Tauhid 3T: Penjelasan Dan Pembelaan.

 

 Oleh: al-Syeikh ‘Abd.al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr

Terjemahan: Mohd Amin Yaacob

 

 

Persoalan 10:

Kekeliruan Hassan bin Ali al-Saqqaf terhadap maksud al-Rabb serta al-Ilah

 

 

Hassan bin Ali al-Saqqaf berkata (hlm. 10):

Sekiranya golongan musyrikin mengakui Allah sebagai Pencipta tidaklah Allah berfirman mengenai mereka menerusi ayat yang berbunyi:

 

وَمَا ڪَانَ مَعَهُ ۥ مِنۡ إِلَـٰهٍ‌ۚ إِذً۬ا لَّذَهَبَ كُلُّ إِلَـٰهِۭ بِمَا خَلَقَ وَلَعَلَا بَعۡضُهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬‌ۚ

 

Dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersama-Nya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. (Surah al-Mu’minun 23:91)

 

Merujuk ayat di atas, ungkapan yang digunakan ialah al-Ilah bukan al-Rabb. Ini menunjukkan golongan musyrikin tidak mentauhidkan sama ada kepada al-Rabb mahupun al-Ilah. Dalam konteks ini al-Rabb ialah al-Ilah dan al-Ilah ialah al-Rabb.

 

Dia menambah (hlm. 31): “Jelaslah bahawa al-Ilah ialah al-Rabb dan al-Rabb ialah al-Ilah. Ternyata dia menyatakan perkara ini bagi menetapkan tiada perbezaan antara tauhid al-Rububiyah dengan al-Uluhiyyah. Kekeliruan ini dapat diluruskan seperti berikut:

 

Pertama:

Hakikatnya al-Rabb dan al-Ilah mempunyai makna khusus. al-Rabb apabila merujuk kepada Pencipta (al-Khalik), Yang Maha Mendengar (al-‘Alim), Yang Maha Melihat (al-Basir), Yang Maha Esa (al-Ahad) dan Yang merupakan tempat pergantungan segala sesuatu (al-Somad) di mana keseluruhannya merupakan nama-nama yang diperuntukkan kepada Yang Tunggal/Satu, iaitu Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Namun makna al-Rabb bukan makna Yang Maha Mendengar (al-Sami’), bukan makna Yang Maha Mendengar (al-Sami’) bukan makna Yang Maha Melihat (al-Basir), dan makna Yang Maha Melihat (al-Basir) bukan makna Yang Maha Esa (al-Ahad). [setiap nama Allah itu memiliki makna tersendiri – penterjemah].

          Dalam konteks ini kenyataan Hassan bin Ali al-Saqqaf al-Ilah ialah al-Rabb iaitu makna al-Ilah ialah al-Rabb dan al-Rabb ialah al-Ilah merupakan kenyataan yang menunjukkan kejahilannya yang bersusun-susun (jahil murakkab). Ini disebabkan dia tidak membezakan makna al-Ilah dengan makna al-Rabb. Ternyata dia tidak berminat merujuk kitab tatabahasa arab serta kenyataan golongan ilmuan yang membezakan makna kedua perkara ini.

 

Kedua:

Hakikatnya kitab tatabahasa arab secara keseluruhan menyatakan al-Rabb bermaksud: Yang Memiliki (al-Malik), yang kepada-Nya al-Rububiyah ke atas sekalian makhluk serta tiada sekutu bagi-Nya. Sementara al-Ilah bermaksud: Yang disembah/diabdikan diri (al-Ma’bud).

          al-Rabb, Dia yang menciptakan hamba-Nya serta memberikan hidayah kepadanya, keseluruhan bentuk peribadatan adalah kepada-Nya, tidak kepada selain-Nya. al-Ilah, Dia yang memerintahkan hamba-Nya supaya mengabdikan diri kepada-Nya dengan segala kecintaan, penghormatan, kemuliaan serta hanya kepada-Nya tempat permohonan.

          al-Rabb sekiranya dinyatakan secara bersendirian maka terkandung di dalamnya al-Ilah. al-Ilah sekiranya dinyatakan secara bersendirian maka terkandung di dalamnya al-Rabb. Apabila keduanya berkumpul atau disebut secara bersamaan maka keduanya berpisah sehingga setiap satu dari keduanya mempunyai makna yang khusus. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengulas:

Apa yang dimaksudkan merupakan penjelasan kepada hamba yang ikhlas kepada Allah yang disembah serta diminta pertolongan. al-Qur’an menegaskan perkara ini menerusi ayat yang berbunyi:

 

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ

 

Hanya kepada Engkau kami sembah serta hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. (Surah al-Fatihah 1:5)

 

Ayat di atas merujuk kepada tauhid al-Uluhiyyah serta al-Rububiyah. Dalam konteks ini al-Uluhiyyah mengandungi al-Rububiyah manakala al-Rububiyah melazimi/memerlukan kepada al-Uluhiyyah. Sekiranya setiap satu dari keduanya mengandungi makna yang satu lagi ketika bersendirian, maka ia tidak menghalang atau menafikan maknanya yang khusus ketika keduanya berkumpul/bersatu. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang berbunyi:

 

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ

 

مَلِكِ ٱلنَّاسِ

 

إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Rabb sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah (Ilah) oleh sekalian manusia. (Surah al-Nas 114: 1-3)

 

……Terhimpun di sini dua nama iaitu al-Ilah dan al-Rabb. Di mana al-Ilah merujuk Dia yang berhak disembah, manakala al-Rabb, Dia yang Mencipta serta Mengurus para hamba-Nya.[1]

 

Ketiga:

Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab berkata:

Ketahuilah! Secara realiti al-Rububiyah serta al-Uluhiyyah berkumpul/bersatu serta berpisah (dari sudut makna). Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang berbunyi:

 

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ

 

مَلِكِ ٱلنَّاسِ

 

إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Rabb sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah (Ilah) oleh sekalian manusia. (Surah al-Nas 114: 1-3)

 

Dan sebagaimana kenyataan yang bermaksud: Tuhan (al-Rabb) sekalian alam serta sembahan (al-Ilah) para rasul ‘alayhimussolatuwassalam. Ketika keduanya berpisah mereka berkumpul/bersatu (dari sudut makna). Ini sebagaimana kenyataan yang berbunyi: Man Rabbuka?

……Apabila ditetapkan kenyataan di atas, maka pertanyaan malaikat kepada seseorang di dalam kubur: “Man Rabbuka?” bermaksud: “Siapakah sembahan (al-Ilah) engkau?” Ini disebabkan al-Rububiyah yang diyakini golongan musyrikin bukan merupakan persoalan yang ditanyakan/diuji. Sehubungan ini Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

 

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَـٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ‌ۗ

 

Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Rabb kami ialah Allah". (Surah al-Hajj 22:40)

 

قُلۡ أَغَيۡرَ ٱللَّهِ أَبۡغِى رَبًّ۬ا

 

Katakanlah: "(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepada-Nya) patutkah aku mencari Rabb selain Allah?” (Surah al-An’am 6:164)

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسۡتَقَـٰمُواْ

 

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Rabb kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul. (Surah Fussilat 41:30)

 

Ternyata al-Rububiyah (perkataan Rabb – penterjemah) pada ketika-tiga ayat ini merujuk kepada makna al-Uluhiyyah.[2]

 

Sekian,[3] kami memohon kepada Allah keselamatan dan kesejahteraan dalam urusan agama dan dunia, serta semoga kami dan umat Islam dipelihara dari kerosakan bid’ah dan keburukan ahlinya. Segala puji bagi Allah Tuhan yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Selawat dan salam ke atas hamba Allah dan Rasul-Nya, Nabi kami Muhammad serta ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda.

 


 

[1] al-Fatawa, Jil. 10, hlm. 283-284.

[2] al-Durar al-Sunniyyah fi al-Ajwibah al-Najdiyyah, Jil. 1, hlm. 72-73.

[3] Bab-bab seterusnya menjawab fitnah Hassan bin Ali as-Saqqaf ke atas Ibn Taimiyyah. Ia tidak diterjemahkan kerana sudah ada sumber terjemahan yang lain, iaitu Menjawab 17 Fitnah Ke Atas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah oleh Syaikh Murad Syukri, terbitan Jahabersa, Johor Bahru. Dipersilakan merujuk ke sana.