Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

BAGAIMANAKAH TATACARA WUDUK RASULULLAH SHALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM?

 

Sebagaimana yang kita semua telah maklum ibadah wuduk memiliki banyak kelebihannya dan untuk seseorang itu memperolehi kelebihan-kelebihan tersebut maka dia perlu terlebih dahulu menyempurnakan tatacara wuduknya. Kesempurnaan dalam berwuduk hanya akan dapat dicapai sekiranya seseorang itu bersungguh-sungguh mencontohi sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Di dalam bab ini penulis akan cuba membentangkan satu persatu secara mendalam tentang tatacara berwuduk sebagaimana yang terdapat di dalam hadis-hadis baginda yang sabit. Perbahasan di dalam bab ini merangkumi perkara yang fardhu dan sunat tentang wuduk. Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:

 

Seorang Muslim selayaknya mematuhi syari’at tanpa memandang apakah perkara itu fardhu ataupun sunat. Yang terpenting dia melakukan kerana mematuhi syari’at Allah Subhanahu wa Ta'ala, kerana mengikuti Nabi-Nya dan mencari pahala. Pembahasan mengenai hukum hanya diperlukan saat ingin meninggalkannya, apakah yang akan ditinggalkannya itu sesuatu yang wajib atau sunat. Demikian kewajipan seorang hamba yang serius beribadah. Adapun dalam kajian ilmiah dan mengetahui hukum-hukumnya maka perlu mengetahui antara yang fardhu dan yang sunat.[1]

 

 

1)      Bersiwak (Menggosok Gigi)

 

Siwak adalah sebatang kayu kecil (kayu sugi) dari pokok Araak yang dipergunakan untuk menggosok gigi. Syaikh Fahd al-Syuwayyib berkata:

 

Bersiwak itu disunnatkan sekerap mungkin berdasarkan keterangan daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, bahawasanya baginda bersiwak setiap kali hendak mengerjakan solat, ketika hendak membaca al-Qur’an, ketika hendak tidur dan bangun tidur, ketika mulut berubah bau baik dalam keadaan tidak berpuasa atau sedang berpuasa, atau di awal siang (pagi) atau pada petang hari.[2]

 

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Kalau sekiranya tidak memberatkan umatku maka aku akan perintahkan mereka untuk bersiwak setiap kali berwuduk.[3]

 

Menurut Imam al-Syafi’i rahimahullah:

 

Dari hadis ini dapat diketahui bahawa bersiwak tidak wajib dan hanya berbentuk pilihan (sunnah). Ini adalah kerana jika bersiwak itu wajib, maka baginda shallallahu 'alaihi wasallam akan memerintahkan umatnya untuk bersiwak, baik dalam keadaan sulit mahupun senang.[4]

 

Ada yang menimbulkan persoalan adakah bersiwak itu boleh digantikan dengan berus dan ubat gigi sebagaimana yang lazim digunakan pada zaman ini. Dr. Yusuf Qaradhawi berkata:

 

Saya melihat bahawa menggunakan berus gigi moden yang disertai ubat gigi, telah cukup untuk menggantikan siwak. Bahkan siwak secara moden, itu mengandungi banyak bahan yang membantu membersihkan gigi lebih baik dari siwak model lama. Tambahan pula Islam sangat menumpukan perhatiannya kepada maksud syari’at (maqasid syari’ah) walaupun sarananya berbeza.

 

Lebih khusus lagi, sangat tidak mungkin bagi kita mengharuskan penduduk bumi agar memakai pohon Araak dalam bersiwak dan membersihkan mulut bagi mendapat keredhaan Tuhan kita. Ini adalah kerana pohon-pohon itu tidak mungkin untuk diperolehi di sesetengah negara.[5]

 

Oleh itu sewajarnya kita untuk berusaha untuk bersiwak mahupun memberus gigi sebelum kita berwuduk kerana perbuatan ini dicintai oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

 

 

 

2)      Hadirkan niat untuk berwuduk di dalam hati

 

Dalil wajibnya niat adalah hadis daripada ‘Alqamah bin Waqqash al-Laitsi radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Aku mendengar Umar bin Khattab radhiallahu 'anh berkata di atas mimbar:

“Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Tiap-tiap amal perbuatan harus disertai dengan niat,

balasan bagi setiap amal manusia sesuai dengan apa yang diniatkan….”[6]

 

 

Niat adalah keinginan atau azam untuk mengerjakan ibadah (dalam konteks ini ibadah wuduk) semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah. Niat ini tempatnya di hati dan tidak perlu dilafazkan.[7]

 

Menurut Syaikh Sa’id al-Qahtani:

 

Niat tidak boleh dilafazkan dengan lisan kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah melakukannya. Di samping itu, Allah mengetahui apa yang dibisikkan oleh hati seseorang, sehingga tidak perlu niat itu dilafazkan.[8]

 

Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah berkata:

 

Tempat niat itu di dalam hati, bukan diucapkan dengan lidah, sesuai kesepakatan para imam Muslimin dalam semua urusan ibadah seperti wuduk, solat, zakat, puasa, haji, membebaskan hamba atau tawanan, berjihad di jalan Allah dan ibadah-ibadah lainnya.

 

Jika sekiranya lidahnya mengucapkan sesuatu yang berbeza dengan isi hatinya, maka yang diterima adalah apa yang diniatkan oleh hatinya, bukan apa yang diucapkan. Dan sekiranya dia melafazkan niatnya tetapi di dalam hati tidak terjadi niat, maka yang demikian itu belum mencukupi menurut kesepakatan para Imam Muslimin. Kerana niat itu adalah sejenis maksud dan kesungguhan kehendak.[9]

 

Oleh itu lafaz niat seperti  َنوَْيتُ الْوُضُوْءَ لِلَّهِ َتعَلَى(Sengaja aku berwuduk kerana Allah Ta’ala) atau selainnya sebagaimana yang lazim diamalkan di Malaysia sewajarnya tidak dilafazkan apatah lagi lafaz-lafaz tersebut tidak pernah wujud di dalam mana-mana hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang sabit mahupun dari kitab-kitab Imam al-Syafi’i rahimahullah sendiri. Memadailah kita menghadirkan azam di dalam hati kita bahawa kita sedang berwuduk kerana Allah 'Azza wa Jalla tanpa dilafazkan.

 

 

 

3)      Membaca  بِسْمِ اللهِ  saat berwuduk

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah memerintahkan kita untuk memulakan wuduk dengan membaca بِسْمِ اللهِ sebagaimana sabdanya:

 

Tidak ada wuduk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah padanya.[10]

 

Beberapa sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mencari air wuduk, maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bertanya:

“Apakah salah seorang daripada kalian ada mempunyai air?”

Kemudian baginda meletakkan tangannya di dalam air itu dan bersabda:

“Berwuduklah kalian dengan menyebut nama Allah.”[11]

 

 

Para ulamak berbeza pendapat tentang hukum membaca بِسْمِ اللهِ semasa memulakan wuduk samada wajib atau sunat. Menurut Imam al-Syafi’i rahimahullah ianya hanyalah sunat. Beliau berkata:

 

Saya menyukai seseorang memulai wuduknya dengan membaca بِسْمِ اللهِ. Namun jika terlupa, dia boleh membacanya apabila dia teringat walaupun wuduk itu hampir selesai. Apabila dia meninggalkan membaca بِسْمِ اللهِ, baik terlupa atau sengaja, maka wuduknya tidak rosak, insya Allah.[12]

 

Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim juga sependapat dengan Imam al-Syafi’i dalam hal ini. Beliau berkata:

 

Membaca  بِسْمِ اللهِ  secara umum merupakan perkara ibadah yang baik dan dianjurkan. Dalam masalah wuduk ada beberapa hadis dha’if (walaupun disahihkan oleh sebahagian ulamak). Di antaranya adalah hadis yang menyatakan:

 

Tidak ada wuduk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah padanya.[13]

 

Hadis-hadis lainnya sangat lemah, sehingga tidak layak untuk dijadikan hujah. Oleh kerananya Imam Ahmad berkata: “Aku tidak mengetahui ada hadis yang sanadnya bagus dalam bab ini”.

 

Saya katakan tidak diwajibkan bacaan بِسْمِ اللهِ diperkuatkan oleh perawi yang meriwayatkan sifat wuduk Rasulullah, mereka tidak menyebut adanya membaca بِسْمِ اللهِ. Ini adalah pendapat al-Thauri, Malik, Syafi’i, Ashabu ra’yi dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad.[14]

 

Namun begitu terdapat juga riwayat daripada Imam Ahmad rahimahullah yang menyatakan membaca بِسْمِ اللهِ ketika berwuduk, mandi wajib dan tayamum hukumnya wajib. Perbezaan pendapat ini wujud kerana bagi mereka yang menyatakan ianya sunat menganggap hadis tentang membaca بِسْمِ اللهِ ketika hendak memulakan wuduk itu dha’if (lemah) sedangkan bagi mereka yang menyatakan ianya wajib melihat hadis tersebut berstatus sahih. Syaikh Fahd al-Syuwayyib berkata:

 

Adapun yang memperkuat pendapat kami di atas, ialah perintah baginda Berwuduklah kalian dengan menyebut nama Allah”. Sedangkan golongan yang menyatakan hukumnya sunnah muakkadah, beralasan bahawa hadis yang berkaitan dengan masalah ini adalah dha’if (iaitu hadis: Tidak ada wuduk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah padanya). Namun kerana hadis tersebut adalah sahih, sebagaimana yang telah kami jelaskan, maka alasan mereka itu tidak berlaku dan alasan kamilah yang dapat dipegang. Wallahu A’lam. Maka hukum membaca  بِسْمِ اللهِ itu menjadi wajib. Adapun orang yang lupa membacanya, maka hendaklah dia membacanya ketika teringat.[15]

 

Syaikh al-Albani rahimahullah juga berpendapat membaca بِسْمِ اللهِ ketika hendak memulakan wuduk hukumnya wajib kerana hadis ... لاَ وُضُوءَ tersebut berstatus sahih. Ianya mempunyai tiga jalur periwayatan dan banyak hadis pendukung lain yang telah beliau sentuh dalam Shahih Sunannya (hadis no: 90). Menurut Syaikh al-Albani sewajarnya kita mengambil hukum tentang hal ini menurut zahir hadis tersebut iaitu wajib membaca  بِسْمِ اللهِ. Menurut beliau:

 

Ini adalah kerana tidak ada dalil yang membenarkan keluar dari makna zahir ini kepada pernyataan bahawa perintah ini hanyalah suatu anjuran (sunat). Hukum wajib ini juga adalah pendapat golongan zahiriyah, Ishaq, salah satu dari dua riwayat Imam Ahmad dan pilihan Shadiq Khan dan al-Syaukani. Itulah yang benar, insya Allah.[16]

 

Apapun jua penulis terbuka kepada kedua-dua pendapat. Namun begitu membaca بِسْمِ اللهِ bukan satu perkara yang menyukarkan bagi sesiapapun hatta untuk kanak-kanak yang masih bersekolah tadika. Oleh itu usahakanlah untuk membaca بِسْمِ اللهِ ketika hendak berwuduk kerana ianya adalah amalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan akan diberikan ganjaran kepada sesiapa jua yang ingin mencontohi baginda walaupun perkara itu nampak seperti kecil. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)![17]

 

 

 

4)      Jumlah Basuhan Untuk Anggota Wuduk

 

Disunnatkan untuk membasuh setiap anggota wuduk (kecuali kepala) sebanyak tiga kali. Ini sebagaimana sebuah riwayat daripada Humran dia berkata:

 

Bahawa aku melihat ‘Uthman bin ‘Affan pernah meminta air (dalam bejana) untuk berwuduk.

Lalu menuang air dari bejana itu ke tapak tangannya dan mencuci ke duanya 3 kali.

Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam tempat wuduk itu (bejana) lalu berkumur-kumur

seraya memasukkan air ke hidung (untuk membersihkannya) dan mengeluarkannya. Kemudian membasuh muka 3 kali.

Kemudian membasuh tangan kanannya sehingga ke siku sebanyak 3 kali, lalu tangan kirinya begitu juga.

Kemudian mengusap kepalanya. Kemudian membasuh kaki kanannya hingga mata kaki (buku lali) sebanyak 3 kali,

lalu kaki kirinya begitu juga. Kemudian dia berkata: “Aku melihat Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam

berwuduk seperti wuduk ku ini.”[18]

 

Namun begitu terdapat juga riwayat yang menunjukkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hanya membasuh anggota wuduknya sebanyak 1 kali dan 2 kali. Imam Bukhari rahimahullah berkata:

 

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah menjelaskan bahawa fardhu wuduk itu adalah satu kali-satu kali, namun baginda shallallahu 'alaihi wasallam juga pernah berwuduk (membasuh anggota wuduk) dua kali-dua kali dan tiga kali tetapi baginda  shallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah melakukan lebih dari tiga kali. Di samping itu para ulamak tidak menyukai berlebihan dalam wuduk dan melebihi apa yang dilakukan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.[19]

 

Dalil yang menunjukkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah membasuh anggota wuduk sebanyak 1 kali dan 2 kali adalah seperti berikut:

 

Daripada Ibnu ‘Abbas (radhiallahu 'anh), dia berkata: “Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah berwuduk satu kali-satu kali.”[20]

 

Telah diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Zaid (radhiallahu 'anh),

bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah berwuduk dua kali-dua kali.[21]

 

 

Tentang perbezaan jumlah basuhan anggota wuduk ini al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata:

 

Sesungguhnya fardhu atau kewajipan dalam berwuduk adalah mencuci anggota wuduk sebanyak 1 kali...sedangkan selebihnya adalah sunat.[22]

 

Oleh itu tidaklah semestinya anggota-anggota wuduk itu dibasuh sebanyak 3 kali. Sekiranya dengan hanya membasuh 1 kali dan diyakini air tersebut telah diratakan keseluruh anggota wuduk terbabit maka ianya dianggap sudah memadai.[23]

 

 

 

5)      Berhemat menggunakan air ketika berwuduk

 

Terdapat sesetengah pihak yang begitu boros menggunakan air ketika berwuduk sehingga basah kuyup baju mereka. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Nanti akan muncul di kalangan umat ini satu golongan yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berdoa.[24]

 

Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hanya menggunakan 1 mud air (540 gram / 0.7 liter atau air yang berada di dalam bekas sebesar 40 cm persegi) untuk berwuduk. Daripada Anas radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Adalah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam biasa mandi dengan satu sha’[25]

(empat mud) sampai lima mud air dan berwuduk dengan satu mud.[26]

 

Oleh itu hendaklah kita menjimatkan penggunaan air ketika berwuduk walaupun kita sedang berwuduk di tepi sungai yang mengalir.

 

 

 

6)       اَلتَّيَمُنُ(mendahulukan bahagian kanan) ketika berwuduk.

 

Disunatkan mendahulukan bahagian kanan anggota wuduk ketika berwuduk. Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Ketika kalian berwuduk maka mulailah dengan sebelah kanan kalian.[27]

 

 

Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata:

 

Adalah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sangat suka mendahulukan bahagian kanan ketika memakai kasut,

menyikat rambut, bersuci dan dalam semua urusan baginda.[28]

 

 

Walaubagaimanapun bagi mereka yang mendahulukan anggota kiri ketika berwuduk, wuduk tersebut tidak batal. Imam al-Nawawi rahimahullah berkata:

 

Semua ulamak bersepakat bahawa mendahulukan bahagian kanan ketika berwuduk adalah sunat. Siapa yang meninggalkannya maka dia telah kehilangan keutamaannya meskipun wuduknya tetap sah.[29]

 

Anjuran untuk mendahulukan bahagian kanan hanya khusus untuk anggota wuduk tangan dan kaki. Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:

 

Anjuran mendahulukan bahagian kanan dilakukan saat membasuh kedua tangan dan kedua kaki. Berbeza dengan muka kerana anggota wuduk yang hanya satu harus dibasuh seluruhnya bersamaan. Demikian juga bahagian kepala, ia dibasuh seluruhnya secara bersamaan.[30]

 

 

 

7)      Hendaklah menggosok anggota wuduk.

 

Anggota-anggota wuduk itu hendaklah digosok yakni dengan menjalankan tangan untuk mencuci anggota wuduk. Sekiranya hanya dilalukan air ke atas anggota wuduk, maka wuduk tersebut tetap sah namun begitu tidak mendapat keutamaan dalam mencontohi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Dalil menggosok anggota wuduk adalah seperti berikut:

 

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Zaid (radhiallahu 'anh), dia berkata:

 

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam  dibawakan sepertiga mud air, kemudian berwuduk, lalu menggosok kedua lengannya.[31]

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berwuduk, kemudian baginda bersabda: “Beginilah cara menggosok.”[32]

 

 

 

8)      Membasuh kedua pergelangan tangan sebanyak tiga kali.

 

Adalah disunnatkan membasuh tapak tangan sehingga ke pergelangan tangan ketika berwuduk.

 

Ketika salah seorang daripada kalian bangun dari tidur malamnya maka janganlah dia memasukkan tangannya ke tempat air

sehingga dia membasuhnya sebanyak tiga kali. Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu di mana tangannya semalam.[33]

 

Humran (hamba ‘Uthman radhiallahu 'anh  yang telah dimerdekakan), mengkhabarkan bahawa dia telah melihat

‘Uthman bin ‘Affan meminta dibawakan sebuah bejana (berisi air),

lalu dia menuangkan air ke telapak tangannya seraya membasuh kedua telapak tangannya tiga kali...[34]

 

 

Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam, istilah كَفَّيْهِ menunjukkan:

 

Batasnya adalah dari hujung jari sehingga pergelangan tangan.[35]

 

Membasuh telapak tangan sebelum berwuduk adalah bertujuan untuk memastikan bahawa tangan yang akan dipergunakan untuk menggosok angota wuduk yang lain itu bersih dari apa jua bentuk kekotoran. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

 

Sunnah ini sangat sesuai dengan fitrah dan akal. Ini adalah kerana kebiasaannya tangan itu ada debu atau yang serupa dengan debu. Maka sudah seharusnya kalau dimulai dengan membersihkannya sehingga kemudian ianya boleh dipergunakan untuk mencuci muka dan anggota lainnya. Dan yang sangat ditekankan untuk melakukan itu adalah saat bangun tidur.[36]

 

 

 

9)      Berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung dan dihembuskan semula. (3 kali).

 

Antara sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang semakin dilupakan di Malaysia adalah berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung secara serentak. Sebenarnya hal ini juga dianjurkan oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah. Beliau berkata:

 

Saya lebih menyukai orang berwuduk yang memulainya dengan berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidungnya tiga kali setelah membasuh kedua (telapak) tangannya, iaitu dengan cara mengambil air dengan telapak tangannya untuk mulut dan hidungnya, kemudian memasukkan air itu ke dalam hidungnya sampai batas yang terlihat bahawa air itu masuk ke bahagian dalam hidungnya. Namun apabila dia berpuasa, hendaklah dia memasukkan air ke dalam hidung dengan lembut, agar air itu tidak masuk ke bahagian kepalanya. Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung adalah sunnah kerana dengannya bau mulut dan hidung akan hilang.[37]

 

Dalil-dalil berkaitan dengan berkumur-kumur seraya memasukkan air ke hidung adalah seperti berikut:

 

Bahawa aku melihat ‘Uthman pernah meminta air (dalam bejana) untuk berwuduk.

Lalu menuang air dari bejana itu ke tapak tangannya dan mencuci ke duanya 3 kali.

Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam tempat wuduk itu (bejana) lalu berkumur-kumur

seraya memasukkan air ke hidung (untuk membersihkannya) dan mengeluarkannya.  

Setelah itu dia membasuh mukanya tiga kali…Kemudian dia (‘Uthman bin Affan) berkata:

“Aku melihat Rasulullah berwuduk sebagaimana wuduk ku ini…”[38]

 

Daripada ‘Abdullah bin Zaid bahawa dia menuangkan air dari bejana ke atas kedua tangannya lalu membasuh keduanya.

Kemudian membasuh atau berkumur-kumur dan mengeluarkan air dari hidung dari satu telapak tangan,

dia lakukan hal ini sebanyak tiga kali… lalu berkata:

“Demikianlah wuduk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.[39]

 

Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, dia berkata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Apabila salah seorang dari kalian berwuduk maka hendaklah dia memasukkan air ke dalam hidungnya,

kemudian mengeluarkan semula air tersebut.[40]

 

Daripada Laqith bin Shabirah, dia bertanya:

 

“Wahai Rasulullah, beritahukan kepadaku tentang berwuduk.”

 

Rasulullah menjawab: “Sempurnakan wuduk dan selang-selangilah antara jari-jemarimu

dan bersungguh-sungguhlah dalam memasukkan air ke dalam hidung kecuali ketika kamu sedang berpuasa.[41]

 

Diriwayatkan daripada ‘Abdu Khair, dia berkata: “Kami duduk memperhatikan ‘Ali (radhiallahu 'anh) sedang berwuduk,

maka dia memasukkan tangannya yang kanan ke dalam bejana, dia memenuhi mulutnya dengan air

kemudian berkumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung) dan menggerak-gerakkan hujung hidungnya

dengan tangan kirinya. Dia melakukannya tiga kali, kemudian berkata:

“Barangsiapa yang merasa senang memperhatikan wuduk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

maka inilah cara baginda berwuduk.”[42]

 

 

Berdasarkan hadis-hadis di atas dapat kita rumuskan seperti berikut:

 

1)       مَضْمَضَ adalah berkumur-kumur dengan menggerak-gerakkan air di dalam mulut bertujuan untuk mencucinya.  اِسْتِنْشَقَ adalah memasukkan air ke dalam hidung dengan menghirupnya bersama nafas hingga ke bahagian hidung yang paling dalam.  اِسْتِنْثَرَ pula adalah mengeluarkan air tersebut setelah melakukan اِسْتِنْشَق.

2)      Adalah disunnahkan berkumur-kumur dilakukan serentak dengan memasukkan air ke dalam hidung lalu mengeluarkannya dan diulang sebanyak tiga kali.

3)      Hendaklah bersungguh-sungguh memasukkan air ke dalam hidung kecuali apabila sedang berpuasa.

4)      Hendaklah memasukkan air ke dalam hidung dengan menggunakan tangan kanan dan mengeluarkan air tersebut menggunakan tangan kiri.

 

Tentang hukum berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung lalu mengeluarkannya maka ulamak berbeza pendapat. Bagi mereka yang berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat, mereka menyatakan bahawa perbuatan tersebut tidak termasuk di dalam perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala berkaitan wuduk iaitu:

 

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil),

maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku,

dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…[43]

 

 

Bagi mereka yang menyatakan ianya wajib maka mereka juga menggunakan dalil yang sama seperti di atas namun mereka beranggapan bahawa mulut dan hidung adalah termasuk di dalam anggota yang disebut muka. Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:

 

Mereka (yang menyatakan wajib) beralasan seperti berikut:

 

1)     Ketekunan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam melakukan kedua perbuatan tersebut merupakan bukti kewajipannya. Jika keduanya hanya sunat tentu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah meninggalkannya meskipun sekali sahaja, untuk memperjelaskan kepada umatnya bahawa kedua pekerjaan itu boleh (ditinggalkan yakni tidak wajib). Suatu pekerjaan yang disertai dengan perintah memberi pemahaman bahawa pekerjaan itu wajib. Allah telah memerintahkan kedua pekerjaan tersebut dalam firman-Nya basuhlah muka kamu di mana mulut dan hidung termasuk bahagian muka.

 

2)    Hadis ‘Aishah radhiallahu 'anha bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Berkumur dan menghirup air ke dalam hidung termasuk (pekerjaan) wuduk yang wajib. (Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Bakar di dalam kitab al-Syafi)

 

3)    Hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Jika salah satu di antara kalian berwuduk maka hendaklah menghirup air ke dalam hidung

melalui kedua hidungnya kemudian mengeluarkannya.[44]

 

4)    Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Daruquthni daripada Laqith bin Shabirah bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Jika kamu berwuduk maka berkumurlah.[45]

 

5)       Perintah membasuh muka atau wajah dalam ayat basuhlah muka kamu” adalah juga untuk berkumur dan menghirup air ke dalam hidung. Ini kerana mulut dan hidung merupakan sebahagian dari wajah. Keduanya adalah anggota tubuh luar yang termasuk dalam kategori wajah. Yang paling kuat adalah pendapat mazhab yang terakhir (iaitu wajib) kerana kekuatan dalil-dalilnya dan tidak ada yang menentangnya.[46]

 

Di atas dasar sabitnya dalil serta kesungguhan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam serta para sahabat radhiallahu 'anhum dalam mengerjakan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung lalu mengeluarkannya, maka sewajarnya bagi mereka yang tidak menganggap ianya wajib agar tetap berusaha sedaya upaya untuk mengamalkan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ini. Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata:

 

Bagi mereka yang mengatakan bahawa itu adalah tidak wajib dan menganggapnya sebahagian dari wajah, sangat dianjurkan untuk melakukannya dengan bersungguh-sungguh kecuali bagi orang yang berpuasa. Dan sangat dianjurkan untuk mengeluarkan yang ada di hidung setelah dihirup. Demikian banyak hadis yang menunjukkan sifat wuduk Nabi bahawa baginda selalu berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung…[47]

 

Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah memperjelaskan tentang hikmah disyari’atkan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung. Menurut beliau:

 

Lalu para ulamak menyebutkan hikmah perbuatan ini adalah untuk mengetahui sifat air yang akan digunakan untuk berwuduk. Sebab warna dapat diketahui dengan penglihatan, rasa dapat diketahui melalui lidah (mulut) dan bau dapat diketahui melalui penciuman (hidung).[48]

 

 

 

 

10)  Membasuh muka dengan sempurna

 

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil),

maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu …[49]

 

Telah diriwayatkan daripada Humran (hamba abdi ‘Uthman), bahawasanya dia melihat ‘Uthman bin Affan minta

dibawakan sebuah bejana, lalu menuangkan air dari bejana itu ke telapak tangannya dan mencuci keduanya tiga kali.

Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam tempat wuduk itu (bejana) lalu berkumur-kumur seraya

memasukkan air ke hidung serta mengeluarkannya. Setelah itu dia membasuh mukanya tiga kali…

Kemudian dia (‘Uthman bin Affan) berkata: “Aku melihat Rasulullah berwuduk sebagaimana wuduk ku ini…”[50]

 

Berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di atas telah sepakat para ulamak akan kefardhuan membasuh muka atau wajah ketika berwuduk.

 

Menurut Imam al-Syafi’i rahimahullah tentang muka atau wajah adalah:

 

Tempat tumbuhnya rambut kepala (yakni anak rambut) sampai kepada dua telinga, tulang rahang dan dagu. Bukanlah dinamakan muka apabila melewati tempat tumbuh rambut kepala (di dahi) dan dua tepi dahi itu termasuk bahagian kepala. Demikian halnya bahagian yang botak dari kepala, botak itu bukanlah bahagian dari muka.[51]

 

Bagi mereka yang memiliki janggut pada wajah mereka maka adalah sunnah untuk menyela-nyela janggutnya dengan air. Dalilnya adalah seperti berikut:

 

Daripada ‘Uthman radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menyela-nyela janggutnya.[52]

 

Daripada Anas bin Malik radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Bahawasanya apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berwuduk, baginda mengambil secedok air dengan telapak tangannya, kemudian baginda memasukkannya di bawah rahangnya, lalu menyela-nyela janggutnya kemudian bersabda:

“Beginilah Tuhanku 'Azza wa Jalla memerintahkanku.”[53]

 

Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam menyela-nyela janggut ketika berwuduk adalah:

 

Dengan menyisir janggut (dengan jari-jari tangan) dan mengalirkan air di celah-celahnya agar air dapat masuk ke tengah-tengah rambut (janggut yang tumbuh di dagu) dan sampat ke kulit.[54]

 

Ulamak membezakan di antara janggut yang nipis dan janggut yang tebal. Bagi janggut yang nipis maka hendaklah menyelanya dengan air sehingga terkena kulit. Apabila janggut lebat dan bahagian kulit tidak kelihatan dan tertutup maka memadailah dengan mengusap-usap air sehingga ke hujung janggut.

 

Menurut Imam al-Syafi’i[55] rahimahullah:

 

Apabila janggut yang tumbuh pada diri seseorang tidak lebat dan menutup sedikit mukanya, maka dia harus membasuh mukanya seperti ketika janggut belum tumbuh (iaitu dengan mengenakan air ke kulit). Namun apabila janggut itu lebat sehingga mengambil tempat pada wajahnya, maka tindakan yang lebih berhati-hati (al-Ihtiyath) ialah dengan membasuh semuanya.[56]

 

Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:

 

Hukum menyela-nyela janggut ini ada dua, wajib dan sunnah

 

Menyela-nyela janggut yang wajib adalah ketika rambut janggut nipis sehingga kulitnya kelihatan. Kulit dan rambut janggut yang tumbuh di sini dihukumi sebagai bahagian luar sehingga wajib dibasuh sambil disela-sela.

 

Menyela-nyela janggut yang sunnah adalah ketika janggut tebal sehingga bahagian kulitnya tidak kelihatan dan tertutup. Dalam keadaan ini menyela-nyela bahagian dalam rambut (janggut) dan bahagian dasarnya (terkena kulit) adalah sunat kerana dianggap bahagian dalam. Adapun hukum membasuh bahagian rambut janggut yang luar adalah wajib sebagai kepanjangan dari mengusap wajah.

 

Perincian di atas dan penjelasannya didasarkan pada hasil penelitian terhadap cara wuduk yang di syari’atkan. Hasilnya menunjukkan bahawa bahagian wajah yang nampak wajib dibasuh, termasuk kulit dan rambut janggut yang nipis. Adapun bahagian wajah yang tertutup kerana ketebalan janggut, seperti janggut rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka yang disyariatkan adalah menyela-nyelanya.[57]

 

Oleh itu sewajarnya kita tetap untuk mengamalkan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam menyela-nyela janggut ketika berwuduk walaupun majoriti umat Islam di Malaysia beranggapan ianya hanyalah amalan sunat. Ini adalah kerana telah sabit perintah daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan kesunnahan amalan tersebut dan tentu sekali mengamalkannya tidak akan merugikan kita walau sedikitpun.

 

 

 

 

11)  Membasuh tangan hingga ke siku dengan memulakan tangan kanan (3 kali).

 

Telah sepakat para ulamak akan kefardhuan membasuh tangan ketika berwuduk. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil),

maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku…[58]

 

 

Menurut Imam al-Syafi’i rahimahullah:

 

Saya tidak mengetahui bahawa ada perbezaan pendapat tentang membasuh siku, seolah-olah mereka memahami bahawa makna ayat ini adalah: “Maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai kalian membasuh siku.”

 

Jadi tidak cukup sekadar membasuh kedua tangan tanpa membasuh di celah-celah jari-jemari sehingga siku pun turut dibasuh,

dan hendaknya dimulai dari sebelah kanan lalu pindah ke sebelah kiri. Saya memandang makruh apabila

memulai membasuh anggota wuduk yang sebelah kiri namun dia tidak harus mengulanginya apabila telah melakukannya.[59]

 

 

Tentang termasuknya siku sebagai anggota yang perlu dibasuh, Na’im bin ‘Abdullah al-Mujmar telah berkata:

 

Aku melihat Abu Hurairah radhiallahu 'anh berwuduk… kemudian dia membasuh tangan kanannya

hingga masuk ke bahagian lengan bahagian atas, lalu membasuh tangan kirinya hingga masuk ke lengan bahagian atas…

Abu Hurairah berkata: “Seperti inilah aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berwuduk.”[60]

 

 

Menurut Syaikh Kamal bin as-Sayyid Salim:

 

Tambahan pula perkataan ألى dalam firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil),

maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku…[61]

 

 

Bererti “bersama dengan” seperti dalam firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) bersama harta kamu.[62]

 

Dan

 

serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada[63]

 

 

ertinya bersama kekuatan kamu. Al-Mubarrid berkata:

 

Jika batasan termasuk dari bahagian yang dibatasi maka itu termasuk di dalamnya.[64]

 

Maka dari penjelasan di atas jelaslah bagi kita bahawa siku termasuk bahagian yang perlu dibasuh ketika berwuduk.

 

Disunatkan juga bagi kita untuk membasuh di celah jari-jemari tangan serta memastikan air mengenai celah-celah cincin atau jam yang dipakai.

 

Daripada Laqith bin Shabirah, dia bertanya:

“Wahai Rasulullah, beritahukan kepadaku tentang berwuduk.”

Rasulullah menjawab: “Sempurnakan wuduk dan selang-selangilah antara jari-jemari mu …[65]

 

 

Tentang maksud وَخَلِّلْ بَيْنَ الأَصَابِعِ  Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:

 

Renggangkanlah jari-jari dan alirkan air di antara celah-celahnya. Yang dimaksudkan dengan jari di sini adalah jari tangan dan jari kaki. Keterangan ini didasarkan menerusi riwayat Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh:

 

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Jika kamu berwuduk maka renggangkanlah

dan basuhlah celah-celah antara jari kedua tanganmu dan kedua kakimu.[66]

 

 

Walaupun kita telah membasuh telapak tangan pada permulaan berwuduk tadi, namun apabila membasuh tangan kita tetap wajib sekali lagi membasuh telapak tangan tersebut secara sempurna. Ketahuilah bahawa membasuh kedua telapak tangan pada peringkat awal berwuduk hukumnya hanyalah sunat sedangkan menyempurnakan membasuh tangan adalah wajib dan anggota tangan di dalam berwuduk adalah di mulai dari kuku sehingga siku yang mana telapak tangan termasuk di dalamnya. Hendaklah juga kita memastikan bahagian kulit yang terlindung kerana memakai cincin, gelang, jam tangan dan lain-lain juga dibasahi air ketika berwuduk.

 

Syaikh Wahid ‘Abdussalam Bali berkata:

 

Di antara kesalahan yang mereka lakukan (ketika berwuduk) ialah tidak menggerak-gerakkan cincin ketika membasuh telapak tangan dan tidak menggerak-gerakkan jam tangan ketika membasuh tangan sehingga kulit di kedua tempat tersebut kering.

 

Oleh kerana itu wajib menggerakkan keduanya sehingga terbasuh kulit yang berada di bawah keduanya. Imam al-Bukhari rahimahullah menyatakan:

 

Ibnu Sirin biasa membasuh tempat cincin saat wuduk.[67]

 

Dan sanadnya disahihkan oleh al-Hafidz[68] (Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah) seraya menyatakan: “Kerana adakalanya air tidak sampai kepadanya jika sempit.[69]

 

 

 

12)  Menyapu seluruh kepala dari hadapan ke belakang bersekali dengan kedua telinga menggunakan dua tangan.

 

Kepala adalah anggota wuduk yang telah disepakati oleh para ulamak sebagai bahagian yang fardhu ketika berwuduk. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil),

maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah kepala kamu…[70]

 

 

Namun mereka berbeza pendapat samada yang perlu disapu adalah sebahagian dari kepala atau seluruh kepala. Ini adalah kerana ب boleh ditafsirkan sebagai sebahagian mahupun keseluruhan. Bagi Imam al-Syafi’i dan Abu Hanifah rahimahumallah ayat di atas menunjukkan bahawa menyapu sebahagian kepala dengan air sudah memadai. Imam al-Syafi’i berkata:

 

Adalah masuk akal bahawa pada ayat ini dijelaskan tentang barangsiapa telah menyapu sedikit dari kepalanya, maka sesungguhnya dia dianggap telah menyapu kepala. Ayat ini juga tidak memiliki kemungkinan arti lain selain dari yang telah disebutkan, yang mana hal itu merupakan makna yang terkuat. Makna yang tidak dianggap kuat adalah menyapu kepala seluruhnya.[71]  

 

Imam al-Syafi’i rahimahullah menguatkan pendapatnya dengan riwayat daripada Mughirah bin Syu’bah:

 

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berwuduk dan menyapu ubun-ubunnya

dan juga di atas serbannya serta di atas khuf.[72]

 

 

Namun begitu menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam pula:

 

Huruf ب di dalam ayat ini tidak menunjukkan bahawa yang disapu hanya sebahagian. Kerana fungsi huruf ب tersebut adalah ilshaaq (menunjukkan keseluruhan). Siapa yang beranggapan bahawa ب tersebut berfungsi tab’iidh (sebahagian) maka dia sama sahaja seperti telah menyalahkan para pakar bahasa arab.[73]

 

Selanjutnya Syaikh  Fahd al-Syuwayyib pula berkata:

 

Al-Syaukani rahimahullah dalam Nail al-Authar mengatakan, bahawa huruf ب tidak terbukti dipergunakan untuk menyatakan sebahagian dan Sibawaih (ulamak pakar bahasa) telah membantahnya dalam 15 tempat di dalam kitabnya.[74]

 

Pendapat menyapu seluruh kepala ini juga merupakan pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad rahimahumallah. Menurut Imam al-Bukhari rahimahullah:

 

Imam Malik rahimahullah pernah ditanya: “Apakah mencukupi jika menyapu sebahagian kepala sahaja?” Maka beliau (Imam Malik) berhujah dengan hadis ‘Abdullah bin Zaid radhiallahu 'anh:

 

… lalu (baginda) mengusap kepalanya dengan kedua tangannya. Baginda menggerakkan kedua tangannya ke arah hadapan

dan ke belakang; dimulai daripada bahagian depan kepalanya kemudian menggerakkan kedua tangannya sampai ke belakang (tengkuknya), lalu mengembalikan keduanya ke tempat baginda memulainya…[75]

 

 

Inilah sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dalam menyapu kepalanya yakni setelah membasahkan tapak tangannya baginda meletakkan kedua tangannya di atas bahagian hadapan kepala dengan tangan tersebut melitupi seluruh kepala lalu menyapunya ke arah belakang sehingga kebatasan terakhir rambut di tengkuk lalu menyapunya semula ke arah hadapan dan berhenti di tempat pemulaan baginda meletakkan kedua tangannya.

 

Berkenaan hadis Mughirah iaitu hadis yang menunjukkan baginda hanya menyapu bahagian ubun-ubun yang dijadikan dalil untuk menyapu sebahagian kepala ianya sebenarnya khusus untuk mereka yang memakai serban dan kemudian hendaklah dia menyempurnakannya dengan menyapu serban sebagaimana zahir hadis tersebut. Syaikh ‘Abdul ‘Aziz ‘Abdullah bin Baz rahimahullah berkata:

 

Tidak ada dalam hadis Mughirah keterangan yang menyatakan bahawa menyapu kepala secara keseluruhan saat berwuduk bukanlah fardhu apabila seseorang tidak memakai serban. Akan tetapi sesungguhnya hadis itu hanya memberi keterangan bolehnya menyapu bahagian kepala yang nampak dan melanjutkan dengan menyapu serban di saat memakainya. Adapun di saat seseorang tidak memakai serban, maka yang wajib dilakukannya adalah dengan menyapu kepala secara keseluruhannya sebagai pengamalan hadis ‘Abdullah bin Zaid.[76]

 

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah pula berkata di dalam Zaadul Ma’ad (jilid 1, ms. 193):

 

Tidak ada satu hadis yang sahih bahawa baginda (shallallahu 'alaihi wasallam) hanya menyapu sebahagian kepalanya sahaja. Tetapi jika (baginda) menyapu ubun-ubunnya, maka baginda menyempurnakan pada serbannya.[77]

 

 

Selanjutnya mari kita melihat beberapa hadis lain yang menjelaskan tentang tatacara menyapu kepala:

 

a)      Menyapu Kepala Hanya Satu Kali

 

Imam al-Bukhari memperuntukkan satu bab khusus bertajuk Menyapu Kelapa Sekali di dalam Shahih al-Bukhari dan di bawah bab itu terdapat sebuah hadis dimana ‘Abdullah bin Zaid menceritakan tentang wuduk Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Musa telah menceritakan kepada kami, dia berkata telah menceritakan kepada kami Wuhaib,

dia berkata: “Baginda (shallallahu 'alaihi wasallam) menyapu kepalanya sekali.”[78]

 

Daripada ‘Abdul Rahman bin Abi Laila, dia berkata: Aku melihat ‘Ali radhiallahu 'anh berwuduk…

dan beliau menyapu kepalanya  sekali lalu (‘Ali) berkata: Inilah cara wuduk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.[79]

 

Hadis daripada ‘Ali radhiallahu 'anh ini merupakan dalil ke atas sunnahnya menyapu kepala hanya sekali dan menurut pengarang kitab Tuhfat al-‘Ahwadzi bi Sharh Jami’ al-Tirmidzi ianya merupakan pendapat jumhur.

 

Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:

 

Hadis ‘Ali radhiallahu 'anh di atas menunjukkan bahawa mengusap kepala hanya dilakukan sekali, tidak berulang-ulang sebagaimana saat membasuh anggota wuduk yang lain.[80]

 

 

b)      Menyapu Kedua Telinga

 

Adalah disunnahkan untuk menyapu telinga sesudah menyapu kepala tanpa mengambil air yang baru. Ini adalah kerana telinga termasuk dalam bahagian kepala. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Kedua telinga adalah sebahagian daripada kepala.[81]

 

 

Adalah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menyapu telinganya dengan menggunakan air yang sama ketika baginda menyapu kepalanya dengan memasukkan jari telunjuknya ke bahagian dalam telinga untuk menyapu bahagian dalam serta ibu jarinya pula dipergunakan baginda untuk meyapu bahagian luar telinga baginda. Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru radhiallahu 'anhuma tentang wuduk Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

 

…kemudian baginda menyapu kepalanya dan memasukkan kedua jari telunjuknya ke dalam telinga baginda

dan menyapu bahagian luar kedua telinganya dengan kedua ibu jarinya…[82]

 

 

Ternyata Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak menggunakan air yang baru untuk mengusap telinganya. Inilah tatacara yang sah daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.[83]

 

Secara ringkasnya tatacara yang sahih daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berkaitan dengan menyapu kepala menurut Syaikh Sa’id al-Qahthani:

 

Membasuh kepala sekali dimulai dengan membasahi kedua tapak tangan dengan air, lalu membasahi kepala bahagian depan, kemudian menarik tangan ke belakang hingga kepala bahagian belakang, kemudian menariknya kembali ke kepala bahagian depan. Setelah itu dilanjutkan dengan memasukkan jari telunjuk ke lubang telinga, sedangkan ibu jari menggosok telinga bahagian luar.[84]

 

 

 

13)  Membasuh kaki hingga ke buku lali dengan memulakan dari kaki kanan (3 kali).

 

Sebagaimana kepala, kaki juga merupakan anggota wuduk yang telah disepakati oleh para ulamak sebagai bahagian yang fardhu ketika berwuduk. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi kedua mata kaki (buku lali)…[85]

 

Menurut Imam al-Syafi’i rahimahullah:

 

Saya tidak mendengar adanya perbezaan pendapat tentang ألكعبين (kedua mata kaki) yang disebut Allah 'Azza wa Jalla pada wuduk, iaitu bahawa kedua mata kaki yang dimaksudkan ialah (tulang) yang menonjol, dan keduanya merupakan tempat bertemunya pergelangan betis dan kaki (iaitu buku lali). Kedua (buku lali) harus disapu (diratakan dengan air), seolah-olah maknanya menjadi, “Basuhlah kakimu sehingga membasuh kedua mata kakimu.” Tidak cukup bagi seseorang apabila dia membasuh kedua tapak kakinya, baik bahagian atas mahupun bahagian bawah, pinggiran (bahagian tepi kaki) dan kedua mata kakinya (yakni buku lali), kecuali hingga merata (iaitu air) ke setiap bahagian berdekatan dengan mata kaki dan berhubungan dengan pangkal betis.[86]

 

Jelas Imam al-Syafi’i amat menitik beratkan agar bahagian buku lali dan sekitarnya diratakan dengan air kerana sememangnya ramai yang melalaikannya. Apatah lagi terdapat ancaman daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bagi mereka yang tidak meratakan air sehingga ke seluruh kaki. Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sengaja tertinggal di belakang kami dalam satu perjalanan yang pernah kami lakukan.

Lalu baginda pun menyusul kami sementara waktu Asar mendapati kami (telah tiba).

Saat itu kami berwuduk seraya menyapu kaki-kaki kami. Maka baginda menyeru dengan suara keras:

“Wail[87] bagi tumit-tumit dari api neraka.” Baginda menyatakannya dua atau tiga kali.”[88]

 

 

Diriwayatkan daripada Muhammad bin Ziyad, dia berkata:

 

Aku mendengar Abu Hurairah –yang pada saat itu bersama kami melewati orang-orang yang sedang berwuduk

dari satu bejana- mengatakan: “Sempurnakanlah wuduk kerana sesungguhnya Abu Qassim (Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam) bersabda: “Wail bagi tumit-tumit dari neraka.”[89]

 

Sebagaimana yang pernah penulis perjelaskan sebelum ini, celah-celah jari-jemari kaki juga hendaklah dibersihkan ketika berwuduk. Diriwayatkan daripada al-Mustaurid radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Aku melihat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam apabila berwuduk baginda menggosok jari-jari kakinya

dengan (jari) kelingkingnya.[90]

 

 

 

14)  Berwuduk mengikut tertib.

 

Jumhur ulamak berpendapat bahawa berwuduk secara tertib merupakan suatu perkara yang wajib. Ini adalah kerana dalil-dalil daripada hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sentiasa menunjukkan baginda menuruti tertib iaitu membasuh muka, tangan, kepala dan kaki. Hal ini diperkuatkan lagi dengan keumuman lafaz sabda baginda shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Mulailah (kalian) dari yang Allah 'Azza wa Jalla mulai.[91]

 

 

Oleh itu berwuduk juga hendaklah dikerjakan secara tertib sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil),

maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku,

dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali;

dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib;

dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam perjalanan, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air,

atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi),

maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu:

sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu.

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan),

tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu,

supaya kamu bersyukur.[92]

 

 

Dengan berdalilkan ayat di atas Imam al-Syafi’i rahimahullah berkata:

 

Rasul shallallahu 'alaihi wasallam berwuduk sebagaimana yang diperintahkan kepadanya,

dan memulai dengan apa yang dimulai (diperintahkan) oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Dengan demikian –Wallahu A’lam- orang yang berwuduk hendaknya memperhatikan dua perkara iaitu:

Memulai dengan apa yang dimulai (diperintahkan) oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala,

kemudian yang dimulai oleh Rasul-Nya shallallahu 'alaihi wasallam,

dan hendaknya menyempurnakan apa yang diperintahkan kepadanya. Barangsiapa memulai dengan tangannya sebelum muka,

atau kepalanya sebelum kedua tangannya, atau kedua kakinya sebelum kepalanya,

maka menurut saya hendaklah dia mengulang wuduknya sehingga dia membasuh sesuai dengan urutan (tertib).

Wuduknya tidak sah –menurut saya- kecuali bila dikerjakan sesuai urutannya (tertib).[93]

 

 

Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:

 

Menerusi ayat ini Allah membuat urutan pertama kali dengan membasuh wajah, kedua tangan, mengusap muka dan membasuh kaki. Dengan begitu urutan yang dilakukan ketika berwuduk hendaklah disesuaikan dengan urutan pada ayat tersebut.

 

Urutan yang dijelaskan ayat tersebut adalah wajib dilakukan. Jika dilakukan tidak sesuai urutan tersebut maka wuduknya dinilai tidak sah meskipun ada yang menilainya sah.[94]

 

Wajibnya berwuduk mengikut tertib ini juga merupakan mazhab Imam al-Syafi’i dan mazhab yang masyhur daripada Imam Ahmad. Pendapat ini diambil daripada ‘Uthman, Ibnu ‘Abbas daripada para sahabat, dan dalam sebuah riwayat daripada ‘Ali. Pendapat ini juga dikatakan oleh Qatadah, Abu Tsaur, Abu Ubaid dan Ishaq bin Rahawaih.[95]

 

Namun begitu para ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebenarnya tidak sepakat tentang wajibnya wuduk dilakukan secara tertib. Menurut Dr. Yusuf Qaradhawi:

 

Sedangkan (ulamak) yang lain mengatakan bahawa tidak ada kewajipan untuk tertib. Ini dikatakan oleh al-Baghawi dengan mengutip sekian banyak pendapat ulamak. Sebagaimana hal ini disebutkan oleh Ibnul Mundzir daripada ‘Ali dan Ibnu Mas’ud. Pendapat ini juga merupakan pendapat Said bin al-Musayyab, al-Hassan, Atha’, Makhul, al-Nakha’i, al-Zuhri, Rabiah, al-Auza’i, Abu Hanifah dan Malik serta sahabat dan murid keduanya. Pendapat ini juga merupakan pendapat al-Muzanni dan Abu Dawud. Pendapat ini pulalah yang menjadi pilihan Ibnul Mundzir.[96]

 

Hujah yang dipergunakan oleh para ulamak yang menyatakan tertib itu tidak wajib adalah:

 

1)      Hadis yang diriwayatkan daripada Miqdam bin Ma’di Karib al-Kindi radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Dibawakan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam air untuk berwuduk, maka baginda berwuduk: membasuh kedua telapak tangannya tiga kali, kemudian membasuh wajahnya tiga kali, kemudian membasuh kedua tangannya tiga kali-tiga kali, kemudian berkumur dan istinsyaq tiga kali, dan membasuh kepala serta telinga bahagian luar dan dalamnya dan membasuh kedua kakinya tiga kali-tiga kali.[97] [98]

 

Jelas di dalam hadis di atas berkumur dan istinsyaq yang sepatutnya urutannya sebelum membasuh wajah telah dikerjakan oleh baginda setelah membasuh kedua tangannya. Menurut Syaikh al-Albani rahimahullah hadis ini menunjukkan tidak wajibnya tertib.[99]

 

2)      Tentang surah al-Maaidah ayat ke 6, menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi:

 

Sedangkan mereka yang menyatakan tertib itu tidak wajib, mereka berdalil dengan menggunakan ayat wuduk itu sendiri (al-Maaidah (5) : 6), yakni athaf (sambungan urutan anggota wuduk) dengan huruf waw (و = dan) tidak menunjukkan bahawa adanya keharusan untuk mengikut urutan tersebut (tertib).[100] Sebagaimana jika seseorang mengatakan kepada seseorang pembantunya: “Jika engkau pergi pasar belilah roti dan kurma” maka ini tidak bermaksud bahawa pembantu itu mesti membeli roti terlebih dahulu kemudian disusuli dengan kurma. Apapun yang dia beli terlebih dahulu maka dia bererti telah memenuhi perintah tuannya.

 

Demikian juga dengan berwuduk, kerana ia sifatnya adalah bersuci. Maka tidak ada kewajipan tertib di sana, sebagaimana orang mandi junub, juga mendahulukan yang kanan atas yang kiri, atau siku atas mata kaki. Sebab apabila seseorang yang sedang hadas maka membasuh semua anggota tubuhnya sekaligus maka hadasnya akan hilang.[101]

 

Apapun jua pendapat yang dipegang, bagi penulis mencontohi apa yang lazimnya dikerjakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam iaitu mengikuti tertib sesuai dengan dalil dari al-Qur’an adalah lebih wajar untuk kita amalkan. Ini adalah kerana hadis yang menunjukkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berwuduk dengan tidak menurut tertib jarang-jarang dikemukakan berbanding dengan riwayat-riwayat yang menunjukkan tertib yang lebih banyak dan masyhur.

 

 

 

15)  Al-Muwalah (المولة) iaitu berturut-turut membasuh anggota wuduk.

 

Al-Muwalah adalah bergilir-gilir membasuh dan mengusap anggota wuduk dengan tidak memisahkannya dalam tempoh waktu yang lama. Rata-rata umat Islam di Malaysia beranggapan bahawa al-Muwalah ini hukumnya wajib. Dalil bagi mereka yang mewajibkan al-Muwalah adalah:

 

Daripada Khalid daripada sebahagian sahabat bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melihat seorang lelaki sedang solat,

namun baginda mendapati bahawa di bahagian tepi kakinya ada yang tidak terkena air lalu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkannya untuk mengulangi wuduk dan mengulangi solatnya.[102]

 

 

Menerusi hadis ini mereka berhujah bahawa sekiranya al-Muwalah itu tidak wajib nescaya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan hanya menyuruh sahabat tersebut membasuh kakinya dan tidak mengulangi wuduk sepenuhnya. Namun begitu menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi,[103] Imam al-Nawawi rahimahullah telah menyatakan bahawa hadis ini adalah hadis dha’if dan tidak boleh dijadikan hujah.

 

Seterusnya mereka juga berhujah dengan sebuah hadis daripada ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh:

 

Sesungguhnya seorang lelaki berwuduk kemudian beliau meninggalkan kawasan yang kecil sebesar kuku di kakinya

(tidak terkena air). Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melihatnya dan bersabda: “Ulangi dan perbaiki wudukmu.”[104]

 

 

Menerusi hadis ini mereka beranggapan bahawa perintah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk mengulangi wuduk menunjukkan bahawa al-Muwalah itu wajib kerana sekiranya tidak wajib tentu baginda akan hanya menyuruh lelaki tersebut membasuh bahagian kaki sahaja. Namun demikian menurut Dr. Yusuf Qaradhawi[105] hadis ini juga tidak menunjukkan dengan jelas tentang wajibnya berturut-turut membasuh atau mengusap anggota wuduk. Apatah lagi terdapat riwayat yang lain menunjukkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hanya memerintahkan untuk membasuh apa yang tertinggal sahaja. Menurut Imam al-Nawawi hadis yang menunjukkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengarahkan untuk mengulangi wuduk menunjukkan hal tersebut adalah sunat (mustahab) dan hadis yang menunjukkan perintah baginda hanyalah untuk membasuh apa yang tidak sempurna menunjukkan ianya diperbolehkan dan tidak diwajibkan.

 

Imam al-Syafi’i rahimahullah juga berpegang kepada pendapat al-Muwalah itu tidak wajib. Menurut beliau:

 

Tidak jelas bagi saya dalil yang mewajibkan mengulangi wuduk dari awal, walaupun ianya (wuduk yang tidak dihabiskan tersebut) diputuskan dalam waktu lama selama tidak terjadi kepadanya hadas…Sesungguhnya saya tidak menemukan dalil yang mengharuskan wuduk dengan berturutan (al-Muwalah), sebagaimana dalil yang saya temui dalam hal mendahulukan sebahagian anggota wuduk yang lain atas sebahagian yang lain.[106]

 

Tentang pendapat bahawa al-Muwalah ini tidak wajib dikuatkan lagi dengan sebuah hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu 'anh:

 

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membuang air kecil di pasar,

kemudian baginda berwuduk maka baginda membasuh wajahnya, kemudian kedua tangannya, kemudian mengusap kepalanya.

Lalu baginda dipanggil untuk mensolatkan jenazah, maka ketika baginda shallallahu 'alaihi wasallam masuk ke masjid

kemudian baru mengusap ke dua khufnya, lalu mensolatkan (jenazah tersebut).”[107]

 

 

Imam al-Syafi’i rahimahullah juga telah membawa satu riwayat bahawa Ibnu ‘Umar juga pernah melakukan perkara yang sama dengan hadis di atas. Melalui riwayat tersebut Imam al-Syafi’i berkata:

 

Perbuatan ini menunjukkan tidak adanya kesinambungan dalam berwuduk dan mungkin sahaja air wuduknya telah kering. Bahkan air wuduk itu boleh kering pada jarak lebih dekat daripada jarak antara masjid dan pasar itu. Saya dapati bahawa ketika dia meninggalkan tempat wuduknya untuk menuju ke masjid, dia telah mengerjakan perbuatan selain wuduk dan memutuskan kesinambungan wuduk itu sendiri.[108]

 

Bagi penulis walaupun al-Muwalah itu hanyalah sunat, namun hendaklah kita sentiasa menjaganya kerana tatacara sebeginilah yang lazimnya dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Namun begitu ianya bukanlah perkara yang wajib sehinggakan sekiranya ianya ditinggalkan akan menjadikan wuduk kita terbatal. Wallahu A’lam.

 

 

 

16)  Membaca doa sebaik sahaja selesai berwuduk.

 

Adalah disunatkan untuk membaca doa sebaik sahaja selesai berwuduk. Di antara doa-doa yang sabit daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah seperti berikut:

 

Diriwayatkan daripada ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Tidaklah salah seorang di antara kamu berwuduk lalu menyempurnakan wuduknya lalu dia mengucapkan:

(Saya bersaksi tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu hamba dan rasul-Nya)

kecuali akan dibukakan baginya lapan pintu syurga dan dia boleh masuk dari mana saja dia suka.[109]

 

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Barangsiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya lalu dia mengucapkan:

(Saya bersaksi tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah tidak ada sekutu bagi-Nya dan Nabi Muhammad itu hamba dan rasul-Nya. Ya Allah, jadikan aku termasuk orang-orang yang bertaubat dan jadikan aku termasuk orang-orang yang selalu bersuci) kecuali akan dibukakan baginya lapan pintu syurga dan dia boleh masuk dari mana saja dia suka.[110]

 

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Barangsiapa yang berwuduk kemudian ketika selesai dari wuduknya dia membaca:

(Maha suci Engkau ya Allah dan aku bertaubat kepada-Mu) maka akan ditulis doanya tersebut pada kepingan yang nipis dan ditatah, sehingga tidak akan rosak pada hari kiamat.[111]

 

 

Di dalam sebuah kitab bertajuk Panduan Fardhu ‘Ain tulisan seorang tokoh agama yang terkenal di Malaysia beliau telah mengajar beberapa doa yang perlu dibaca apabila membasuh atau menyapu setiap anggota wuduk seperti muka, tangan, kepala dan kaki. Sebagai contohnya  ketika membasuh muka menurut beliau disunatkan membaca:

 

Ya Tuhan kami putihlanlah mukaku dengan cahayamu pada hari putihnya muka-muka wali-wali Engkau

dan janganlah Engkau hitamkan mukaku dengan kegelapan pada hari hitamnya muka musuh-musuh engkau.[112]

 

 

Sebenarnya terdapat beberapa variasi dalam bacaan doa ketika membasuh anggota-anggota wuduk namun begitu kesemuanya tidak sabit daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Menurut pengarang kitab al-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa al-Sholawaat, Syaikh Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry rahimahullah:

 

Setiap hadis yang menjelaskan bacaan (doa) ketika berwuduk adalah dusta, hanyalah rekaan dan tidak pernah diucapkan oleh rasulullah  shallallahu 'alaihi wasallam dan semuanya bukan hadis sahih.[113]

 

 

Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah:

 

Semua doa-doa ini dan yang semisalnya (yakni doa ketika berwuduk) telah disebut sebahagian ulamak yang datang kemudian (ulamak khalaf yang bukan daripada generasi al-Salafussoleh) khususnya daripada kalangan al-Syafi’iyah seperti al-Syairazi dalam al-Muhadzdzab. Al-Nawawi berkata: “Tidak berdasar! Dan tidak pernah disebutkan oleh para ulamak terdahulu.”[114]

 

Menurut Imam Ibnul Qayyim rahimahullah pula:

 

Adapun zikir (doa) yang dibaca oleh orang awam saat berwuduk, maka yang demikian itu sama sekali tidak ada dasarnya daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, tidak pula daripada sahabat dan tabi’in ataupun imam yang empat. Di dalamnya ada hadis palsu yang dinisbahkan kepada Rasulullah.[115]

 

Oleh itu sewajarnya kita meninggalkan amalan-amalan bid’ah sebegini demi menjaga ketulenan ibadah kita apatah lagi telah terdapat perintah daripada baginda shallallahu 'alaihi wasallam supaya menolak segala bentuk amalan bid’ah.

 

Ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah), serta seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan (bid’ah) adalah sesat.[116]

 

 

Ternyata semua amalan yang tidak ada contohnya daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda baginda shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama)

apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.[117]

 

Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama),

maka tertolaklah ia.[118]

 

 

Mungkin ada yang berkata apa salahnya perbuatan tersebut kerana ianya nampak baik. Jawapan kami kepada mereka adalah setiap bid’ah itu tetap sesat walaupun nampak seperti baik.

 

Daripada ‘Abdullah bin Umar radhiallahu 'anhuma:

 

“Setiap bid’ah itu sesat, walaupun manusia memandangnya (perbuatan bid’ah tersebut) hasanah (baik).”[119]

 

 

Imam al-Syafi’i rahimahullah pernah berkata:

 

Sesiapa yang menganggap baik (apa yang diciptakan dalam agama), dia telah mencipta syarak, sesiapa yang mencipta syarak, maka dia telah kafir.[120]

 

Kesimpulannya tidak ada istilah bid’ah hasanah (bid’ah yang baik atau terpuji) di dalam perkara bersangkutan dengan ibadah kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:  ...وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. “dan setiap yang diada-adakan (bid’ah) adalah sesat”[121]. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menyempurnakan segala bentuk amal ibadah yang Dia inginkan hamba-hamba-Nya persembahkan kepada-Nya sebelum Dia mewafatkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini sebagaimana firman-Nya:

 

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu,

dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.[122]

 

 

Telah berkata Imam al-Syaukani rahimahullah:

 

Jika sekiranya Allah telah menyempurnakan agama-Nya sebelum diambil (nyawa) Nabi-Nya apa perlunya seseorang itu mengada-adakan lagi suatu amalan yang baru (amalan bid’ah) sedangkan Allah telah menyempurnakan agama-Nya? Jika yang diada-adakan itu bukan kerana agama, maka apa perlunya bersibuk-sibuk dengan amalan yang bukan urusan agama? [123]

 

 

 

17)  Mengerjakan Solat Sunat setelah berwuduk

 

Adalah disunatkan bagi seseorang untuk mengerjakan solat sunat dua rakaat setelah berwuduk. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh:

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada Bilal ketika waktu solat Subuh:

“Ya Bilal, katakanlah kepada ku pekerjaan apa yang amat engkau pentingkan sekali selama dalam Islam,

kerana saya dengar bunyi tapak kasutmu di hadapanku dalam syurga.”

Jawab Bilal: “Tidak satu pun pekerjaan yang lebih saya utamakan hanyalah setiap kali saya melakukan wuduk,

baik di waktu siang mahupun malam, maka saya solat dengan wuduk tersebut sebelum aku melakukan solat yang lain.”[124]

 

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir, telah bersabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

“Sesiapa daripada kalangan orang Islam yang berwuduk dan melakukannya dengan sempurna lalu solat dua rakaat

dengan segenap hati dan wajahnya, wajiblah (pastilah) syurga baginya.”[125]

 

Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Sesiapa yang  wuduk seperti wudukku ini, kemudian dia solat dua rakaat dengan khusyuk,

diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.[126]

 

Demikianlah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam berwuduk yang sewajarnya kita contohi kerana bagindalah contoh ikutan yang terbaik bagi seluruh umat Islam. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,

iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat,

serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).[127]


 

 


[1]               Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, (edisi terjemahan oleh Thahirin Suparta, M. Faisal dan Adlis Aldizar, Pustaka Azzam, Jakarta, 2006) jilid 1, ms.  217.

[2]               Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dan Fahd bin Abdur Rahman al-Syuwayyib, Beginilah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Berwuduk, (edisi terjemahan oleh Azhar Khalid Seff, Darus Sunnah, Jakarta, 2005), ms. 69.

[3]               Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 22.

[4]               Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, (edisi terjemahan oleh Mohammad Yassir Abd Mutholib, Pustaka Azzam, Jakarta, 2005) jilid 1, ms. 34.

[5]               Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 145-146.

[6]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab Bada’ al-Wahyu, hadis no. 1.

[7]               Sila rujuk buku penulis bertajuk Beberapa Persoalan Lazim Tentang Solat di dalam bab Tidak Melafazkan Niat Sebelum Memulakan Solat. Penulis telah membahaskan dengan panjang lebar tentang isu niat ini bersertakan dalil-dalil dan keterangan-keterangan daripada para ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Walaupun perbincangan di dalam buku tersebut berkisar tentang amalan melafazkan niat ketika solat namun ianya berkaitan dengan ibadah-ibadah lain termasuk berniat sebelum berwuduk.

[8]               Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani, Thaharah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam: Tuntunan Bersuci Lengkap, (Edisi terjemahan oleh Abu Shafiya, Media Hidayah, Jogjakarta, 2004) ms. 67.

[9]               Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dan Fahd bin Abdur Rahman al-Syuwayyib, Beginilah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Berwuduk, (edisi terjemahan oleh Azhar Khalid Seff, Darus Sunnah, Jakarta, 2005), ms. 34-35.

[10]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan Tirmidzi, Kitab al-Thohaarah, no: 25 dan Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thaharah, no: 92. Ulamak berbeza pendapat tentang status hadis ini. Syaikh Syu’aib al-Arna’uth dan pengarang kitab Shahih Fikih Sunnah mendha’ifkannya. Namun begitu Syaikh al-Albani rahimahullah di dalam kitabnya Irwa’ al-Ghalil (jilid 1, ms. 122) telah menetapkan hadis ini berstatus hassan. Perbezaan pendapat di kalangan ulamak hadis tentang status hadis ini menyebabkan wujudnya perbezaan pendapat tentang wajib atau sunat membaca بِسْمِ اللهِ ketika hendak berwuduk.

[11]             Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 77.

[12]             Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 45.

[13]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan Tirmidzi, Kitab al-Thohaarah, no: 25 dan Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thaharah, no: 92.

[14]             Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah (edisi terjemahan terbitan Pustaka Azzam, Jakarta, 2006) jilid 1, ms. 187.

[15]             Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dan Fahd bin Abdur Rahman al-Syuwayyib, Beginilah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Berwuduk, ms. 38.

[16]             Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, (edisi terjemahan oleh Afifuddin Said, Maktabah Salafy Press, Gajah Mada 2002) jilid 1, ms. 96.

[17]             al-Zalzalah (99) : 7-8

[18]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 164.

[19]             Penulis nukil daripada kitab Fathul Baari karya al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, jilid 2, ms. 2.

[20]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 157.

[21]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 158.

[22]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 6.

[23]             Sewajarnya hal ini diberi perhatian kepada seluruh umat Islam terutamanya ketika mereka berwuduk di masjid-masjid yang mana ketika itu terdapat begitu ramai ahli jemaah lain yang sedang beratur. Sekiranya dengan berwuduk sebanyak sekali telah memadai untuk meratakan air ke anggota-anggota wuduk, maka cukuplah dengan berwuduk hanya sekali demi untuk keselesaan pera jemaah yang lain. Wallahu a’lam.

[24]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 88.

[25]             Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi 1 sha’ bersamaan dengan 2.156kg atau 2.75 liter air. Sila rujuk Fikih Thaharah, ms. 204.

[26]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 201.

[27]             Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 396.

[28]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 168.

[29]             Dinukil daripada kitab Fathul Baari, jilid 2, ms. 118.

[30]             Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 249.

[31]             Hadis riwayat Imam Ibnu Khuzaimah di dalam Shahih Ibnu Khuzaimah, no: 118.

[32]             Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, no: 15846.

[33]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 278.

[34]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 159. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah:

Hadis ini merupakan keterangan mencuci kedua tangan sebelum memasukkannya ke dalam bejana (bekas air untuk berwuduk), meskipun bukan kerana bangun tidur sebagai tindakan berhati-hati. (al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 82)

[35]             Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 214.

[36]             Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 200.

[37]             Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 35.

[38]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wuduk, no: 164.

[39]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wuduk, no: 191.

[40]             Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 85.

[41]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Shaum, hadis no 718.

[42]             Hadis riwayat Imam al-Darimi di dalam Sunan al-Darimi, Kitab al-Thohaarah, no: 696.

[43]             Al-Maaidah (5) : 6

[44]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 237.

[45]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 123.

[46]             Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 218.

[47]             Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 198-199.

[48]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 83

[49]             Al-Maaidah (5) : 6

[50]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wuduk, no: 164.

[51]             Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms 35-36.

[52]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 29.

[53]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 124.

[54]             Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 249.

[55]             Imam al-Syafi’i rahimahullah menganggap perbuatan menyela-nyela janggut ini hanyalah sunat sahaja. Wallahu A’lam

[56]             Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms 36.

[57]             Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 249.

[58]             Al-Maaidah (5) : 6

[59]             Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 36-37.

[60]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 246. Hadis ini juga dipergunakan sebagai dalil disunatkan untuk meratakan air ke anggota wuduk dengan melebihi sedikit dari paras yang disyari’atkan. Contohnya apabila membasuh tangan dilebihkan sedikit melepasi paras siku dan apabila membasuh kaki melepasi di paras buku lali.

[61]             Al-Maaidah (5) : 6

[62]             al-Nisaa’ (4) : 2

[63]             Hud (11) : 52

[64]             Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 178.

[65]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Shaum, hadis no 718.

[66]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 37.

[67]             Diriwayatkan daripada Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Bab Membasuh Mata Kaki.

[68]             Sila rujuk Fathul Baari, jilid 2, ms. 107.

[69]             Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya (edisi terjemahan oleh Ahmad Syaikhu, Darul Haq, Jakarta 2005), ms. 105.

[70]             Al-Maaidah (5) : 6

[71]             Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 37.

[72]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 274.

[73]             Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 225.

[74]             Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dan Fahd bin Abdur Rahman al-Syuwayyib, Beginilah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Berwuduk, ms. 38.

[75]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 185.

[76]             Sebagaimana komentar beliau terhadap kitab Fathul Baari, jilid 2, ms. 179.

[77]             Penulis nukil daripada kitab Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya (edisi terjemahan oleh Ahmad Syaikhu, Darul Haq, Jakarta 2005), ms. 106. Boleh juga dirujuk pendapat Imam Ibnul Qayyim ini di dalam Mukhtasar Zaadul Ma’ad Bekal Menuju Akhirat, Peringkas Muhammad Abdul Wahhab at-Tamimi, (edisi terjemahan oleh Kathur Suhardi, Pustaka Azzam, 1999) ms. 17.

[78]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 192.

[79]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 100. Hadis yang senada juga diriwayatkan daripada Abi Hayyah oleh Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 45, dan daripada ‘Abdi Khair oleh Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 91 yang mana kedua-dua riwayat tersebut juga berpunca dari Saidina ‘Ali radhiallahu 'anh. Manakala satu lagi riwayat daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh yang diriwayatkan oleh Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya no: 100 dengan lafaz (وَمَسَحَ بِرَأْسِهِ وَأُذُنَيْهِ مَرَّةً) yang menunjukkan bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menyapu kepalanya berserta kedua telinganya sebanyak satu kali.

[80]             Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 249. Namun begitu menurut Syaikh al-Albani rahimahullah di dalam Tamamul Minnah (Jilid 1, ms 98) terdapat hadis yang bersanad hasan menunjukkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah juga menyapu kepala sebanyak tiga kali. Menurut beliau walaupun terdapat banyak hadis yang lebih kuat yang menunjukkan sapuan hanya satu kali tetapi penambahan dari perawi yang terpercaya dapat diterima. Hadis menyapu kepala sekali tersebut bagi beliau tidak bercanggah dengan hadis mengusap tiga kali tetapi menurut beliau pembicaraan di sini adalah bersangkutan masalah sunnah iaitu lazim dikerjakan dan kadang-kadang ditinggalkan.

Namun menurut Syaikh Ben Bazz rahimahullah ketika memberi komentar terhadap kitab Fathul Baari (jilid 2, ms. 206) hadis yang menunjukkan sapuan kepala lebih dari sekali adalah syadz kerana tambahan tersebut menyalahi riwayat perawi yang lebih thiqah (kuat) sehingga tidak dapat dijadikan pegangan.

Untuk mengkompromikan hadis menyapu kepala sekali dan tiga kali al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata:

Dalil terkuat yang menunjukkan tidak ada pengulangan dalam menyapu kepala adalah hadis masyhur yang disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dari selainnya dari jalur periwayatan ‘Abdullah bin Amru bin al-Ash mengenai sifat wuduk Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, di mana baginda bersabda setelah selesai berwuduk:

مَنْ زَادَ عَلَى هَذَا فَقَدْ أَسَاءَ وَظَلَمَ.

“Barangsiapa yang menambahkan dari yang demikian ini, sungguh dia telah berlaku buruk lagi zalim.”

Sementara dalam riwayat Sa’id bin Manshur terhadap hadis di atas terdapat ketegasan, bahawa baginda shallallahu 'alaihi wasallam menyapu kepalanya satu kali. Hal ini menunjukkan bahawa menyapu kepala lebih dari satu kali tidaklah disukai. Adapun riwayat-riwayat yang menerangkan adanya pengulangan dalam menyapu kepala –apabila terbukti kebenarannya- maka harus difahami bahawa maksudnya adalah meratakan sapuan, di mana pemahaman seperti itu untuk mengompromikan dengan riwayat-riwayat yang menyatakan tidak adanya pengulangan dalam menyapu kepala. (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 207)

[81]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 35.

[82]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no:116.

[83]             Tentang sebuah hadis daripada ‘Abdullah bin Zaid radhiallahu 'anh  yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi rahimahullah yang menunjukkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah menggunakan air untuk mengusap kedua telinganya bukan dari air yang digunakannya untuk menyapu kepala; ianya telah dinilaikan syadz oleh al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah di dalam Bulughul Maram (Sila rujuk no:39 di dalam Taudhih al-Ahkam Min Bulughul Maram [edisi terjemahan: Syarah Bulughul Maram] karya Syaikh ‘Abdullah al-Bassam).

[84]             Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani, Thaharah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam: Tuntunan Bersuci Lengkap, ms. 69-70.

[85]             Al-Maaidah (5) : 6

[86]             Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 39.

[87]             Wail adalah sebuah lembah di neraka jahannam.

[88]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 163.

[89]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 165.

[90]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 38.

[91]             Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, no: 14707.

[92]             Al-Maaidah (5) : 6

[93]             Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 43.

[94]             Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 252.

[95]             Dr. Yusuf Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms 193.

[96]             Dr. Yusuf Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms 193.

[97]             Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, no: 16558

[98]             Bagi mereka yang berpegang kepada pendapat pertama mereka tidak melihat hadis ini sebagai dalil yang dapat menghilangkan kewajipan tertib. Dr. Muhammad bin Umar berkata:

Hadis Miqdam tidak menunjukkan hukum apa pun selain membolehkan berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung setelah membasuh tangan dan sebelum menyapu kepala. Jadi ianya bukan dalil yang membolehkan dilakukan urutan yang berbeza dengan urutan yang tertera dalam al-Qur’an. Tidakkah anda lihat dalam hadis tersebut tertera membasuh telapak tangan tiga kali, lantas membasuh wajah tiga kali, lantas membasuh kedua tangan tiga kali, kemudian menyapu kepala serta telinga, dan terakhir membasuh kedua kaki. Inilah tertib yang tertera dalam teks ayat (al-Qur’an) tanpa diselingi apa pun. Lantas bagaimana mungkin ada hadis yang menunjukkan tidak wajib berwuduk dengan tertib tersebut? – Rujuk Ensiklopedi Tarjih Masalah Thaharah dan Shalat karya Dr Muhammad bin Umar bin Salim Bazamul (edisi terjemahan oleh Ali Nur, Darus Sunnah Press, 2007 Jalarta), ms. 79.

[99]             Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, jilid 1, ms. 94-95.

[100]            Hal ini telah dibantah oleh Dr. Muhammad bin Umar yang berkata:

Huruf ‘athaf waw (و = dan) dalam bahasa Arab tidak menunjukkan tertib tetapi menunjukkan muthlaqul jam’u. Namun begitu kita juga beriman bahawa al-Qur’an al-Karim memiliki keistimewaan-keistimewaan dan al-Qur’an merupakan firman Allah yang Maha Halus, Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui tidak akan mencantumkan sesuatu terlebih dahulu kecuali untuk suatu hikmah yang terkandung di dalamnya. Jadi makna waw ‘athaf (و) di sini tidak menunjukkan tertib urutan, tetapi maknanya menunjukkan keistimewaan dan peraturan al-Qur’an. Sehingga makna ‘athaf di sini dapat difahami jika kita perhatikan nas tersebut beserta nas sebelum dan sesudahnya. Dengan demikian perhatian tidak hanya terfokus kepada makna yang ditunjukkan oleh huruf ‘athaf dari sisi ilmu nahu dan balaghah sahaja. – Rujuk Ensiklopedi Tarjih Masalah Thaharah dan Shalat karya Dr Muhammad bin Umar bin Salim Bazamul, ms. 80.

[101]            Dr. Yusuf Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms 193. Sila juga rujuk pendapat Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam al-Majmu’ Fatawa, jilid 1, ms. 441-451.

[102]            Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 149.

[103]            Dr. Yusuf Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms 195.

[104]            Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 243.

[105]            Dr. Yusuf Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms 195.

[106]            Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 44.

[107]            Hadis riwayat Imam Malik di dalam al-Muwatta’, Kitab Thohaarah, no: 66.

[108]            Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 44.

[109]            Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 234.

[110]            Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 50.

[111]            Hadis riwayat al-Sunni di dalam bab Amalul Yaum Wal Lailah, no: 30 dan Syaikh al-Albani mengsahihkannya di dalam Shahih al-Jami’, no: 6046.

[112]            Panduan Fardhu ‘Ain, At-Tafkir Enterprise, Kuala Lumpur 1997, ms. 27.

[113]            Syaikh Muhammad ‘Abdussalam, Bid’ah Bid’ah Yang Dianggap Sunnah, (edisi terjemahan oleh Achmad Munir Awood Badjeber & Imam Sulaiman, Qisthi Press, 2004, Jakarta) ms. 20.

[114]            Ibnu Taymiyyah, al-Majmu’ al-Fatawa, jilid 1 ms 462 dan 465. Penulis nukil dari Fikih Thaharah, ms 213.

[115]            Lihat kitab al-Inshaf Ma’a Syarh al-Kabir ‘ala al-Muqni’, jilid 1, ms. 292. Penulis nukil daripada kitab Fikih Thaharah, ms 213.

[116]            Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Jama’ah, no: 867.

[117]            Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Sulh, no: 2697.

[118]            Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Aqdhiyah, no: 1718.

[119]            Diriwayatkan oleh Imam al-Lalaka’i di dalam Syarah Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Ibnu Nashir di dalam al-Sunnah dan oleh Ibnu Baththah di dalam al-Ibanah.

[120]            Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i, al-Risalah, ms. 507. Penulis nukil daripada kitab Bid’ah dan Percanggahannya karya Ustaz Rasul Dahri, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 1998, ms. 75.

[121]            Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Jama’ah, no: 867.

[122]            al-Maaidah (5) : 3

[123]            Imam al-Syaukani, al-Qaul al-Mufid, ms. 38. Penulis nukil daripada kitab Bid’ah  & Percanggahannya karya Ustaz Rasul Dahri ms. 53.

[124]            Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Jama’ah, no: 1149.

[125]            Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 234.

[126]            Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 160.

[127]            al-Ahzaab (33) :21

 

kandungan