Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

ADAKAH MEMEGANG KEMALUAN MEMBATALKAN WUDUK?

 

Sudah menjadi amalan yang lazim bagi umat Islam di Malaysia untuk mengulangi wuduk sekiranya tersentuh kemaluan (termasuk dubur) samada lelaki mahupun wanita dengan tapak tangan. Ini juga merupakan pendapat yang dipegang oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah. Beliau berkata:

 

Apabila seseorang menyentuh kemaluannya dengan tapak tangannya, di mana tiada pembatas di antara tangan dan kemaluannya maka wajib ke atasnya berwuduk kembali. Hukumnya sama sahaja samada sentuhan tersebut secara sengaja mahupun tidak sengaja… Demikian juga apabila dia menyentuh dubur atau qubulnya, menyentuh dubur isterinya atau menyentuh dubur anak kecil, maka wajib atasnya mengambil wuduk… Apabila kemaluannya tersentuh oleh punggung telapak tangannya, dengan lengannya atau sesuatu yang bukan tapak tangan, maka dia tidak wajib mengulangi wuduk… Semua yang telah kami katakan tentang wajib berwuduk ke atas lelaki yang menyentuh kemaluannya, demikian juga berlaku bagi wanita yang menyentuh kemaluannya; atau seorang wanita menyentuh kemaluan suaminya atau suami yang menyentuh kemaluan isterinya, keduanya tidak ada perbedaan.[1]

 

Namun begitu, permasalahan ini sebenarnya banyak diperbincangkan oleh para ulamak sehingga terdapat tiga pendapat:

 

1)      Menyentuh kemaluan sama sekali tidak membatalkan wuduk.

2)      Menyentuh kemaluan membatalkan wuduk dalam apa jua keadaan.

3)      Hanya sentuhan yang memiliki unsur syahwat sahaja yang membatalkan wuduk.

 

Insya-Allah melalui risalah ringkas ini penulis akan membawa kesemua hujah-hujah yang dipegang oleh ketiga-tiga golongan.

 

 

MENYENTUH KEMALUAN SAMA SEKALI TIDAK MEMBATALKAN WUDUK

 

Pendapat ini telah diriwayatkan daripada Saidina ‘Ali, Ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Abbas, ‘‘Ammar, Hudzaifah, Imran bin al-Hushain dan Abu al-Darda radhiallahu 'anhum.  Ini juga merupakan pendapat Rabiah, al-Tsauri, Ibnu Mundzir, Imam Abu Hanifah dan juga salah satu qaul Imam Ahmad rahimahumullah. Hujah utama yang dipergunakan oleh mereka adalah sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Thalqi bin ‘Ali radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Telah datang seorang lelaki dari pedalaman (Arab Badwi) lalu dia bertanyakan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, bagaimana pandanganmu tentang seseorang yang menyentuh kemaluannya ketika bersolat?” Nabi menjawab: “Bukankah kemaluan itu tidak lain hanyalah sekerat (sebahagian) dari daging  (tubuh) orang itu?”[2]

 

Mereka berpendirian hadis ini jauh lebih kuat serta baik sanadnya jika hendak dibandingkan dengan hadis yang menyatakan menyentuh kemaluan membatalkan wuduk sebagaimana yang telah diperkatakan oleh Ibnul Madini. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

 

Mereka (yang berpegang kepada pendapat tidak batal) berkata: “Oleh kerana ia adalah sebahagian dari tubuh manusia maka wuduk tidak batal kerana menyentuhnya sebagaimana anggota tubuh yang lain.[3]

 

Dr Yusuf al-Qaradhawi juga memperkuat pendapat ini dengan menyatakan:

 

Kami menguatkan pendapat pertama bahawa memegang zakar itu tidak membatalkan wuduk walau apapun alasannya. Jika memegangnya dengan penuh syahwat maka dianjurkan untuk berwuduk.[4]

 

Dr Yusuf al-Qaradhawi berpendapat hadis-hadis yang menyuruh untuk berwuduk kembali setelah memegang kemaluan hanyalah suatu anjuran (mustahab) sahaja dan bukan wajib. Pendapat ini juga selari dengan pendapat Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah:

 

Yang nampak dari semua hadis di atas adalah bahawa perintah mengulangi wuduk kerana memegang zakar itu adalah anjuran dan bukan perintah wajib. Demikian Imam Ahmad menerangkan hal ini dengan jelas di dalam satu dari dua riwayat daripadanya… Dengan demikian hadis dan athar boleh diertikan bahawa yang demikian itu adalah anjuran. Dan tidak ada nasakh terhadap sabdanya “Bukankah kemaluan itu tidak lain hanyalah sekerat (sebahagian) dari daging (tubuh) orang itu?”. Menyatakan bahawa perintah itu adalah anjuran adalah jauh lebih utama daripada menyatakan bahawa (hadis) itu telah dinasakh.[5]

 

 

MENYENTUH KEMALUAN MEMBATALKAN WUDUK DI DALAM APA JUA KEADAAN

 

Pendapat ini turut dipersetujui oleh ‘Umar al-Khaththab, Ibnu ‘Umar, Abu Ayyub, Abu Hurairah, Zaid bin Khalid, ‘Aisyah, Sa’id bin Musayyib, Atha’, Urwah, Sulaiman bin Yasar, al-Zuhri, al-Awza’i, Imam al-Syafi’i, salah satu dari  pendapat Imam Ahmad dan pendapat yang masyhur dari Imam Malik. Dalil-dalil yang membelakangi pendapat mereka adalah seperti berikut:

 

Busrah binti Shofwan (radhiallahu 'anha) mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Sesiapa yang menyentuh zakarnya maka berwuduklah dia.[6]

 

Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anh dia berkata bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Apabila salah seorang dari kalian menyentuh kemaluan dengan tangannya dan

tiada penghalang di antaranya dan tangannya, tidak juga ada kain yang menutupinya, maka dia wajib berwuduk.[7]

 

Mereka menetapkan apabila hadis berbentuk larangan bertembung dengan hadis menetapkan kebolehan, maka hendaklah hadis yang menetapkan larangan itu diunggulkan di atas sikap berhati-hati dan merupakan pilihan yang lebih selamat.

 

Ada juga yang beranggapan hadis daripada Busrah binti Shofwan ini lebih kuat dari hadis daripada Thalqi bin ‘Ali dan hadis Busrah ini juga telah memansuhkan hukum yang terdapat di dalam hadis Thalqi. Menurut Sa’id al-Qahtani:

 

Ketika membahaskan kitab Bulughul Maram, Syaikh Ben Bazz rahimahullah telah mengomentar hadis yang diriwayatkan dari Thalqi yang membolehkan seseorang menyentuh kemaluannya lalu berkata: “Di awal-awal munculnya Islam, menyentuh kemaluan tidak membatalkan wuduk, tetapi kemudian ketentuan tersebut dimansuhkan oleh hadis yang diriwayatkan daripada Busrah. Kami berpendapat hadis yang diriwayatkan dari Busrah lebih kuat dari hadis yang diriwayatkan daripada Thalqi bin ‘Ali. Ketentuan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Busrah itulah yang benar. Oleh itu menyentuh kemaluan membatalkan wuduk.[8]

 

 

MENYENTUH KEMALUAN DISERTAI SYAHWAT MEMBATALKAN WUDUK

 

Golongan ketiga ini pula berpendapat kedua-dua hadis Busrah dan Thalqi radhiallahu 'anhuma itu adalah sahih. Maka mereka menafsirkan memegang kemaluan yang membatalkan wuduk seperti yang diriwayatkan oleh Busrah radhiallahu 'anha itu adalah pemegangan yang disertai syahwat. Manakala hadis Thalqi radhiallahu 'anh pula menunjukkan menyentuh kemaluan tanpa disertai syahwat tidak membatalkan wuduk. Menurut Syaikh al-Albani rahimahullah:

 

Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam “Bukankah kemaluan itu tidak lain hanyalah sekerat (sebahagian) dari daging (tubuh) orang itu?” ada isyarat bahawa menyentuh yang tidak mewajibkan wuduk ialah menyentuh yang tidak disertai nafsu. Dalam keadaan seperti ini sentuhan dapat disamakan dengan menyentuh anggota tubuh yang lain. Berbeda dengan sentuhan yang disertai nafsu, ini tidak boleh disamakan dengan menyentuh anggota tubuh yang lain, yang biasanya tidak disertai nafsu. Ini masalah yang jelas –sebagaimana anda tahu- maka hadis di atas (dari Thalqi radhiallahu 'anh) bukan dasar dalil bagi mazhab Hanafi (pendapat golongan pertama) yang menyatakan tidak batalnya wuduk kerana menyentuh ini secara mutlak, tetapi dalil bagi pendapat yang menyatakan bahawa menyentuh tanpa disertai nafsu tidak membatalkan. Adapun menyentuh dengan nafsu membatalkan berdasar hadis Busrah (radhiallahu 'anha).[9]

 

Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:

 

Kedua hadis (Basrah dan Thalqi) di atas sahih. Selagi keduanya dapat digabungkan maka itu lebih baik daripada menggugurkan salah satunya… Penggabungan kedua hadis itu boleh dilakukan dengan dua cara:

 

1)     Menyentuh zakar membatalkan wuduk jika dilakukan tanpa penghalang. Jika menyentuhnya dengan menggunakan penghalang maka tidak membatalkan wuduk. Pemahaman ini didukung oleh riwayat:

 

Seorang lelaki menyentuh zakarnya ketika solat

 Solat bukan waktu (tepat) untuk menyentuh zakar tanpa penghalang

 

 

2)    Jika dia menyentuhnya dengan syahwat maka hal itu membatalkan wuduk. Jika sebaliknya, maka tidak membatalkan wuduk. Penggabungan cara kedua ini lebih beralasan dan lebih mendekati kebenaran. Sebab zakar hanya sepotong bahagian tubuh. Selama menyentuhnya dengan sentuhan biasa yang tidak disertai dengan syahwat, maka sekadar menyentuh seperti itu tidak membatalkan wuduk. Penyebab batalnya wuduk yang sebenarnya adalah sesuatu yang keluar dari salah satu dua jalan akibat menyentuh zakar. Tanpa syahwat, sesuatu itu tidak akan keluar. Berbeza jika menyentuh diiringi dengan syahwat, maka hal itu menjadikan dugaan kuat keluarnya madzi yang membatalkan wuduk.[10]

 

 

KESIMPULAN

 

Pendapat-pendapat di atas memiliki kekuatan hujah tersendiri dan datangnya daripada para al-Salafussoleh[11] serta ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang muktabar. Maka sewajarnya kita berlapang dada terhadap ketiga-tiga pendapat tersebut. Wallahu A’lam.


 

[1]               Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 29.

[2]               Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 165

[3]               Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, 241.

[4]               Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, 244.

[5]               Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah, Majmu’ Fatawa, jilid 21. ms. 241. Penulis nukil daripada kitab Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 244.

[6]               Hadis riwayat Imam Abu Dawud, di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, No: 154.

[7]               Hadis riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Shahih al-Jami’ no: 359. Namun begitu Syaikh Ahmad Muhammad Syakir pula mendha’ifkan hadis ini.

[8]               Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani, Thaharah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam: Tuntunan Bersuci Lengkap, ms. 84.

[9]               Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, (edisi terjemahan oleh Afifuddin Said, Maktabah Salafy Press, Gajah Mada 2002) jilid 1, ms. 112-113.

[10]             Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, (edisi terjemahan oleh Thahirin Suparta, M. Faisal dan Adlis Aldizar, Pustaka Azzam, Jakarta, 2006) jilid 1, ms. 310-311.

[11]             Al-salafussoleh adalah golongan yang diiktiraf sebagai generasi terbaik bagi umat Islam. Mereka adalah para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, para tabi’in dan tabi’ut at-tabi’in. Ini sebagaimana sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari rahimahullah (Shahihnya, Kitab al-Manaqib, no: 3650):

 خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ.

Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ut at-Tabi’in).

 

kandungan