Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab:

Tokoh Yang Dizalimi.

       

karangan : Mas’ud al-Nadwi

terjemahan : Mohd Amin Yaacob

 

 

 

Pendahuluan

 

         

Syeikh al-Islam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab: Muslih Mazlum wa Muftaro ‘alayh ditulis dalam bahasa Urdu oleh pendakwah salafi al-Syeikh Mas’ud al-Nadwi rahimahullah dan dicetak sewaktu hayatnya di Pakistan pada 1975. Ia diperolehi dari pusat pendidikan Islam al-allamah Ibn Baz di India serta Pusat Penerbitan Dar al-Da’ie di Riyadh. Penulisan ini diterjemah ke dalam bahasa Arab oleh al-Syeikh Dr ‘Abd. Alim al-Bastawi. Beliau ketika itu merupakan penuntut di fakulti pendidikan tinggi Universiti Umm al-Qura. Penterjemahan di bawah penelitian al-Syeikh Dr Taqi al-Din al-Hilali rahimahullah dan dicetak oleh Kementerian Pendidikan serta Waqaf kerajaan Arab Saudi.

          Daku berpeluang membaca penulisan ini dalam bahasa Urdu lantas mendapatinya amat bermutu serta bernilai untuk diketahui kaum muslimin sekalian. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan ganjaran kepada al-Syeikh ‘Abd. Alim al-Bastawi kerana berusaha menterjemahkan penulisan ini kepada penutur lughoh al-Dhod (bahasa Arab). Namun percetakan dalam bahasa asal (Urdu) masih giat diteruskan penerbitan Dar al-Da’ie yang berpusat di Riyadh.

          Sehubungan ini tidak perlu bagiku memperjelaskan dengan mendalam kepentingan penulisan ini sekiranya diperbandingkan majoriti penulisan lain mengenai perjuangan serta rintangan yang dihadapi al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab rahimahullah dalam memperjuangkan dakwah al-Salafiyyah di Semenanjung Tanah Arab. Mencukupi kenyataan guruku al-Syeikh Dr Taqi al-Din al-Hilali seperti berikut:

 

Amat sesuai bagimu mengenali perjuangan serta rintangan yang dihadapi al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab rahimahullah menerusi pengumpulan maklumat yang tepat dalam sebuah penulisan yang tidak melebihi 200 halaman. Segala puji bagi Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan rahmat-Nya mengurniakan taufik kepada al-Ustaz Mas’ud al-Nadwi dalam merealisasikan perkara ini. Beliau merupakan muridku yang terbilang di fakulti Nadwah al-Ulama’ di India.

 

          Beliau menambah:

 

Secara realiti ramai pengarang menulis mengenai sejarah dakwah al-Salafiyyah. Namun jarang maklumat terkumpul menerusi sebuah penulisan yang diulas, diteliti serta menerima pengesahan. Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan rahmat-Nya ke atas muridku al-Ustaz Mas’ud al-Nadwi dalam merealisasikan perkara ini sehingga memperolehi kejayaan. Sehubungan ini terpampang di hadapan kami sejarah perjuangan al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab rahimahullah serta penolakan terhadap pendustaan para penentang terhadapnya. Ia berdasarkan pembuktian kukuh yang diperolehi dari umat Islam serta golongan non muslim.

 

          Kepada para pendakwah serta penuntut ilmu daku persembahkan penulisan mengenai mujaddid Islam kurun ke 12 al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab rahimahullah. Beliau dengan gigih berusaha mengembalikan umat Islam kepada kefahaman akidah Islam yang sahih bersumberkan al-Qur’an serta al-Sunnah Rasul-Nya pada setiap ketika.

          Daku berterimakasih kepada sahabatku al-Syeikh Dr ‘Abd. Alim al-Bastawi di atas usahanya menterjemahkan penulisan ini ke dalam bahasa Arab serta menghadiahkannya untuk diterbitkan di bawah percetakan Dar al-Da’ie. Beliau seterusnya mewakafkan pula kepada Universiti Imam Ibn Taymiyyah serta pusat pendidikan Islam al-allamah Ibn Baz di India. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan rahmat serta ganjaran kepadanya.

 

Muhammad Luqman al-Salafi