Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab:

Tokoh Yang Dizalimi.

       

karangan : Mas’ud al-Nadwi

terjemahan : Mohd Amin Yaacob

 

 

 

Kata Aluan Dr ‘Abd. al-‘Alim al-Bastawi

 

(Penterjemah dari bahasa Urdu ke bahasa Arab)

 

 

          Di antara kurniaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada manusia ialah Dia tidak membiarkan mereka dalam kegelapan serta tanpa petunjuk dan kitab yang menerangi. Sebaliknya Dia mengutuskan para Rasul ‘alayhimussolatuwassalam dari jenis manusia yang berperanan membawa kebenaran serta menyelamatkan diri dari kesesatan. Rasul yang terakhir ialah junjungan kita Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam yang membawa ajaran Islam yang lengkap hingga akhir kiamat. Baginda wafat setelah meninggalkan kepada umatnya landasan yang amat terang (al-mahajjah al-baido’) yang tidak melampauinya melainkan golongan yang menerima kebinasaan.

          Bagi menjamin terpeliharanya Islam sehingga kiamat, Allah Subhanahu Wa Ta’ala menyediakan para ulama’ di setiap kurun yang berpegang teguh dengan sunnah Rasul-Nya. Mereka memimpin manusia kepada petunjuk al-Sunnah al-Nabawiyyah setelah manusia lalai serta jahil terhadapnya. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

 

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

(Surah al-Hijr: 9)

 

          Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengutuskan kepada umat ini di setiap kurun seseorang yang memperbaharui urusan agamanya.[1]

 

          Sehingga kini para ulama’ serta pendakwah yang hak dengan gigih berterusan memelihara akidah serta syariat Islam.Mereka menentang penyelewengan para pendusta serta mengingatkan golongan yang lalai. Di kalangan mereka ialah al-Mujaddid al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab al-Tamimi rahimahullah. Belau dilahirkan pada zaman kesesatan serta kejahatan bermaharajalela sementara golongan kebenaran merasa takut serta lemah untuk mengatasinya. al-Syeikh al-Imam dengan bantuan Allah Subhanahu Wa Ta’ala bangun menentang kesesatan ini menerusi petunjuk al-Qur’an serta al-Sunnah. Namun dari masa ke semasa umat Islam melupai risalah serta menentang perjuangannya disebabkan kejahilan serta penyelewengan yang mereka lakukan.

          al-Syeikh al-Imam menghadapi rintangan serta musibah yang besar dalam merealisasikan perjuangan suci ini. Namun beliau dengan sabar serta penuh kegigihan menghadapinya sehingga ternyata hakikat kebenaran. Kesannya ramai kaum muslimin di serata dunia Islam kembali kepada landasan sebenar yang dibawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam.Sehubungan ini mereka keluar dari kehinaan dengan tersebar cahaya petunjuk serta tertegak syariat dan pemerintahan Islam sama ada menerusi tindakan serta pengamalan.

          Menyedari kebaikan pergerakan al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab, umat Islam perlu mengetahuinya serta melakukan penilaian sepatutnya dan berusaha menyebarkannya kepada sekalian manusia. Usaha perlu dilakukan bagi mempertahankan perjuangan ini dari pendustaan sebahagian golongan yang terpedaya dengan kedudukan, hartabenda sama ada kalangan ilmuan mahupun golongan jahil.

          Persoalan ini memberi motivasi kepadaku mempelajari perjalanan hidup serta perjuangan al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab yang secara realiti melaksanakan dakwah serta pembaikan (al-Islah). Daku mengkaji pelbagai penulisan mengenai beliau namun penulisan al-Syeikh Mas’ud al-Nadwi mengatasi selainnya. Ini disebabkan beberapa faktor seperti berikut:

  1. Penulis tidak terpengaruh dengan organisasi serta pertubuhan dakwah ataupun menunjukkan sikap fanatik terhadap sesuatu golongan.

     

  2. Sumber rujukan berasaskan hasil penulisan golongan penentang serta penyokong dakwah al-Syeikh al-Imam. Ini membolehkan penulis melakukan penelitian serta mengetahui kedudukan sebenar tanpa sebarang prejudis. Perkara ini jarang didapati menerusi penulisan lain.

     

  3. Penulis turut merujuk hasil penulisan sejarawan serta penjelajah Eropah. Menerusinya beliau berpeluang mengetahui sikap sebenar golongan ini terhadap perjuangan al-Syeikh al-Imam. Perkara ini jarang didapati menerusi penulisan lain.

          Merujuk penulisan al-Syeikh Mas’ud al-Nadwi, terserlah kepada pembaca  perjalanan hidup al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab serta perjuangan dakwahnya merupakan perjalanan serta perjuangan dakwah Islam yang hakiki. Ia merupakan seruan mengembalikan kaum muslimin kepada ketinggian serta kemuliaan sebagaimana yang terdapat pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam, para sahabat serta tabi’in. Selain itu ia merupakan seruan dakwah para anbiya’ ‘alayhimussolatuwassalam sekalian. al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab tidak mencipta perkara baru serta tidak mengeluarkan dirinya dari akidah Islam yang disepakati para tokoh serta pemimpin Islam keseluruhannya.

          Memang benar, wujud pelbagai kekeliruan sekitar dakwah ini serta terhadap pemimpinnya. Ia dilakukan golongan yang menuruti hawa nafsu serta para penyesat agama. Kekeliruan serta pendustaan ini telah menyesatkan sebahagian kaum muslimin di pelbagai lapangan dan tempat. Namun segala puji bagi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Keseluruhan pendustaan serta kekeliruan berjaya di atasi dari masa ke semasa sehingga dakwah al-Salafiyyah tersebar di seluruh pelusuk dunia.

          Daku menyeru kaum muslimin agar mempelajari dakwah al-Salafiyyah serta mempertahankannya terutama pada saat umat Islam berada pada kedudukan kritikal dari pelbagai sudut. Namun kejahilan, perselisihan serta penyelewengan telah membantu musuh melakukan tipudaya sama ada disedari mahupun tidak. Marilah kita bangkit dari kelemahan serta mengembalikan pemikiran kepada cahaya al-Qur’an serta al-Sunnah dan menyeru sekalian manusia kepadanya. Tiada kejayaan serta kesatuan kepada umat Islam melainkan menerusi kedua perkara ini.

 

Peringatan:

  1. Kajian penulis berdasarkan sumber rujukan Arab serta Inggeris. Sehubungan ini rujukan dilakukan terhadap sumber rujukan Arab sebagaimana dinyatakan penulis. Namun daku tidak berkesempatan merujuk majoriti sumber rujukan berbahasa Inggeris. Oleh yang demikian penterjemahan hanya berdasarkan sebagaimana dikemukakan penulis dalam penulisannya.

     

  2. Penulis mengemukakan pelbagai ulasan yang diterjemahkan sebagaimana asal. Daku turut mengemukakan beberapa ulasan apabila dirasakan perlu yang ditandakan dengan ungkapan “penterjemah” dipenghujungnya. Ia bagi membezakan ulasan penulis dengan penterjemah.

     

  3. Nombor halaman serta tarikh dikemukakan sebagaimana termaktub dalam penulisan. Namun daku menghadapi kesukaran merujuk kembali keseluruhan sumber rujukan penulis disebabkan keterbatasan bahan kajian. Pembetulan dari pembaca dialu-alukan sekiranya wujud sebarang kesilapan.

Akhir kata daku menyatakan penghargaan kepada para guru yang membantu dalam menyiapkan naskah penterjemahan ini. Antaranya Dr Muhammad Taqi al-Din al-Hilali yang memperuntukkan waktu melakukan semakan serta penelitian. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan ganjaran ke atas sekalian kaum muslimin.

 

‘Abd. al-Alim al-Bastawi

Fakuti Pendidikan Tinggi Universiti al-Malik ‘Abd. al-Aziz, Mekah

1394 H


 

[1]               Sunan Abu Dawud beserta syarahnya al-‘Aun al-Ma’bud, Jil. 11, hlm.385.