Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

HAL-HAL BERKAITAN WUDUK SECARA RINGKAS

 

Penulis tidak bercadang untuk membahaskan setiap perkara berkaitan wuduk secara mendalam kerana telah terdapat banyak kitab fekah yang telah membicarakannya dijual di pasaran. Buku ini hanya akan menumpukan beberapa perkara berkaitan wuduk yang sering menjadi tanda-tanya di kalangan masyarakat di Malaysia dan juga beberapa sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkaitan wuduk yang jarang-jarang diamalkan. Namun begitu penulis akan mengetengahkan juga hukum-hakam berkaitan dengan wuduk di dalam bab ini dengan seringkas mungkin.

 

 

Rukun-Rukun Wuduk

 

Ibadah wuduk mempunyai rukun-rukun yang mana sekiranya ianya tidak dilakukan akan menyebabkan wuduk seseorang itu tidak sah iaitu:

  1. Membasuh muka dengan mengalirkan air dari puncak dahi di anak rambut sehingga ke dagu dan dari pinggir telinga kiri hingga ke pinggir telinga kanan

  2. Membasuh kedua tangan sampai ke siku.

  3. Mengusap seluruh kepala dengan air.

  4. Membasuh kedua kaki sehingga ke paras mata kaki atau buku lali.

 Terdapat juga beberapa perkara yang dianggap rukun tetapi masih diperselisihkan di kalangan para ulamak:

  1. Niat di dalam hati dan dimulai dengan membaca بِسْمِ اللهِ.

  2. Berkumur-kumur dan membersihkan hidung dengan air (istinsyaq & istintsar).

* Penulis akan membentangkan kesemua perkara di atas berserta dengan dalil dalam bab “Bagaimanakah Tatacara Wuduk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?”.

 

 

Perkara Yang Digalakkan Semasa Berwuduk

 

Perkara yang disunatkan ketika berwuduk bersesuaian dengan tatacara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam ialah:

  1. Menggosok gigi (bersiwak).

  2. Membasuh tapak tangan hingga ke pergelangan tangan.

  3. Menyilang-nyilangi janggut

  4. Membasuh kedua cuping telinga.

  5. Menyela jemari tangan dan jemari kaki.

  6. Tayamun iaitu mendahulukan basuhan anggota yang sebelah kanan.

  7. Muwalat iaitu berturut-turut membasuh anggota demi anggota.

  8. Meratakan air ke anggota wuduk dengan melebihi sedikit dari paras yang disyari’atkan. Contohnya apabila membasuh tangan dilebihkan sedikit melepasi paras siku dan apabila membasuh kaki dengan melepasi di atas buku lali.

  9. Membasuh anggota wuduk sebanyak tiga (3) kali dan dilarang lebih dari bilangan tersebut.

  10. Tertib atau berurutan.

  11. Tidak boros menggunakan air.

  12. Membaca doa sesudah berwuduk.

  13. Menunaikan solat sunat dua rakaat setelah berwuduk

 

* Penulis akan membentangkan kesemua perkara di atas berserta dengan dalil dalam bab “Bagaimanakah Tatacara Wuduk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?”.

 

 

 

Perkara Yang Membatalkan Wuduk

 

1)      Apa juga yang keluar dari salah satu dari kedua jalan (qubul dan dubur). Termasuk yang disebutkan di bawah ini:

 

a)     Buang air kecil (kencing).

b)     Buang air besar (berak).

 

Dalil untuk kedua perkara di atas adalah keumuman lafaz ...atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air… dalam surah al-Maaidah ayat ke 6:

 

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil),

maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku,

dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali;

dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air),

atau dalam perjalanan, atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air,

atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi),

maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu.

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan),

tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu,

supaya kamu bersyukur.[1]

 

 

c)     Buang angin (kentut)

 

Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, dia berkata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Allah tidak akan menerima solat seseorang apabila dia berhadas sehingga dia kembali wuduk.

 Seorang lelaki dari Hadramaut bertanya: Apakah yang dimaksudkan dengan hadas wahai Abu Hurairah?

Jawabnya: Angin (kentut) yang mendesis mahupun yang keluar dengan suara yang deras.[2]

 

 

2)      Keluar mani iaitu air putih pekat yang terpancut selepas terangsang.

 

Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh berkata:

 

Mani, wadi dan mazi, adapun mani maka wajib mandi, sedangkan wadi dan mazi,

maka cucilah kemaluanmu -atau kemaluan-kemaluanmu- dan berwuduklah seperti wuduk untuk solat.[3]

 

 

3)      Keluar mazi iaitu air jernih pekat yang keluar semasa terangsang.

 

Ali bin Abu Talib radhiallahu 'anh berkata:

 

Aku adalah lelaki yang paling banyak keluar air mazi lalu aku perintahkan seorang lelaki bertanya kepada

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menggunakan nama anak perempuannya (Fathimah).

Lalu dia bertanya kepada baginda lantas beginda menjawab:

 Berwuduklah dan basuhlah kemaluanmu.[4]

 

 

4)      Keluar wadi iaitu air kekuningan cair yang keluar selepas membuang air kecil tanpa terangsang disebabkan kepenatan.

 

Hukum air wadi adalah sama seperti mazi, wajib dibasuh kemaluannya lalu berwuduk. Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh berkata:

 

Mani, wadi dan mazi, adapun mani maka wajib mandi, sedangkan wadi dan mazi,

maka cucilah kemaluanmu -atau kemaluan-kemaluanmu- dan berwuduklah seperti wuduk untuk solat.[5]

 

 

5)      Tidur nyenyak. (Akan dibahaskan secara berasingan)

 

Berdasarkan hadis Shofwan bin Ghassal radhiallahu 'anh dia berkata:

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan apabila sedang berada dalam perjalanan

supaya kami tidak membuka sepatu selama tiga hari hingga malam kecuali bila berjunub,

tetapi agar membukanya apabila membuang air besar atau kecil dan jika tidur.[6]

 

 

6)      Hilang akal kerana gila, pengsan, pitam, mabuk samada disebabkan arak atau ubat.

 

Daripada Ubaidillah bin Abdullah bin Utbah radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

"Saya pernah masuk ke rumah Aisyah dan bertanya kepadanya:

Bolehkah kamu ceritakan kepadaku tentang sakit yang dideritai oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?

Aisyah menjawab: Tentu! Ketika sakitnya semakin berat,

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bertanya: Apakah orang ramai sudah mengerjakan solat?

Kami menjawab: Belum. Mereka sedang menunggu engkau.

Lantas baginda berkata: Letakkan air ke dalam bekas.

Lalu kami lakukan perintah baginda itu.

Baginda mandi seterusnya cuba bangun untuk menunaikan solat berjemaah lalu pengsan.

 

Kemudian baginda sedar lantas bertanya: Adakah orang ramai sudah solat?

Kami menjawab: Belum. Mereka sedang menunggu engkau wahai Rasulullah.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Letakkan air ke dalam bekas.

Aisyah berkata lagi: Baginda duduk dan mandi, kemudian cuba bangun untuk menunaikan solat berjemaah lalu pengsan.

 

Kemudian baginda sedar lantas bertanya: Adakah orang ramai sudah solat?

Kami menjawab: Belum. Mereka sedang menunggu engkau wahai Rasulullah.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Letakkan air ke dalam bekas lalu baginda duduk dan mandi,

kemudian cuba bangun untuk menunaikan solat berjemaah lalu pengsan. [7]

 

 

7)      Menyentuh kemaluan tanpa berlapik jika disertai syahwat. (Akan dibahaskan secara berasingan)

 

Busrah binti Shofwan radhiallahu 'anha mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

 Sesiapa yang menyentuh zakarnya maka berwuduklah dia.[8]

 

 

8)      Makan daging unta. (Akan dibahaskan secara berasingan)

 

Daripada Jabir bin Samurah bahawa seseorang bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:  

Apakah kita harus berwuduk kerana makan daging kambing?

Baginda menjawab: Jika kamu mahu berwuduklah, dan jika kamu mahu, kau tidak perlu berwuduk.

Orang tersebut bertanya lagi: Apakah kami harus berwuduk kerana makan daging unta?

Baginda menjawab: Ya, berwuduklah kerana memakan daging unta.[9]

 

 

9)      Menyentuh wanita dengan tujuan berseronok-seronok atau merasai keghairahan ketika bersentuhan hingga merangsang syahwatnya dan mengeluarkan air mani atau mazi. (Akan dibahaskan secara berasingan)

 

  

 

Perkara yang tidak membatalkan wuduk

 

Terdapat beberapa perkara yang tidak membatalkan wuduk tetapi dianggap oleh sesetengah pihak sebagai membatalkan, antaranya seperti berikut:

 

1)       Menyentuh perempuan tanpa beralas. (Akan dibahaskan secara berasingan)

 

2)       Keluar darah dari jalan yang bukan kebiasaannya, seperti terluka kerana berbekam, hidung berdarah, kudis berdarah atau terkena sesuatu yang tajam semasa bersolat seperti panah, paku dan sebagainya. (Akan dibahaskan secara berasingan)

 

3)       Muntah. (Akan dibahaskan secara berasingan)

 

4)       Orang yang berwuduk tetapi ragu-ragu samada ia sudah batal atau belum.

 

Bagi seseorang yang telah berwuduk lalu dia was-was samada dia telah berhadas (terbatal wuduknya) maka dia tetap berada dalam keadaan asalnya iaitu suci dari hadas (tidak batal wuduknya). Sekiranya keraguan itu timbul ketika sedang bersolat maka hendaklah dia tetap meneruskan solatnya sehinggalah dia benar-benar yakin bahawa wuduknya telah batal.

 

Daripada ‘Abdullah bin Zaid bahawasanya dia mengadu tentang seorang lelaki yang merasakan sesuatu (terkentut) dalam solat. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:  

 

Janganlah dia berpaling ( menghentikan solatnya) sehingga dia mendengar bunyi atau mencium bau.[10]

 

 

5)       Ketawa terbahak-bahak sewaktu solat.

 

Telah sepakat para ulamak bahawa tertawa dalam apa jua keadaan pun di luar solat tidak membatalkan wuduk. Namun mereka berbeza pendapat tentang ketawa dengan terbahak-bahak ketika bersolat. Namun yang lebih tepat ianya membatalkan solat tetapi tidak membatalkan wuduk. Dalil yang sabit tentang hal ini adalah hadis daripada Jabir bin ‘Abdillah radhiallahu 'anh secara mauquf bahawa dia ditanya tentang seseorang yang tertawa dalam solat lalu dia berkata:

 

Hendaklah dia mengulangi solat dan tidak mengulangi wuduk.[11]

 

Inilah juga pendapat bagi mazhab Syafi’i, Maliki, Ahmad, Ishak dan Abu Tsaur.

 

 

6)       Menyentuh kemaluan tanpa syahwat. (Akan dibahaskan secara berasingan)

 

Daripada Thalqi bin ‘Ali radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Telah datang seorang lelaki dari pedalaman (Arab Badwi) lalu dia bertanyakan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

“Wahai Nabi Allah, bagaimana pandanganmu tentang seseorang yang menyentuh kemaluannya setelah dia berwuduk?”

Nabi menjawab: “Bukankah kemaluan itu tidak lain hanyalah sekerat (sebahagian) dari daging  (tubuh) orang itu?”[12]

 

 

7)       Memandikan serta mengusungkan jenazah.

 

Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

 

Barangsiapa memandikan mayat maka hendaklah dia mandi,

dan barangsiapa (hanya) membawanya maka hendaklah dia berwuduk.[13]

 

 

Menurut Syaikh Kamal bin as-Sayyid Salim:

 

Barangsiapa memandikan mayat atau mengusungnya maka wuduknya tidak batal menurut pendapat yang lebih tepat (rajih). Hanya sahaja sebahagian ulamak menganjurkan orang yang memandikan mayat untuk mandi dan orang yang membawanya untuk berwuduk berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah (di atas).[14]

 

 

 

 

 

 

Perkara Yang Diwajibkan Berwuduk

 

Diwajibkan berwuduk untuk melakukan dua perkara ini iaitu:

 

1)      Solat

 

Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Allah tidak menerima solat tanpa bersuci…[15]

 

 

2)      Tawaf di sekeliling Kaabah. (Akan dibahaskan secara berasingan)

 

Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Tawaf di Ka’abah adalah solat...[16]    

 

 

 

 

Perkara Yang Disunatkan Berwuduk.

 

1)      Ketika berzikir, membaca al-Qur’an atau menyebut nama Allah Subhanahu wa Ta'ala. Temasuklah di dalam hal ini apabila membaca kitab-kitab hadis, buku-buku agama atau menghadiri majlis-majlis ilmu. Dalilnya:

 

Daripada Muhajir bin Qunfaz radhiallahu 'anh, sesungguhnya beliau pernah datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam

dan baginda sedang membuang air kecil, lalu dia memberi salam kepada baginda,

akan tetapi baginda tidak menjawabnya sehinggalah baginda berwuduk.

Kemudian baginda meminta keuzuran (beralasan) dan kemudian bersabda:

Sesungguhnya aku tidak suka menyebut Nama Allah kecuali di dalam keadaan suci (tidak berhadas).[17]

 

 

 

2)      Ketika hendak tidur

 

Daripada al-Bara’ bin ‘Azib radhiallahu 'anh dia berkata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Apabila kamu hendak tidur, maka berwuduklah sebagaimana wuduk ketika hendak solat…[18]

 

 

 

3)      Bagi orang yang berjunub (hadas besar) disunatkan berwuduk ketika hendak makan, minum dan mengulangi jimak (persetubuhan).

 

Daripada Abi Sa’id, daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Jika salah seorang daripada kalian mendatangi (menyetubuhi) isterinya,

lalu ingin mengulanginya maka hendaklah dia berwuduk.[19]

 

 

 

4)      Sebelum memulakan mandi wajib (junub) atau mandi sunat maka disunatkan untuk memulakannya dengan berwuduk.

 

Daripada ‘Aishah, isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bahawa apabila baginda mandi junub,

baginda memulainya dengan mencuci kedua tangannya kemudian berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat,

kemudian baginda memasukkan jari-jari tangannya ke dalam air, setelah itu menggosokkannya di sela-sela rambutnya,

kemudian baginda menyiram kepalanya sebanyak tiga kali cedokan, setelah itu meratakan air ke seluruh tubuhnya.[20]

 

 

5)      Setelah memakan apa yang telah disentuh oleh api.

 

Daripada Zaid bin Tsabit radhiallahu 'anh, dia mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Berwuduklah setelah menjamah makanan yang tersentuh oleh api (dimasak).[21]      

 

 

 

6)      Memperbaharui wuduk untuk setiap solat walaupun wuduk pada solat sebelumnya belum batal.

 

Daripada Buraidah, dia berkata:

 

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berwuduk setiap kali hendak solat…[22]

 

 

 

7)      Bersegera untuk berwuduk setiap kali berhadas kecil.

 

Dalilnya adalah dari hadis Bilal bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mendengar suara sandal Bilal di Syurga lalu baginda bertanya kepada Bilal:

 

Dengan amalan apa kamu mendahuluiku sampai kepadanya (syurga)?

Bilal berkata:

Wahai Rasulullah, tidaklah saya mengumandangkan azan kecuali

dengan disertai solat dua rakaat dan tidak pernah aku berhadas kecuali aku terus berwuduk.

Lalu baginda shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Kerana itulah..[23]

 

 

 

8)      Berwuduk kerana muntah.

 

Daripada Ma’dan bin Abu Thalhah daripada Abu Darda’, dia berkata:

 

Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah muntah lalu baginda berbuka dan berwuduk.[24]

 

 

 

 


[1]               Al-Maaidah (5) : 6

[2]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, No: 135.

[3]               Diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Sunannya dan menurut Syaikh Kamal as-Sayyid Salim sanadnya sahih. Penulis nukil dari Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 196.

[4]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Ghusl, No: 269.

[5]               Diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Sunannya dan menurut Syaikh Kamal as-Sayyid Salim sanadnya Shahih. Penulis nukil dari Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, 196.

[6]               Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 89.

[7]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Azan, no: 687.

[8]               Hadis riwayat Imam Abu Dawud, di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, No: 154.

[9]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Haidh, no: 360.

[10]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 137.

[11]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari secara ta’liq, al-Baihaqi serta al-Daraquthni.

[12]             Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 165

[13]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Jana’iz, no: 2749.

[14]             Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 216.

[15]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 224.

[16]             Hadis riwayat al-Nasa’i di dalam Sunannya, Kitab Manasik al-Hajj, no: 2873.

[17]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 16.

[18]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 247.

[19]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Haidh, no: 308.

[20]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Ghusul, no: 248

[21]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Haidh, no: 351.

[22]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 56.

[23]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab Al-Manaaqib, no: 3622.

[24]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 80.

 

kandungan