|
PANDUAN SOLAT SUNAT CARA NABI S.A.W.
Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain |
|
SOLAT DI LEMBAH AL-AQIQ
Al-Aqiq adalah sebuah lembah yang berhampiran dengan Baqi sejauh empat batu dari Madinah. Secara lebih tepat terletak di perut lembah Dzul Hulaifah. Ia dinamakan al-Aqiq kerana lembah tersebut dibelah oleh arus air (aqiq). Lembah al-Aqiq ini merupakan sebuah kawasan yang diberkati oleh Allah Subhanahu wa Taala dan disunatkan untuk mengerjakan solat di sini. Umar radhiallahu anh berkata:
سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِوَادِي الْعَقِيقِ يَقُولُ:
أَتَانِي اللَّيْلَةَ آتٍ مِنْ رَبِّي فَقَالَ صَلِّ فِي هَذَا الْوَادِي الْمُبَارَكِ وَقُلْ عُمْرَةً فِي حَجَّةٍ.
Aku mendengar Nabi shallallahu alaihi wasallam di lembah Aqiq bersabda: Malam ini aku telah didatangi oleh utusan daripada Tuhan ku dan dia berkata: Solatlah di lembah yang diberkahi ini. Lalu katakan: Ya Allah, umrah dalam haji. Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Hajj, no: 1534.
Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah:
Pada hadis ini terdapat keterangan tentang keutamaan lembah al-Aqiq seperti keutamaan Madinah serta keutamaan solat di tempat itu. Rujuk Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, Jilid 8, ms. 409.
|