Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

BAGAIMANAKAH TATACARA MANDI WAJIB DAN APAKAH HUKUM-HAKAM BERKAITAN DENGANNYA?

 

Mandi atau al-Ghusl  (اَلْغُسْلِ)secara bahasa bermakna mengalirkan air kepada sesuatu. Manakala menurut syarak pula al-Ghusl bermakna mengalirkan air yang suci ke seluruh anggota tubuh dengan cara yang telah ditetapkan disertai dengan niat, di mana niat itulah yang membezakan antara mandi untuk ibadah atau hanya sekadar kebiasaan. Dalil disyari’atkan mandi wajib adalah firman-firman Allah Subhanahu wa Ta'ala seperti berikut:

 

…dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib…[1]

 

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah:

"Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat".

Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan

(jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu,

dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.

Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka

menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat,

dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.[2]

 

 

 

PERKARA-PERKARA YANG MEWAJIBKAN MANDI

 

  Di antara perkara-perkara yang menyebabkan seseorang perlu melakukan mandi wajib adalah seperti berikut:-

 

1)      Keluarnya air mani

 

Apabila terkeluar atau terpancut air mani dari kemaluan maka diwajibkan mandi. Daripada Abu Sa’id al-Khudri radhiallahu 'anh, daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda:

 

Sesungguhnya air itu kerana air.[3]

 

 

Maksud hadis di atas adalah kita wajib mandi apabila keluarnya air mani bagi lelaki mahupun perempuan. Air mani lelaki itu likat dan berwarna putih manakala air mani wanita itu cair dan berwarna kuning.

 

Daripada Ummu Salamah Ummul Mukminin, dia berkata: “Telah datang Ummu Sulaim (Isteri Abu Thalhah) kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu terhadap kebenaran. Apakah wanita harus mandi jika bermimpi (melakukan persetubuhan)? Maka Rasulullah bersabda:

 

Ya, jika dia melihat air (mani).[4]

 

 

Dari sini dapat kita fahami bahawa wanita yang bermimpi melakukan hubungan intim dalam tidurnya memungkinkan untuk keluarnya cairan (air mani) sebagaimana lelaki. Namun begitu mimpi yang tidak menyebabkan keluarnya air mani maka tidak diwajibkan baginya mandi kerana menurut sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas hendaklah seseorang itu benar-benar melihat bekas air mani tersebut.[5]

 

Para ulamak sepakat akan wajibnya mandi setelah keluarnya air mani yang disertai syahwat baik ketika sedar mahupun tidur. Namun begitu mereka berbeza pendapat tentang adakah perlu mandi wajib apabila keluar air mani tanpa syahwat, kerana sakit atau selainnya.

 

Menurut Imam al-Syafi’i rahimahullah:

 

Barangsiapa melihat air yang memancar baik terasa nikmat atau tidak, maka wajib baginya mandi.[6]

 

Namun begitu menurut pengarang kitab Shahih Fikih Sunnah:

 

Barangsiapa yang keluar air maninya tanpa syahwat; kerana sakit, udara dingin atau lainnya, maka tidak diwajibkan mandi ke atasnya menurut pendapat yang lebih kuat di antara dua pendapat ini dan inilah merupakan pendapat majoriti ulamak kecuali Syafi’i dan Ibnu Hazm.

 

Para ulamak bersepakat mengenai kewajipan mandi yang disebabkan oleh keluarnya air mani kerana syahwat pada saat sedar dan yang disebabkan oleh mimpi.[7]

 

Pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga selari dengan pandangan Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim di atas. Beliau berkata:

 

Jika mani keluar tanpa syahwat, baik kerana sakit atau kerana cuaca dingin atau penyebab lainnya maka tidak ada kewajipan baginya untuk mandi wajib.[8]

 

 

2)      Melakukan Persetubuhan

 

Mandi wajib juga dikenali sebagai mandi janabah. Ini adalah kerana seseorang itu diwajibkan mandi sekiranya dia berada di dalam keadaan janabah. Menurut Imam al-Syafi’i rahimahullah:

 

Allah 'Azza wa Jalla mewajibkan mandi yang disebabkan oleh janabah. Sudah masyhur pula pada lisan orang Arab bahawa janabah bererti bersetubuh (jimak), walaupun dalam bersetubuh itu tidak disertai air yang terpancar (keluar air mani).

 

Rabi’i berkata: Yang dimaksudkan adalah tidak inzal (tidak keluar air mani). Sunnah menunjukkan bahawa janabah adalah bersetubuh antara lelaki dan wanita sehingga zakar lelaki memasuki ke dalam kemaluan wanita atau terlihat keluarnya air mani walaupun tidak jimak.[9]

 

Dalil-dalil yang menunjukkan persetubuhan itu mewajibkan seseorang mandi wajib adalah:

 

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

…dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib…[10]

 

 

Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda:

 

Jika lelaki duduk di antara empat anggota tubuh wanita[11] lalu bersungguh-sungguh melakukannya

(hubungan intim) maka wajib atasnya mandi.[12]

 

 

Dan di dalam lafaz Imam Muslim terdapat penambahan:

Meskipun tidak mengeluarkan air mani.[13]

 

 

Daripada ‘Aisyah radhiallahu 'anha daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda:

 

Jika lelaki duduk di antara empat anggota tubuh wanita lalu kemaluannya bertemu dengan kemaluan isterinya,

maka keduanya wajib mandi.[14] 

 

 

Menurut Imam al-Nawawi rahimahullah:

 

Pengertian hadis di atas adalah bahawa wajibnya mandi tidak harus dengan keluarnya air mani.[15]

 

Daripada ‘Aisyah radhiallahu 'anha bahawa ada seorang yang bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tentang seorang lelaki yang bersetubuh dengan isterinya kemudian bermalas-malasan, apakah keduanya wajib segera mandi? Pada saat itu ‘Aisyah sedang duduk maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Sesungguhnya aku pernah melakukan hal itu, aku dan ini (‘Aisyah), kemudian kami mandi.[16]

 

 

Jelas melalui hadis-hadis di atas menunjukkan sekiranya terjadinya persetubuhan di antara lelaki dan pasangan wanitanya, maka hendaklah dia mengerjakan mandi wajib meskipun air mani tidak terkeluar.

 

Namun begitu hal ini tidak disepakati oleh para ulamak. Terdapat juga di kalangan para ulamak yang beranggapan bahawa hanya persetubuhan yang menyebabkan terkeluarnya air mani sahaja yang menyebabkan wajibnya mandi. Jika persetubuhan tersebut tidak mengeluarkan air mani maka memadai bagi mereka untuk hanya mencuci kemaluan dan berwuduk seperti wuduk solat. Dalil-dalil yang dijadikan sandaran mereka adalah seperti berikut:

 

Daripada Abu Sa’id al-Khudri radhiallahu 'anh, daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda:

 

Sesungguhnya air itu kerana air.[17]

 

 

Imam Daud al-Dzahiri rahimahullah berkata:

 

Tidak wajib (mandi) selama tidak keluar air mani berdasarkan hadis: “Sesungguhnya air itu kerana air.”[18]

 

 

Sementara itu terdapat juga beberapa hadis lain yang menunjukkan tidak perlu mandi wajib sekiranya berjimak tanpa mengeluarkan air mani.

 

Yahya berkata: Abu Salamah bercerita kepadaku bahawa Atha’ bin Yasar menyatakan

Zaid bin Khalid al-Juhani memberitahukan kepadanya bahawa dia bertanya kepada ‘Uthman bin Affan:

Apa pendapatmu jika seseorang menggauli isterinya dan tidak sampai mengeluarkan air mani.?

‘Uthman berkata: Dia berwuduk seperti wuduk solat dan mencuci kemaluannya.

‘Uthman berkata: Aku mendengarnya daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Maka aku bertanya-tanya kepada ‘Ali bin Abi Thalib, al-Zubair bin al-Awwam,

Thalhah bin Ubaidillah dan Ubai bin Ka’ab, mereka memerintahkan melakukan hal itu.

Yahya berkata Abu Salamah memberitahuku bahawa ‘Urwah bin al-Zubair memberitahu kepadanya

bahawa Abu Ayub memberitahukan bahawa dia mendengar demikian daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.[19]

 

Diriwayatkan daripada Abu Ayyub, dia berkata: Aku diberitahukan oleh Ubai bin Ka’ab bahawa dia berkata:

Wahai Rasulullah, (apa hukumnya) jika seorang lelaki menggauli isterinya dan tidak (sampai) keluar air mani?

Baginda berkata: Hendaknya dia mencuci apa yang menyentuh wanita itu kemudian berwuduk dan solat.

 Abu ‘Abdillah (Imam al-Bukhari) berkata: Mandi lebih hati-hati dan lebih selamat. Demikian keputusan terakhir,

hanya sahaja kami jelaskan perkara ini kerana perselisihan yang terjadi di antara mereka.[20]

 

 

Ternyata kedua-dua pandangan ini didirikan di atas dalil-dalil yang sahih dan bagi penulis ianya termasuk di dalam perkara khilafiyah (perkara yang diperselisihkan di kalangan para ulamak). Sewajarnya kita menghormati kedua-dua pandangan tersebut dan tidak berkeras untuk menetapkan pegangan masing-masing terhadap pihak lain. Hanya sahaja penulis berpandangan hadis-hadis yang menunjukkan tidak diwajibkan mandi sekiranya persetubuhan tersebut tidak mengeluarkan air mani telah dimansuhkan oleh hadis-hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah dan ‘Aishah radhiallahu 'anhuma seperti yang telah penulis bawakan di atas. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah:

 

Jumhur ulamak berpendapat bahawa hubungan badan yang tidak mengeluarkan air mani yang cukup berwuduk sahaja (tidak perlu mandi wajib) telah dimansuhkan dengan hadis Abu Hurairah dan ‘Aisyah yang telah disebutkan pada bab sebelumnya (Hadis no: 291). Dalil penghapusannya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan lainnya daripada al-Zuhri daripada Sahal bin Sa’ad, dia berkata:

 

Ubai bin Ka’ab berkata kepadaku bahawa fatwa yang mereka katakan iaitu air (mandi) kerana sebab air (keluarnya mani) adalah keringanan yang diberikan Rasulullah pada permulaan Islam, lalu baginda memerintahkan untuk mandi setelah itu. Riwayat ini disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban. Al-Isma’ili berkata, “Riwayat ini sahih memenuhi persyaratan Imam al-Bukhari,”

 

 

Seterusnya al-Hafidz mengisyaratkan kelemahan hadis tersebut namun begitu beliau berkata:

 

Akan tetapi secara umum jalur periwayatan tersebut boleh dijadikan dalil dan (riwayat tersebut) jelas-jelas untuk menghapuskan hukum yang ada dalam hadis ‘Uthman. Di samping itu, hadis yang mewajibkan mandi meskipun tidak keluar air mani adalah lebih kuat dari hadis Sesungguhnya air itu kerana air kerana yang pertama adalah ucapan langsung sedangkan hadis yang tidak mewajibkan mandi meskipun tidak keluar air mani adalah hasil pemahaman terhadap hadis itu. Atau kemungkinan hadis kedua ini mengandungi makna tekstual, namun konteks hadis yang pertama lebih tegas.

 

Ibnu Abi Syaibah dan lainnya meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas bahawa hadis Sesungguhnya air itu kerana air khusus untuk orang yang mimpi bersetubuh. Ini adalah tafsiran yang mengkompromikan di antara kedua hadis tersebut tanpa ada pertentangan. [21] 

 

 

Imam al-Syafi’i rahimahullah juga telah memberi perbahasan yang menarik berkaitan perkara ini. Beliau telah menyebutkan kata junub dalam bahasa Arab bererti jimak (bersetubuh) meskipun tidak mengeluarkan air mani. Jika dikatakan si fulan telah junub kerana fulanah, bererti dia telah berhubungan badan dengannya walaupun tidak sampai keluar air mani. Imam al-Syafi’i juga berkata:

 

Para ulamak tidak berbeza pendapat bahawa zina yang mendapat hukuman adalah hubungan badan walaupun tidak mengeluarkan air mani.[22]

 

 

Oleh itu penulis lebih cenderung dengan mazhab Syafi’i dalam hal ini dan wajib mandi setelah melakukan persetubuhan walaupun tidak mengeluarkan air mani merupakan pandangan yang lebih berhati-hati. Namun begitu ini sama sekali tidak bermakna penulis melihat mereka yang berpandangan bahawa mandi hanya diwajibkan setelah persetubuhan yang mengeluarkan air mani itu sebagai golongan yang tidak berhati-hati. Penulis menghormati pandangan tersebut dan adalah manhaj penulis untuk menetapkan perkara khilafiyah sebagai khilafiyah.

 

 

3)      Terhentinya Haid dan Nifas

 

Haid secara bahasa bermaksud mengalir. Secara syari’at haid adalah darah yang berwarna hitam pekat dan berbau busuk, yang keluar dari kemaluan wanita yang telah baligh mengikut putaran waktu tertentu.

 

Nifas pula adalah darah yang keluar dari kemaluan wanita setelah melahirkan anak. Warna darah nifas adalah sama seperti haid.

 

Istihadhah pula adalah darah yang keluar dari kemaluan wanita yang bukan pada waktu haid mahupun nifas dan warnanya pula adalah merah bersinar. Darah istihadhah adalah darah penyakit di mana bagi wanita yang mengalaminya dianggap suci dan tidak perlu baginya untuk mandi wajib.

 

Telah sepakat para ulamak bahawa setelah berhentinya darah haid mahupun nifas maka diwajibkan bagi wanita untuk menyucikan diri dengan mengerjakan mandi wajib.

 

Dalil-dalil berkaitan haid adalah seperti berikut:

 

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah:

"Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat".

Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu)

dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh)

sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka

menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat,

dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.[23]

 

 

Telah diriwayatkan daripada ‘Aisyah bahawasanya Fathimah binti Abi Hubaisy mengalami istihadhah, maka dia bertanya kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan Nabi bersabda:

 

Yang demikian itu adalah penyakit dan bukan haid. Apabila telah datang waktu haid maka tinggalkanlah solat;

dan apabila telah berlalu (waktu haid tersebut) maka mandilah dan laksanakan solat.[24]

 

 

Sebenarnya darah nifas juga merupakan darah haid hanya sahaja darah nifas itu keluar setelah sesorang wanita itu melahirkan anak. Menurut Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim:

 

Secara ijmak hukum nifas adalah sama dengan hukum haid dan pernah disebutkan daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bahawa baginda pernah mengiktibarkan nifas dengan haid dan sebaliknya.[25]

 

 

Bukti menunjukkan hal tersebut adalah adalah seperti peristiwa yang diriwayatkan oleh ‘Aishah radhiallahu 'anha:

 

Kami berangkat tanpa ada maksud selain mengerjakan ibadah haji. Ketika kami telah berada di suatu tempat

yang bernama Sarif aku mengalami haid, maka Rasulullah masuk menemuiku sedangkan aku dalam keadaan menangis.

 

Baginda bertanya: Ada apa denganmu? Apakah engkau sedang nifas?

 

Aku menjawab: Benar![26]

 

 

Oleh itu bagi wanita yang telah berhentinya darah nifas maka dia juga perlu menyucikan dirinya dengan mandi wajib. Menurut Syaikh Sa’id al-Qahtani:

 

Ijmak ulamak menyebutkan bahawa wanita yang telah berhenti dari nifas wajib mandi sebagaimana wanita yang yang telah berhenti dari haid.[27]

 

 

4)      Kematian

 

Orang Islam yang meninggal dunia wajib dimandikan kecuali mereka yang syahid di medan pertempuran.

 

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

 

Di antara yang mewajibkan mandi adalah kematian. Ini adalah sesuatu yang telah disepakati (ijmak) umat bahawa mayat hendaklah dimandikan baik lelaki mahupun perempuan, besar ataupun kecil, kecuali seseorang yang mati syahid di jalan Allah. Orang yang mati syahid hendaklah dia dibiarkan seperti apa yang sedia ada padanya dan hendaklah dia dikafankan dengan pakaian yang dipakainya saat mati syahid.[28]

 

Dalilnya adalah seperti berikut:

 

Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh, dia berkata: Ketika seseorang berdiri bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

di ‘Arafah, tiba-tiba dia terjatuh dari kenderaannya hingga lehernya patah.

Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Mandikanlah dia dengan air dan sidr (daun bidara) dan kafankanlah dia dengan dua pakaian (ihramnya),

dan janganlah kalian memberinya wangi-wangian serta jangan pula menutupi kepalanya,

kerana sesungguhnya Allah akan membangkitkannya pada hari kiamat dalam keadaan bertalbiyah.[29]

 

Daripada Ummu ‘Athiyyah al-Anshariyah radhiallahu 'anha, dia berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

masuk menemui kami ketika puterinya meninggal dunia lalu bersabda:

 

Mandikanlah dia tiga kali atau lima kali atau lebih banyak dari itu jika kamu beranggapan hal itu perlu

dengan menggunakan air dan sidr (daun bidara).[30]

 

 

5)      Orang Kafir Masuk Islam

 

Telah sabit dalil-dalil menunjukkan adanya saranan daripada baginda shallallahu 'alaihi wasallam tentang perlunya bagi orang kafir yang bertukar agamanya ke agama Islam untuk mandi wajib.

 

Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Dalam kisah Tsumamah bin Utsal ketika memeluk Islam, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkannya untuk mandi.[31]

 

 

Daripada Qais bin ‘Ashim, dia berkata:

 

Suatu ketika saya datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam untuk masuk Islam

lalu baginda memerintahkan saya mandi dengan air dan daun bidara.[32]  

 

 

Tentang hikmah diperintahkan mandi bagi orang kafir yang memeluk Islam menurut Syaikh Sa’id al-Qahtani:

 

Hal itu kerana seseorang yang masuk Islam bererti telah membersihkan batinnya dari najis syirik, maka hikmah diperintahkannya mandi adalah agar orang tersebut juga membersihkan badannya dari najis yang lahir.[33]

 

Ada juga yang beranggapan tujuan diperintahkan orang yang baru memeluk Islam untuk mandi adalah kerana secara umumnya mereka ketika kafir tidak suci dari janabah.

 

Namun begitu para ulamak berbeza pendapat tentang hukumnya samada wajib mahupun sunat dan ianya boleh dibahagikan kepada tiga pendapat. Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:

 

Pendapat Pertama: Imam Malik dan Ahmad berpendapat wajibnya mandi ketika seseorang masuk Islam, baik pada masa kufurnya ada sebab lain yang mewajibkannya mandi ataupun tidak. Pendapat ini adalah mazhab Abu Tsaur dan Ibnul Mundzir. Mereka berpedoman pada hadis bab ini (Tsumamah bin Utsal) dan hadis yang diriwayatkan Ahmad dan al-Tirmidzi bahawa Qais bin Ashim ketika masuk Islam diperintahkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam untuk mandi dan perintah ini wajib. Syaikh al-Albani mengatakan bahawa sanad hadisnya sahih.

 

Pendapat Kedua: Menurut Imam Syafi’i tidak diwajibkan mandi kecuali jika pada masa kufurnya ada hal yang menyebabkan wajibnya mandi.

 

Pendapat Ketiga: Sedangkan Imam Hanafi berpendapat bahawa orang kafir yang masuk Islam tidak diwajibkan mandi, mereka berpedoman bahawa Islam membatalkan sesuatu yang sebelumnya (ketika kafir) dan seandainya setiap orang yang masuk Islam diperintahkan untuk mandi maka pastilah diriwayatkan dengan hadis yang mutawatir[34]. Adapun hadis Qais bin Ashim menunjukkan sunat. Sementara al-Khaththabi menyatakan bahawa ini adalah pendapat majoriti ulamak.[35]

 

Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam tentang pendapat kedua:

 

Ia adalah pendapat yang tidak didukung oleh dalil kerana tidak ada hadis yang diriwayatkan bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan tentang orang yang masuk Islam seperti itu.[36]

 

Kini yang tinggal hanya pendapat yang menyatakan wajib serta sunat secara mutlak. Menurut Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim:

 

Pendapat yang paling kuat dalam masalah ini adalah apabila orang kafir (baik kafir asli mahupun kafir murtad) hendak masuk Islam, maka diwajibkan mandi secara mutlak.[37]

 

Tentang pandangan Islam membatalkan sesuatu yang sebelumnya (yakni ketika kafir) adalah berlandaskan dalil berikut:

 

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya),

nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi

(ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah

kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.[38]

 

 

Hadis ‘Amru bin al-Ash secara marfu’ (sanad bersambung kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam)

 

Islam menggugurkan apa-apa yang terjadi sebelumnya.[39]

 

 

Pada dasarnya dalil-dalil di atas bersifat mutlak atau umum. Sedangkan hadis-hadis yang menunjukkan perintah untuk mandi itu adalah bersifat khusus. Kaedah ushul fiqh menyatakan lafaz mutlak tetap pada kemutlakannya selama tidak ada dalil yang mengikatnya baik berupa nas mahupun petunjuk (dalalah). Penulis berpandangan perintah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk mandi bagi orang kafir yang masuk Islam telah mengikat kemutlakan dalil-dalil tersebut.

 

Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim berkata:

 

Pengambilan ayat dan hadis di atas sebagai dalil masih harus diulang kaji kerana yang dimaksudkan melalui ayat dan hadis tadi adalah pengampunan dosa-dosa. Para ulamak bersepakat bahawa seorang yang masuk Islam yang memiliki tanggungan hutang atau qishash, maka keislamannya tidak dapat menggugurkan tanggungan tadi.[40]

 

Tentang pandangan yang menyatakan seandainya setiap orang yang masuk Islam diperintahkan untuk mandi maka pastilah diriwayatkan dengan hadis yang mutawatir, dapat kita sanggahi dengan menyatakan bahawa perintah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam kepada satu orang juga berlaku kepada seluruh manusia. Menurut Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim:

 

Kewajipan mandi nampak sangat jelas kerana perintah Rasulullah kepada sebahagian sahabat (tentu) telah disampaikan kepada sahabat yang lainnya. Oleh kerana itu anggapan bahawa tidak ada perintah kepada sebahagian sahabat yang lain tidak boleh dijadikan pegangan.[41]

 

 

6)      Mandi Pada Hari Jumaat

 

Hikmah untuk mandi pada hari Jumaat adalah bagi menyegarkan badan supaya dapat menambah kekhusyukkan ketika mengerjakan solat Jumaat. Walaupun begitu perintah ini juga ditujukan kepada kaum wanita. Di samping itu mandi pada hari Jumaat juga bertujuan untuk menghilangkan bau-bau badan yang boleh menggangu pihak lain ketika mengerjakan solat Jumaat. Oleh itu waktu yang paling utama untuk mandi pada hari Jumaat adalah sebelum berangkat ke masjid untuk mengerjakan solat Jumaat. Namun begitu menurut Imam al-Syafi’i rahimahullah ianya boleh dikerjakan setelah terbit fajar pada hari Jumaat. Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata:

 

Imam al-Syafi’i berpendapat bahawa mandi Jumaat akan mendapat pahala jika dilakukan setelah terbit fajar.[42]

 

Tambah al-Hafidz Ibnu Hajar lagi:

 

Apabila diketahui bahawa hikmah diperintahkan mandi dan memelihara kebersihan semasa solat Jumaat adalah demi menjaga ketenangan jamaah agar tidak terganggu dengan bau yang tidak enak, maka barangsiapa yang khuatir kebersihan dan keharuman tubuhnya hilang pada siang hari, dia lebih dianjurkan untuk mengakhirkan mandinya hingga menjelang berangkat solat Jumaat.[43]

 

Namun begitu para ulamak berbeza pendapat tentang hukum mandi pada hari Jumaat ini samada wajib atau sunat.

 

Bagi mereka yang berpendapat bahawa hukum mandi pada hari Jumaat ini adalah wajib, mereka memandang meninggalkannya adalah satu perbuatan yang berdosa. Ini merupakan pendapat Abu Hurairah, ‘Ammar bin Yasir, Abu Sa’id al-Khudri, al-Hassan, Imam Malik, Imam Ahmad dan Ibu Hazm. Dalil-dalil yang dipergunakan oleh mereka adalah seperti berikut:

 

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Mandi hari Jumaat adalah wajib bagi setiap orang yang bermimpi (sudah akhil baligh).[44]

 

 

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu 'anh, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Apabila salah seorang daripada kamu hendak melaksanakan solat Jumaat maka hendaklah mandi terlebih dahulu.[45]

 

 

Daripada ‘Amr bin Sulaim, dia berkata: Saya menyaksikan (mendengarkan) Abu Sa’id, dia berkata: Saya menyaksikan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Mandi pada hari Jumaat adalah wajib bagi orang yang sudah baligh,

begitu juga menggosok gigi dan memakai wangi-wangian jika memungkinkan.[46]

 

 

Tentang pendapat wajibnya mandi pada hari Jumaat Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah telah berkata:

 

Inilah pendapat yang benar yang tidak selayaknya beralih darinya sebab hadis-hadis sandarannya lebih kuat sanadnya dan lebih tegas maknanya dari hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh para penentangnya untuk menetapkan hukum sunat.[47]

 

Namun begitu jumhur ulamak termasuk Ibnu Mas’ud dan Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhuma daripada kalangan para sahabat berpandangan bahawa hukum mandi pada hari Jumaat hanyalah sunat dan tidak diwajibkan. Imam kita Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah berkata:

 

Adapun mandi Jumaat dalil-dalil yang ada pada kami menunjukkan bahawa ia diperintahkan atas dasar pilihan (hukum sunat).[48]

 

Pada dasarnya dalil-dalil yang dijadikan landasan oleh golongan kedua ini adalah sama seperti mereka yang menyatakan mandi pada hari Jumaat itu wajib. Hanya sahaja perkataan وَاجِبٌ (diwajibkan) yang terdapat pada hadis Abu Sa’id[49] hanya menunjukkan perintah yang ditekankan (sunah mu’akkad) dan bukan wajib yang apabila ditinggalkan seseorang itu berdosa. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar pengarang kitab al-Ghaniyah iaitu Ibnu Suraj telah berkata:

 

Imam al-Syafi’i sendiri di dalam kitab al-Risalah (setelah menyebutkan kedua hadis daripada Ibnu ‘Umar dan Abi Sa’id) menyatakan: “Kata وَاجِبٌ yang terdapat pada hadis di atas memiliki dua maksud yang berkemungkinan

 

Pertama: wajib yang apabila tidak dikerjakan maka seseorang tidak akan mendapatkan pahala bersuci untuk solat Jumaat.

 

Kedua: wajib yang berbentuk anjuran untuk menjaga kemuliaan akhlak dan kebersihan ketika masuk masjid.[50]

 

Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar:

 

Imam al-Syafi’i lebih cenderung kepada  maksud yang kedua berdasarkan cerita ‘Uthman bin ‘Affan dan ‘Umar al-Khaththab.[51]

 

 

Mari kita lihat riwayat tersebut.

 

Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu 'anh, bahawa ketika ‘Umar al-Khaththab berdiri di atas mimbar

untuk menyampaikan khutbah Jumaat, tiba-tiba seorang sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

daripada kaum Muhajirin (yakni ‘Uthman al-‘Affan) masuk, maka ‘Umar memanggil (dan bertanya):

 

Jam berapa ini?

 

Orang muhajirin itu berkata:

 

Aku sangat sibuk sampai ketika pulang ke rumah aku mendengar azan

dan tidak sempat melakukan apa-apa kecuali hanya berwuduk.

 

‘Umar berkata:

 

Hanya wuduk? Tidakkah kamu mengetahui bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

memerintahkan untuk mandi (sebelum melaksanakan solat Jumaat).[52]

 

 

Menurut Imam al-Syafi’i sekiranya mandi pada hari Jumaat itu wajib, pasti ‘Umar akan menyuruh ‘Uthman mandi terlebih dahulu, namun ini tidak berlaku. Hal itu membuktikan bahawa mereka berdua sedia memahami bahawa mandi pada hari Jumaat itu tidaklah diwajibkan tetapi ianya hanyalah berbentuk anjuran daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Menerusi hadis ini jugalah timbulnya kesepakatan di kalangan para ulamak bahawa solat Jumaat tanpa mandi terlebih dahulu hukumnya sah baik bagi mereka yang menganggapnya wajib mahupun sunat.

 

Berkenaan dengan hadis ‘Abdullah ibnu ‘Umar radhiallahu 'anh[53] huruf ف pada perkataan فَلْيَغْتَسِلْ membuktikan mandi pada hari Jumaat hanyalah berbentuk anjuran. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar:

 

Makna huruf ف  dalam hadis ini sama dengan makna huruf ف dalam firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah,

maka hendaklah kamu bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum kamu mengadapnya…[54] [55]

 

 

Ternyata perintah untuk bersedekah di dalam ayat di atas hanyalah bersifat anjuran dan bukan wajib.

 

Tambahan pula pada hadis ‘Amr bin Sulaim[56] perintah untuk mandi pada hari Jumaat itu diletakkan sebaris dengan bersiwak (menggosok gigi) dan memakai minyak wangi yang merupakan perbuatan yang sunat. Apatah lagi ianya disambungkan dengan huruf و yang menunjukkan persamaan hukum. Menurut al-Qurthubi dan Ibnu al-Manayyar rahimahumallah tidak dibenarkan menyatukan hukum wajib dengan hukum sunat dalam satu kalimat.[57] Oleh itu hukum mandi pada hari Jumaat adalah sama dengan bersiwak serta memakai minyak wangi yakni sunat.

 

Ibnu Daqiq al-‘Ied rahimahullah pula berkata:

 

Majoriti ulamak berpendapat bahawa mandi Jumaat itu hukumnya sunat mereka mengertikan bentuk perintah itu hanya menunjukkan disukai (anjuran) dan bentuk wajib itu menunjukkan penekanan sebagaimana lahiriah hadis:

 

Daripada Samurah bin Jundub radhiallahu 'anh bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda

 

Barangsiapa berwuduk pada hari Jumaat, maka hal itu sudah cukup baginya.

Akan tetapi, barangsiapa mandi maka hal itu lebih utama.[58]

 

 

Demikianlah perbahasan tentang hukum mandi pada hari Jumaat. Penulis terbuka kepada kedua-dua pendapat kerana ianya didirikan atas hadis-hadis yang sabit dan kaedah-kaedah fekah yang benar. Hanya sahaja bagi penulis hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mandi pada hari Jumaat agar kita mendapat ganjaran pahala kerana mengerjakannya. Apatah lagi bagi umat Islam di Malaysia, kita sedikitpun tidak memiliki sebarang kesulitan untuk mandi pada hari Jumaat sekurang-kurangnya pada awal pagi sebelum bertolak ke tempat kerja. Menurut Syaikh Sa’id al-Qahtani:

 

Syaikh Ben Bazz (rahimahullah) berpendapat mandi pada hari Jumaat hukumnya sunah mu’akkad (sangat dianjurkan) dan agar lebih selamat, setiap Muslim hendaklah selalu mandi pada hari Jumaat agar terlepas dari pendapat yang menyatakan bahawa mandi jumaat hukumnya wajib.[59]

 

Manakala Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah juga memiliki pandangan yang sederhana berkaitan hukum mandi pada hari Jumaat: Beliau berkata:

 

Mandi itu hukumnya sunat tetapi wajib bagi orang yang memiliki bau yang tidak sedap dan memiliki keringat yang menganggu orang-orang yang solat dan para malaikat, maka orang itu tidak boleh menghadiri (solat) Jumaat serta berkumpul dengan kaum Muslimin dalam keadaan demikian (bau tak sedap) sampai dia menghilangkannya dengan cara mandi dan bersih-bersih.[60]

 

 

 

MANDI-MANDI YANG DISUNATKAN

 

Berikut adalah secara ringkasnya beberapa perkara yang disunatkan untuk mandi iaitu apabila dikerjakan mendapat pahala dan apabila ditinggalkan tidaklah pula ianya berdosa mahupun tercela.

 

1)      Mandi pada pagi Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

 

Adalah disunnahkan untuk mandi pada pagi Hari Raya iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Hari Raya.

 

Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh pernah ditanya tentang mandi; apakah harus mandi setiap hari? Maka beliau menjawab:

 

Tidak harus. Namun, yang harus mandi ialah pada hari Jumaat, hari ‘Arafah, hari ‘Ied al-Adha dan ‘Ied al-Fithri.[61]

 

Menurut Imam al-Nawawi rahimahullah di dalam kitab Majmu’nya (jilid 1, ms. 7):

 

Imam al-Syafi’i dan rakan-rakannya mengatakan: “Untuk melaksanakan solat ‘Ied al-Fithri dan ‘Ied al-Adha dianjurkan mandi. Tidak ada perbezaan pendapat di dalam masalah ini.”[62]

 

 

2)      Setelah Memandikan Jenazah

 

Setelah memandikan jenazah adalah disunnahkan untuk mandi. Dalilnya adalah seperti berikut:

 

Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Barangsiapa yang memandikan jenazah, hendaklah mandi sesudahnya

dan barangsiapa yang mengusungnya hendaklah berwuduk.[63]

 

 

3)      Setelah Menguburkan Mayat Orang Musyrik

 

Setelah menguburkan mayat orang yang mati dalam keadaan syirik kepada Allah 'Azza wa Jalla maka disunatkan bagi kita untuk mandi. Ini adalah berdasarkan hadis Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh. Dia datang kepada Nabi dan berkata:

 

Sesungguhnya Abi Thalib telah mati.

 Nabi bersabda: Pergilah dan kuburkanlah dia.

 Ali berkata lagi: Dia meninggal dalam keadaan musyrik.

 Nabi kembali menyahut: Pergilah dan kuburkanlah dia.

 Setelah menguburkannya, saya kembali kepada baginda. Baginda bersabda kepadaku: Mandilah.[64]

 

 

4)      Setelah Terjaga Dari Pengsan

 

Adalah disunatkan untuk mandi setelah tersedar dari pengsan. Ini adalah sebagaimana diriwayatkan daripada Ubaidillah bin Abdullah bin Utbah radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

"Saya pernah masuk ke rumah Aisyah dan bertanya kepadanya: Bolehkah kamu ceritakan kepadaku

tentang sakit yang dideritai oleh Rasulullah s.a.w? Aisyah menjawab: Tentu! Ketika sakitnya semakin berat,

Nabi s.a.w bertanya: Apakah orang ramai sudah mengerjakan solat? Kami menjawab: Belum. Mereka sedang menunggu engkau.

Lantas baginda berkata: Letakkan air ke dalam bekas. Lalu kami lakukan perintah baginda itu.

Baginda mandi seterusnya cuba bangun untuk menunaikan solat berjemaah lalu pengsan.

 

Kemudian baginda sedar lantas bertanya: Adakah orang ramai sudah solat?

Kami menjawab: Belum. Mereka sedang menunggu engkau wahai Rasulullah.

Rasulullah s.a.w bersabda: Letakkan air ke dalam bekas. Aisyah berkata lagi:

Baginda duduk dan mandi, kemudian cuba bangun untuk menunaikan solat berjemaah lalu pengsan.

 

Kemudian baginda sedar lantas bertanya: Adakah orang ramai sudah solat?

Kami menjawab: Belum. Mereka sedang menunggu engkau wahai Rasulullah.

Rasulullah s.a.w bersabda: Letakkan air ke dalam bekas lalu baginda duduk dan mandi,

kemudian cuba bangun untuk menunaikan solat berjemaah lalu pengsan. [65]

 

 

Melalui riwayat di atas kita dapati Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah pengsan sebanyak tiga kali dan setiap kali baginda terjaga maka baginda akan mandi walaupun pada ketika itu baginda terpaksa bersusah-payah untuk melakukannya kerana keuzuran.

 

 

5)      Setelah Berbekam

 

Adalah disunatkan untuk mandi setelah berbekam. Ini adalah berlandaskan hadis daripada ‘Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata:

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam biasa mandi kerana empat perkara iaitu kerana junub, ketika hendak solat Jumaat,

sesudah berbekam dan setelah memandikan jenazah.[66]

 

 

6)      Ketika Hendak Mengulangi Persetubuhan

 

Adalah disunatkan untuk mandi apabila hendak mengulangi persetubuhan setelah selesai melakukannya pada pertama kalinya. Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Rafi’ radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Suatu hari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menggilirkan [melakukan hubungan seks]

dengan isteri-isterinya dan baginda mandi setiap kali hendak mengulangi persetubuhan.

Abu Rafi’ berkata: Aku bertanya:

 

Wahai Rasulullah, apakah engkau tidak cukup mandi sekali sahaja (setelah persetubuhan terakhir)?

Baginda menjawab: Apa yang aku lakukan itu adalah lebih bersih dan lebih harum.[67]

 

 

7)      Ketika Hendak Ihram Haji Atau Umrah

 

Disunatkan untuk mandi bagi mereka yang ingin memakai pakaian untuk ihram. Dalil bagi disyari’atkan hal ini adalah hadis yang diriwayatkan daripada Zaid bin Tsabit radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Sesungguhnya aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam )ketika hendak ihram(

menanggalkan pakaian berjahit dan mandi terlebih dahulu.[68]

 

 

8)      Ketika Hendak Masuk Makkah

 

Adalah disunatkan untuk mandi ketika hendak memasuki kota Makkah. Ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Nafi’, dia berkata:

 

Apabila Ibnu ‘Umar radhiallahu 'anhuma memasuki daerah yang paling dekat ke wilayah tanah haram

dia berhenti mengucapkan talbiyah kemudian bermalam di Dzi Thuwa lalu solat subuh di sana dan mandi.

Dia menceritakan bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah melakukan seperti itu.[69]

 

 

9)      Ketika Hendak Wukuf di ‘Arafah

 

Adalah disunatkan bagi jemaah haji yang hendak wukuf di ‘Arafah untuk mandi terlebih dahulu. Dalilnya adalah:

 

Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh pernah ditanya tentang mandi; apakah harus mandi setiap hari? Maka beliau menjawab:

Tidak harus. Namun, yang harus mandi ialah pada hari Jumaat, hari ‘Arafah, hari ‘Ied al-Adha dan ‘Ied al-Fithri.[70]

 

 

10)  Bagi Wanita Istihadhah Yang Ingin Mengerjakan Solat

 

Adalah disunatkan bagi wanita yang istihadhah (mengeluarkan darah bukan pada hari-hari haid mahupun nifas) mandi setiap kali ingin mengerjakan solat atau satu kali mandi untuk solat Zuhur dan Asar, dan satu kali untuk solat Maghrib dan Isyak, dan sekali lagi untuk solat subuh.

 

Ini berdasarkan hadis ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata:

 

Sesungguhnya Ummu Habibah binti Jahsyin mengeluarkan darah istihadhah pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

maka baginda menyuruhnya mandi pada setiap kali (dia) akan (mendirikan)solat…[71]

 

Dalam satu riwayat daripada ‘Aisyah radhiallahu 'anha disebutkan:

 

Seorang wanita pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengeluarkan darah istihadhah.

Lalu dia disuruh menyegerakan Asar dan mengakhirkan Zuhur serta mandi satu kali untuk kedua solat itu,

mengakhirkan Maghrib dan menyegerakan Isyak serta mandi satu kali untuk keduanya dan mandi satu kali untuk solat Subuh.[72]

 

 

 

TATACARA MANDI MENURUT SUNNAH NABI

 

Sebagaimana yang sedia maklum segala amal ibadah diwajibkan bagi kita untuk mencontohi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kerana dia merupakan contoh ikutan bagi kita yang tiada tolok bandingnya. Oleh itu berikutnya penulis akan menggariskan tatacara mandi menurut hadis-hadis baginda shallallahu 'alaihi wasallam yang sabit.

 

عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنْ الْجَنَابَةِ بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ

 

ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي الْمَاءِ فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ

 

ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ ثُمَّ يُفِيضُ الْمَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ.

 

Daripada ‘Aishah, isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bahawa apabila baginda mandi junub,

baginda memulainya dengan mencuci kedua tangannya kemudian berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat,

kemudian baginda memasukkan jari-jari tangannya ke dalam air, setelah itu menggosokkannya di sela-sela rambutnya,

kemudian baginda menyiram kepalanya sebanyak tiga kali cedokan, setelah itu meratakan air ke seluruh tubuhnya.[73]

 

 

 

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ:

 

"قَالَتْ مَيْمُونَةُ: "وَضَعْتُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَاءً يَغْتَسِلُ بِهِ

 

فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ فَغَسَلَهُمَا مَرَّتَيْنِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا

 

ثُمَّ أَفْرَغَ بِيَمِينِهِ عَلَى شِمَالِهِ فَغَسَلَ مَذَاكِيرَهُ

 

ثُمَّ دَلَكَ يَدَهُ بِالأَرْضِ ثُمَّ مَضْمَضَ

 

وَاسْتَنْشَقَ ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ

 

وَغَسَلَ رَأْسَهُ ثَلاَثًا ثُمَّ أَفْرَغَ عَلَى جَسَدِهِ

 

ثُمَّ تَنَحَّى مِنْ مَقَامِهِ فَغَسَلَ قَدَمَيْهِ."

 

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas dia berkata:

“Maimunah berkata: “Aku meletakkan air untuk mandi (junub) Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

maka baginda menuangkannya ke kedua tangannya kemudian mencucinya dua atau tiga kali,

kemudian baginda menuang (air) dengan tangan kanan ke tangan kiri, lalu membasuh kemaluannya.

Kemudian baginda menggosok tangannya ke tanah, lalu berkumur-kumur dan

memasukkan air ke hidung serta mengeluarkannya, kemudian baginda membasuh wajah dan kedua tangannya,

dan membasuh kepalanya tiga kali, kemudian baginda menyiram seluruh tubuhnya,

setelah itu baginda berpindah tempat dan mencuci kedua kakinya.” [74]

 

 

 

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ:

 

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي امْرَأَةٌ أَشُدُّ ضَفْرَ رَأْسِي فَأَنْقُضُهُ لِغُسْلِ الْجَنَابَةِ.

 

قَالَ: لاَ إِنَّمَا يَكْفِيكِ أَنْ تَحْثِي عَلَى رَأْسِكِ ثَلاَثَ حَثَيَاتٍ ثُمَّ تُفِيضِينَ.

 

Daripada Ummu Salamah radhiallahu 'anha, dia berkata:

Ya Rasulullah, aku adalah wanita yang suka menyanggul rambut supaya kemas.

Adakah aku perlu menguraikannya setiap kali mandi junub?

 

Jawab baginda: Tidak, memadai hanya engkau tuangkan ke kepalamu dengan tiga cedokan air.[75]

 

 

Menerusi hadis-hadis di atas dapat kita simpulkan bahawa tatacara Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mandi wajib adalah seperti berikut:

 

a)      Berniat dengan berazam di dalam hati bahawa mandian ini adalah mandi wajib atau mandi sunat yang telah disyari’atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Niat itu tidak perlu dilafazkan dan tidak ada lafaz yang tertentu berkaitan dengan niat yang datang daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini telah penulis bahaskan ketika memperjelaskan bab niat ketika wuduk.

 

b)      Mencuci kedua tangan sehingga ke pergelangan tangan sebanyak dua atau tiga kali. Ianya bertujuan untuk membersihkan segala kotoran-kotoran yang mungkin ada padanya. Tangan juga merupakan alat untuk mengambil air serta menggosok badan maka sewajarnya ianya dibersihkan terlebih dahulu.

 

c)      Mencuci kemaluan dari kotoran yang mungkin ada di sekitarnya dengan menggunakan tangan kiri dan kemudian hendaklah membersihkan tangan tersebut dengan sabun atau yang sejenis dengannya seperti debu, tanah mahupun dengan menggosokkan tangannya ke dinding atau lantai untuk menghilangkan sisa-sisa kotoran dari tangannya. Bagi wanita yang mandi kerana bebas dari haid mahupun nifas maka dianjurkan baginya untuk membersihkan kemaluannya dengan sepotong kapas yang dibubuhkan wangian seperti sabun dan lain-lain untuk menghilangkan bau busuk yang mungkin ada.

 

d)      Berwuduk secara sempurna sebagaimana berwuduk untuk solat. Di dalam riwayat Maimunah radhiallahu 'anha ketika berwuduk tersebut kaki dikecualikan dahulu dan hanya dibasuh setelah membasuh seluruh tubuh. Keduanya samada mengakhirkan membasuh kaki atau tidak merupakan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang boleh diamalkan.[76]

 

e)      Membasahkan jari-jemari dan kemudian menggosokkannya di celah-celah rambut sehingga basah kulit kepala.

 

f)       Menjirus air ke kepala sebanyak tiga kali cedokan atau bagi mereka yang memiliki pancuran air (shower) hanya lalukan kepala di bawahnya sebanyak tiga kali. Manakala bagi wanita yang berambut panjang dan bersanggul, tidak perlu baginya untuk membuka sanggulnya.[77] Memadai dengan hanya menjiruskan air ke kepalanya juga sebanyak tiga kali.

 

g)      Meratakan air ke seluruh badan dan meratakannya ke seluruh celah-celah rambut dan kulit dengan memulakannya pada bahagian kanan.[78]

 

h)      Tidak membazirkan air kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mandi dengan air berukuran lebih kurang 1 sha’ (berukuran  2.156kg atau 2.75 liter) air.[79] Namun begitu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga pernah menggunakan air yang lebih banyak seperti al-Faraq (3 sha’ iaitu 6.5kg atau 8.25 liter air) dan 5 mud ( 2.7kg atau 3.5liter air). Namun apa yang ingin penulis tekankan di sini adalah berpada-pada menggunakan air ketika mandi wajib mahupun sunat kerana 1 sha’ (2.15kg / 2.75 liter air) sebenarnya sudah memadai.

 

Niat dan meratakan air ke seluruh badan merupakan rukun bagi mandi wajib manakala menggosok-gosok anggota tubuh[80] serta perkara-perkara lain yang penulis bentangkan di atas merupakan perkara yang disunatkan. Inilah tatacara sebenar mandi wajib mengikut sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan kita. Bagi mereka yang telah menyempurnakan mandi wajib ini maka tidaklah perlu baginya untuk berwuduk sekiranya hendak melaksanakan solat meskipun jika saat dia mandi dia hanya meratakan air ke seluruh badannya dan tidak berwuduk. Dalilnya adalah:

 

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَتَوَضَّأُ بَعْدَ الْغُسْلِ.

 

Daripada ‘Aisyah bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak berwuduk setelah mandi junub.[81]

 

 

Begitu juga sekiranya terdapat dua sebab yang memerlukan seseorang untuk mandi seperti junub dan mandi sunat hari Jumaat, memadai baginya untuk mandi sekali sahaja. Begitu juga jika wanita yang junub lalu dia didatangi haid sebelum mandi junub maka dia hanya perlu mandi sekali sahaja iaitu setelah suci dari haid.

  

 


 

[1]               al-Maa-idah (5) : 6

[2]               al-Baqarah (2) : 222

[3]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Haid, no: 343.

[4]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Ghusl, no: 282.

[5]               Sekiranya seseorang bermimpi melakukan hubungan intim namun tiada kesan yang menunjukkan air mani telah terkeluar, maka tidak perlu baginya mandi wajib. Sekiranya sesorang lelaki mahupun wanita setelah terjaga dari tidur dan didapatinya terdapat kesan cairan pada badan mahupun pakaiannya maka terdapat tiga kemungkinan:

1)       Cairan tersebut adalah air mani maka hendaklah dia mengerjakan mandi wajib sekalipun dia tidak pasti bahawa dia bermimpi melakukan hubungan intim mahupun tidak.

2)       Cairan tersebut adalah air mazi maka ianya adalah najis maka hendaklah dia mencucinya tetapi tidak diwajibkan mandi.

3)       Cairan tersebut tidak dikenalpasti samada air mani atau air madzi. Di dalam situasi sebegini terdapat dua situasi.

a)       Sekiranya sebelum tidur, seseorang itu telah melakukan perbuatan yang menaikkan nafsu, memikirkan sesuatu yang meransangkan syahwatnya atau perkara-perkara lain yang sejenisnya maka cairan tersebut adalah air mazi. Maka ianya najis dan hendaklah dia mencucinya tanpa perlu mandi wajib.

b)       Namun sekiranya sebelum tidur seseorang itu tidak melakukan sebarang aktiviti yang merangsangkan nafsunya maka diwajibkan baginya mandi wajib dan mencuci apa jua bahagaian yang terkena cairan tersebut sebagai langkah berhati-hati. Namun begitu terdapat juga ulamak yang berpandangan bahawa di dalam keadaan sebegini maka dia tidak perlu mandi wajib dan memadai baginya untuk mencuci mana-mana bahagian yang terkena cairan tersebut. Ini adalah pada asalnya dia berada di dalam keadaan suci. Perkara yang yakin tidak boleh dihilangkan oleh perkara yang terdapat unsur keraguan.

[6]               Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 55.

[7]               Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 245.

[8]               Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 295.

[9]               Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 54.

[10]             al-Maaidah (5) : 6

[11]             Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam شُعَبِهَا الأَرْبَعِ atau empat anggota tubuh wanita bermaksud:

Kedua tangan dan kaki wanita. Sedangkan duduknya lelaki di antara kedua tangan dan kaki wanita saat berhubungan intim merupakan salah satu sifat hubungan intim yang layak meskipun dengan sifat lainnya diperbolehkan selama berhubungan intim pada tempat yang diperbolehkan. (Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 382)

[12]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Ghusl, no: 291.

[13]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Haid, no: 348.

[14]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Haid, no: 349.

[15]             Penulis nukil daripada kitab Fathul Baari karya al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, jilid 2, ms. 480.

[16]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Haid, no: 350.

[17]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Haid, no: 343.

[18]             Penulis nukil dari kitab Fikih Thaharah, ms 296 dan Shahih Fikih Sunnah, ms. 246.

[19]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Ghusl, no: 292.

[20]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Ghusl, no: 293.

[21]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 483-484.

[22]             Penulis nukil daripada kitab Fathul Baari karya al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, jilid 2, ms. 484 dan Fikih Sunnah karya Syaikh Sayyid Sabiq, jilid 1, ms. 139.

[23]             al-Baqarah (2) : 222

[24]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Haid, no: 320.

[25]             Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 249.

[26]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Haid, no: 294.

[27]             Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani, Thaharah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam: Tuntunan Bersuci Lengkap, ms. 114.

[28]             Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 300.

[29]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Jana’iz, hadis no 1266.

[30]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Jana’iz, hadis no 1253.

[31]             Hadis riwayat Imam Abdur Razaq dan juga al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani di dalam Bulughul Maram, no: 98, Bab al-Ghusli wa Hukmul Junubi, no: 98. Menurut pensyarah kitab Bulughul Maram iaitu Syaikh ‘Abdullah al-Bassam hadis ini sahih, diriwayatkan oleh al-Baihaqi melalui Abdur Razaq, sanadnya sahih daripada perawi hadis Bukhari-Muslim, juga berasal dari keduanya. Hadis ini dinilai sahih juga oleh Ibnu Khuzaimah.

[32]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 301.

[33]             Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani, Thaharah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam: Tuntunan Bersuci Lengkap, ms. 110.

[34]             مُتَوَاتِرٌ  bermaksud berturut-turut. Menurut istilah hadis mutawatir adalah hadis yang diriwayatkan oleh ramai orang dan kemudian diterima pula oleh ramai orang yang semisalnya yang menurut adat mustahil mereka bersepakat untuk berdusta.

[35]             Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms.  391-392.

[36]             Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms.  392.

[37]             Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 251.

[38]             al-Anfaal (8) : 38

[39]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Imaan, no: 121,

[40]             Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 251.

[41]             Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 251.

[42]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms. 43.

[43]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 20.

[44]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 879.

[45]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 877.

[46]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 880.

[47]             Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, jilid 1, ms. 135.

[48]             Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 57.

[49]             Sila rujuk hadis riwayat Imam al-Bukhari (no: 879) yang telah penulis paparkan sebelum ini.

[50]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 29.

[51]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 29.

[52]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 878.

[53]             Sila rujuk hadis riwayat Imam al-Bukhari (no: 877) yang telah penulis paparkan sebelum ini.

[54]             al-Mujaadalah (58) : 12

[55]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 17.

[56]             Sila rujuk hadis riwayat Imam al-Bukhari (no: 880) yang telah penulis paparkan sebelum ini.

[57]             Rujuk Fathul Baari, jilid 5, ms. 32.

[58]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah, no: 457. Hadis ini turut diriwayatkan oleh al-Nasa’i, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad. Syaikh al-Albani menilai hadis ini hassan di dalam kitab Shahih Abu Dawud.

[59]             Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani, Thaharah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam: Tuntunan Bersuci Lengkap, ms. 129.

[60]             Penulis nukil dari kitab Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 398.

[61]             Hadis riwayat Imam al-Syafi’i di dalam Musnad al-Syafi’i, jilid 1, ms.118-119.

[62]             Dinukil dari artikel karangan Abu Ihsan al-Atsari bertajuk Mendulang Sunnah Nabi Pada Hari Raya ‘Iedul Fitri yang diterbitkan oleh majalah As-Sunnah, edisi 08/VII/1424H/2003M, ms. 23.

[63]             Hadis riwayat Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Jana’iz, no: 3161.

[64]             Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 190.

[65]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Azan, no: 687.

[66]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 294.

[67]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 189.

[68]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Hajj, no: 760.

[69]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Hajj, no: 1573.

[70]             Hadis riwayat Imam al-Syafi’i di dalam Musnad al-Syafi’i, I/118-119.

[71]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 250.

[72]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 252.

[73]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Ghusul, no: 248

[74]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Ghusul, no: 265

[75]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Haidh, no: 330.

[76]             Tentang bilakah mencuci kedua-dua kaki semasa mandi wajib, menurut Syaikh Kamal bin as-Sayyid Salim ianya terbahagi menjadi empat pendapat:

1)     Dianjurkan mengakhirkan mencuci kedua kaki pada saat mandi, dalilnya adalah hadis dari Maimunah radhiallahu 'anha dan inilah pendapat majoriti ulamak

2)     Sebelum mandi dianjurkan untuk berwuduk dengan sempurna. Dalilnya adalah hadis ‘Aisyah radhiallahu 'anha. Ini adalah kerana hadis ‘Aisyah memberitakan tentang mandi yang biasa dilakukan oleh Nabi, berbeza dengan hadis Maimunah radhiallahu 'anha yang memberitakan tentang salah satu cara mandi baginda shallallahu 'alaihi wasallam. Ini adalah pendapat Imam al-Syafi’i, Malik dan Ahmad.

3)     Pendapat lain daripada Imam Ahmad adalah seseorang boleh memilih di antara mendahulukan mencuci kedua kaki bersamaan dengan wuduk atau mengakhirkannya.

4)     Pendapat lain dari Imam Malik adalah apabila seseorang mandi di tempat yang tidak bersih lebih baik dia mengakhirkan mencuci kedua kakinya dan jika dia madi di tempat yang bersih lebih baik dia mendahulukannya bersamaan dengan wuduk.

Saya (Syaikh Kamal as-Sayyid Salim) katakan: Pendapat yang terakhir adalah pendapat yang lebih rajih (kuat). Wallahu A’lam. - Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 264-265.

Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam membasuh kedua kaki pada akhir sekali bertujuan:

Kerana setiap kotoran dan sisa endapan yang turun dari badan mengenai kedua kaki, maka kedua kaki harus dibersihkan untuk menghilangkan sesuatu yang melekat dan turun mengalir pada keduanya. - Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 409.

[77]             Namun begitu ada juga ulamak yang membezakan mandi kerana junub dan haid dalam hal ini. Bagi wanita yang mandi ketika suci dari haid handaklah menguraikan rambut yang bersanggul. Menurut bekas mufti Arab Saudi, Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Bazz rahimahullah:

Yang benar adalah bahawa tidak wajibnya menguraikan rambut (yang diikat) ketika mandi kerana haid berdasarkan hadis riwayat Ummu Salamah dalam Shahihnya… Pendapat Majoriti ulamak adalah jika air sudah sampai ke semua rambut bahagian luar dan dalamnya tanpa menguraikan rambut maka tidak wajib diuraikan. - Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 412.

[78]             Dalil untuk memulakan dengan bahagian kanan terlebih dahulu adalah daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata:

 

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sangat suka mendahulukan bahagian kanan ketika memakai kasut, menyikat rambut, bersuci dan dalam semua urusan baginda. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 168.

 

[79]             Dalil bagi penggunaan air mencupi sekurang-kurangnya 1 sha’ adalah seperti berikut:

أَبُو بَكْرِ بْنُ حَفْصٍ قَالَ: سَمِعْتُ أَبَا سَلَمَةَ يَقُولُ دَخَلْتُ أَنَا وَأَخُو عَائِشَةَ عَلَى عَائِشَةَ فَسَأَلَهَا أَخُوهَا عَنْ غُسْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَدَعَتْ بِإِنَاءٍ نَحْوًا مِنْ صَاعٍ فَاغْتَسَلَتْ وَأَفَاضَتْ عَلَى رَأْسِهَا وَبَيْنَنَا وَبَيْنَهَا حِجَابٌ.

Abu Bakar bin Hafsh berkata, saya mendengar Abu Salamah berkata: Aku dan saudara ‘Aisyah berkunjung ke rumah ‘Aisyah lalu saudaranya bertanya tentang cara mandi Rasulullah. Maka dia (‘Aisyah) minta dibawakan bejana (berisi air) sekitar 1 sha’ kemudian dia mandi dan menyiram kepalanya sementara di antara kami ada hijab. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Ghusl, no: 251.

حَدَّثَنَا أَبُو جَعْفَرٍ أَنَّهُ كَانَ عِنْدَ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ هُوَ وَأَبُوهُ وَعِنْدَهُ قَوْمٌ فَسَأَلُوهُ عَنْ الْغُسْلِ. فَقَالَ: يَكْفِيكَ صَاعٌ.

Diriwayatkan daripada Abu Ja’far bahawasanya dia dan bapanya berada dekat Jabir bin ‘Abdullah, sementara di hadapan Jabir terdapat sekelompok orang mereka bertanya tentang mandi maka Jabir menjawab: Cukup dengan 1 sha’. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Ghusl, no: 252.

[80]             Menurut Syaikh Kamal bin as-Sayyid Salim:

Pendapat yang lebih kuat adalah bahawa menggosok-gosok badan ketika mandi hukumnya adalah sunnah dan bukan wajib… Oleh kerana itu apabila seseorang berdiri di bawah pancuran air (shower) dan air mengenai seluruh tubuhnya, maka mandinya telah sah…Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 267-268.

[81]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thoharaah, no: 100.

 

kandungan