Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

ADAKAH DARAH DAN MUNTAH MEMBATALKAN WUDUK?

                            

Majoriti umat Islam di Malaysia beranggapan bahawa darah, nanah serta muntah itu membatalkan wuduk. Para ulamak sebenarnya berbeza pendapat tentang hal ini.

 

Imam Malik dan al-Syafi’i rahimahumallah berpendapat bahawa keluarnya perkara-perkara yang disebut di atas sama sekali tidak membatalkan wuduk meskipun di dalam jumlah yang banyak. Sementara Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad rahimahumallah berpendapat bahawa ianya membatalkan wuduk sekiranya keluar di dalam jumlah yang banyak.

 

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

 

Menurut pandangan kami pendapat yang kuat adalah tidak batalnya wuduk yang disebabkan oleh masalah-masalah di atas, baik sedikit ataupun banyak.

 

Perkara yang menjadi penyebab batalnya wuduk adalah masalah ta’abbudi yang tidak ditetapkan kecuali oleh syariat, baik melalui al-Qur’an ataupun hadis sahih, padahal tidak ada dalil manapun di sana. Dalam hal ini tidak boleh menggunakan qiyas. Sebab alasan batalnya sesuatu perkara tidak boleh bergantung kepada akal semata.[1]

 

Pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi ini sebenarnya selari dengan Imam al-Nawawi rahimahullah yang juga menyatakan bahawa tidak terbukti ada riwayat sahih yang menjelaskan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan wuduk kerana hal-hal tersebut. Tambah al-Nawawi lagi ini adalah pendapat Ibnu ‘Umar, Ibnu ‘Abbas, Ibnu Abi Aufa, Jabir, Abu Hurairah, ‘Aisyah, Ibnul Musayyib, Salim bin ‘Abdullah bin ‘Umar, Qasim bin Muhammad, Thawus, Atha’, Makhul, Rabi’ah, Malik, Abu Tsaur dan Dawud. Al-Baghawi berkata: “Ini adalah pendapat majoriti sahabat dan tabi’in.”[2]

 

Imam al-Bukhari rahimahullah telah meriwayatkan:

 

Disebutkan dari Jabir bahawasanya Nabi pada perang Dzat al-Riqa’, saat itu ada seseorang yang di panah

hingga darah keluar dari tubuhnya namun beliau tetap rukuk, sujud dan meneruskan solatnya.

Al-Hassan berkata: “Kaum Muslimin senantiasa solat di dalam keadaan luka-luka.”

Thawus, Muhammad bin Ali, Atha’ serta ulamak Hijaz berkata: “Darah tidak menyebabkan batal wuduk.”

Ibnu ‘Umar pernah memecahkan bisulnya hingga keluar darah namun beliau tidak mengulangi wuduknya.

Sementara Ibnu Abu Aufa pernah mengeluarkan ludah yang bercampur darah namun beliau tetap meneruskan solatnya.

Ibnu ‘Umar dan al-Hassan berkata tentang seseorang berbekam: “Tidak ada baginya kecuali mencuci di tempat bekam.”[3]

 

 

Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah:

 

Imam al-Bukhari memaksudkan riwayat ini sebagai bantahan bagi ulamak mazhab Hanafi yang menyatakan bahawa darah dapat membatalkan wuduk.[4]

 

Telah diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh pada perang Dzat al-Riqa’ Nabi shallallahu 'alaihi wasallam singgah di suatu lembah, lalu baginda bertanya:

 

“Siapa yang bersedia menjaga kita pada malam ini?”

Berdirilah seorang lelaki dari kalangan Muhajirin serta seorang lelaki dari kalangan Anshar.

Maka keduanya berjaga malam di pinggiran seraya membahagi tugas mengawal.

Lelaki dari kalangan Muhajirin tidur terlebih dahulu, sementara lelaki dari kalangan Anshar berdiri melakukan solat.

Saat itu lelaki dari pihak musuh datang dan melihat lelaki Anshar sedang solat.

Tanpa berfikir panjang lalu dia memanah lelaki Anshar itu dan anak panah tersebut tepat terbenam di tubuhnya.

Lelaki Anshar itu mencabut anak panah tersebut dan terus mengerjakan solat,

lalu lelaki dari pihak musuh kembali memanah untuk kali yang kedua dan lelaki Anshar kembali mengulangi perbuatannya

seperti yang pertama tadi. Seterusnya dia dipanah lagi untuk kali yang ketiga.

Dia kembali mencabut anak panah itu dari tubuhnya lalu rukuk kemudian sujud sehingga selesai (solat).

Setelah itu dia membangunkan sahabatnya. Ketika sahabatnya melihat darah yang mengucur dari badannya,
dia berkata: “Mengapa engkau tidak membangunkan aku pada kali pertama engkau dipanah?”

Lelaki Anshar menjawab: “Aku sedang membaca satu surah dan aku tidak mahu memutuskannya (bacaan ayat tersebut).[5]

 

 

Berkenaan dengan hadis ini Imam al-Nawawi rahimahullah berkata:

 

Petunjuknya di sini (dari hadis tersebut) adalah bahawa darah telah keluar dengan banyak dari dia (pemuda Anshar tersebut), namun dia tetap meneruskan solatnya. Andaikata keluarnya darah itu membatalkan wuduk tentu sahaja tidak boleh bagi orang itu untuk rukuk, sujud dan menyelesaikan solat. Rasulullah mengetahui hal itu dan tidak mengingkarinya.[6]

 

Berkenaan dengan perbincangan samada muntah membatalkan wuduk, Syaikh Kamal bin as-Sayyid Salim berkata:

 

Pendapat para ulamak dalam masalah ini sama seperti pendapat mereka dalam masalah keluarnya darah dan yang benar adalah tidak membatalkan wuduk kerana tidak adanya hadis yang sahih yang mewajibkan wuduk kerana muntah dan juga berpedoman kepada hukum asal segala sesuatu adalah suci.

 

Adapun hadis Ma’adan bin Abi Thalhah dari Abi Darda

 

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah muntah lalu baginda berbuka dan berwuduk.[7]

 

tidak diragukan lagi bahawa riwayat tersebut tidak menyimpulkan kewajipan berwuduk lantaran muntah, kerana hal itu hanya sekadar perbuatan dan suatu perbuatan secara maksimumnya hanya menunjukkan anjuran (bukan kewajipan). Wallahu A’lam.[8]

 

Dengan ini jelas bagi kita bahawa pendapat yang tepat adalah darah, muntah dan sejenisnya tidak membatalkan wuduk baik sedikit mahupun banyak kerana tidak ada dalil yang menunjukkan hal-hal itu membatalkan wuduk. Untuk itu hukum asalnya adalah tetap dalam keadaan suci iaitu tidak batal. Tentang wujudnya hadis bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengulangi wuduk kerana muntah maka status hadis tersebut masih diperselisihkan kesahihannya dan sekiranya sahih maka perbuatan Rasulullah itu tidak menunjukkan hukum wajib tetapi memberi petunjuk ianya sekadar sunat sahaja. Inilah mazhab sebenar Imam al-Syafi’i rahimahullah. Wallahu a’lam.

 

 


 

[1]               Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 250.

[2]               Sila rujuk al-Majmu’ Syarh Muhazzab, jilid 2, ms. 54. Penulis nukil dari Fikih Thaharah, ms. 252

[3]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, Bab Orang Yang Berpendapat Tidak ada Wuduk Kecuali Kerana Sesuatu Yang Keluar Dari Dua Jalan (Qubul dan Dubur).

[4]               Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 154.

[5]               Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 170. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi melalui jalur periwayatan yang lain dan dalam riwayat tersebut telah menyatakan nama lelaki Anshar itu sebagai Abbad bin Bisy dan lelaki Muhajirin tersebut adalah ‘Ammar bin Yassir. Adapun surah yang dibaca oleh lelaki Anshar tersebut adalah surah al-Kahfi (Fathul Baari, jilid 2, ms. 154)

[6]               Dinukil daripada buku Fikih Thaharah, ms. 253.

[7]               Menurut Syaikh Kamal as-Sayyid Salim hadis ini berstatus Shahih Mauquf dan di riwayatkan oleh al-Bukhari secara ta’liq, dan dinyatakan maushul oleh al-Baihaqi serta Daraquthni. Hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 80.

[8]               Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 215.

 

kandungan