Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab:

Tokoh Yang Dizalimi.

       

karangan : Mas’ud al-Nadwi

terjemahan : Mohd Amin Yaacob

 

 

 

Kata Aluan Dr Taqi al-Din al-Hilali

 

 

          al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab rahimahullah memperjuangkan dakwah Islam sebagaimana yang dilaksanakan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam serta para sahabat baginda. Beliau turut mengasaskan pemerintahan Islam berdasarkan al-Qur’an serta al-Sunnah sehingga mengalahkan para syaitan. Tidak ada keraguan kepentingan mengetahui persoalan ini sama ada kalangan penyokong, penentang, umat Islam serta golongan non muslim.

Tidak dinafikan ramai individu menulis mengenai sejarah dakwah al-Salafiyyah menerusi pelbagai bahasa sama ada bertujuan menyatakan pujian mahupun celaan terhadapnya. Ia sama ada perbahasan berjilid tebal, sederhana mahupun berbentuk ringkasan. Namun jarang maklumat terkumpul menerusi sebuah penulisan yang diulas, diteliti serta menerima pengesahan. Ini menyukarkan penuntut ilmu sehingga terpaksa mengkaji keseluruhan penulisan serta melakukan penelitian dalam usaha membezakan maklumat benar serta yang salah.

Namun Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan rahmat-Nya ke atas muridku al-Ustaz Mas’ud al-Nadwi dalam merealisasikan perkara ini sehingga memperolehi kejayaan. Ini menerusi pengkajian serta penelitian mendalamnya terhadap lebih 70 penulisan melibatkan kepelbagaian topik perbahasan sama ada merujuk persoalan akidah mahupun sejarah. Terserlah menerusinya ringkasan sejarah dakwah al-Salafiyyah serta pemerintahan keluarga Sa’ud dari penubuhan sehingga ke peringkat mutakhir. Ia melibatkan perjuangan, pertembungan dengan para penentang serta peperangan. Sehubungan ini terpampang di hadapan kami sejarah perjuangan al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab rahimahullah serta penolakan terhadap pendustaan para penentang terhadapnya. Ia berdasarkan pembuktian kukuh serta penyaksian yang diperolehi dari umat Islam serta golongan non muslim.

Muridku al-Ustaz Mas’ud al-Nadwi menamakan penulisan ini dengan tajuk: Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab Muslih Mazlum wa Muftara ‘alayh namun dalam bahasa Urdu yang daku tidak memahaminya. Beliau merupakan muridku yang terbilang di fakulti Nadwah al-Ulama’ di India yang daku berpeluang mengajar di institusi pendidikan Islam tersebut pada 1349H sehingga 1352H.

Tidak pernah kulihat kesungguhan serta ketekunan mempelajari ilmu sebagaimana terserlah ke atas dirinya menerusi ketinggian akhlak serta tidak takut celaan para pencela. al-Ustaz Mas’ud al-Nadwi berterusan menekuni ilmu sehingga ke Baghdad bersama rakannya al-Ustaz ‘Asim al-Haddad. Di sana beliau menuntut ilmu kepadaku di masjid serta di kediamanku sehingga bertambah meningkat kecermerlangan. Daku tidak mendapati kekurangan di sisinya kecuali sikap fanatik diperingkat permulaan terhadap madzhab Hanafi. Dalam konteks ini beliau berbeza pendapat denganku walaupun sangat menghormatiku. Ketika berada di Baghdad, seorang ulama’ Hanafi berkata kepadanya: “Bagaimana dikau bersahabat dengan lelaki ini (merujuk diriku) sedangkan dia mencela madzhab Abu Hanifah rahimahullah serta mengkritik guru kita al-Kawthari?” Mas’ud al-Nadwi menjawab: “Daku lebih mengetahui guruku serta al-Kawthari dari kamu.”

Namun Allah Subhanahu Wa Ta’ala tetap mengangkat kedudukan al-Ustaz Mas’ud al-Nadwi walaupun kelemahan (pada peringkat permulaan) yang ada pada dirinya. Beliau merupakan salah seorang pemimpin kepada pertubuhan Islam yang diasaskan al-Ustaz al-Maududi. Beliau serta al-Maududi pernah ditangkap serta dipenjarakan selama beberapa tahun sehingga tidak berpeluang menghasilkan sebarang bentuk penulisan. Namun al-Ustaz Mas’ud al-Nadwi mengambil peluang ini menekuni kitab Nail al-Awtar karangan Imam al-Syaukani rahimahullah. Jelas di sisinya bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala, para Salaf al-Soleh termasuk Imam Abu Hanifah rahimahullah tidak meredhai sikap fanatik bermazhab. Beliau lantas memisahkan diri dari sikap ini lantas berpegang teguh kepada al-Qur’an serta al-Sunnah sehingga meninggal dunia.

Merujuk kenyataan ulama’ Hanafi tersebut bahawa daku mencela mazhab Abu Hanifah, ia hanyalah suatu pertuduhan tanpa sebarang bukti. Daku tidak menyalahi pandangan Imam Abu Hanifah rahimahullah sehingga pencelaan harus ditujukan ke atas dirinya. Hakikatnya perselisihan yang membawa pertelingkahan serta permusuhan hanya dalam permasalahan akidah bukan perkara cabang. Pegangan akidah Abu Hanifah rahimahullah menyamai pegangan akidah generasi salaf di kalangan para sahabat, tabi’in serta imam empat mazhab. Dalam konteks ini daku tidak mencela pegangan beliau ini selama-lamanya. Sebaliknya perselisahan dalam permasalahan cabang maka diketahui umum tokoh madzhab Hanafi sendiri contohnya Imam Muhammad serta Imam Abu Yusuf menyalahi serta mengkritik pandangan Imam Abu Hanifah dalam beberapa permasalahan.

Sekiranya penghargaan diperuntukkan kepada muridku Mas’ud al-Nadwi di atas penulisannya maka penghargaan turut melibatkan muridku ‘Abd. Alim al-Bastawi. Beliau seorang graduan di Universiti Islam Umm al-Qura serta Pendidikan Tinggi Universiti al-Malik ‘Abd. al-‘Aziz, Mekah. Ini menerusi usaha beliau menterjemahkan penulisan dengan baik ke dalam bahasa Arab setelah membaca di hadapanku dari permulaan hingga akhir. Sehubungan ini daku mengesyorkan kepada presiden Universiti yang mulia al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz bin Baz agar membacanya serta mengizinkan dicetak serta disebarkan untuk manfaat umat Islam sekalian.

 

 

al-allamah al-Adib Muhammad Taqi al-Din al-Hilali

1394 H