulisan mereka dipenuhi dengan tauhid tiga bahagian. Ia sama ada secara kenyataan (al-tasrih) atau penunjuk (al-isyarah). Namun mencukupi bagiku menyatakan sebahagian kecil penulisan mereka yang hidup sebelum Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Ini bagi mengelakkan huraian yang berjela-jela.

Marilah kita merujuk kepada kenyataan Imam Abu Abd. Allah ‘Ubaidillah bin Muhammad bin Battah al-‘Aqbari (m. 387H). Menerusi kitabnya al-Ibanah ‘an Syari’ah al-Firqah al-Najiyah wa Mujanibah al-Firq al Mazmumah beliau berkata:

Oleh yang demikian, asas keimanan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadap-Nya ialah tiga bahagian iaitu:

Pertama: Seorang hamba semestinya beriktikad terhadap Rabbaniyyah (al-Rububiyah) Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ia membezakannya dengan golongan al-Ta’thil (yang membatalkan sifat Tuhan) yang tidak menetapkan kewujudan Tuhan.

Kedua: (Seorang hamba) semestinya beriktikad terhadap Wahdaniyyah (keesaan) Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dengan demikian ia membezakannya dengan golongan syirik yang menetapkan kewujudan Tuhan namun mensyirikkan-Nya dalam urusan peribadatan kepada selain-Nya.

Ketiga: (Seorang hamba) semestinya beriktikad terhadap keseluruhan sifat yang layak bagi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ini seperti sifat al-Ilm (Maha Mengetahui), al-Qudrah (Maha Berkuasa), al-Hikmah (Maha Bijaksana) serta keseluruhan sifat lain yang disifatkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam al-Qur’an.

Kita mendapati ramai kalangan yang beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta mengesakan-Nya namun mereka kufur serta mengingkari sifat-sifat-Nya sehingga menjadi rosak keyakinan tauhid mereka.

Oleh yang demikian kita mendapati Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengarahkan para hamba-Nya dengan menyeru mereka supaya beriktikad kepada setiap satu dari ketiga pembahagian ini serta beriman dengannya.

Kita tidak menyatakan arahan Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang membabitkan al-Rabbaniyyah (al-Rububiyah) serta Wahdaniyyah (keesaan)-Nya secara meluas bagi mengelakkan huraian yang berjela-jela. Dalam konteks ini individu yang berfahaman al-Jahmiyyah turut mendakwa dirinya mengakui kedua perkara ini iaitu al-Rabbaniyyah (al-Rububiyah) serta Wahdaniyyah (keesaan) Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Namun penolakannya terhadap sifat-sifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala membatalkan dakwaan terhadap keduanya.[2]

 

          Ibn Battah seterusnya menyatakan kebatilan kenyataan golongan al-Jahmiyyah yang menafikan sifat-sifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Menerusi kenyataan di atas jelas beliau membahagikan tauhid kepada tiga bahagian. Dengan meneliti kenyataan Ibn Battah yang berbunyi: “Individu yang berfahaman al-Jahmiyyah turut mendakwa dirinya mengakui kedua perkara ini.” Apa yang dimaksudkan Ibn Battah ialah al-Rabbaniyyah (al-Rububiyah) serta Wahdaniyyah (keesaan) Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Namun si al-Jahmiyyah menyatakan penolakan terhadap tauhid al-Asma’ wa al-Sifat. Apa yang menarik ialah kesesatan Hasan bin Ali al-Saqqaf lebih dahsyat dari individu yang berfahaman al-Jahmiyyah. Ini kerana dia menolak pembahagian tauhid kepada tiga bahagian serta menganggap pembahagian sebegini menyamai akidah Triniti yang merupakan kepercayaan penganut Kristian.

Seterusnya dengan meneliti kenyataan Ibn Battah yang berbunyi:

Oleh yang demikian kita mendapati Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengarahkan para hamba-Nya dengan menyeru mereka supaya beriktikad kepada setiap satu dari ketiga pembahagian ini serta beriman dengannya.

 

Ternyata kenyataan Ibn Battah merupakan penolakan terhadap kenyataan Hassan bin Ali al-Saqqaf yang berbunyi: “Pembahagian tauhid kepada tiga bahagian iaitu tauhid al-Rububiyah, al-Uluhiyyah, al-Asma’ wa al-Sifat tidak dinyatakan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam al-Qur’an serta tidak dinyatakan Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam dalam al-Sunnah-nya.”

Seterusnya dengan meneliti kenyataan Ibn Battah yang berbunyi:

Oleh yang demikian, asas keimanan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadap-Nya ialah tiga bahagian.

 

          Ternyata di sisi Ibn Battah, pembahagian tauhid kepada tiga bahagian merupakan asas keimanan yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ini menunjukkan, tidak dianggap beriman sesiapa yang tidak memperakui ketiga pembahagian ini. Sesiapa yang tidak meyakini tauhid al-Rububiyah maka dia menolak Tuhan serta musyrik dari sudut kerububiyahan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sesiapa yang tidak meyakini tauhid al-Uluhiyyah maka dia musyrik dari sudut keuluhiyahan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ini menyerupai golongan musyrikin yang menyembah berhala. Sesiapa yang tidak meyakini tauhid al-Asma’ wa al-Sifat maka dia musyrik dari sudut nama-nama serta keseluruhan sifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sehubungan ini bagaimana mungkin seorang muslim yang berfikiran waras mengatakan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian tidak mempunyai asas serta sandaran?

 


 

[1]  Lihat Madarij al-Salikin karangan Ibn al-Qayyim (Jil. 1, hlm. 24) dalam bab: Termaktub dalam surah al-Fatihah pembahagian tauhid kepada tiga bahagian.

[2]  Ibn Battah, al-Ibanah (hlm. 693-694). Rujukan ini berdasarkan kepada naskah tulisan tangan beliau.