“Ayah! Jom pergi rumah
Tok Cik”
“Ehh, nantilah dulu,
kitakan sedang beraya di rumah atuk ni” jawab Kamal, hairan dengan
permintaan anak bongsunya, Nur Asyraf.
“Alaa ayah ni, kan dari semalam
kita dah beraya rumah atuk”
“Hari Raya hanya pada hari ini, kan tadi kita pergi ke surau untuk bersembahyang raya?
Hari Raya tidak bermula semalam.”
“Ya lah, tadi
sembahyang raya pukul 9 pagi, sekarang dah pukul 11 pagi”
Kamal melihat jam, ternyata sekarang pukul sebelas
lima minit pagi. Kamal bertambah hairan. Namun yang menyebabkan dia
bertambah hairan bukanlah pukul berapa sekarang tetapi bagaimana
anak bongsunya yang berumur 5 tahun boleh membaca waktu.
“Nantilah
petang-petang sikit kita ke rumah jiran-jiran, ke rumah Pak Ngah,
kemudian ke rumah Tok Cik. OK?. Sekarang Asyraf pergi main luar”
sambil menunjuk kepada abang dan kakaknya, Nur Haziq yang berumur 11
tahun dan Nur Izan yang berumur 8 tahun yang sedang duduk di bawah
pokok rambutan depan rumah.
“Alaa ayah, abang dan
kakak yang suruh Asyraf ajak ayah ke rumah Tok Cik. Rumah-rumah lain
esok-esok pun tak apa”
“Mengapa tiba-tiba
semua nak ke rumah Tok Cik? Jamal dan Ida mana?” tanya Kamal,
merujuk kepada anak-anak Pak Su, adiknya.
“Mereka semua dah
pergi ke rumah Tok Cik. Alaa ayah ni, jom la.”
“Ada apa kat rumah Tok Cik yang kamu semua semangat
sangat nak pergi ni?”
Nur Asyraf menundukkan
mukanya sambil terus duduk di riba ayahnya. Maklumlah anak bongsu
yang manja kepada ayahnya.
“Tok Cik…..Tok Cik
bagi duit raya.”
“Kan tadi balik sembahyang atuk dah bagi, ayah dan
Pak Su kamu pun dah bagi?”
“Tadi tuu….sikit...
warna hijau aje. Tok Cik….Tok Cik bagi duit warna merah, dua keping…..”
“Ohh! Rupa-rupanya
kamu semua ni nak ke rumah Tok Cik sebab duit raya ya?”
“Yalah ayah, duit
rayalah. Nak himpun banyak-banyak. Asyraf suka Hari Raya sebab dapat
himpun duit banyak-banyak.”
Apa yang diminta oleh
anak-anak Kamal adalah satu perkara yang lazim berlaku pada 1 Syawal
setiap tahun. Kita tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa duit
raya telah menjadi salah satu “syiar” sambutan Hari Raya di kalangan
kita semua. Dalam artikel yang ringkas ini, penulis ingin mengajak
para pembaca, khasnya ibubapa, untuk merenung, memikir dan
menganalisa sebentar fenomena ini.
Budaya Siapa?
Tolong betulkan jika
salah, sekadar yang penulis tahu, amalan memberi duit raya sempena
Hari Raya bukanlah daripada ajaran Islam. Duit raya adalah budaya
kaum Cina yang lazim mereka amalkan sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Budaya ini akhirnya telah membudaya di kalangan umat Islam di
Malaysia sehingga dianggap sebahagian daripada “syiar” sambutan 1
Syawal. Pada waktu yang sama, “syiar” Islam yang asal dalam
menyambut 1 Syawal telah diketepikan atau diberi prioriti yang ke
bawah.
Apa salahnya, bukankah
ia sesuatu yang baik?
Soalan di atas mungkin
sedang berlegar di fikiran sebahagian ibubapa saat ini. Namun,
benarkah ia sesuatu yang benar-benar baik? Terdapat dua faktor
penting yang sama-sama dapat kita jadikan sumber pertimbangan:
Pertama:
Saling memberi hadiah memang merupakan sesuatu yang dianjurkan oleh
Islam. Memberi hadiah dapat menjinakkan hati, menutup permusuhan dan
menghubungkan silaturahim. Akan tetapi semua ini dengan syarat,
hadiah tersebut diberi dengan ikhlas sekadar mampu.
Adakah memberi duit raya termasuk hadiah yang ikhlas dan sekadar
mampu? Sila perhatikan poin-poin berikut:
a) Sebahagian
ibubapa memberi duit raya kerana membalas tindakan ibubapa lain yang
memberi duit raya kepada anak mereka. Hal ini saling berlaku antara
ibubapa. Dalam kisah keluarga Kamal di atas, Kamal akan memberi duit
raya kepada anak-anak Pak Su kerana Pak Su telah memberi kepada
anak-anaknya duit raya. Pak Su juga memberi duit raya kepada
anak-anak Kamal kerana dia tahu Kamal juga akan beri kepada
anak-anaknya. Jika Kamal tidak memberi duit raya, dibimbangi Pak Su
akan kecil hati atau mungkin lebih berat daripada itu. Maka sedar
atau tidak, tindakan saling memberi duit raya tidak lahir kerana
keikhlasan tetapi kerana keterpaksaan.
b) Kadar duit raya yang diberikan lazimnya
diukur berdasarkan kadar duit raya yang diterima. Jika Pak Su
memberi anak-anak Kamal lima ringgit setiap seorang, Kamal juga akan
memberi anak-anak Pak Su lima ringgit setiap seorang. Jika jiran
memberi anak-anak Kamal seringgit setiap seorang, Kamal juga akan
memberi anak-anak jiran tersebut seringgit setiap seorang. Jika
diberi lebih, katakan lima atau sepuluh ringgit setiap seorang,
dibimbangi jiran tidak mampu untuk membalas dengan kadar yang sama
pada tahun depan sehingga dia akan rasa serba salah. Bahkan lebih
buruk, mungkin jiran akan terasa bahawa Kamal ingin menunjuk dengan
kadar duit raya yang agak tinggi tersebut. Sama-sama kita ketahui
bahawa keikhlasan dalam memberi ialah ia tidak diukur dengan apa-apa
skala yang telah ditetapkan. Jika pemberian adalah berdasarkan skala
ukuran tertentu, maka ia mencemari keikhlasan pemberian tersebut.
c) Dalam
suasana masa kini, kadar duit raya tidak lagi sekadar wang logam
tetapi wang kertas. Tidak dapat tidak, hal ini akan memberatkan
ibubapa yang perlu mengeluarkan wang untuk disediakan sebagai duit
raya. Belanjawan untuk duit raya juga bukan sekadar seratus ringgit,
tetapi jauh lebih banyak kerana perlu “dihadiahkan” kepada anak-anak
buah, anak-anak jiran, anak-anak rakan dan sebagainya. Belanjawan
duit raya juga berkadar terus dengan skala pendapatan ibubapa. Jika
ibubapa bekerjaya lumayan, secara automatis dijangkakan bahawa
mereka akan memberi duit raya yang banyak juga. Selain itu, sama ada
bekerjaya lumayan atau sederhana, duit raya sedikit sebanyak
memiliki peranan dalam menambah bebanan belanjawan setiap ibubapa.
d) Ibubapa
bukan sahaja perlu mengeluarkan wang, tetapi juga beratur panjang
untuk mendapatkan wang tersebut dalam kertas yang baru dengan
pecahan yang betul. Berapa ramai di antara para ibubapa yang sebelum
ini perlu beratur panjang di bank? Bukan sekadar itu, setelah hampir
sejam beratur, apabila sampai giliran di kaunter, pecahan yang
diingini telah kehabisan. Maka terpaksalah beratur di bank lain atau
datang semula esok-lusa. Sementara beratur dan kembali beratur,
kerja di pejabat terabai. Ajaran Islam menegaskan, tidak boleh
melakukan amal yang sunat dengan mengabaikan amal yang wajib.
Memberi duit raya sebagai hadiah yang ikhlas adalah amalan sunat
tetapi kerja di pejabat adalah amanah yang wajib.
Empat poin di atas
insya-Allah akan dapat membantu menjawab persoalan sama ada duit
raya adalah satu hadiah yang ikhlas dan berdasarkan kemampuan.
Penulis yakin setiap ibubapa yang berlainan akan memberikan jawapan
yang berlainan. Yang penting, harap jawapan itu adalah ikhlas untuk
diri sendiri.
Perkara lain yang
ingin penulis tekankan, empat poin di atas tidak berlaku untuk semua
ibubapa. Penulis akur bahawa memang terdapat ibubapa yang memberikan
duit raya secara ikhlas tanpa terkesan langsung dengan empat poin di
atas. Oleh itu harapnya tidak wujud salah faham bahawa penulis
mengkategorikan semua ibubapa dalam kumpulan yang sama.
Kedua:
Kebaikan duit raya
benar-benar akan berubah menjadi keburukan jika ibubapa benar-benar
memikirkan natijah yang sedang atau bakal menimpa anak-anak mereka
sendiri. Sedar atau tidak, duit raya mendidik anak-anak menjadi
seseorang yang materialistik. Mereka bergembira untuk menyambut 1
Syawal tetapi kegembiraan itu lebih tertumpu kepada duit raya yang
bakal diperolehi. Mereka bergembira untuk balik kampung namun di
celah-celah kegembiraan tersebut terselit faktor “duit raya”. Mereka
memilih rumah mana yang patut diziarah terlebih dahulu berdasarkan
kadar duit raya yang bakal diperolehi. Mereka memilih kasih di
antara ahli keluarga dan sanak saudara berdasarkan jumlah duit raya
yang diberikan.
Malah sebahagian
anak-anak ada yang memberitahu ibubapa mereka bahawa mereka akan
keluar berhari raya dengan rakan-rakan. Akan tetapi yang benar
mereka bukan berhari raya tetapi menjadi peminta sedekah. Mereka
bersama rakan-rakan pergi dari rumah ke rumah sambil melaungkan “Assalamu‘alaikuuuum!”
Yang diharapkan bukanlah sekadar “Wa‘alaikumussalam” tetapi diiringi
sampul yang memiliki duit raya di dalamnya.
Jika begitu, anak-anak
nak berhari raya dengan apa?
Penulis berharap
soalan di atas tidak timbul daripada kalangan ibubapa yang budiman
sekalian. Jika ia timbul, maka jelas bahawa duit raya benar-benar
telah menenggelamkan “syiar” Islam yang terkandung dalam sambutan 1
Syawal. Sudah tiba masanya ibubapa memikirkan tindak tanduk mereka
selama ini dalam bab sambutan 1 Syawal dan kaitannya dengan duit
raya.
TOP
Apakah
tujuan sebenar tulisan ini?
Seperti yang disebut
di bahagian permulaan, tujuan artikel ini ialah mengajak para
pembaca sekalian, khasnya para ibubapa, untuk merenung, memikir dan
menganalisa satu amalan yang sekian lama telah menjadi satu
kebiasaan. Sememangnya dalam kehidupan ini, kita melakukan banyak
perkara semata-mata kerana kebiasaan. Padahal jika kita meluangkan
sedikit masa untuk menganalisa baik buruk perkara tersebut, kita
akan tersentak sambil bertanya kepada diri sendiri: “Kenapakah aku
buat perkara itu?” atau “Kenapakah selama ini aku tidak terfikir
tentangnya?”
Kata pepatah orang
Barat ada menyebut:
“Why do you call the guy in the restaurant a “waiter”
when you are the one who actually have to wait for him?”
Baik atau buruk amalan
memberi duit raya penulis serahkan kepada analisa para ibubapa yang
budiman sekalian. Yang merasakan ia baik maka teruskanlah, yang
merasakan ia tidak baik maka tinggalkanlah. Di antara kita mungkin
timbul perbezaan pendapat, namun penulis yakin para ibubapa sekalian
memiliki sikap yang terbuka dalam menghadapi perbezaan ini.
Walaubagaimanapun,
sambil kita memikir dan menganalisa baik atau tidak amalan memberi
duit raya, terdapat satu amalan lain yang tidak wujud ruang untuk
kita berbeza pendapat sama ada ia adalah baik atau tidak. Ini kerana
amalan tersebut sememangnya adalah baik. Amalan yang dimaksudkan
ialah memberi sedekah kepada orang-orang yang kurang bernasib baik,
iaitu keluarga-keluarga miskin, anak-anak yatim, orang-orang hilang
upaya dan sebagainya.
Inilah orang-orang
yang sepanjang tahun makanan dan minuman mereka hanyalah sekadar
nasi dan kicap cair yang dicairkan. Pakaian mereka hari ini adalah
apa yang mereka pakai semalam, malah mungkin juga merupakan apa yang
mereka pakai sejak tahun-tahun sebelumnya. Mereka tidur bertilamkan
lantai yang sejuk atau tanah yang berdebu. Mereka tidak berteduh
daripada terik matahari melainkan turut serta merasai kepanasannya
kerana hanya berbumbungkan kepingan zink. Mereka tidak berlindung
daripada hujan yang lebat melainkan turut serta merasai tempiasnya
kerana kepingan zink telah berkarat. Demikianlah halnya dalam
pelbagai sudut lain dalam kehidupan mereka.
Merekalah orang-orang
yang sebenarnya memerlukan duit raya. Atau dalam istilah yang lebih
tepat, sedekah. Di antara syiar utama sambutan 1 Syawal ialah umat
Islam tidak kira yang bernasib baik atau kurang bernasib baik,
sama-sama dapat menyambutnya dengan meriah. Tidak ada kemungkinan
bagi orang-orang yang kurang bernasib baik untuk menyambut 1 Syawal
melainkan kita membantu mereka. Jika selama ini setiap tahun kita
menyediakan belanjawan tertentu untuk duit raya, maka pastikan tahun
ini dan tahun-tahun akan datang kita juga menyediakan belanjawan
yang khas untuk mereka. Ini kerana terhadap orang-orang ini, tidak
timbul sama ada amalan memberi duit raya adalah baik atau tidak.
Tidak wujud penganalisaan melainkan pemberian.
Memberi sedekah adalah
mudah, sekadar pergi ke ATM atau menulis cek. Akan tetapi ada
sesuatu perkara tambahan yang pada satu sudut mungkin sukar tetapi
dari sudut yang lain besar manfaatnya. Apabila hendak menyampaikan
sedekah, pastikan kita sendiri yang pergi ke rumah orang miskin,
rumah anak yatim dan rumah orang hilang upaya. Kemudian – dan inilah
yang menyukarkan – bawa sama anak-anak kita ke rumah-rumah tersebut.
Membawa anak-anak akan memberi mereka satu pengalaman yang baru,
justeru satu pendidikan yang tiada tandingannya.
Dengan membawa
anak-anak, kita dapat mendidik mereka untuk bersyukur atas apa yang
mereka nikmati selama ini, sedar bahawa wujud satu golongan
masyarakat yang tidak senasib dengan mereka, prihatin kepada nasib
golongan tersebut dan akhirnya, menimbulkan rasa kasih sayang dan
ingin membantu golongan tersebut. Biarkan mereka saling bersalaman
dan berkenalan dengan golongan yang kurang bernasib baik itu. Malah,
biarlah mereka yang menyampaikan duit yang ingin kita sedekahkan.
Semua inilah akan menjadi satu pendidikan dan pengalaman yang
merupakan sebaik-baik “duit raya” untuk anak-anak kita sendiri.