|
PANDUAN SOLAT SUNAT CARA NABI S.A.W.
Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain |
|
SOLAT SEBELUM MELAKUKAN JIMAK
Adalah disunatkan untuk mengerjakan solat sunat sebelum sepasang suami dan isteri melakukan jimak (persetubuhan) . Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah berkata:
Dianjurkan bagi suami isteri untuk mengerjakan solat sunat dua rakaat bersama-sama dan perbuatan ini diambil daripada riwayat-riwayat orang-orang salaf. Dalam permasalahan ini terdapat dua athar (riwayat). – Syaikh Nashiruddin al-Albani, Aadaab al-Zifaaf fi al-Sunnah al-Muthohharah (edisi terjemahan dengan tajuk Cincin Pinangan : Adab Pernikahan, Pustaka Azzam, Jakarta 2002) ms. 65-67.
v DALIL DISYARI’ATKAN
Diriwayatkan oleh Abu Sa’id, budak Abu Usaid, dia berkata:
Saya bernikah sedangkan pada saat itu saya masih sebagai budak. Saya mengundang beberapa orang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, di antaranya Ibnu Mas’ud, Abu Dzar dan Hudzaifah. Kemudian solat pun didirikan. Lalu Abu Dzar bangkit dan maju ke depan untuk menjadi Imam. Para hadirin menyuruh saya maju: Engkau saja. Saya bertanya kepada mereka: Apakah saya layak menjadi imam? Serentak mereka menjawab: Ya. Kemudian saya maju ke depan untuk menjadi Imam padahal ketika itu saya masih berstatus sebagai seorang budak. Mereka mengajarkan kepada saya seraya berkata:
إِذَا دَخَلَ عَلَيْكَ أَهْلَكَ فَصَلَّ رَكَعَتَيْنِ ثُمَّ سَلِ الله مِنْ خَيْرِ مَا دَخَلَ عَلَيْكَ وَتَعَوَّذْ بِهِ مِنْ شَرِّهِ
ثُمَّ شَأْنكَ و شَأْنُ أَهْلِكَ. Maksudnya: Kalau engkau masuk menemui isterimu, solatlah bersamanya dua rakaat kemudian mohonlah kepada Allah kebaikannya dan mohonlah perlindungan dari kejahatannya. Sesudah itu terserahlah kepada engkau dan isterimu. – Hadis riwayat Abu Bakar bin Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf, jilid 5, ms. 50.
Diriwayatkan oleh Syaqiq, dia berkata:
Telah datang seorang lelaki bernama Abu Huraiz, dia berkata: Saya telah mengahwini seorang wanita jariah yang masih muda (perawan) dan saya khuatir dia akan membangkitkan kemarahan saya. Maka ‘Abdullah (iaitu Ibnu Mas’ud) menjawab:
إِنَّ الإِلْفَ مِنَ الله وَالْفِرْكُ مِنَ الشَّيْطَانِ يُرِيْدُ أَنْ يُكَرِّهَ إِلَيْكُمْ أَحَلَّ اللهُ لَكُم.
فَإِذَا أَتَتْكَ فَأُمُرْهَا أَنْ تُصَلِّيَ وَرَاءَكَ رَكَعَتَيْنِ.
Maksudnya: Kerukunan itu datangnya daripada Allah dan kemarahan itu datang dari syaitan. Ia (syaitan) menginginkan kamu membenci apa yang dihalalkan oleh Allah kepada mu. Oleh itu sekiranya isteri kamu sedang menghampiri mu (untuk berjimak), perintahkanlah dia untuk solat dua rakaat di belakangmu. – Hadis riwayat Abu Bakar bin Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf, jilid 5, ms. 50 dan ‘Abdurrazaq dalam al-Mushannaf, no: 10462.
Di dalam riwayat yang lain Ibnu Mas’ud mengajarkan doa yang perlu dibaca setelah solat tersebut.
‘Abdullah (yakni Ibnu Mas’ud) berkata untuk mengucapkan:
اَللَّهُمَّ بَارِكْ لِي فِي أَهْلِي وَبَارِكْ لَهُمْ فِيَّ,
اَللَّهُمَّ اجْمَعْ بَيْنَنَا مَا جَمَعْتَ بِخَيْرٍ, وَفَرِّقْ بَيْنَنَا إِذَا فَرَقْتُ إِلَى خَيْرِ.
Maksudnya: Ya Allah, berikanlah berkat kepada ku melalui keluargaku dan berikanlah berkat kepada mereka melalui diriku. Ya Allah, satukanlah kami selama dalam persatuan itu mengandungi kebaikan dan pisahkanlah kami jika perpisahan itu menuju kebaikan. – Hadis riwayat Abu Bakar bin Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf, jilid 5, ms. 50 dan ‘Abdurrazaq dalam al-Mushannaf, no: 10460 - 10461
Walaupun menerusi riwayat-riwayat di atas anjuran untuk mengerjakan solat sebelum jimak ini hanya bersumber daripada para sahabat sahaja namun riwayat tersebut berhukum marfu’ kerana para sahabat tidak akan melakukan sesuatu ibadah bersandarkan kepada pendapat peribadi melainkan ianya telah dicontohkan daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Apatah lagi tindakan para sahabat tersebut tidak dibantah oleh para sahabat lain.
v TATACARA MENGERJAKAN SOLAT SEBELUM BERJIMAK
Ringkasan tatacara mengerjakan solat sebelum berjimak Rakaat Pertama1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat sunat sebelum berjimak 2) Takbiratul Ihram 3) Doa Iftitah 4) Membaca surah al-Fatihah 5) Membaca Surah al-Qur’an 6) Rukuk 7) Iktidal 8) Sujud 9) Duduk antara dua sujud 10) Sujud kali kedua 11) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua 1) Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10) 2) Duduk untuk tahiyyat akhir 3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
|