Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab:

Tokoh Yang Dizalimi.

       

karangan : Mas’ud al-Nadwi

terjemahan : Mohd Amin Yaacob

 

 

 

Sumber Rujukan Sejarah

 

 

1.       Raudhoh al-Afkar wa al-Ifham liMirtad Hal al-Imam wa Ghazwat Dzawi al-Islam karangan Husin bin Ghannam al-Ahsa’i (m.1225H)

          Ia merupakan kitab amat bernilai mengenai perjalanan hidup al-Syeikh al-Imam. Ibn Ghannam merupakan murid al-Syeikh al-Imam yang berpeluang menyaksikan majoriti peristiwa pada zamannya. Kitab ini dibahagikan kepada 2 jilid. Jilid pertama mengenai perjalanan hidup serta pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam yang dinyatakan dengan lengkap. Jilid kedua mengenai sejarah peperangan serta pelbagai peristiwa lain. Susunan peristiwa merangkumi tahun 1160H-1212H. Dicetak menerusi percetakan al-Mustofiyah di Bombay pada 1337H namun cetakan ini sudah lenyap[1] sehinggakan Brockleman sendiri tidak memiliki naskah cetakan. Wujud naskah manuskrip yang masih dalam keadaan baik di perpustakaan Nadwa al-Ulama’ di Lucknow. Namun penulis memperolehi naskah cetakan menerusi YM Syaraf al-Din serta keluarganya di Bombay.

 

2.       Unwan al-Majd fi Tarikh Najd karangan Uthman bin Bisyr al-Najdi (m.1288H)

          Ibn Bisyr berpeluang hidup sezaman dengan Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz (1218H/1803M-1229H/1814m) serta anak-anaknya. Kitab ini dimulakan dengan menyatakan perjalanan hidup al-Syeikh al-Imam sehingga peristiwa yang berlaku pada 1158H. (jilid pertama). Jilid kedua bermula dengan menyatakan peristiwa 1267 hingga 1287H. Kitab ini dicetak pertama kali di Baghdad pada 1228H namun cetakan ini mempunyai banyak kelemahan. Penulis mempunyai naskah sempurna yang dicetak menerusi percetakan al-Salafiyyah di Mekah pada 1349H.[2]

 

3.       ‘Ajaib al-Athar fi al-Tarajim wa al-Akhbar karangan ‘Abd. al-Rahman bin Husin al-Jabarti al-Misri (1127H/1754M-1237H/1822M)

          al-Jabarti menulis kitab mengikut susunan tahun peristiwa iaitu dari 1100H hingga 1236H. Beliau menyaksikan sendiri peperangan yang berlaku antara Muhammad Ali Basha dengan penduduk Najd. Dicetak dengan 4 jilid di Mesir pada 1297H[3]

 

4.       Khulasoh al-Kalam fi Amra’ al-Balad al-Haram karangan Ahmad Zaini Dahlan

Ia merupakan kitab mengenai sejarah para penguasa (syarif) Mekah yang dihurai secara lengkap. Namun penulis terpaksa berhati-hati merujuk kitab ini disebabkan kedudukan Dahlan yang tidak jujur (Thiqah) dalam mengeluarkan kenyataan.

 

5.       Fatawa wa Ifadat ‘Abd. al-Wahhab (manuskrip Parsi)

          Ia merupakan sebuah risalah ringkas yang menyatakan peristiwa mengenai al-Amir ‘Abd. al-’Aziz bin Saud dengan Shah Iran Fath Ali Qajar. Ditulis pada 1219H. Naskah manuskrip diperolehi dari perpustakaan al-Syarqiyyah di Batnah, no. 1337.

 

6.       al-Badr al-Toli’ fi Muhasin min Ba’d al-Qarn al-Sabiq karangan Muhammad Ali bin Muhammad bin ‘Abd. Allah al-Syaukani (m.1250H)

          Sedikit sahaja ulasan pengarang kitab mengenai keluarga Saud (Jil.1, hlm.363 dan Jil. 2, hlm.5). Namun ia tetap dianggap penting kerana Imam al-Syaukani hidup dalam tempoh yang panjang sehingga berpeluang menyaksikan peluasan serta kejatuhan empayar keluarga Saud. [kejatuhan merujuk penguasaan Mesir ke atas al-Dar’iyyah –penterjemah]

 

7.       Tarikh Najd karangan Mahmud Syukri al-Alusi (m.1342H)

          Kitab ini menyatakan sejarah negeri Najd secara ringkas. Antara yang diulas al-Alusi ialah dakwah al-Syeikh al-Imam serta sejarah keluarga Saud. Walaupun secara ringkas maklumat di dalamnya adalah sahih. Pengarang banyak merujuk kenyataan Ibn Ghannam, Ibn Bisyr, hasil penulisan al-Syeikh al-Imam serta muridnya.

 

8.       al-Rihlah al-Hijaziyyah karangan Muhammad Labib al-Batnuni

          Isi kandungan kitab mengenai pemerintahan penguasa (syarif) Mekah secara ringkas. Oleh yang demikian pengarang banyak merujuk Khulasoh al-Kalam karangan Dahlan. al-Batnuni turut menyatakan penentangan terhadap al-Syeikh al-Imam serta golongan Wahabi. Ia dicetak di Mesir pada 1329H

 

9.       Hadhar al-‘Alam al-Islami (Jil. 4, hlm.161-172)

Kitab ini dikarang oleh al-Amir Syakib Arsalan. Isi kandungan (Jil. 4, hlm.161-172) secara khusus membincangkan mengenai al-Syeikh al-Imam serta keluarga Saud dengan tajuk Tarikh Najd al-Hadith. Beliau banyak merujuk hasil penulisan sejarawan Eropah dengan itu isi kandungannya mempunyai beberapa kesalahan. Dicetak di Kaherah pada 1932M

 

10.     al-Zahra’ ‘Adad Rajb (hlm.3, 7)

          Ia merupakan sebuah rencana ringkas yang ditulis Ustaz Muhib al-Din al-Khatib. Isi kandungan mengenai perjalanan hidup al-Syeikh al-Imam. Majoriti rujukan beliau berdasarkan kepada kenyataan Ibn Bisyr dan Ibn Ghannam.Oleh itu maklumat di dalamnya adalah sahih.

 

11.     Athar al-Dakwah al-Wahabiyyah fi Jazirah al-‘Arab karangan Muhammad Hamid al-Faqi

          Ia merupakan risalah ringkas mengenai dakwah al-Syeikh al-Imam. Keseluruhan maklumat adalah sahih disebabkan pengarang merujuk kepada kenyataan ulama’ Najd.

 

12.     Jazirah al-‘Arab fi al-Qarn al-‘Ishrin karangan Hafidz Wahbah

          Ia merupakan sebuah kitab besar. Kenyataan pengarang mengenai al-Malik ‘Abd. al-‘Aziz bin ‘Abd. al-Rahman Aali Saud adalah sahih. Kitab ini bernilai serta mempunyai banyak maklumat. Ia dibahagikan kepada 3 bab. Fi al-Da’ah (seruan), hlm.331-347, Keluarga Saud, hlm.243-277 dan al-Ikhwan, hlm.211-330. Kesalahan di dalamnya kecil. Antaranya kematian Muhammad bin Saud (hlm.338) dinyatakan sebagai 1791M (hlm.338) sedangkan yang sebenar pada 1792M. Wujud beberapa kesalahan lain namun secara umum kitab ini baik untuk rujukan.

13.     Ittihaf al-Nubala’ (Parsi) karangan Sodiq Hassan Khan (hlm.413-416). Ia berkisar beberapa peristiwa yang berkaitan al-Syeikh al-Imam.

 

14.     Tarjuman Wahabiyyah (Urdu) karangan Sodiq Hassan Khan. Mengulas mengenai pergerakan golongan Wahabi.

 

15.     Salatin Najd Kamadzhab: Majalah Ma’arif, bil. November karangan al-Ustaz Sulaiman al-Nadwi. Pengulasan yang menarik mengenai pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam serta keluarga Saud. Ulasan dalam bentuk menyatakan pujian.

 

16.     Tarikh Najd (Urdu) karangan Hafidz Aslam Jairojaifuri

          Penulisan ringkas mengenai perjalanan hidup al-Syeikh al-Imam serta keluarga Saud. Majoriti maklumat diperolehi dari Ibn Ghannam dan Ibn Bisyr. Mengandungi beberapa kesalahan kecil sahaja.

 

17.     Sulton Ibn Saud (Urdu) karangan Sardad Muhammad Husni Bi Ai

          Isi kandungan mengenai perjalanan hidup al-Malik Saud (yang dimaksudkan ialah ‘Abd. al-‘Aziz –penterjemah), dakwah al-Syeikh al-Imam (hlm.39, 45), sejarah keluarga Saud serta keluarga al-Rasyid Ridho (hlm.45-70). Secara zahir beliau merujuk kepada sumber Inggeris sahaja sehingga banyak melakukan kesalahan. Contoh perkataan al-Maqran bertukar menjadi Makran, Masyari (Misyari), Sunyan (Tuhtian), ‘Uyainah (‘Uyuniyah), al-Ahsa’ (al-Hisa’) dan sebagainya. Bahkan kenyataan mengenai ulama’ terdahulu turut mengandungi kesalahan. Contohnya beliau mengatakan Imam Ahmad bin Hanbal mengarang kitab bertajuk Muwatto’ Ahmad bin Hanbal.

 

18.     Rihlah Neuber (Neuber: Travels through Arabia and other countries in the East)

          Neuber merupakan penjelajah pertama menyatakan secara amat ringkas keadaan Najd serta pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam (Jil. 2, hlm.131, 136). Namun ia amat bernilai disebabkan beliau merupakan penjelajah paling awal (senior).

          Isi kandungan turut menyatakan keadaan geografi, sosial serta ekonomi Semenanjung Tanah Arab abad ke 18 secara khusus negeri Yaman. Ia merupakan tempat persinggahan beliau pada 1761M. Majoriti sejarawan Barat menjadikan penulisan Neuber sebagai sumber rujukan mereka.

          Neuber tidak pernah merantau ke Najd. Beliau meriwayatkan keadaan negeri ini berdasarkan kepada berita yang disampaikan kepadanya. Dengan itu kenyataannya mengandungi beberapa kesalahan. Penulis memiliki penulisannya berdasarkan naskah terjemahan Inggeris oleh Robert Heron yang dicetak di Edinburgh, Scotland pada 1792M.

 

19.     Rihlah Badia

          Beliau merupakan penjelajah Eropah. Merantau ke Semenanjung Tanah Arab dengan bantuan ‘Ali Bek ‘Abbasi serta singgah ke Mekah namun dilarang memasuki Madinah oleh pembesar Najd. Beliau merupakan penjelajah Eropah pertama yang membekalkan maklumat mengenai Wahabi Najd serta ibukota al-Dar’iyyah. Penulisan ini dianggap penting kerana menyatakan mengenai pemerintahan Wahabi sebelum tentera Mesir menawan al-Dar’iyyah.

 

20.     Muzakarat fi al-Badwi wa al-Wahabiyyah karangan Brockhardt (Jil. 2, hlm.349, 359)

          Tajuk asal penulisan ini: Notes of the Bedouins and The Wahhabys. Brockhardt merupakan penjelajah Eropah yang merantau ke Hijaz pada 1813M ketika Muhammad Ali berjaya mengeluarkan golongan Wahabi dari Hijaz. Beliau menetap di Mesir pada 1816M dan meninggal dunia di sana. Beliau menyatakan dengan lengkap keadaan geografi Najd, al-Dar’iyyah dan negeri al-‘Arid. Menerusi jilid pertama terdapat keterangan mengenai suasana, pentadbiran serta urusan haji yang berlaku di Mekah. Penulisan dalam 4 jilid ini merupakan khazanah mengenai keadaan geografi Semenanjung Tanah Arab serta persoalan berkaitan dengannya. Kenyataan Brockhardt mengenai penguasaan Muhammad Ali ke atas Hijaz serta peperangan antara Mesir dengan Najd merupakan maklumat yang sahih disebabkan beliau sendiri menyaksikan peristiwa tersebut.

 

21.     Tarikh Maujaz lil Wahhabiyyin karangan Bridges

          Tajuk asal penulisan ini: A Brief History of The Wahhabys. Bridges menetap di Iraq ketika al-Syeikh al-Imam masih hidup sehingga ke zaman Saud bin ‘Abd. al’Aziz. Namun kerapkali beliau merujuk kenyataan penjelajah lain seperti Brockhardt walaupun beliau lebih lama menetap di tanah Arab. Penulisan ini dicetak di London pada 1834M.

 

22.     Rihlah Palgrave

          Beliau penjelajah Eropah yang beragama Kristian madzhab Roman Katolik. Merantau ke Semenanjung Tanah Arab pada 1862M-1863M serta banyak menyatakan pujian terhadap masyarakat Arab terutama yang menetap di kawasan perbandaran seperti al-Ahsa’, al-Qatif dan selain keduanya. Sebaliknya Palgrave amat jahil mengenai keadaan masyarakat perkampungan serta golongan badwi. Beliau terkenal sebagai tokoh Barat yang amat membenci sehingga mencaci maki al-Syeikh al-Imam serta golongan Wahabi dengan ungkapan biadap. Sikap beliau yang tidak bermoral ini amat mengejutkan penjelajah barat lain sehinggakan Zwemmer, ketua missionari Protestant mengulas: “Tidak dijangka seorang katolik melakukan perbuatan sedemikian.”[4]

 

23.     Ba’sah Siyasiah Ila Najd karangan Louis Bell

          Beliau merupakan wakil politik kerajaan Britain di Semenanjung Tanah Arab. Beliau merantau ke Riyadh pada 1865M serta berpeluang berdialog dengan Faisal bin Turki (m.1865M) mengenai bandar persisiran pantai yang terdapat di negara teluk.

 

24.     al-Aimmah wa al-Saddah fi ‘Umman (Imams and Sayeds of Oman) karangan G. Percy Bedger

          Beliau merupakan individu yang menterjemahkan kitab karangan Salil bin Raziq mengenai salasilah penguasa Oman sejak zaman awal Islam hingga 1865M. Bedger menambah beberapa maklumat menerusi terjemahan Inggerisnya. Namun ia berdasarkan kenyataan penjelajah lain seperti Palgrave. Dicetak di London pada 1871M.

 

25.     Rihlat fi Sahra’ al-‘Arab (Travels in Arabia Deserta) karangan CH. Doughty.

          Beliau singgah di Najd pada 1875M. Namun majoriti hasil penulisan beliau mengandungi kenyataan dusta. Beliau pernah berkata: “Kerajaan Wahabi mengalami kebinasaan. Oleh itu ia tidak berpeluang untuk bangkit semula.”[5]

 

26.     Rihlah ila Najd karangan Lady Anne Blunt

          Beliau seorang penjelajah serta isteri kepada tokoh politik dan penyair terkenal Inggeris, Wlifred Scawn Blunt. Lady Anne Blunt berpeluang merantau ke Najd pada 1879M namun kenyataannya banyak mengandungi unsur andaian serta khayalan. Sehubungan ini penulis berhati-hati ketika mengambil maklumat dari hasil penulisan beliau. Suami Anne Blunt turut menghasilkan penulisan mengenai pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam bertajuk Mustaqbal al-Islam (The Future of Islam) yang dipenuhi dengan kesalahan serta pembohongan. Penulisan Anne Blunt dicetak pada 1882M.

 

27.     Qamus al-Islam (Dictionary of Islam) –artikel “WAHABIA” karangan Thomas P. Hughes

          Beliau seorang missionari Protestant. Penulisannya amat bermutu kerana banyak mengemukakan kenyataan yang sahih mengenai dakwah al-Syeikh al-Imam. Beberapa kesalahan yang dilakukan disebabkan merujuk kepada penulisan Bridges serta Lady Anne Blunt. Penulisan beliau dicetak pada 1885M.

 

28.     Artikel “al-Wahabi” dari kitab Muzakkirat fi al-Muhammadiyyah (Notes on Mohammadanism (The Wahhabys) karangan T.P Hughes. Menerusi artikel ini pengarang menyatakan mengenai penguasa di kalangan keluarga Saud sehingga 1874M. Ia dicetak di London pada 1877M

 

29.     ‘al-‘Arabia , Mahd al-Islam (Arabia: The Cradle of Islam) karangan Zwemmer

          Beliau berusaha memahami dengan disertai sikap fanatik terhadap pegangan dakwah al-Syeikh al-Imam. Kenyataan beliau (hlm.192-193) mengenai cara hidup orang Arab sebelum tertegaknya dakwah merupakan kenyataan yang sahih. Wujud tiga kesalahan dari sudut sejarah yang beliau lakukan ke atas golongan Wahabi iaitu:

1.    Tahun kelahiran al-Syeikh al-Imam (?)

2.    Tuduhan meruntuhkan kubah di atas kubur Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam

3.    al-Syeikh al-Imam merantau ke Baghdad

Sikap fanatik beliau jelas menerusi kenyataan yang berbunyi:

Pergerakan golongan Wahabi merupakan gerakan pembaharuan (tajdid) dalam Islam. Namun ia akhirnya mengalami kegagalan sehingga bertukar menjadi pergerakan politik sahaja. (hlm.191-192)

Penulisan ini dicetak pada 1900M.

 

30.     Jaulah fi Bilad al-‘Arab (The Penetration of Arabia) karangan David George Hogarth   

          Kajian pengarang amat meluas dengan memetik sumber keseluruhan penjelajah Eropah yang merantau ke negara Arab sepanjang 3 kurun lepas. Ia meliputi unsur geografi, peristiwa, kemasyarakatan, kesusasteraan dan sebagainya. Beliau turut memetik hasil penulisan golongan yang menziarahi Najd serta Hijaz ketika hayat al-Syeikh al-Imam. Penulisan ini bermanfaat dijadikan rujukan. Ia dicetak di London pada 1903M.

 

31.     Maqalah Ibn Saud wa Ibn al-Rasyid di Da’irah al-Ma’arif al-Islamiyyah li Mordtmane (Encyclopaedia Of Islam: article Saud, Ibn Rasyid) karangan J.H Mordtmane

          Beliau seorang orientalis Jerman. Hasil penulisannya baik di mana beliau berusaha menyusun peristiwa sejarah berdasarkan tarikh yang tepat.

 

32.     Mausu’ah al-Adyan wa al-Akhlaq (Maqalah: al-Wahabiyyah wa al-Wahabiyyun) –[Wahhabiyyah and Wahhabies] karangan D.S Margoliouth. Kedua rencana ini dipenuhi dengan kesalahan fakta.

 

33.     Muzakkirat Ravenshaw: memorandum T.E Ravenshaw

          Ia berkait pengadilan ke atas al-Syeikh Ahmadallah al-Sodaqburi serta terhadap pergerakan tajdid dan kepimpinan di India. Isi kandungan penuh dengan pertuduhan serta pembohongan terhadap al-Syeikh al-Imam serta dakwahnya. Ia dicetak pada 20 September 1865M.

 

34.     al-Muslimun fi al-Hind (The Indian Musalman) karangan W. Hunter

          Penulisan mengenai pergerakan mujahidin di India. Hunter melakukan pembohongan apabila mengatakan pergerakan pembaharuan serta kepimpinan di India wujud berpunca dari pergerakan al-Syeikh al-Imam serta golongan Wahabi. Hakikatnya si pendusta ini mengambil sumber dari penulisan Ravenshaw di atas. Ia dicetak pada 1871M.

 

35.     al-Islam wa Nafisah al-Muslimin (Islam and Psychology of the Mussalmans) karangan Andre Servier

          Pengarang dengan sedaya upaya mencaci maki al-Syeikh al-Imam serta pengikutnya dan juga agama Islam yang suci. Ternyata beliau mengambil sumber dari Palgrave. Dicetak di London pada 1924M.

 

36.     Intishar al-Islam (The Expansion of Islam) karangan Wilson

          Menerusi penulisan ini Wilson melakukan pendustaan apabila mendakwa al-Syeikh al-Islam mengasaskan Islam Arab.

 

37.     Sabil al-Istithrod (The Arab’s place in the sun) karangan Richard Coke

          Penulisan Richard Coke mengandungi banyak kesalahan fakta. Contoh yang berhubungkait dengan nama, beliau menisbahkan tindakan yang dilakukan Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz kepada ayahnya ‘Abd. al-‘Aziz, hlm.163 serta tidak tahu membezakan antara ‘Abd. Allah bin Saud dengan ayahnya Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz, hlm.162.


 

 


[1]               Cetakan kedua pada 1368H menerusi bantuan al-Syeikh ‘Abd. al-Muhsin bin Uthman Abu Buthain di Mesir. Cetakan ketiga dengan ditahkik Dr Nasir al-Din al-Asad. Hakikatnya ulama’ hadith di India amat menyukai mencetak serta menyebarkan kitab tauhid yang ditulis al-Syeikh al-Imam, Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim. Semoga Allah mengurniakan kepada mereka kebaikan.

[2]               Kini kitab ini dicetak dengan baik serta kemas dengan bantuan Kementerian Pendidikan Kerajaan Arab Saudi

[3]               Dicetak menerusi percetakan Lujnah al-Bayan al-‘Arabi dengan 7 jilid (penterjemah).

[4]               Hughes, hlm.98

[5]               Jil. 2, hlm.402