Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

APAKAH KEUTAMAAN BERWUDUK?

 

Ibadah wuduk memiliki kedudukan yang tersendiri di sisi Allah 'Azza wa Jalla. Ianya merupakan kunci permulaan bagi satu ibadah yang paling mulia di dalam Islam iaitu solat. Sewajarnya sebelum seseorang mendirikan solat, hendaklah jiwanya dikosongkan dari memikirkan apa jua perkara berkaitan dengan kehidupan seharian yang telah dan bakal dilaluinya. Wuduk di sini dapat berperanan untuk menenangkan jiwa seseorang agar dapat membantunya untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadah solat. Air yang dipergunakan untuk berwuduk bukan sekadar akan menyegarkan tubuh badan seseorang tetapi ianya juga dapat mengembalikan tenaganya sehingga membolehkannya melakukan ibadah solat sesempurna mungkin. Wuduk juga dapat membersihkan anggota-anggota badan yang sentiasa terdedah kerana tidak ditutupi pakaian. Lazimnya sebelum seseorang itu bertemu dengan orang-orang kenamaan, tentu dia akan membersihkan dirinya agar nampak segar dan bertenaga. Solat pada hakikatnya merupakan satu ibadah di mana seseorang sedang bermunajat[1] kepada Allah 'Azza wa Jalla secara langsung.  Oleh itu adalah lebih wajar bagi seseorang itu untuk membersihkan anggota badannya melalui wuduk sebelum bertemu dengan Allah 'Azza wa Jalla ketika bersolat. Di sini kita dapat melihat bahawa ibadah wuduk ini mempunyai peranan yang positif bukan sahaja dari segi spiritual malah juga dari segi fizikal.

 

Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah menyatakan[2] bahawa sunnah Rasulullah datang dengan membawa ajaran menghindari kekotoran fizik dan membersihkan tubuh darinya. Sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran menghindari kekotoran rohani dan membersihkannya.

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

إِذَا اسْتَيْقَظَ أُرَاهُ أَحَدُكُمْ مِنْ مَنَامِهِ فَتَوَضَّأَ فَلْيَسْتَنْثِرْ ثَلاَثًا فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَبِيتُ عَلَى خَيْشُومِهِ.

 

Ketika salah seorang daripada kalian bangun dari tidur maka hendaklah menghirup air ke hidung

dan mengeluarkannya kembali sebanyak tiga kali. Sesungguhnya syaitan bermalam di batang hidungnya.[3]

 

 

Baginda shallallahu 'alaihi wasallam juga bersabda:

 

إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِهِ فَلاَ يَغْمِسْ يَدَهُ فِي الإِنَاءِ حَتَّى يَغْسِلَهَا ثَلاَثًا فَإِنَّهُ لاَ يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ.

 

Ketika salah seorang daripada kalian bangun dari tidur malamnya maka janganlah dia memasukkan tangannya ke tempat air sehingga dia membasuhnya sebanyak tiga kali. Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu di mana tangannya semalam.[4]

 

 

Seterusnya mari kita lihat beberapa kelebihan ibadah wuduk ini sebagaimana dikhabarkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

 

 

1)      Anggota-anggota wuduk bercahaya.

 

Ternyata bagi mereka yang sentiasa berwuduk sesuai dengan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka anggota-anggota wuduk tersebut akan bercahaya di hari akhirat nanti. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الْوُضُوءِ.

 

Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dengan cahaya di wajah, tangan dan kaki kerana bekas wuduk.[5]

 

 

Melalui cahaya di anggota-anggota wuduk tersebut Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan dapat mengenali umatnya. Apabila para sahabat radhiallahu 'anhum bertanya kepada baginda bagaimana kelak baginda dapat mengenali umatnya yang belum pernah diketemui setelah wafatnya baginda, baginda menjawab:

 

"أَرَأَيْتَ لَوْ أَنَّ رَجُلاً لَهُ خَيْلٌ غُرٌّ مُحَجَّلَةٌ بَيْنَ ظَهْرَيْ خَيْلٍ دُهْمٍ بُهْمٍ أَلاَ يَعْرِفُ خَيْلَهُ؟"

 

Tahukah kamu seandainya seseorang mempunyai kuda yang belang putih di kening dan kakinya yang berada

di antara kuda-kuda yang hitam kelam, bukankah dia dapat mengenali kudanya?

 

 

قَالُوا: "بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ."

 

Para sahabat menjawab: “Tentu wahai Rasulullah!”

 

 

قَالَ: "فَإِنَّهُمْ يَأْتُونَ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ الْوُضُوءِ وَأَنَا فَرَطُهُمْ عَلَى الْحَوْضِ أَلاَ لَيُذَادَنَّ رِجَالٌ عَنْ حَوْضِي."

 

Baginda shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Maka sesungguhnya mereka (umat Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam)

akan datang kepada ku dalam keadaan putih bercahaya di kening dan kakinya kerana cahaya wuduk

dan aku menanti mereka di sebuah telaga.[6]

 

 

2)      Dapat menghapuskan dosa-dosa lalu

 

Ibadah wuduk dapat menghilangkan dosa-dosa kita di masa lampau selagi mana ia tidak termasuk di dalam kategori dosa-dosa besar. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

إِذَا تَوَضَّأَ الْعَبْدُ الْمُؤْمِنُ فَتَمَضْمَضَ خَرَجَتْ الْخَطَايَا مِنْ فِيهِ

 

فَإِذَا اسْتَنْثَرَ خَرَجَتْ الْخَطَايَا مِنْ أَنْفِهِ

 

فَإِذَا غَسَلَ وَجْهَهُ خَرَجْتِ الْخَطَايَا مِنْ وَجْهِهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ تَحْتِ أَشْفَارِ عَيْنَيْهِ.

 

فَإِذَا غَسَلَ يَدَيْهِ خَرَجَتْ الْخَطَايَا مِنْ يَدَيْهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ تَحْتِ أَظْفَارِ يَدَيْهِ

 

فَإِذَا مَسَحَ بِرَأْسِهِ خَرَجَتْ الْخَطَايَا مِنْ رَأْسِهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ أُذُنَيْهِ.

 

فَإِذَا غَسَلَ رِجْلَيْهِ خَرَجَتْ الْخَطَايَا مِنْ رِجْلَيْهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ تَحْتِ أَظْفَارِ رِجْلَيْهِ

 

ثُمَّ كَانَ مَشْيُهُ إِلَى الْمَسْجِدِ وَصَلاَتُهُ نَافِلَةً.

 

 

Bila seorang hamba berwuduk lalu berkumur-kumur, keluarlah dosa-dosa dari mulutnya;

jika dia membersihkan hidung, dosa-dosa akan keluar pula dari hidungnya;

begitu juga tatkala dia membasuh muka, dosa-dosa akan keluar dari mukanya sampai dari bawah pinggir kelopak matanya.

Jika dia membasuh kedua tangan, dosa-dosanya akan turut keluar sampai dari bawah kukunya,

demikian pula halnya bila dia menyapu kepala, dosa-dosanya akan keluar dari kepala bahkan dari kedua telinganya.

Begitupun tatkala dia membasuh kedua kaki, keluarlah pula dosa-dosa tersebut dari dalamnya,

sampai bawah kuku-kuku jari kakinya. Kemudian tinggallah perjalanannya ke masjid

dan solatnya menjadi pahala yang bersih baginya.[7]

 

 

 

3)      Dapat meningkatkan darjat seseorang

 

Ibadah wuduk bukan sekadar dapat menghapuskan dosa-dosa seseorang, bahkan ianya dapat meninggikan darjat seseorang di sisi Allah 'Azza wa Jalla.

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

 

"أَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ؟"

 

Mahukah saya tunjukkan kepadamu perkara-perkara yang mana dengannya Allah menghapuskan dosa-dosamu

serta mengangkatkan darjatmu?

 

 

قَالُوا: "بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ"

 

Mereka (yakni para sahabat radhiallahu 'anhum) berkata: Mahu Ya Rasulullah,”

 

 

قَالَ: "إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصَّلاَةِ."

 

Menyempurnakan wuduk ketika menghadapi segala kesusahan, dan sering melangkah mengunjungi masjid,

serta menunggu solat demi solat.[8]

 

 

 

4)      Dapat ganjaran syurga

 

Bagi mereka yang menyempurnakan wuduk lalu mengerjakan solat sunat wuduk sebanyak dua rakaat maka akan diberi ganjaran syurga.

 

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

قَالَ لِبِلاَلٍ عِنْدَ صَلاَةِ الْفَجْرِ:

 

"يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الإِسْلاَمِ

 

فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الْجَنَّةِ."

 

 

Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

yang bersabda kepada Bilal ketika hendak solat Subuh:

“Wahai Bilal, katakanlah kepada ku, amalan apakah yang telah engkau lakukan dalam Islam yang paling engkau harapkan? Sesungguhnya aku mendengar bunyi terompahmu di hadapanku di dalam syurga?”

 

 

قَالَ: "مَا عَمِلْتُ عَمَلاً أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طَهُورًا فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ

 

إِلاَّ صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ."

 

 

Bilal menjawab: “Aku tidak melakukan sesuatu amalan yang paling aku harapkan,

hanya sahaja setiap kali aku bersuci [berwuduk], samada pada waktu malam ataupun siang hari,

aku sering mengerjakan solat setelah berwuduk.”[9]

 

 

 

5)      Bersuci adalah sebahagian dari iman

 

Berwuduk adalah termasuk dalam bab bersuci [al-Thohaarah] dan bersuci itu adalah sebahagian dari iman sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ.

 

Bersuci itu adalah separuh dari keimanan.[10]

 

 

Demikianlah beberapa keutamaan ibadah wuduk yang sempat penulis perturunkan untuk manfaat para pembaca semua. Namun begitu keutamaan-keutamaan di atas hanya akan dapat kita kecapi apabila kita memperbaguskan atau menyempurnakan ibadah wuduk tersebut. Hal ini dapat kita perhatikan melalui banyak hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menekankan perkara tersebut dengan lafaz baginda Barangsiapa yang berwuduk lalu dia menyempurnakan wuduknya”. Mari kita lihat beberapa contoh hadis-hadis tersebut:

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ خَرَجَتْ خَطَايَاهُ مِنْ جَسَدِهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ تَحْتِ أَظْفَارِهِ.

 

Barangsiapa yang berwuduk, kemudian dia menyempurnakan wuduknya,

maka keluarlah dosa-dosanya dari jasadnya hingga keluar dari kuku-kukunya.[11]

 

 

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ يُقْبِلُ عَلَيْهِمَا بِقَلْبِهِ وَوَجْهِهِ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ.

 

Barangsiapa yang berwuduk dan dia menyempurnakan wuduknya, kemudian dia solat dua rakaat

dan dia lakukan kedua rakaat itu dengan sepenuh hati dan wajahnya, maka wajib baginya masuk ke syurga.[12]

 

 

Ternyata kesempurnaan wuduk hanya akan dapat dicapai sekiranya seseorang itu mencontohi sifat wuduk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang merupakan contoh ikutan atau teladan yang paling sempurna. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,

iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat,

serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).[13]

 

 

Oleh itu penulis berpendapat perlu untuk memperjelaskan beberapa persoalan berkaitan dengan ibadah wuduk ini bersesuaian dengan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang sabit agar ianya mendatangkan manfaat kepada kita semua di dunia dan juga di akhirat.


 

[1]               Mendampingi, mendekati dan bergaul dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala menerusi amal ibadah.

[2]               Penulis nukil dari kitab Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, (edisi terjemahan oleh Thahirin Suparta, M. Faisal dan Adlis Aldizar, Pustaka Azzam, Jakarta, 2006) jilid 1, ms. 206-207.

[3]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab Bada al-Khalik, no: 3295.

[4]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 278.

[5]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 136.

[6]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 249.

[7]               Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 102.

[8]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 251.

[9]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Jama’ah, no: 1149.

[10]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 223.

[11]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 245.

[12]             Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 151.

[13]             al-Ahzaab (33) :21

 

kandungan