PANDUAN SOLAT SUNAT

CARA NABI S.A.W.

 

Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain

 

 

PENDAHULUAN

 

Di dalam hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam solat sunat dikenali sebagai Sholat al-Tathawwu’ (صَلاَةُ التَّطَوُّعِ). Al-Tathawwu’ secara bahasa bermaksud melakukan ketaatan. Dari segi syari’at pula ia bermaksud ketaatan yang tidak wajib berupa solat, sedekah, puasa, haji jihad dan sebagainya. Adapun yang dimaksudkan dengan Sholat al-Tathawwu’ adalah solat-solat yang tidak wajib. -  Rujuk kitab ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam bertajuk Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,  jilid 2, ms. 379.

 

Menurut Syaikh Sa’id al-Qahtani:

 

Secara bahasa, tathawwu’ bererti tambahan atau kelebihan. Setiap orang mengerjakan kebaikan yang bersifat tambahan disebut mutathawwi’ (مُتَطَوُّعِ). Tathawwu’ juga boleh diertikan sesuatu yang dikerjakan secara sukarela. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

 

فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ

 

Maksudnya:

Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya… - al-Baqarah (2) : 184

 

Ibadah tathawwu’ adalah semua ibadah yang dikerjakan seorang Muslim secara sukarela, murni berdasarkan kemahuannya dan bukan merupakan ibadah yang diwajibkan ke atasnya. – rujuk Sholaatul Mu’min karya Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani (edisi terjemahan dengan tajuk Tuntunan Solat Sunnah, Irsyad Baitus Salam, Jakarta 2005), ms. 17.

 

Oleh itu setiap jenis solat yang disyari’atkan dalam Islam sebagai tambahan di atas solat fardu yang lima waktu ianya termasuk dalam kategori solat-solat sunat (صَلَوَاتُ التَّطَوُّعِ).

 

 

Sholat al-Tathawwu’ terdiri dari dua jenis:

 

PERTAMA: Tathawwu’ mutlak, iaitu solat sunat yang tidak mempunyai sebab dan tidak diberikan batasan oleh pembuat syari’at (iaitu Allah Subhanahu wa Ta’ala). Ianya boleh dikerjakan pada bila-bila masa sama ada malam mahupun siang hari (melainkan waktu yang diharamkan solat) tanpa batasan jumlah rakaat. Menurut Imam al-Nawawi rahimahullah:

 

Seseorang yang melakukan solat sunat dan tidak menyebutkan berapa rakaat yang akan dilakukan dalam solatnya itu, boleh baginya melakukan satu rakaat lalu memberi salam dan boleh pula menambahnya menjadi dua, tiga, seratus, seribu rakaat dan seterusnya. Apabila seseorang bersolat sunat dengan bilangan rakaat yang tidak diketahuinya, lalu bersalam, maka hal itupun dianggap sah tanpa perselisihan pendapat di antara para ulamak. Demikianlah yang telah disepakati oleh golongan kami (mazhab Syafi’i) dan dihuraikan pula oleh Imam al-Syafi’i dalam al-Imla’. – Rujuk Imam al-Nawawi, al-Majmu’, jilid 3, ms. 541. Penulis nukil dari kitab Fiqhu as-Sunnah karya Sayyid Sabiq (edisi terjemahan dengan tajuk Fikih Sunnah, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990), jilid 2, ms. 11.

 

Walaupun begitu penulis berpendapat perhatian yang lebih tinggi sepatutnya diberikan kepada kualiti dalam mengerjakan solat dari kuantitinya. Oleh itu menerusi hadis-hadis kita dapat melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mengerjakan solat-solat sunat dalam jumlah rakaat yang banyak tetapi baginda menyempurnakan solat-solat tersebut dari segi rukun-rukun dan adab-adab dalam solat dengan penuh kesungguhan. Abu Salamah radhiallahu’ anh pernah bertanya kepada ‘Aishah radhiallahu’ anha tentang solat malam Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada bulan Ramadan. Maka ‘Aishah menjawab:

 

مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً.

 

يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ. ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ.

 

ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا.

 

Maksudnya:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menambah pada bulan Ramadan dan tidak pula pada bulan-bulan lainnya, melebihi sebelas rakaat; baginda solat empat rakaat, jangan kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat empat rakaat lagi, jangan kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat tiga rakaat (witir). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1147.

 

Oleh itu berdiri lama ketika solat, membaca secara tartil, memanjangkan bacaan, melamakan rukuk serta sujud, berusaha untuk memahami bacaan-bacaan dalam solat adalah lebih baik berbanding dengan mereka yang mengejar jumlah rakaat yang banyak tetapi mengerjakan solat tersebut secara tergesa-gesa tanpa rasa khusyuk.

 

Dalil tentang disyari’atkan solat tathawwu’ mutlak ini adalah sebagai mana sebuah riwayat daripada Abu Dzar radhiallahu 'anh, dia pernah melakukan solat dengan jumlah rakaat yang banyak. Ketika memberi salam, Ahnaf bin Qais bertanya kepadanya:

 

Apakah kamu mengetahui jumlah rakaat yang kamu kerjakan, genapkah atau ganjilkah?

Abu Dzar menjawab: Saya memang tidak mengetahui jumlahnya, tetapi sesungguhnya Allah mengetahuinya. Sesungguhnya saya mendengar daripada kekasih saya Abul Qassim (shallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda:

 

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْجُدُ لِلَّهِ سَجْدَةً إِلاَّ رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

 

Maksudnya:

Tidaklah seorang hamba yang bersujud hanya kepada Allah (walaupun) satu sujud, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya dan menghapuskan dosa darinya. – Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 20479.

 Namun solat sunat dalam kategori ini tidak boleh dilakukan secara terus menerus atau menjadi rutin dalam kehidupan seharian kerana ianya boleh menjerumuskan seseorang ke dalam amalan yang dikategorikan sebagai bid’ah kerana mengkhususkan waktu atau tatacara tertentu untuk bersolat sedangkan tiada dalil yang mensyari’atkannya.

 

 

KEDUA:  Tathawwu’ muqayyad (terbatas), iaitu solat sunat yang diberikan batasan tertentu oleh syarak ketika hendak melaksanakannya. Oleh itu perlaksanaannya hendaklah menuruti nas yang telah ditetapkan. Sebagai contohnya solat Tahiyyatul Masjid dikerjakan ketika memasuki masjid dan solat Istisqa’ dilaksanakan ketika terjadinya sesuatu keadaan yang mana kita memohon turunnya hujan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Solat Tathawwu’ muqayyad ini pula terbahagi kepada dua jenis iaitu:-

  1. Solat sunat yang mengikuti solat fardu yang juga disebutkan sebagai Solat Rawatib seperti solat sunat Fajar, solat sunat sebelum dan selepas solat Zuhur dan lain-lain.

     

  2. Solat sunat yang tidak mengikuti solat fardu tetapi ianya ditetapkan oleh syarat menurut sebab-sebab tertentu seperti solat Gerhana (Kusuf) sekiranya terjadi gerhana matahari atau bulan.

 

Di samping itu Syaikh Muhammad at-Tuwaijiri membahagikan solat-solat sunat kepada 10 jenis seperti di bawah:-

  1. Solat yang disyariatkan berjemaah seperti solat Tarawih, Istisqa’, solat Gerhana dan Solat Hari Raya.

     

  2. Solat yang tidak disyari’atkan berjemaah seperti solat Istikharah.

     

  3. Solat yang mengiringi solat-solat fardu seperti sunat-sunat Rawatib.

     

  4. Solat yang tidak mengiringi solat fardu seperti solat Dhuha.

     

  5. Solat yang ditentukan waktunya seperti solat Tahajjud.

     

  6. Solat yang tidak ditentukan waktunya seperti solat sunat Mutlak.

     

  7. Solat yang dikaitkan dengan sebab seperti Tahiyyatul Masjid dan dua rakaat setelah wuduk.

     

  8. Solat yang tidak dikaitkan dengan sebab seperti solat sunat Mutlak.

     

  9. Solat mu’akkad seperti solat Hari Raya, Istisqa’, Gerhana dan Witir.

     

  10. Solat yang bukan mu’akkad seperti solat sebelum Maghrib dan sejenisnya. – Syaikh Muhammad bin Ibrahim at-Tuwaijiri, Mukhtasar al-Fiqhi al-Islami, (edisi terjemahan dengan tajuk Ensiklopedi Islam Al-Kamil, Darus Sunnah Press, Jakarta 2007) ms. 703.