Ramadhan dianggap bulan
termulia di dalam bulan-bulan Islam. Penurunan Al-Quran di dalam bulan
Ramadhan menjadikan bulan ini sangat mulia lagi istimewa. Di dalamnya
terdapat pelbagai fadilat yang harus dikejar oleh setiap umat Islam
bagi mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan. Bulan Ramadhan
juga dianggap sebagai Madrasah Kerohanian di mana pada bulan ini umat
Islam diwajibkan berpuasa. Risalah kali ini akan memaparkan dua
pesanan pilihan berkenaan cara kita menyambut Ramadhan.
Pesanan Shaikh Abdul Aziz bin Baz
Firman Allah
Subhanahu wa Ta‘ala:
Wahai
orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana
diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu
bertaqwa.
[al-Baqarah 2:183]
Di dalam bulan puasa
seorang Islam dilatih mengawal diri daripada berlebih-lebihan, seperti
mengawal diri daripada keinginan memuaskan syahwat (di siang hari).
Mengawal diri juga memiliki banyak faedah baik dari aspek kesihatan
maupun ke arah kerohanian. Di antara faedahnya adalah seorang Muslim
akan merasai kelaparan yang dilalui oleh seorang Muslim lain yang
tidak memiliki makan atau minum yang mencukupi sebagaimana yang
dihadapi oleh saudara-saudara kita di Afrika.
Bulan Ramadhan adalah
bulan yang diutamakan, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah
menurunkan Al-Quran (dalam bulan ini) dengan firmannya:
Bulan
Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi
sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan
petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang
salah.
[al-Baqarah
2:185]
Di dalam bulan Ramadhan
terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana
firman-Nya:
Sesungguhnya Kami
telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam
Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia
kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik
daripada seribu bulan. [al-Qadr 97:1-3]
Selain itu diampunkan
dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh iman dan
azam. Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Barangsiapa yang
berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah
mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat
pada malam bulan Ramadhan dengan penuh iman dan berazam
bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
[Shahih Muslim – hadis no: 760]
Kewajipan berpuasa (juga
mengajar kita) menjaga diri daripada perbuatan mengumpat (ghibah),
mengadu, berbohong dan mendengar perkara-perkara hiburan. Ia mencegah
kita daripada melakukan semua keburukan kepada memperbanyakkan membaca
Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah dan bersungguh-sungguh di
dalam melakukan amal ibadat khusus pada 10 terakhir bulan Ramadhan.
Demikian beberapa
pesanan Shaikh Abdul Aziz bin Baz berkenaan hikmah dan keutamaan bulan
Ramadhan.
TOP
Pesanan Dr
Ahmad Abu Halabiah - ahli majlis tertinggi fatwa Palestine
Terdapat beberapa adab
yang perlu diperhatikan dalam bulan Ramadhan. Adab-adab tersebut
adalah:
Pertama:
Sabar ke
atas musibah dan kecaman yang menimpa. Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam mengajar kita bahawa pada hari Ramadhan, jika seseorang
menyakitkan hati atau mencela kita maka katakanlah:
“Sesungguhnya aku sedang berpuasa... sesungguhnya aku sedang berpuasa.”
Kedua:
Digalakkan bertaqwa
kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana Ramadhan merupakan
bulan ketaqwaan sebagaimana firman-Nya:
Wahai
orang-orang yang beriman, telah diwajibkan keatas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan keatas orang yang terdahulu daripada kamu
moga-moga kamu bertaqwa.
[al-Baqarah 2:183]
Ketiga:
Menjaga diri daripada mengumpat dan
mengadu domba (gossip) kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan
secara mutlak sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selain Ramadhan,
akan tetapi pengharamannya diberi penekanan yang lebih jelas dalam
Ramadhan.
Keempat:
Sentiasa mengingati
amalan agama, hal-ehwal sesama Islam dan membantu sesama Muslim
menyelesaikan masalah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
bersabda:
Sesiapa yang tidak
memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan
mereka.
Kelima:
Dalam bulan yang mulia
ini dianjurkan mengambil tahu hal ehwal keluarga kerana mereka itu
adalah amanah dan bebanan (tanggung-jawab) kita sebagaimana firman
Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Wahai
orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari
neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu.
[al-Tahrim 66:06]
Selain itu saya
menasihatkan diri saya dan semua saudara-saudara Islam agar
dimanfaatkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang baik berikut:
1. Menjaga
solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula menunaikan
solat Jumaat dan menghadiri majlis ilmu.
2. Menghadiri
solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran
wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat dan kepada mereka
terdapat ganjaran.
3. Memelihara
solat malam (qiamullail) dan tahajud setelah pertengahan
malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah.
4. Beriktikaf
untuk beberapa malam di bulan Ramadhan di masjid bagi lelaki tanpa
menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka
yang mencari rezeki.
5. Memelihara
pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian. Pembacaan
Al-Quran sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat
keseluruhannya.
6. Memperbanyakkan
sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang
yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan
kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan
masjid, pusat rawatan orang-orang tua, sekolah-sekolah dan lain-lainnya.
7. Merapatkan
silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.
8. Dilarang
melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan
jiran-jiran secara khusus. Pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam:
Seorang muslim ialah
orang yang selamat lidah dan tangannya terhadap muslim yang lain.