Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

  

PENUTUP

 

Demikianlah perbahasan mengenai wuduk, tayamum serta mandi wajib mahupun sunat dan hal-hal berkaitan dengannya. Adalah harapan penulis yang menggunung tinggi agar buku ini akan dapat meningkatkan keazaman semua pihak untuk bersungguh-sungguh dalam mencontohi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam perkara-perkara yang telah penulis perbincangkan menerusi buku ini dan juga seluruh amal ibadah yang lain. Mencontohi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah bukti yang jelas bagi menunjukkan kecintaan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firman-Nya:

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu

serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”[1]

 

Semoga dengan kesungguhan kita dalam mencontohi atau berittiba’ kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kita akan termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat Allah dan segala dosa kita diampunkan oleh-Nya.

 

Apakah itu ittiba’? Ittiba’ dari segi bahasa bermaksud mengikuti atau mencontohi. Bila dikatakan Ittiba’ al-Rasul ianya bermakna mencontohi baginda shallallahu 'alaihi wasallam, mengikuti jejaknya dan menjadikannya sebagai contoh teladan yang baik. Ittiba’ dari segi syari’at bermaksud mencontohi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syari’at dan muamalah dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan baik dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai wajib, sunat, harus, makruh mahupun haram dengan disertai niat dan kehendak di dalamnya untuk mencapai keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

Untuk kita lebih memahami konsep ittiba’ mari kita melihat kaedah-kaedah yang membelakanginya:

 

a)       Agama Islam adalah agama yang ilmiah. Ianya ditegakkan di atas dasar dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ianya bukan satu agama yang didirikan menurut rekaan akal manusia dengan sewenang-wenangnya.

 

b)      Hendaklah kita pastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan hukum-hukum Islam sebelum kita mengamalkannya. Oleh itu setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama)

apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.”[2]

 

 “Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami

(iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia.”[3]

 

c)      Ittiba’ al-Rasul ialah mengamalkan segala yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Jika baginda shallallahu 'alaihi wasallam telah menetapkan sesuatu hukum maka tidak boleh sesiapapun yang menentangnya atau mengutamakan pandangan orang lain melebihi perintah baginda tersebut.

 

d)      Apa juga bentuk-bentuk peribadatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan tidak pernah dikerjakan oleh baginda padahal ianya boleh diamalkan pada masa baginda masih hidup, maka mengerjakannya adalah bid’ah dan meninggalkannya adalah sunnah. Ini adalah kerana Islam telah sempurna sebelum baginda wafat. Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan ianya dianggap bukan sebahagian dari agama semasa itu maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik rahimahullah berkata:

 

Sesiapa yang membuat bid’ah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman:

 

 “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu.”[4]

 Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini.[5]

 

 

e)      Segala perkara yang diperlukan dalam kehidupan seharian manusia telah diperjelaskan oleh syari’at. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

“Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk,

serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam.”[6]

 

 

f)       Syarat-syarat berkaitan ittiba’ adalah seperti berikut:

 

1)      SEBAB: Setiap ibadah yang dihubungkaitkan dengan sesuatu sebab yang tidak disyari’atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala maka ianya termasuk dalam perkara bid’ah dan tertolak. Sebagai contohnya berpuasa sempena dengan Mawlidul Rasul. Puasa pada asalnya adalah ibadah, namun tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa berpuasa pada tanggal 12 Rabiulawal itu adalah sunat, maka mengkhususkan hari tersebut dengan berpuasa adalah bid’ah.

 

2)      JENIS: Setiap ibadah yang dikerjakan memerlukan untuk menggunakan sesuatu jenis barang maka hendaklah jenis barang tersebut bertepatan dengan syarak. Contohnya menyembelih ayam sebagai haiwan korban pada hari raya Aidiladha adalah bid’ah. Ini adalah kerana haiwan yang dibolehkan untuk disembelih sebagai ibadah korban adalah unta , lembu, kambing dan biri-biri.

 

3)      KADAR: Setiap ibadah yang mempunyai kadar tertentu yang ditetapkan oleh syarak maka hendaklah kita menepati kadar tersebut tanpa menambahi mahupun menguranginya. Sebagai contohnya bilangan rakaat solat subuh adalah 2. Oleh itu menambahkannya menjadi 3 rakaat adalah bid’ah.

 

4)      TATACARA: Kita juga hendaklah menuruti tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya bagi sesuatu ibadah. Sekiranya kita menambahi atau mengurangi sesuatu perbuatan mahupun bacaan yang tidak dibenarkan oleh syarak dalam wuduk atau solat secara sengaja maka solat tersebut terbatal. Sebagai contoh kita menetapkan doa-doa tertentu yang tiada contohnya daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang perlu dibaca untuk setiap anggota wuduk.

 

5)      WAKTU: Kita juga hendaklah menepati waktu yang telah ditetapkan oleh syarak bagi sesuatu ibadah. Contohnya menyembelih haiwan korban sebelum mengerjakan solat hari raya Aidiladha membatalkan ibadah korban tersebut.

 

6)      TEMPAT: Kita hendaklah mematuhi penetapan tempat untuk mengerjakan sesuatu ibadah tertentu seperti yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Ibadah haji hendaklah dikerjakan di tempat-tempat yang telah ditetapkan iaitu di Makkah dan kawasan sekitarnya. Oleh itu mengerjakan ibadah haji di Malaysia adalah terbatal.

 

Ittiba’ al-Rasul ini merupakan agenda utama yang hendak diterapkan oleh penulis serta rakan-rakan seperjuangan dalam gerakan Tajdid menerusi buku-buku, risalah-risalah, forum-forum dan kuliyah-kuliyah kami. Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta'ala memperkenankan permohonan kami dan hanya kepada Dialah kami memohon pertolongan dan perlindungan sebagaimana firman-Nya:

 

Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.[7]

 

 


[1]               ali ‘Imraan (3): 31

[2]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Shulh, no: 2697.

[3]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sunannya, Kitab al-Aqdhiyah, no: 1718.

[4]               al-Maaidah (5) : 3

[5]               Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.

[6]               al-Nahl (16) : 89

[7]               al-Baqarah (2): 107

 

kandungan