Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

MUKADIMAH

 
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

 

أَنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا  

 

مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ

 

وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

 

 

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.

 

Kepada-Nya kita memohon dan kepada-Nya jua kita meminta ampun. Kita memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan diri dan keburukan amal perbuatan. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dia tidak akan mendapatkan kesesatan.

Barangsiapa yang tersesat, maka tidak ada yang dapat memberikannya petunjuk kecuali hanya Dia.

Saya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha Esa. Saya bersaksi bahawasanya Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.

 

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa,

dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.[1]

 

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam),

dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya

- zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta

dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat;

kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.[2]

 

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara). Supaya Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu.

Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai

sebesar-besar kejayaan.[3]

 

Sesungguhnya perkataan yang paling benar adalah kitabullah.

Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Sedangkan seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan dan semua yang diada-adakan adalah bid’ah.

Semua yang bid’ah adalah sesat dan semua yang sesat tempat kembalinya adalah neraka.[4]

 

 

Penulis ingin memanjat rasa syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan limpah kurnia-Nya buku penulis sebelum ini yang bertajuk Beberapa Persoalan Lazim Tentang Solat mendapat sambutan yang menggalakkan. Lantas penulis diajukan satu idea yang bernas daripada sahabat karib, mentor serta guru penulis iaitu Saudara Hafiz Firdaus Abdullah agar mengarang sebuah buku berkaitan dengan wuduk kerana kedua subjek ini iaitu wuduk dan solat adalah saling bertaut di antara satu sama lain. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

 

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأ.َ

 

Allah tidak menerima solat salah seorang di antara kalian yang berhadas hingga dia berwuduk.[5]

 

Maka lanjutan dari saranan tersebut penulis usahakan sebuah buku yang membicarakan perihal tatacara wuduk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Namun begitu penulis melihat perlu juga dibahaskan di dalam buku yang sama ini tentang tatacara sebenar untuk bertayamum dan mandi wajib mahupun sunat kerana ianya juga saling berkait rapat dengan ritual menyucikan diri sebelum mengerjakan solat. Sememangnya terdapat begitu banyak buku di pasaran yang telah membahaskan tentang perkara-perkara tersebut. Namun begitu penulis berharap kehadiran buku ini akan dapat saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain. Menerusi buku ini penulis juga telah menerapkan beberapa metodologi penulisan agar buku ini dapat dipersembahkan dalam format yang mudah dicerna walaupun perbahasannya berciri ilmiah dan dalam beberapa topik penulis telah mengupasnya dengan secara mendalam. Metodologi tersebut adalah seperti berikut :-

 

1)      Penulis sedaya-upaya akan membahaskan topik-topik tersebut seadil mungkin dengan menggunakan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai neraca kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah memberi jaminan bahawa selagimana kita berpegang kepada keduanya kita tidak akan tersesat. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam :

 

 

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

 

Aku telah meninggalkan kepada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat dengan keduanya,

iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya.”[6]

 

2)      Sengaja penulis bahaskan segala topik dalam buku ini merujuk kepada kepelbagaian pandangan tanpa menghadkan kepada mazhab Syafi’i sahaja. Ini secara tidak langsung akan mendedahkan kepada para pembaca kepada pandangan mazhab-mazhab lain dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan dapat memperkayakan ilmu-ilmu fekah masing-masing. Sifat keterbukaan kepada pandangan-pandangan mazhab lain diharapkan akan dapat membasmi sikap taksub mazhab[7] dalam masyarakat kita dan saling menghargai khazanah fekah yang telah ditinggalkan oleh ulamak-ulamak silam.

 

3)      Hendaklah para pembaca menyedari bahawa perbahasan hukum wajib mahupun sunat di dalam buku ini hanyalah bertujuan ilmiah dan agar dapat dijadikan panduan tentang adakah tindakan seseorang meninggalkan sesuatu amalan tersebut dapat menjejaskan keabsahan sesuatu ibadah. Namun begitu sekiranya sesuatu amalan itu memang sabit datangnya daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka bagi Ahlus Sunnah akan sedaya upaya untuk mengerjakannya walaupun ianya sekadar amalan yang sunat mahupun harus sahaja.

 

4)      Perbahasan fekah sentiasa akan mendedahkan para pembaca kepada perbezaan-perbezaan pendapat (ikhtilaf) di antara para ulamak. Bagi penulis pendedahan tersebut adalah satu sikap yang baik dan wajar untuk diketengahkan kepada masyarakat yang semakin dahagakan ilmu. Apatah lagi Qatadah (seorang imam generasi awal) pernah berkata:

 

Barangsiapa yang tidak mengenal ikhtilaf, maka dia belum mencium fikih (ilmu Fekah) dengan hidungnya.[8]

 

Pengarang kitab Shahih Fikih Sunnah ketika mengulas ucapan Qatadah di atas telah berkata:

 

Disebabkan tidak tahunya seseorang terhadap ikhtilaf itu boleh menyebabkan seseorang menolak sebahagian kebenaran. Kebenaran tidak diungguli oleh sebahagian individu – di antara sekian banyak ulamak-, namun ia boleh dimiliki oleh sesiapapun. Kerana itu ada sebuah riwayat daripada ‘Uthman bin Atha’ daripada bapanya, dia berkata:

 

Tidak seharusnya seseorang berfatwa kepada manusia sebelum dia mengetahui ikhtilaf yang terjadi di kalangan manusia (ulamak), kerana jika dia melakukan hal itu, boleh terjadi dia menolak ilmu yang sebenarnya lebih thiqah (terpercaya kebenarannya) daripada ilmu yang dia yakini.[9]

 

5)      Adakalanya ketika berhadapan dengan perkara yang terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulamak, penulis akan melakukan tarjih (memilih pendapat yang lebih tepat) sekiranya telah jelas bagi penulis akan kekukuhan hujahya berbanding dengan pendapat-pendapat yang lain. Namun begitu ini tidak bermakna penulis telah memperkecilkan pandangan para ulamak yang berpegang kepada pendapat yang penulis lihat kurang tepat itu. Hanya sahaja sekiranya terdapat sesuatu perselisihan pendapat samada dalam perkara yang pokok atau cabang dalam agama, manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah merujuk semula kepada al-Qur’an dan al-Sunnah untuk mendapatkan kepastian tentang pandangan mana yang lebih benar dan tepat. Ini selari dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri"

(orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara,

maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.[10]

 

Harus juga penulis tekankan di sini bahawa pendapat-pendapat yang telah penulis tarjih bukan bermaksud menjadi keharusan bagi orang lain untuk mengikuti pendapat penulis tersebut. Hanya sahaja penulis telah melakukan tarjih tersebut sesuai dengan kemampuan dan ilmu yang ada pada diri penulis yang sememangnya tidak bebas dari melakukan kesilapan. Usaha penulis ini diharapkan dapat membantu para pembaca untuk melakukan amalan sesuai dengan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, amalan para al-Salafussoleh dan bebas dari amalan-amalan bid’ah.

 

6)      Adakalanya perkara-perkara yang dikhilafkan itu masing-masing memiliki hujah-hujah yang kukuh dan dibangunkan menurut kaedah-kaedah fekah yang benar. Maka dalam keadaan sebegini penulis tidak melakukan tarjih tetapi penulis terbuka kepada pendapat-pendapat tersebut. Bagi para pembaca bolehlah memilih pendapat mana yang mereka yakini lebih tepat. Ibnu Abdil Barr rahimahullah berkata:

 

Adalah wajib ketika terjadi ikhtilaf ulamak, agar mencari dalil dari al-Qur’an, al-Sunnah, ijmak atau qiyas berdasarkan pokok-pokok dalil tadi. Apabila dari dalil-dalil yang ada adalah sama kuat, maka wajib memilih dalil yang paling mendekati kebenaran menurut al-Qur’an dan al-Sunnah. Jika langkah tersebut belum menunjukkan kejelasan, maka wajib untuk bertawaqquf (berhenti tanpa mentarjih) dan tidak boleh memastikan pada salah satu pendapat melainkan dengan keyakinan.[11]

 

Buku yang berada di tangan para pembaca ini penulis berikan judul Beberapa Persoalan Lazim Tentang Wuduk, Tayamum & Mandi. Berbeza dengan buku-buku penulis sebelum ini, buku ini penulis usahakan bersama dengan rakan seperjuangan dan guru penulis iaitu Saudara Tuan Hassan Tuan Lah, yang merupakan seorang yang ahli dalam bidang fekah. Beliau merupakan ahli panel fiqh bagi laman web al-Ahkam.

 

Semoga buku ini mencapai objektifnya serta mendatangkan manfaat kepada sesiapa yang membacanya serta dapat menjadikan kita insan yang bersungguh-sungguh dalam mengamalkan sunnah-sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dalam segala perkara terutamanya dalam bab thohaarah. Penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru yang banyak mengajar penulis tentang Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Setinggi-tinggi penghormatan juga kepada kedua ibu bapa yang dikasihi, seluruh ahli keluarga yang disayangi, kepada teman seperjuangan di alFikrah dan al-Ahkam, rakan-rakan di Affin Bank Berhad yang telah sudi untuk berkongsi ilmu serta bertukar pandangan dengan penulis. Semoga Allah membalas jasa mereka dengan ganjaran pahala yang lebih baik di dunia dan akhirat.

 

Penulis juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hafiz Firdaus Abdullah, Mohd Khairul Muhammed, Ummu ‘Izzati, Maryati bte Mat Nasir dan Ainul Yakin kerana sudi membaca pruf serta membuat sebarang pembetulan yang perlu terhadap buku ini. Walaubagaimanapun seandainya terdapat apa-apa kesilapan atau kekurangan dalam buku ini, maka ia adalah di atas tanggungjawab penulis. Sebarang pembetulan dan pembaikan dialu-alukan. Ia boleh disampaikan kepada penulis samada melalui telefon: 016-2640722 atau e-mel: akob73@yahoo.com. Semoga amalan yang baik dan ilmu yang berfaedah ini diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

 

Abu Iqbal Mohd Yaakub Bin Mohd Yunus

Rabiulakhir 1428 / Mei 2007

Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur

 

 


 

[1]               Aali-‘Imraan (3) :102

[2]               al-Nisaa’ (4) : 1

[3]               al-Ahzaab (33) : 70-71

[4]               Hadis riwayat imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, Kitab Sholat al-‘Iedaini, no: 1560.

[5]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 225.

[6]               Hadis riwayat Imam Malik dalam al-Muwattha’, Kitab al-Jami’, hadis no. 1395.

[7]               Membasmi sikap taksub mazhab bukan bermakna memerangi mazhab-mazhab yang ada dalam Islam. Penulis sentiasa mengiktiraf kewujudan mazhab-mazhab tersebut dan menghormati para ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara keseluruhannya. Menurut Syaikh al-Albani rahimahullah:

Sesungguhnya penyeru untuk kembali kepada al-Sunnah tidak bermaksud meninggalkan semua mazhab yang ada baik secara global mahupun secara rinci, bahkan mereka (yang mengajak untuk kembali kepada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) senantiasa menghargai mazhab-mazhab tersebut dan menghormati para imam mazhab sambil bergantung pada pandangan para imam untuk memahami al-Kitab dan al-Sunnah. Mereka  hanya meninggalkan pendapat para imam apabila jelas bertentangan dengan al-Kitab dan al-Sunnah.- Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Risalah Ilmiah Albani, (edisi terjemahan oleh Abu Musyrifah dan Ummu Afifah, Pustaka Azzam, Jakarta, 2002), ms. 42.

Sebenarnya tidak ada salah untuk mengikuti mazhab asalkan pendapat mazhab itu tidak lebih diutamakan dari al-Qur’an dan hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Dalam ertikata lain sekiranya di dalam sesuatu mazhab itu terdapat amalan yang bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka hendaklah ditinggalkan pendapat mazhab tersebut.  Diakibatkan oleh bisikan syaitan, wujud dikalangan umat Islam yang begitu taksub terhadap mazhab masing-masing sehingga mereka beranggapan hanya mazhab mereka sahaja yang benar dan wajib ditaati dalam apa jua keadaan. Menurut Syaikh Muhammad Sulthan al-Maksumi al-Khajandi rahimahullah:

Dari sanalah (sikap fanatik mazhab) munculnya saling membenci, saling meninggalkan, saling menghasut dan takbur, hingga urusan umat Islam berantakan dan persatuan menjadi cerai-berai. Jadilah mereka santapan orang-orang Eropah dan penindas. Bukankah setiap imam Ahl al-Sunnah rahimahumullah itu merupakan imam kita dan kita di barisan mereka? Sangat disesalkan orang-orang fanatik ini! Ya Allah, tunjukilah kami dan mereka ke jalan yang lurus. - Syaikh Muhammad Sulthan al-Ma’shumi al-Khajandi, Perlukah Bermazhab (edisi terjemahan, Penerbit Aras Sarana Widia, Jakarta, 1999), ms. 86.

Penulis menyarankan para pembaca untuk mendapatkan buku karangan Saudara Hafiz Firdaus bertajuk Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam (Edisi Baru) terbitan Perniagaan Jahabersa untuk memahami lebih lanjut tentang perkara ini.

[8]               Dinukil dari buku karya Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fikih Sunnah (edisi terjemahan terbitan Pustaka Azzam, Jakarta, 2006) jilid 1, ms. 21.

[9]               Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 21.

[10]             al-Nisaa’ (4) : 59

[11]             Penulis nukil dari buku karya Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fikih Sunnah  jilid 1, ms. 22-23.

 

kandungan