Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab:

Tokoh Yang Dizalimi.

       

karangan : Mas’ud al-Nadwi

terjemahan : Mohd Amin Yaacob

 

 

 

Kata Pengantar al-Syeikh Mas’ud al-Nadwi

 

(Penulis)

 

          Maha Mulia kehendak Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Penulis berhasrat menulis mengenai pergerakan pembaharuan serta kepimpinan yang diasaskan al-Sayyid Ahmad Syahid rahimahullah serta keadaan pengikutnya namun yang dihasilkan merupakan sejarah hidup al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab rahimahullah.

          Persoalan ini bermula apabila dua penuntut universiti Dar al-Ulum Nadwah al-Ulama berhasrat pada tahun 1935M menyusun sejarah pergerakan pembaharuan (al-Tajdid) serta kepimpinan (al-Imamah) yang diasaskan kedua syuhada’ iaitu Ahmad al-Barawelli serta Isma’il al-Dahlawi. Kedua mereka ini melaksanakan tanggungjawab yang diberi di mana al-Ustaz al-Sayyid Abul Hassan ‘Ali al-Nadwi menulis mengenai riwayat hidup al-Syahid Ahmad al-Barawelli pada 1939 ketika beliau bertugas sebagai guru ilmu tafsir serta kesusasteraan Arab di Universiti Dar al-Ulum Nadwah al-Ulama. Penulisan ini berjaya disiapkan serta dicetak sebanyak dua kali dalam masa yang singkat.[1]

          Penuntut kedua (penulis) menghadapi rintangan dari setiap sudut. Ini disebabkan kelesuan para ilmuwan serta kesukaran mendapatkan sokongan pelbagai pihak. Namun persoalan pembaharuan serta kepimpinan ini berterusan menjadi bahan perbahasan pelbagai pihak. Antaranya majalah al-Diya’ menerusi topik utama al-Harkah al-Wahabiyyah al-Siyasiah “Pergerakan Politik Wahabi”[2] dan majalah al-Hilal yang berpusat di Batnah dengan artikel bertajuk al-Wahabiyyah: Harakah Diniyyah wa Siasiyyah “Wahabi: Pergerakan Keagamaan Serta Politik”.

          Namun sepanjang penelitian terhadap pelbagai jenis penulisan ternyata banyak kenyataan mengelirukan serta pertuduhan yang penulis tidak dapat bersabar terhadapnya. Majoriti kesalahan fakta yang dikemukakan para rakan serta musuh melibatkan kenyataan yang mengatakan pergerakan pembaharuan serta kepimpinan al-Syahid Ahmad merupakan cabang kepada pergerakan Wahabi di negeri Najd. Tiada keraguan di mana sumber serta matlamat kedua pergerakan ini mempunyai titik persamaan dari sudut berpegang teguh kepada al-Qur’an serta al-Sunnah manakala pengasas kedua pergerakan ini merupakan pejuang Islam yang gigih menyampaikan kebenaran.

Namun secara realiti, kedua pergerakan ini tidak mempunyai perhubungan antara satu sama lain sama ada dekat mahupun jauh. Keduanya mempunyai kriteria tersendiri walaupun berpegang teguh kepada dua sumber tersebut. Dengan kata lain, kedua pergerakan ini mempunyai persamaan dari sudut pegangan (akidah) namun berbeza dari aspek perkara cabang.

          Sebagaimana kenyataan terdahulu, penulis menemui pelbagai kekeliruan serta pendustaan mengenai pergerakan pembaharuan yang dilakukan penduduk negeri Najd. Sehubungan ini penulisan terpaksa dibahagikan kepada dua bahagian. Jilid pertama diperuntukkan bagi menjelaskan pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab sementara jilid kedua mengenai pergerakan pembaharuan serta kepimpinan al-Syahid al-Sayyid Ahmad (1831-1871m).

          Apabila menulis mengenai sejarah pergerakan Wahabi di Najd serta pergerakan pembaharuan (al-Tajdid) serta kepimpinan (al-Imamah) di India penulis sama sekali tidak bermaksud bahawa kebenaran hanya wujud atau terhad dengan mengikuti kedua pergerakan ini. Oleh yang demikian penulis tidak melabelkan kedua pergerakan tersebut dengan madzhab atau aliran khusus sepertimana pergerakan pemikiran lain. Sokongan tetap diberikan terhadap segala sesuatu yang bersesuaian dengan Islam serta kaum muslimin. Dalam konteks ini kebenaran hakiki ialah mengikuti al-Qur’an serta al-Sunnah. Petunjuk serta hidayah bukan dikuasai sesuatu aliran fekah, organisasi atau negara sahaja sama ada di Najd, India mahupun tempat lain. Pengajaran Allah serta Rasul-Nya jelas dalam perkara ini. Di mana kejayaan serta petunjuk berada kepada sesiapa sahaja yang mengikuti Allah serta Rasul-Nya.

          Ketika menulis mengenai kedua pergerakan ini, pemilihan berasaskan kepada dua tokoh pembaharuan paling terkemuka abad ke 12 serta 13. Ini tidak bermaksud tokoh pembaharuan pada peringkat tersebut hanya kedua individu yang dinyatakan. Wujud tokoh berwibawa lain seperti Syah wali Allah al-Dahlawi (1114-1176H) di India serta Muhammad bin Ali al-Sanusi di TArablus (1202H/1787m). Selain itu, penulis sama sekali tidak mengatakan pergerakan pembaharuan di Najd serta di India bebas dari sebarang kesalahan. Hanyasanya mereka merupakan pergerakan yang ikhlas memperjuangkan agama Allah berdasarkan sempadan kemanusiaan yang ada pada diri mereka. Oleh itu penuntut ilmu seharusnya berhati-hati dengan maklumat yang diterima dari para musuh, tuan-tuan syeikh yang jahil serta golongan sufi.

          Penulis berusaha sekadar termampu menghindarkan diri mengemukakan pandangan peribadi. Sehubungan ini rujukan diperolehi berasaskan sumber yang sahih serta diperakui. Untuk pengetahuan pembaca, penulisan ini bermula pada bulan Syawal 1359H (November 1940M) serta siap sepenuhnya pada bulan November 1941M. Ia mengambil masa untuk disiapkan disebabkan usaha pembaikan, pembetulan serta penambahan maklumat yang dilakukan dengan penuh penelitian berasaskan kepelbagaian sumber rujukan.

          Penulis menyampaikan penghargaan kepada pihak yang membantu serta menyumbangkan bahan kajian. Antaranya Dr ‘Adhim al-Din di Batnah, Professor Hassan Askari di Batnah, Ustaz ‘Abd. al-Rahman al-Kasyghiri di Calcutta, Ustaz Muhammad Daud al-Ghaznawi di Lahore, Dr al-Syeikh Muhammad ‘Inayatullah di Lahore, Dr Muhammad Humaidullah di Hyderabad, Ustaz Syarif al-Din serta anak-anaknya di Bombay, Ustaz ‘Abd. al-Majid al-Jariri di Banares, Professor Muhammad Akbar al-Nadwi di Universiti Calcutta, al-Hakim al-Hafiz Yusuf Hassan Khan di Batnah. Tanpa bantuan mereka, agak sukar memperolehi majoriti sumber rujukan yang amat bernilai serta hampir pupus.

          Dalam konteks ini, penghargaan khas ditujukan kepada seorang ulama’ Najd yang mengutuskan ucapan tahniah serta menziarahi penulis di Bombay. Beliau ialah al-Syeikh Muhammad Imran yang menetap di Riyadh yang mendapat pendidikan berteraskan pengajian al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab serta para ulama Najd. Tuan syeikh ini memiliki pengetahuan mendalam mengenai biografi ulama’ Najd kontemporari. Banyak maklumat yang diperolehi penulis daripada beliau ini.

 

          Peringatan:

  1.  Penulis berusaha sekadar termampu menyatakan tahun hijrah serta masihi.

  2. Penggunaan ungkapan “Syeikh al-Islam” atau “al-Syeikh” tanpa nama khas merujuk kepada al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab. Ini dilakukan walaupun menjadi kebiasaan merujuk gelaran itu kepada Imam Ibn Taymiyyah rahimahullah.        

  3. Sebahagian petikan Arab serta Inggeris tidak diterjemahkan secara harfiyyah. Namun penelitian tetap dilakukan supaya terjemahan tidak tersasar dari pengertian asal.

  4. Kemungkinan wujud kesalahan sebutan dalam penterjemahan Inggeris. Sekiranya terjadi demikian pembetulan pembaca sangat dialu-alukan.

 

Mas’ud al-Nadwi

 

Batnah: 8 Jamad al-Ula 1361H

 

 


[1]               Penulisan dalam bahasa urdu.

[2]               Apa yang dikehendaki dengan al-siasah al-syar’iyyah ialah pemerintahan yang berdasarkan kepada zaman Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam serta khalifah yang empat. Segala puji bagi Allah, pemerintahan Saudi sejak zaman al-Syeikh al-Imam sehingga mutakhir kekal berhukum dengan syariat Allah. Di mana perlembagaannya ialah kitab Allah serta al-Sunnah. Ia akan kekal sebegini dengan izin Allah. Semoga Allah memberikan taufik (penterjemah).