Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

ADAKAH MEMAKAN DAGING UNTA MEMBATALKAN WUDUK?

 

Para ulamak berbeza pendapat tentang hukum memakan daging unta adakah ianya membatalkan wuduk ataupun tidak.

 

Pendapat pertama mengatakan ianya membatalkan wuduk berdalilkan hadis di bawah:

 

Daripada Jabir bin Samurah bahawa seseorang bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:  

Apakah kita harus berwuduk kerana makan daging kambing?

Baginda menjawab: Jika kamu mahu berwuduklah, dan jika kamu mahu, kamu tidak perlu berwuduk.

 

Orang tersebut bertanya lagi: Apakah kami harus berwuduk kerana makan daging unta?

Baginda menjawab: Ya, berwuduklah kerana memakan daging unta.[1]

 

Dari al- Barra’ bin ‘Aazib, dia berkata bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya

apakah harus berwuduk kerana memakan daging unta.

Baginda menjawab: Berwuduklah kerananya.

 

Dan baginda ditanya pula tentang memakan daging kambing.

Jawab baginda: Tidak berwuduk kerananya.[2]

 

 

Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam Ahmad, Ishaq, Abi Khaitsumah, Ibnu Mundzir, al-Baihaqi, al-Nawawi, Ibnu Hazm, Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah, Ibnul Qayyim, al-Syaukani, para ulama salaf Najd dan tokoh-tokoh hadis yang lebih mengutamakan perintah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dari pendapat akal.[3]

 

Imam al-Nawawi rahimahullah berkata:

 

Imam al-Syafi’i dalam qaul qadiim (pendapat lamanya ketika menetap di Iraq) berpendapat memakan daging unta membatalkan wuduk. Pendapat ini yang paling kuat jika dilihat dari sisi dalil dan ini pendapat yang aku unggulkan.[4]

 

Hikmah hukum batalnya wuduk kerana memakan daging unta menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam adalah:

 

Unta mempunyai kekuatan syaithoniyyah (syaitan) sebagaimana disinggung oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam sabdanya:

 

Ia (unta) sebahagian dari jin.

 

Untuk itu memakannya dapat menimbulkan kekuatan syaithoniyyah yang hanya dapat dihilangkan dengan berwuduk.

 

Hal tersebut diperkuatkan lagi dengan sikap kebiasaan pengembala unta yang sombong dan tinggi hati. Sikap ini disebabkan oleh seringnya kebersamaan mereka bersama unta. Berbeza halnya dengan pengembala kambing yang cenderung rendah hati dan tenang. Mungkin inilah rahsia mengapa para Nabi kebiasaannya pernah mengembala kambing.[5]

 

Pendapat kedua pula menyatakan memakan daging unta sama sekali tidak membatalkan wuduk. Menurut Imam al-Nawawi rahimahullah:

 

Ini adalah pendapat jumhur ulamak. Ini dikisahkan dari Abu Bakar al-Shiddiq, ‘Umar, ‘Uthman, ‘Ali, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Ka’ab, Abu Thalhah, Abu al-Darda’, Ibnu ‘Abbas, Amir bin Rabi’ah, Abu Umamah. Pendapat ini juga merupakan pendapat jumhur tabi’in, Malik, Abu Hanifah dan Syafi’i (dalam qaul jadid nya).[6]

 

Mereka berpendapat hukum memakan daging unta ini telah dimansuhkan oleh hadis daripada Jabir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh yang berkata:

 

Hukum terakhir di antara dua hal (tersebut) daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah

meninggalkan wuduk setelah memakan sesuatu yang disentuh api (dimasak).[7]

 

Hadis di atas bersifat umum bagi semua daging yang dimasak termasuklah daging unta. Bagi mereka perkara-perkara yang membatalkan wuduk adalah disebabkan sesuatu yang keluar dari badan (seperti kentut, membuang air kecil mahupun besar, keluar air mani dan lain-lain) dan bukannya kerana sesuatu yang masuk (seperti makan daging unta ini).

 

Mereka juga melihat hadis-hadis yang memerintahkan untuk berwuduk kerana memakan daging unta sebenarnya bermaksud membasuh tangan dan mulut. Ini adalah kerana daging unta adalah lebih berbau berbanding dengan daging-daging yang lain dan ianya sangat berlemak.

 

Imam al-Syairazi rahimahullah pula berkata:

 

Sekiranya memakan daging babi (yang jelas hukumnya haram) tidak membatalkan wuduk maka makan daging yang halal pasti lebih tidak membatalkan.[8]

 

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menguatkan pendapat ke dua ini dan dia berkata:

 

Di antara dalil jumhur ulamak yang paling menonjol adalah bahawa pendapat ini (tidak batalnya wuduk kerana memakan daging unta) adalah kerana ianya merupakan pandangan al-Khulafa’ al-Rasyideen secara keseluruhan; Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman, ‘Ali dan pendapat para ulamak di kalangan sahabat bahkan ini juga merupakan pendapat majoriti sahabat sebagaimana dikatakan oleh al-Nawawi. Dengan demikian sangat tidak masuk akal jika memakan daging unta itu membatalkan wuduk, namun kemudian tidak diketahui oleh mereka padahal mereka adalah orang-orang yang berdampingan dengan Rasulullah dan orang yang paling dekat dengannya, mereka adalah orang-orang yang paling mengerti sunnahnya. Lalu bagaimana mungkin mereka hidup selama tiga puluh tahun setelah wafatnya dan mereka tidak mengetahui hukum yang banyak bersangkutan dengan kehidupan mereka sehari-hari yakni tentang memakan daging unta. Oleh sebab itulah Imam al-Nawawi (di dalam al-Majmu’, jilid 2, ms. 260) berkata; pandangan yang paling menyejukkan hati adalah pendapat para khulafa’ dan jumhur sahabat.[9]

 

 

KESIMPULAN

 

Sebagaimana yang kita sedia maklum hal ini termasuk dalam perkara yang diperselisihkan oleh para ulamak dan sebagaimana yang telah sedia maklum adalah manhaj penulis untuk berlapang dada dalam hal-hal sebegini. Hanya sahaja penulis melihat hujah batalnya wuduk kerana memakan daging unta adalah lebih bertepatan dengan perintah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang termaktub dalam hadis Jabir bin Samurah dan al-Barra’ bin ‘Aazib radhiallahu 'anhuma. Bila adanya perintah dari Allah Subhanahu wa Ta'ala serta Rasul-Nya maka hendaklah kita dengar dan taat. Firman Allah 'Azza wa Jalla:

 

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh - (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana)

Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya,

- merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.[10]

 

Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah tidak mengutamakan atau meninggikan logik akal berbanding dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini adalah kerana akal tidak dapat berdiri sendiri untuk memahami syariah, kerana akal itu lemah dan terbatas. Sebagaimana pendengaran, penglihatan dan kekuatan manusia itu terbatas, demikian pula dengan akalnya. Oleh itu akal harus tunduk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Selanjutnya penulis bentangkan bantahan terhadap pendapat golongan yang menyatakan makan daging unta tidak membatalkan wuduk. Namun penulis ingin peringatkan tujuan penulis ini tidak sedikitpun untuk memperkecilkan sesiapa jua yang berpegang kepada pandangan tersebut. Satu lagi ciri-ciri Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah tidak mengagungkan mana-mana imam ataupun ulamak yang mereka ambil seluruh ucapannya kecuali Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Walaubagaimanapun Ahlus Sunnah tetap menghormati seluruh imam-imam Ahlus Sunnah Wal Jamaah terutamanya imam-imam mazhab yang empat. Bagi Ahlus Sunnah pendapat ataupun ucapan selain daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah tidak terpelihara dari kesilapan maka mereka menimbangnya dengan al-Qur'an dan al-Sunnah. Jika ia sesuai dengan keduanya maka ianya akan diterima sebagai hujah dan sekiranya tidak maka ianya akan terbatal.

 

Berikut adalah bantahannya:

 

PERTAMA: Tentang dakwaan Imam al-Nawawi bahawa pendapat memakan daging unta tidak membatalkan wuduk merupakan pendapat Khulafa’, jumhur sahabat dan tabi’in. Yang sebenar riwayat-riwayat dari para salaf hanyalah mengkhabarkan tentang tidak perlunya berwuduk apabila memakan daging yang dimasak secara umum. Sedangkan daging unta membatalkan wuduk sekiranya ia dimakan saat ianya mentah mahupun dimasak. Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:

 

Pengakuan ini merupakan kesalahan al-Nawawi. Syaikh al-Islam (Ibnu Taymiyyah rahimahullah) telah mengingatkannya di dalam al-Qawa’id al-Nuraniyyah (ms. 9), beliau berkata:

 

Adapun orang yang menukilkan daripada al-Khulafa’ al-Rasyideen dan majoriti sahabat bahawa mereka tidak berwuduk kerana (makan) daging unta, telah melakukan kesalahan. Ini adalah salah faham terhadap apa yang dia nukilkan. Dia menduga mereka tidak berwuduk kerana (makan) daging yang sudah disentuh oleh api (dimasak). Padahal yang dimaksudkan adalah bahawa setiap sesuatu yang tersentuh api, menurut mereka, tidak menyebabkan kewajipan wuduk. Perintah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam agar berwuduk kerana (makan) daging unta bukan kerana daging itu tersentuh api. Sebagaimana dinyatakan misalnya: Fulan tidak berwuduk kerana menyentuh kemaluan, tetapi dia berwuduk kerana keluar mazi.[11]

 

Menurut Syaikh al-Albani athar-athar yang sebenarnya datang dari para sahabat termasuk al-Khulafa’ al-Rasyideen sebenarnya sama sekali tidak menyebutkan tentang memakan daging unta melainkan disebutkan daging secara umum. Menurut Syaikh al-Albani:

 

Kerana itu Imam al-Thahawi dan al-Baihaqi mencantumkan athar-athar ini dalam bab Wuduk Kerana (makan) Sesuatu Terkena Api. Al-Baihaqi tidak mencantumkan (athar-athar tersebut) pada bab Berwuduk Kerana (makan) Daging Unta.[12]

 

 

KEDUA: Tentang riwayat dari ‘Ali bin Abi Thalib dan Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhuma yang telah berkata: Berwuduk kerana sesuatu yang keluar, bukan kerana sesuatu yang masuk, menurut Syaikh al-Albani rahimahullah:

 

Keduanya menyatakan hal itu dalam masalah meninggalkan wuduk kerana sesuatu yang disentuh oleh api (dimasak).[13]

 

Manakala riwayat daripada Ibnu Mas’ud radhiallahu 'anh bahawa beliau makan daging unta dan tidak berwuduk. Menurut Imam al-Baihaqi rahimahullah:

 

Hadis ini munqati’ (terputus)[14] dan mauquf[15]. Hadis seperti ini tidak boleh dijadikan alasan untuk meninggalkan hadis yang sah daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.[16]

 

 

KETIGA: Berkaitan dengan dakwaan hadis Jabir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh yang telah memansuhkan hukum batalnya wuduk kerana memakan daging unta, Syaikh Kamal bin as-Sayyid Salim berkata:

 

1)     Hadis Jabir bersifat umum, adapun (hadis) yang menyatakan batalnya wuduk kerana makan daging unta bersifat khusus. Yang umum dibawa pada yang khusus, dan keumuman tersebut dapat dikecualikan apabila ada dalil yang mengkhususkannya[17] dan tidak dapat dikatakan nasakh (dalil yang memansuhkan) kerana masih berkemungkinan (hadis-hadis) ini digabungkan.

 

2)       Perintah yang ada di dalam masalah wuduk kerana makan daging unta adalah hukum yang khusus berkaitan dengannya, baik daging (unta) tersebut dimasak dengan api atau tidak, bukan kerana (daging unta itu) tersentuh api sahaja yang mengharuskan berwuduk. Hukum ini (batalnya wuduk kerana makan daging unta) di luar pembahasan yang ada dalam riwayat-riwayat tersebut yang mengharuskan berwuduk kerana menyentuh (memasak daging tersebut) dengan api, juga kerana hukum wuduk dari hal tersebut telah dinasakh (dimansuhkan hukumnya).[18]

 

Yang sebenarnya hadis Jabir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh hanyalah memansuhkan hukum yang terdapat dalam hadis daripada Zaid bin Tsabit, dia mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Berwuduklah setelah makan-makanan yang tersentuh oleh api (dimasak).[19]

 

 

KEEMPAT: Tentang dakwaan yang menyatakan bahawa maksud wuduk dalam hadis Jabir bin Samurah dan al-Barra’ bin ‘Aazib radhiallahu 'anhuma hanya perintah untuk membasuh mulut dan tangan agar hilang bau daging unta yang kurang menyenangkan adalah dakwaan yang batil. Ini adalah kerana mengertikan lafaz pada makna syar’i lebih didahulukan dari makna bahasa. Dari segi bahasa wuduk bermakna kebersihan manakala dari segi syarak ianya bermakna menggunakan air pada tempat-tempat yang tertentu (wajah, kedua tangan, kepala dan kedua kaki) untuk menghilangkan sesuatu yang menghalangi sahnya solat. Oleh itu istilah wuduk dalam hadis tersebut haruslah dimaknakan dengan takrifan syarak bagi wuduk.

 

Sebagai penutup bicara dalam bab ini penulis ingin mengemukakan kata-kata Imam al-Syafi’i rahimahullah dalam bab ini: Jika hadis berkaitan daging unta sahih tentu aku berpendapat sesuai dengan itu.”[20]

 

Ternyata hadis-hadis daripada Jabir bin Samurah dan al-Barra’ bin ‘Aazib radhiallahu 'anhuma itu sahih sebagaimana diperakui oleh ulamak-ulamak hadis termasuk Imam al-Baihaqi dan Imam al-Nawawi rahimahumallah yang bermazhab Syafi’i[21].

 

 


[1]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Haidh, no: 360.

[2]               Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 156.

[3]               Rujuk Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 319 dan Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 208.

[4]               Rujuk Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 319.

[5]               Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 316-317.

 

[6]               Rujuk Fikih Thaharah, ms. 246.

[7]               Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 185.

[8]               Rujuk Fikih Thaharah, ms. 247.

[9]               Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 247-248.

[10]             al-A’raaf (7) : 42

[11]             Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, jilid 1, ms. 115.

[12]             Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, jilid 1, ms. 116.

[13]             Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, jilid 1, ms. 116.

[14]             Munqathi’ bermaksud yang memutuskan. Menurut istilah ianya bermakna hadis yang pada sanadnya gugur seorang rawi sebelum sahabat atau gugur dua orang rawi di dua tempat dengan syarat tidak berturut-turut. Hadis munqathi’ tergolong dalam kategori hadis dha’if (lemah) yang tidak boleh dijadikan hujah.

[15]             Mauquf bermaksud yang diberhentikan. Menurut istilah ianya adalah perkataan atau perbuatan sahabat atau taqrir (persetujuan) yang disandarkan kepada sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Hadis mauquf ini ada yang shahih, hassan dan dha’if. Riwayat mauquf ini tidak dijadikan dasar hukum bagi agama kecuali terdapat ijmak dikalangan para sahabat.

[16]             Rujuk Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, jilid 1, ms. 116.

[17]             Inilah juga merupakan pandangan Imam al-Nawawi rahimahullah yang berkata:

Hadis tentang tidak berwuduk dari makanan yang tersentuh api bersifat umum, dan hadis yang memerintahkan berwuduk dari (apabila dimakan) daging unta bersifat khusus dan yang khusus itu didahulukan daripada perkara yang khusus. – Dinukil dari kitab Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, ms. 123.

[18]             Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 209.

[19]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Haidh, no: 351.

[20]             Rujuk Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 318.

[21]             Ternyata keikhlasan dalam bermazhab yang diperlihatkan oleh kedua-dua tokoh hadis ini sememangnya patut dipuji. Sebagai contohnya Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim telah berkata:

Pendapat yang menyatakan wajibnya berwuduk kerana makan daging unta lebih kuat dalilnya.- Dinukil dari kitab Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, ms. 124-125.

Walaupun mereka berdua ini bermazhab Syafi’i tetapi ternyata sekiranya ada dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang menyalahi mazhabnya itu, mereka akan mengunggulkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Malah perkara sebegini sebenarnya telah diperintahkan sendiri oleh Imam Abu ‘Abdillah Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah pada banyak tempat. Beliau pernah berkata:

Bila suatu masalah ada hadisnya yang sah dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menurut kalangan ahl al-Hadis, tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya, baik selama aku hidup mahupun setelah aku mati. - Dinukil daripada buku Sifat Shalat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (edisi terjemahan oleh Muhammad Thalib, Media Hidayah, Yogyakarata, 2000), ms. 59.

Selanjutnya Imam al-Syafi’i rahimahullah juga pernah berkata:

Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu. - Dinukil daripada buku Sifat Shalat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, ms. 59.

 

kandungan