Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

BAGAIMANAKAH TATACARA TAYAMUM DAN APAKAH HUKUM HAKAM BERKAITANNYA?

  

Tayamum adalah menyucikan diri secara simbolik sebagai ganti kepada mandi dan berwuduk apabila ketiadaan air. Tayamum menurut bahasa (etimologi) bermaksud al-Qashdu (اَلْقَصْدُ) atau sengaja melakukan. Dari segi syarak tayamum bermaksud sengaja menepuk kedua tapak tangan ke tanah untuk mengusap wajah dan kedua tapak tangan berdasarkan tatacara yang telah ditentukan dengan niat untuk menghilangkan hadas kerana ketiadaan air atau wujud halangan untuk mendapatkan air agar sah melakukan solat dan ibadah yang serupa.

 

Tayamum ini telah disyari’atkan berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil),

maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku,

dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali;

dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air),

atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan,

sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih,

iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu.

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan),

tetapi dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu,

supaya kamu bersyukur.[1]

 

 

Daripada Imran bin Hussain radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Kami pernah bermusafir bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Waktu itu baginda solat mengimami kami.

Tatkala solat selesai, ada seorang lelaki yang solat sendirian memisahkan diri dari orang ramai.

Baginda bertanya kepadanya:

 Wahai fulan mengapa kamu tidak solat bergabung dengan orang ramai?

 Orang tersebut menjawab: Malam tadi saya junub tetapi saya tidak mendapatkan air.

 Baginda menjawab: Kamu boleh bersuci dengan tanah dan hal itu sudah cukup bagimu.[2]

 

 

Dari kedua dalil di atas dapat kita fahami bahawa tayamum bukan sekadar dapat menyucikan seseorang dari hadas kecil tetapi juga hadas besar dan hal ini telah disepakati (ijmak) oleh seluruh ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

 

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

 

Sedangkan ijmak semua mazhab dan semua aliran dalam Islam sepakat dan para fuqaha kaum Muslimin sejak zaman sahabat dan tabi’in telah sepakat tentang diwajibkan tayamum dengan syarat-syaratnya.[3]

 

Tayamum juga merupakan satu anugerah istimewa daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala khusus bagi umat Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

 

Diriwayatkan oleh Jabir radhiallahu 'anh bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Aku telah diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun sebelumku;

aku ditolong dengan ditimbulkan ketakutan (pada diri musuh) selama satu bulan perjalanan,

dijadikan tanah untukku sebagai masjid dan sesuatu yang menyucikan;

maka sesiapapun di antara umatku yang bertemu dengan waktu solat hendaklah dia solat,

dihalalkan bagiku binatang ternak sedang bagi orang-orang sebelumku tidak dihalalkan,

aku diberi hak untuk memberi syafaat, dan yang kelima jika Nabi-Nabi lain dikirim kepada kaumnya semata-mata

maka aku dikirimkan kepada seluruh umat manusia.[4]

 

 

 

HIKMAH DISYARI’ATKAN TAYAMUM

 

ِApabila telah sabit perintah daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala tentang sesuatu ibadah maka hendaklah kita patuh kepada perintah tersebut secara total samada hikmah yang membelakangi ibadah tersebut diketahui mahupun tidak. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman

ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya,

supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka,

hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat":

dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut melanggar perintah Allah

serta menjaga dirinya supaya tidak terdedah kepada azab Allah,

maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.[5]

 

 

Ini bukan bermakna kita langsung tidak dibenarkan mencari hikmah di sebalik perintah Allah 'Azza wa Jalla kerana terdapat banyak anjuran di dalam al-Qur’an untuk memikirkan hikmah di sebalik kejadian seluruh alam semesta, akan tetapi kita tidak perlu untuk memaksa diri untuk mencari hikmah-hikmah tersebut. Kita tetap perlu menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya walaupun hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal kita.

 

Namun begitu hikmah utama berkaitan tayamum ini adalah ianya bertujuan untuk memudahkan hamba-hamba-Nya untuk menyucikan diri dari hadas kecil mahupun besar apabila hendak melaksanakan ibadah atau solat ketika ketiadaan air atau air wujud tetapi timbul kemudaratan apabila digunakan. Allah Subhanahu wa Ta'ala juga menggantikan air dengan al-Sho’iid (اَلْصَعِيْدُ) atau tanah (akan diperjelaskan perbahasan ulamak tentang al-Sho’iid)  yang merupakan sarana yang paling mudah untuk menghilangkan kesulitan tersebut kerana ianya tidak sukar didapati. Bertayamum dengan al-Sho’iid juga dapat membentuk rasa rendah diri apabila menyapu wajah dengan tanah.

 

 

 

PERBAHASAN TENTANG AL-SHO’IID

 

Para ulamak berselisih pendapat tentang batasan objek yang termasuk dalam istilah al-Sho’id. Tentang perbezaan pendapat makna al-Sho’iid ini Dr. Yusuf al-Qaradhawi pula telah berkata:

 

Namun di sana terjadi perbezaan pendapat mengenai pengertian al-Sho’iid. Apa maksudnya?

 

Di antara fuqaha ada yang berkata bahawa yang disebut dengan al-Sho’iid dalam ayat itu adalah tanah dan tidak boleh bertayamum kecuali dengannya. Ini adalah pandangan Imam al-Syafi’i, Ahmad dan Dawud. Ini juga merupakan pendapat di kalangan ahli bahasa. Ini diperkuatkan dengan sebuah hadis sahih dalam Shahih Muslim: “Telah dijadikan bagi ku bumi itu masjid dan tanahnya adalah suci.”

 

Abu Hanifah, Malik dan murid keduanya, Atha’, al-Awza’i dan al-Thawri berkata yang disebutkan al-Sho’iid adalah semua jenis bumi berupa tanah, pasir, batu, kapur dan marmar. Sehinggakan Imam Malik turut menyertakan ais (sebagai al-Sho’iid).

 

Sedangkan sesuatu yang meleleh dan rosak kerana api, atau terbakar sehingga menjadi debu, maka ia tidak termasuk dari jenis bumi.[6]

 

Mazhab Malik membolehkan bertayamum dengan menggunakan barang-barang yang dilombong kecuali barang-barang berharga seperti emas, perak dan permata seperti yaqut dan zamrud. Diperbolehkan (untuk bertayamum dengan) besi, timah hitam, batu serawak, alkohol, garam dan serupa dengannya jika tempatnya berada di dalam bumi dan belum beralih tangan menjadi milik manusia.[7]

 

Mereka mendasarkan pendapatnya ini pada apa yang dikatakan oleh sebahagian ahli bahasa juga bahawa yang dimaksudkan dengan al-Sho’iid itu adalah bahagian luar bumi baik tanah atau bukan. Penggunaan al-Qur’an perkataan al-Sho’iid mungkin menunjukkan kepada hal ini:  

 

...tanah yang licin tandus[8]

dan

 

…tanah yang tandus[9] [10]

 

 

Oleh itu secara mudahnya kita dapat bahagikan perbahasan ulamak tentang al-Sho’iid kepada dua:

 

PENDAPAT PERTAMA: Al-Sho’iid adalah permukaan bumi secara mutlak, samada tanah pasir, gunung, kerikil atau debu tanah. Fairuz Abadi dalam al-Qamus (ms. 266) menyatakan: Al-Sho’iid adalah tanah, debu atau permukaan bumi.” Ini merupakan pendapat mazhab Abu Hanifah, Abu Yusuf, Malik, Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Ibnu Hazm.

 

PENDAPAT KEDUA: Al-Sho’iid adalah debu dan tidak boleh diertikan dengan selainnya. Ini adalah pendapat Imam al-Syafi’i, mazhab Hanbali dan Abu Tsaur. Namun begitu Imam al-Syafi’i rahimahullah hanya membataskan al-Sho’iid kepada tanah yang berdebu. Menurut beliau:

 

Setiap sesuatu yang dinamakan al-Sho’iid (tanah) yang tidak bercampur dengan najis, maka ia adalah tanah yang baik (al-Sho’iid Thoyyiban اَلْصَعِْيدُ طَيِّبًا) yang boleh dipakai untuk bertayamum. Sebaliknya setiap sesuatu yang terhalang untuk dinamakan tanah, maka ia tidak boleh dipakai untuk bertayamum, dan lafaz al-Sho’iid tidaklah digunakan kecuali untuk tanah yang berdebu.[11]

 

Menurut Syaikh Kamal bin as-Sayyid Salim:

 

Pendapat yang lebih kuat menurutku adalah yang pertama, iaitu boleh bertayamum dengan apa sahaja secara mutlak dinamakan bumi atau yang mengandungi sesuatu dari bumi seperti debu dan sejenisnya.[12]

 

 

Imam al-Shafi’i rahimahullah juga turut membenarkan untuk bertayamum dengan debu yang melekat pada dinding. Menurut beliau:

 

Apabila seseorang mengambil debu dari dinding, maka dia boleh bertayamum dengannya.

 

Apabila dia meletakkan tangannya kepada dinding dan debu itu melekat pada tangannya, lalu dia bertayamum, maka tayamumnya dianggap telah memadai.

 

Apabila debu itu bercampur dengan kapur, jerami halus, tepung gandum atau yang lainnya, maka dia tidak boleh bertayamum dengannya sampai debu itu benar-benar tidak bercampur dengan sesuatu Apapun.[13]

 

 

Selanjutnya berkaitan bertayamum pada dinding Syaikh al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:

 

Dinding biasanya diperbuat dari tanah yang bersih. Maka jika dindingnya diperbuat dari tanah, samada dari batu mahupun batu bata maka ia boleh digunakan untuk bertayamum. Jika dindingnya berlapis kayu atau cat tapi ada debunya maka tidak mengapa bertayamum padanya. Hukumnya sama dengan bertayamum pada tanah, kerana debu itu termasuk sebahagian dari tanah. Tetapi jika dindingnya tidak berdebu maka ia tidak boleh digunakan sebagai tempat bertayamum.[14]

 

 

Oleh itu kita simpulkan tentang al-Sho’iid menerusi penjelasan Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah pula berkata:

 

Boleh tayamum dengan tanah yang suci, begitupun (diperbolehkan juga untuk bertayamum) dengan segala yang sejenis seperti pasir, batu dan bata berdasarkan firman Allah Ta’ala maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih [15].

 

Sedangkan ahli-ahli bahasa telah sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan al-Sho’iid itu ialah permukaan bumi, baik ia berupa tanah mahupun yang lainnya.[16]

 

Tidak disyaratkan hanya tanah yang berdebu. Diperbolehkan juga untuk bertayamum di atas tanah yang basah berdasarkan keumuman firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih, iaitu:

sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu.[17]

 

 

Menurut Syaikh al-‘Utsaimin rahimahullah:

 

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabatnya juga pernah melakukan safar ke daerah yang hanya mengandungi pasir, hujan pun membasahi tempat itu dan mereka bertayamum sebagaimana yang Allah perintahkan. Jadi pendapat yang kuat bahawa bila seseorang bertayamum di atas tanah maka tayamumnya sah baik tanahnya berdebu ataupun tidak.[18]

 

 

 

PERKARA-PERKARA YANG MEMBOLEHKAN TAYAMUM

 

Diperbolehkan untuk bertayamum bagi mereka yang berhadas kecil mahupun berhadas besar, samada ketika bermusafir ataupun bermukim, sekiranya berhadapan dengan situasi-situasi seperti yang akan diperjelaskan nanti.

 

Dalilnya boleh bertayamum bagi musafir adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

...dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran,

atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan,

sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi),

maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih, iaitu:

sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu.

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan),

tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu,

supaya kamu bersyukur.[19]

 

 

Berkaitan dengan ayat di atas Imam al-Syafi’i rahimahullah berkata:

 

Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menunjukkan hukum diperbolehkan tayamum pada dua keadaan:

 

Pertama : Dalam perjalanan dan sulit mendapatkan air.

 

Kedua: Bagi orang yang sakit baik di tempat pemukiman atau dalam perjalanan. Hal ini menunjukkan bahawa orang yang musafir wajib berusaha terlebih dahulu untuk mendapatkan air, berdasarkan firman-Nya:

 

..sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum...[20]

 

Selanjutnya dalil tentang bolehnya tayamum bagi mereka yang bermukim (tidak musafir) adalah hadis daripada Abul Juhaim radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam datang dari Bi’r Jamal lalu ada seseorang bertemu dengan baginda

dan mengucapkan salam namun baginda tidak membalasnya

hingga beliau menghadap ke tembok lalu mengusap wajah dan kedua tangan baginda

(yakni bertayamum) kemudian barulah membalas salam orang tersebut.[21]

 

 

Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini dalam bab Tayamum Ketika Mukim (Tidak Bermusafir) Jika Tidak Terdapat Air Dan Khuatir Waktu solat Habis. Ibnu Qudamah rahimahullah berkata:

 

Apabila tidak ada air ketika sedang mukim kerana tiada air dalam lingkungan mereka atau air tertahan pada suatu tempat maka boleh tayamum dan solat dengan tayamum tersebut. Ini merupakan pendapatnya Malik, al-Tsauri, al-Auza’i, dan al-Syafi’i.[22]

 

 

Situasi-situasi yang membenarkan seseorang untuk bertayamum adalah seperti berikut:

 

1)      Apabila ketiadaan air

 

Ini adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

… sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi),

maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih …[23]

 

 

Tentang ketiadaan air ini timbul perbincangan para ulamak. Adakah perlu untuk berusaha mencari air terlebih dahulu atau memadai sekiranya ketika hendak solat itu air tiada maka terus bertayamum tanpa perlu mencarinya. Imam al-Syafi’i rahimahullah bersandarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di atas berpendapat perlu terlebih dahulu berusaha mencari sumber air.

 

Namun begitu menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

 

Pandangan yang tepat di sini adalah apa yang sesuai dengan pengertian ketiadaan air yang terikat dengan upaya mendirikan solat. Jika waktu solat tiba dan seseorang ingin mendirikan solat tersebut lalu dia dapati ketiadaan air untuk berwuduk atau untuk mandi (wajib) di rumahnya atau di masjid atau di tempat yang berdekatan itu, maka itulah yang menjadikan alasan baginya untuk bertayamum.

 

Bukan maksud ketiadaan air di sini dengan tidak menemuinya setelah mencarinya di sekitarnya dan bertanya ke sana ke mari. Namun maksudnya adalah dia tidak memiliki pengetahuan atau keyakinan adanya air pada saat itu dan tidak mungkin baginya untuk mendapatkannya dengan cara membeli dan yang serupa dengannya. Ini boleh dikatakan bahawa dia tidak mendapatkan air dalam pengertian ahli bahasa. Sedangkan kewajipan kita adalah menempatkan firman Allah seperti ini jika tidak ada penjelasan syar’i.[24]

 

Pandangan beliau ini dikuatkan dengan perbuatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang bertayamum di tembok[25] ketika berada di Madinah tanpa baginda mencari sumber air mahupun bertanya ke sana kemari. Selanjutnya ianya disokong juga dengan sebuah hadis dari Abu Sa’id al-Khudri radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Ada dua orang lelaki sedang bermusafir sehingga tiba waktu solat.

Pada saat itu keduanya tidak mendapatkan air lalu keduanya bertayamum dengan debu yang suci,

kemudian keduanya solat. (Setelah solat) keduanya terjumpa air. Salah satu dari keduanya mengulangi solat dan berwuduk

sedangkan yang seorang lagi tidak mengulangi solatnya. Setelah itu keduanya bertemu

dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk menanyakan hal tersebut.

Kepada lelaki yang tidak mengulangi solat dan wuduknya baginda bersabda:

 

Kamu telah menjalankan sunnah dan mendapat ganjaran di atas solatmu.

 

Sementara kepada yang seorang lagi baginda bersabda:

 

Kamu mendapatkan dua ganjaran.[26]

 

 

Ternyata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menyatakan bagi sahabat yang tidak mengulangi solatnya apabila bertemu dengan sumber air telah mengamalkan sunnahnya. Ini membuktikan bahawa tidak perlu untuk mencari air ke sana ke mari apabila tiba waktu solat. Justeru itu Imam al-Syaukani rahimahullah berkata:

 

Kewajipan untuk mencari air hingga akhir waktu solat tidak ada dalil apapun yang menunjukkan tentang hal itu baik dari al-Qur’an, al-Sunnah, Qiyas ataupun ijmak.[27]

 

Oleh itu sekiranya tiba waktu solat dan kita tidak menemui sumber air untuk berwuduk ataupun mandi wajib pada ketika itu, maka diperbolehkan bagi kita untuk bertayamum.

 

 

2)      Apabila terdapat bekalan air tetapi ianya tidak mencukupi

 

Sekiranya bekalan air tidak mencukupi pada masa sekarang ataupun mungkin pada masa akan datang sekiranya menggunakan air tersebut untuk berwuduk atau mandi wajib, maka diperbolehkan seseorang itu bertayamum dan menyimpan air tersebut untuk kegunaan harian seperti minum, memasak, menyucikan diri dari najis, memberi haiwan tunggangan minum dan lain-lain lagi yang dianggap penting bagi seseorang meneruskan perjalanannya. Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah[28] telah memperkuatkan pandangan ini dengan berkata:

 

Dari Ali radhiallahu 'anh bahawa dia berfatwa mengenai seorang lelaki dalam perjalanan yang ditimpa janabat

sedangkan dia hanya membawa sedikit air dan khuatir akan ditimpa kehausan:

 

Hendaklah dia bertayamum dan jangan mandi.[29]

 

 

Imam Ibnu Mundzir rahimahullah berkata:

 

Sejauh pengetahuan saya, para ulamak sepakat bahawa seorang musafir yang mempunyai air tetapi kalau dia gunakan air tersebut untuk berwuduk dia khuatir akan kehausan, maka dia boleh bertayamum.[30]

 

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

 

Sebab apa diutamakan minum di atas wuduk sedangkan menjaga agama itu adalah suatu kewajipan dan menjaga jiwa dan kehidupan itu juga merupakan kewajipan bahkan kewajipan menjaga agama didahulukan dari menjaga kehidupan. Oleh sebab itulah seseorang mengorbankan jiwanya demi agamanya. Namun di sini ianya sedemikian rupa kerana wuduk itu terdapat penggantinya yang berupa tayamum sementara air tidak ada gantinya bagi orang yang sedang kehausan. Ini merupakan sebuah bentuk keindahan dalam syari’at. Dan yang serupa dengan minuman adalah segala sesuatu yang menjadi keperluan seperti (menggunakan air sebagai) adunan, masakan yang sangat diperlukan.[31]

 

 

3)      Apabila air terlalu dingin sehingga membahayakan diri seseorang.

 

Di benarkan bertayamum apabila air terlalu dingin sehingga menjejaskan kesihatan seseorang. Namun begitu sekiranya dia mampu untuk memanaskan air tersebut atau mengupah orang lain untuk memanaskannya maka tidak diperbolehkan bagi dia untuk bertayamum. Sekiranya waktu untuk solat semakin hampir tamat dan memanaskan air tersebut menyebabkan dia gagal untuk solat dalam waktu, maka diperbolehkan baginya untuk bertayamum. Diperbolehkan untuk bertayamum apabila air terlalu dingin adalah bersandarkan kepada hadis daripada ‘Amru bin Ash radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Saya bermimpi basah pada suatu malam yang dingin saat perang Dzatis Salasil. Saya merasakan sekiranya saya mandi (junub) maka ianya akan membahayakan diriku. Oleh kerana itu saya bertayamum lalu solat subuh bersama para sahabat yang lain. Tatkala kami pulang dari perang para sahabat menceritakan kepada Nabi apa yang telah saya alami itu. Nabi bersabda kepada saya:

 

Wahai ‘Amru, kamu solat dengan rakan-rakanmu dalam keadaan junub?

Saya pun menyampaikan alasan yang menyebabkan saya tidak mandi pada waktu itu. Saya berkata:

 

Sesungguhnya saya dengar Allah berfirman: “dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.

Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”[32]

 

Mendengar jawapan saya Rasulullah tertawa dan tidak berkata sepatah pun.[33]

 

 

4)      Apabila terhalang kepada bekalan air yang berhampiran

 

Seseorang diperbolehkan untuk bertayamum sekiranya terhalang untuk pergi ke kawasan bekalan air kerana adanya musuh, kebakaran, perompak atau apa-apa jua perkara yang boleh menggugat keselamatan diri, harta atau kehormatannya. Hal yang sama juga dibenarkan bagi mereka yang uzur dan tidak mampu untuk mengambil air dan tidak ada pula orang lain yang dapat membantu. Hal ini bersesuaian dengan konsep di dalam Islam yang mana ia adalah agama yang mudah dan tidak memberatkan penganutnya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) agama

yang mudah diterima oleh akal yang sihat.[34]

 

 

Islam juga melarang umatnya untuk sengaja meletakkan diri mereka ke dalam posisi yang membahayakan keselamatan diri masing-masing. Firman-Nya:

… dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan …[35]

 

 

5)      Apabila terdapat kecederaan yang akan semakin parah atau lambat sembuh sekiranya terkena air

 

Ini bersandarkan kepada hadis daripada Jabir radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Suatu hari ketika kami pergi untuk suatu perjalanan kebetulan salah seorang di antara kami

ditimpa sebuah batu yang melukai kepalanya. Kemudian orang itu bermimpi (yang mengeluarkan air mani),

lalu dia bertanya kepada para sahabatnya: Apakah ada keringanan bagi saya untuk bertayamum.

 

Para sahabatnya menjawab: Tidak ada bagi anda keringanan, kerana anda boleh mendapatkan air.

Maka orang itu pun mandilah dan kebetulan meninggal dunia.

Kemudian setelah kami berada di hadapan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

kami sampaikanlah peristiwa tersebut kepadanya. Maka baginda bersabda:

 

Mereka telah membunuhnya dan semoga Allah membunuh mereka!

Mengapa mereka tidak mahu bertanya jika mereka tidak tahu?

Ubat bagi kebodohan adalah bertanya! Cukuplah bagi orang tersebut bertayamum…[36]

 

 

Oleh itu kesimpulannya seseorang diperbolehkan untuk bertayamum apabila terdapat halangan untuk menggunakan air baik kerana tidak terdapat bekalan air mahupun kerana terdapat halangan atau mudarat apabila menggunakan air.

 

 

 

TATACARA BERTAYAMUM

 

Berkenaan dengan tatacara tayamum Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah telah berkata:

 

Hendaklah orang yang bertayamum itu berniat terlebih dahulu. Mengenai ini telah dibicarakan dalam soal berwuduk. Kemudian membaca basmallah dan memukulkan kedua tapak tangan ke tanah yang suci lalu menyapukannya ke muka, begitu pun kedua belah tapak tangannya sampai ke pergelangan.[37]

 

Ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan dari Sa’id bin ‘Abdurrahman bin Abza dari ayahnya, dia berkata: Seseorang mendatangi ‘Umar bin al-Khaththab dan berkata: Aku berjunub dan tidak menemukan air.

 

Maka ‘‘Ammar bin Yaasir berkata kepada ‘Umar bin al-Khaththab: Apakah anda tidak ingat ketika kita dalam suatu perjalanan

(saya dan engkau) maka engkau tidak solat, adapun aku berguling-guling di tanah kemudian solat.

Kemudian aku menyebutkan hal itu kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Maka baginda shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Hanya sahaja cukup bagimu begini. Lalu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memukul tanah

dengan kedua tapak tangannya dan meniupnya, kemudian mengusap muka dan kedua tangannya dengan keduanya.[38]

 

Penjelasan tentang tatacara untuk bertayamum adalah seperti berikut:

 

 

1)      Niat dalam hati

Dalil wajibnya niat adalah hadis daripada ‘Alqamah bin Waqqash al-Laitsi radhiallahu 'anh  , dia berkata:

 

Aku mendengar ‘Umar bin al-Khattab berkata di atas mimbar:

“Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Tiap-tiap amal perbuatan harus disertai dengan niat,

balasan bagi setiap amal manusia sesuai dengan apa yang diniatkan….”[39]

 

Niat adalah keinginan atau azam untuk mengerjakan ibadah (dalam konteks ini ibadah wuduk) semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah. Niat ini tempatnya di hati dan tidak perlu dilafazkan sebagaimana yang telah penulis bahaskan sebelum ini.

 

 

2)      Membaca  بِسْمِ اللهِ (Bismillah)

 

Disunnatkan membaca bismillah sebelum bertayamum sebagaimana berwuduk.

 

 

3)      Menepuk tangan ke tanah dengan sekali tepukan

 

Menerusi hadis daripada ‘‘Ammar ini jelas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hanya memerintahkan untuk menepuk kedua tapak tangan dengan sekali tepukan untuk muka dan kedua tapak tangan sekaligus. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Hanya sahaja cukup bagimu begini. Lalu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memukul tanah dengan kedua tapak tangannya

dan meniupnya, kemudian mengusap muka dan kedua tangannya dengan keduanya.[40]

 

 

Namun begitu terdapat juga pandangan dari para ulamak bahawa hendaklah bertayamum dengan dua kali tepukan kedua tapak tangan ke tanah. Pukulan yang pertama untuk menyapu wajah dan yang kedua untuk menyapu kedua tapak tangan. Mereka berhujah dengan sebuah hadis dari Ibnu ‘Umar radhiallahu 'anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

  

Tayamum itu dua pukulan, yang pertama untuk wajah dan yang kedua untuk kedua tangan sehingga ke siku.[41]

 

 

Namun begitu hadis ini bercanggah dengan hadis ‘Ammar yang telah penulis keluarkan sebelum ini. Mengenai percanggahan ini Syaikh ‘Abdullah al-Bassam telah memberi ulasan seperti berikut:

 

a)     Hadis ‘Ammar terdapat dalam kitab al-Bukhari dan Muslim, sedangkan hadis Ibnu ‘Umar hanya terdapat di dalam kitab Sunan al-Daruquthni di mana penyusunnya tidak komited dengan hadis-hadis sahih bahkan banyak sekali terdapat di dalamnya hadis-hadis dha’if, maka hadis Ibnu ‘Umar tidak boleh dibandingkan dengan hadis ‘Ammar dari segi kesahihannya.

 

b)    Hadis ‘Ammar dimarfu’kan[42] kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Adapun hadis Ibnu ‘Umar, bukan perkataan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, sekalipun hal itu tidak perlu diberikan pendapat lagi dan dibezakannya di antara hadis marfu’ dan mauquf[43].

 

c)     Semua riwayat hadis yang menjelaskan sifat tayamum dengan dua kali pukulan ada yang mauquf, ada yang tidak sampai kepada Nabi dan ada pula yang dha’if dan tidak boleh dijadikan dalil dan hujah.

 

… Oleh kerana itu yang sahih dalam bab ini dan yang boleh dijadikan pedoman adalah hadis ‘‘Ammar. Hadis ini (yakni hadis ‘‘Ammar) ditetapkan oleh Bukhari di dalam kitab Shahihnya, dia berkata bab Tayamum Untuk Muka dan Kedua Tapak Tangan. Ibnu Hajar berpendapat dalam Fathul Baari bahawa hanya inilah yang wajib dan mencukupi.[44]

 

Oleh itu memadai menepuk kedua tangan hanya sekali untuk menyapu wajah dan kedua tapak tangan. Syaikh ‘Abdullah al-Bassam berkata:

 

Tayamum dengan satu kali tepukan (ke tanah) mencukupi untuk wajah dan kedua tangan.[45]

 

 

4)      Meniup tapak tangan

 

Di dalam hadis ‘‘Ammar juga menunjukkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam setelah menepuk kedua tangannya ke tanah maka baginda meniup kedua tapak tangan tersebut.

 

…Lalu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memukul tanah dengan kedua tapak tangannya dan meniupnya…[46]

 

 

Tiupan disini adalah tiupan yang ringan untuk menipiskan debu tanah yang terdapat di kedua tapak tangan. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah:

 

Meniup debu tersebut dijadikan landasan dalil disukainya menipiskan debu seperti yang diterangkan dan gugurnya anjuran mengusap anggota tayamum secara berulang-ulang. Ini adalah kerana mengusap anggota tayamum berulang-ulang bertentangan dengan usaha menipiskan debu (dengan meniup).[47]

 

 

5)      Menyapu muka dan kedua tapak tangan

 

Berbeza dengan berwuduk, bertayamum hanya melibatkan dua anggota iaitu wajah dan kedua tangan sehingga ke pergelangan. Bertayamum juga tidak berulang-ulang seperti wuduk. Memadai dengan menyapu anggota tayamum sekali sahaja. Ini adalah sebagaimana sabda-sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di bawah:

 

Hanya sahaja cukup bagimu begini. Lalu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memukul tanah dengan kedua tapak tangannya

dan meniupnya, kemudian mengusap muka dan kedua tangannya dengan keduanya.[48]

 

Cukuplah bagimu melakukan seperti ini. Lalu baginda menepuk tanah sekali tepukan dengan kedua tapak tangannya,

kemudian mengibaskannya, lalu mengusap punggung tangannya dengan tangan kirinya atau

punggung tangan kirinya dengan tapak tangan kanannya,

kemudian baginda mengusap wajahnya dengan kedua tangannya.[49]

 

 

Pengajaran yang dapat diambil dari kedua hadis di atas:

 

a)       Perbezaan di antara yang mana didahulukan di antara wajah dan tapak tangan menunjukkan tidak diwajibkan tertib ketika bertayamum. Kedua-duanya boleh didahulukan samada wajah mahupun kedua tapak tangan. Ketika mensyarahkan hadis Shahih al-Bukhari, no : 347, al-Hafidz Ibnu Hajar berkata:

 

Lafaz di atas juga memberi keterangan bahawa tertib (urutan) tidaklah disyaratkan ketika tayamum.[50]

 

b)      Mengusap tangan memadailah hanya sehingga ke pergelangan tangan. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Cukup bagi kamu (menyapu) wajah dan kedua tapak tangan.[51]

 

Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah:

 

Dari lafaz ini dapat difahami, bahawa menyapu lebih dari kedua tapak tangan hukumnya tidak wajib sebagaimana yang telah diterangkan.

 

…Ada pun alasan yang dikemukakan oleh mereka yang mensyaratkan mengusap sampai kedua siku ketika tayamum kerana hal itu merupakan syarat dalam wuduk, maka dijawab dengan menyatakan: “Sesungguhnya qiyas (analogi) yang demikian itu bertentangan dengan nas (teks hadis) maka dianggap keliru.”[52]

 

Apatah lagi hadis-hadis yang mengisyaratkan bertayamum sehingga ke siku atau ke ketiak terdapat kelemahan di dalamnya.[53] Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata:

 

Adapun riwayat yang menyebutkan sampai ke siku serta pertengahan lengan kebenarannya masih diperdebatkan. Sedangkan riwayat yang menyebutkan sampai ke ketiak, maka Imam al-Syafi’i dan ulamak lainnya menjelaskan: “Jika hal itu ditetapkan berdasarkan perintah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka setiap tatacara tayamum yang terbukti berasal merupakan ketentuan yang menghapuskan tatacara sebelumnya. Sedangkan bila ditetapkan berdasarkan perbuatannya, maka yang harus diamalkan adalah yang ditetapkan berdasarkan perintah daripada baginda shallallahu 'alaihi wasallam.[54]

 

Menurut Imam Ahmad rahimahullah:

 

Sesiapa yang menyatakan bahawa tayamum sehingga kedua siku, maka itu adalah sesuatu yang ditambah olehnya.[55]

 

Ada pun tentang firman Allah Subhanahu wa Ta'ala …sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu…[56] ianya bukanlah hujah menunjukkan bahawa bertayamum hendaklah menyapu sehingga ke siku. Akan tetapi Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh menyatakan ianya diibaratkan seperti batasan pemotongan tangan bagi hukuman hudud terhadap pencuri iaitu sehingga ke pergelangan tangan sahaja.

 

c)       Hendaklah menyapu keseluruhan tapak tangan serta punggung tapak tangan tersebut sehingga ke bahagian pergelangan. Namun begitu diperbolehkan juga dengan hanya menyapu di bahagian punggung tapak tangan kerana bahagian tapak tangan tersebut telah terkena debu ketika menepuk serta menyapu wajah. Ini sebagaimana perbuatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

…lalu mengusap punggung tangannya dengan tangan kirinya atau punggung tangan kirinya dengan tapak tangan kanannya…[57]

 

Demikianlah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam bertayamum yang sewajarnya kita contohi kerana bagindalah contoh ikutan yang terbaik bagi seluruh umat Islam. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,

iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat,

serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).[58]

 

 

 

PERKARA YANG BOLEH DILAKUKAN DENGAN TAYAMUM

 

Tayamum itu adalah sebagai pengganti berwuduk atau pun mandi wajib ketika tiada air. Oleh itu apa sahaja yang diperbolehkan bagi seseorang ketika telah berwuduk atau mandi wajib maka ianya juga diperbolehkan bagi mereka yang telah bertayamum seperti solat fardhu mahupun sunat, membaca al-Qur’an, tawaf di Ka’bah, berzikir, membaca kitab-kitab hadis atau buku-buku agama, menghadiri majlis ilmu dan lain-lain. Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata:

 

Tayamum boleh membuat seseorang Muslim boleh melakukan apa sahaja yang dibolehkan bagi seseorang yang berwuduk seperti melakukan solat fardhu, solat sunnah atau solat jenazah.

 

Sebagaimana boleh baginya untuk melakukan tawaf di Baitullah, memegang al-Qur’an, membaca al-Qur’an, berzikir kepada Allah. Hingga bagi mereka yang tidak mewajibkan perkara-perkara di atas kerana sesungguhnya disunnahkan untuk mengambil wuduk yang bererti pula disunnahkan juga untuk bertayamum.[59]

 

Selagimana tayamum tersebut tidak batal maka diperbolehkan untuk melakukan hal-hal tersebut. Sebagai contoh seseorang solat Maghrib dengan bertayamum. Apabila masuk waktu solat Isyak ternyata tayamum tersebut belum terbatal, maka dia boleh mengerjakan solat Isyak tersebut tanpa memperbaharui tayamum. Syah Waliyullah al-Dahlawi rahimahullah berkata dalam kitabnya al-Hujjah al-Balighah:

 

Tidak saya dapatkan dalam hadis sahih yang menunjukkan bahawa seorang yang bertayamum harus bertayamum setiap kali akan melakukan solat fardhu.[60]

 

Hal ini adalah kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:

 

Tanah itu mensucikan orang Islam walau dia tidak mendapatkan air selama sepuluh tahun…[61]

 

 

 

PERKARA YANG MEMBATALKAN TAYAMUM

 

Apa sahaja perbuatan atau perkara yang membatalkan wuduk maka ianya juga membatalkan tayamum. Ini adalah kerana tayamum dengan debu hanya merupakan pengganti berwuduk dengan air. Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata:

 

Maka barangsiapa yang menyatakan bahawa ada sesuatu yang membatalkan (tayamum) selain dari itu (yakni perkara yang membatalkan wuduk), maka janganlah diterima kecuali dia boleh mendatangkan dalil. Namun kami tidak mendapatkan dalil yang boleh dijadikan hujah untuk itu. Maka kewajipan kita adalah membatasi hanya pada hal-hal yang membatalkan wuduk.[62]

 

Hanya sahaja tayamum tidak boleh dilakukan seseorang apabila bekalan air itu wujud, mencukupi serta tiada halangan untuk mempergunakannya untuk berwuduk mahupun mandi wajib. Dr Yusuf Qaradhawi berkata:

 

Boleh kita tambahkan di sini apabila hilangnya sebab yang membolehkan seseorang bertayamum seperti menemui bekalan air setelah dia tidak mendapatkannya sebelum itu, atau dia mampu mempergunakan air setelah sebelumnya dia tidak sanggup melakukannya, atau bahaya memakainya telah hilang, atau dia mampu menghangatkannya dan seterusnya. Oleh sebab itu seperti ada suatu ungkapan yang tersebar di kalangan kaum muslimin: “Jika air tiba maka batallah tayamum.” Sebab tayamum itu sebagai pengganti air. Maka jika yang digantikan telah ada, gugurlah yang menjadi penggantinya.[63]

 

Namun begitu setelah seseorang itu bertayamum lalu mengerjakan solat sehingga selesai, setelah itu beliau terjumpa sumber air sedangkan waktu solat tadi masih ada, maka dia tidak perlu mengulangi solat tersebut. Hanya sahaja sekiranya dia ingin mengerjakan solat yang lain samada yang fardhu mahupun sunat maka hendaklah dia berwuduk dengan air. Namun begitu jika sekiranya dia menemui sumber air sebelum dia memulakan solat atau solat belum selesai, maka dia perlu berwuduk ataupun mandi wajib. Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:

 

Apabila seseorang melakukan solat dengan tayamum kemudian dia menemukan air, atau bila dia dapat menggunakannya setelah solat selesai, tidaklah wajib dia mengulangi (solatnya) walaupun waktu solat masih ada…Tetapi bila dia menemui sumber bekalan air atau dapat menggunakannya setelah mulai solat tetapi belum mengakhirinya, maka tayamumnya itu terbatal dan dia harus mengulangi bersuci dengan memakai air.[64]

 

Daripada Abu Sa’id al-Khudri radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Ada dua orang lelaki sedang bermusafir sehingga tiba waktu solat.

Pada saat itu keduanya tidak mendapatkan air lalu keduanya bertayamum dengan debu yang suci,

kemudian keduanya solat. (Setelah solat) keduanya terjumpa air.

Salah satu dari keduanya mengulangi solat dan berwuduk sedangkan yang seorang lagi tidak mengulangi solatnya.

Setelah itu keduanya bertemu dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk menanyakan hal tersebut.

Kepada lelaki yang tidak mengulangi solat dan wuduknya baginda bersabda:

 

Kamu telah menjalankan sunnah dan mendapat ganjaran di atas solatmu.

 

Sementara kepada yang seorang lagi baginda bersabda:

 

Kamu mendapatkan dua ganjaran.[65]

 

 

Daripada Abu Dzar radhiallahu 'anh, bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:

 

…Jika seseorang menemukan air, hendaklah dibasuhkannya ke kulitnya, kerana demikian lebih baik.[66]

 

 

Begitu pula bagi orang yang berada di dalam keadaan junub ataupun wanita yang sedang haid lalu tamat haidnya lantas ingin mengerjakan solat dengan bertayamum dengan sebab-sebab yang valid, maka tidak perlu mereka mengulangi solat apabila bertemu dengan sumber air. Hal ini berdasarkan hadis daripada Imran bin Hussain radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Kami pernah bermusafir bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Waktu itu baginda solat mengimami kami. Tatkala solat selesai, ada seorang lelaki yang solat sendirian memisahkan diri dari orang ramai. Baginda bertanya kepadanya:

 

Wahai fulan mengapa kamu tidak solat bergabung dengan orang ramai?

 

Orang tersebut menjawab: Malam tadi saya junub tetapi saya tidak mendapatkan air.

 

Baginda menjawab: Kamu boleh bersuci dengan tanah dan hal itu sudah cukup bagimu.[67]

 

 

 

APA YANG PERLU DILAKUKAN SEKIRANYA TIADA AIR ATAU AL-SHO’IID

 

            Seseorang itu mungkin akan berhadapan dalam satu keadaan ketiadaan air mahupun tanah untuk berwuduk atau tayamum sedangkan dia perlu menunaikan solat yang fardhu maka hendaklah dia tetap menunaikan solat tersebut tanpa menyucikan diri dari hadas dan tidak perlu dia mengulangi solat tersebut setelah terjumpa alat untuk bersuci. Pandangan ini dikuatkan dengan sebuah hadis daripada Urwah bin Zubair radhiallahu 'anh dia berkata:

 

Bahawasanya A'isyah radhiallahu 'anha  pernah meminjam sebentuk kalung dari

Asma binti Abu Bakar radhiallahu 'anha lalu kalung itu hilang di perjalanan.

Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh beberapa orang mencari dan akhirnya mereka menemuinya kembali.

Di dalam mereka mencari kalung itu masuklah waktu solat.

Oleh kerana di ketika itu tiada air maka merekapun solat tanpa berwuduk.

Sekembalinya bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mereka menerangkan hal tersebut.

Maka di ketika itu turunlah ayat (mensyari'atkan) tayamum. [68]

 

 

Hadis di atas menunjukkan bahawa para sahabat tersebut telah mengerjakan solat tanpa berwuduk dan apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui peristiwa tersebut baginda tidak menyuruh mereka mengulangi solat tersebut. Ini menunjukkan solat tersebut adalah sah. Berkaitan dengan hadis di atas Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah menjelaskan:

 

Kita lihat para sahabat melakukan solat sewaktu mereka tidak menemukan apa yang dapat dijadikan alat untuk bersuci. Dan sewaktu mereka laporkan hal itu kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, baginda tidak menyalahkan mereka dan tidak pula menyuruh mereka mengulangi (solat tersebut). Berkata al-Nawawi: “Ucapan itu merupakan alasan yang terkuat.”[69]

 

Mungkin ada yang beranggapan peristiwa di dalam hadis tersebut berlaku sebelum turunnya ayat tentang tayamum sebagai ganti berwuduk. Namun begitu ianya tetap sah untuk dijadikan hujah sekiranya seseorang itu berhadapan dengan situasi yang sama iaitu tidak memiliki alat untuk menyucikan diri dari hadas.

 

Syaikh Sa’id al-Qahtani pula berkata:

 

Pada asalnya seseorang wajib bersuci menggunakan air. Akan tetapi apabila dia terhalang dari menggunakan air baik kerana sakit mahupun kerana lainnya, dia boleh bertayamum menggunakan tanah. Namun bila menggunakan tanah juga terdapat halangan, maka dia boleh mengerjakan solat tanpa bersuci terlebih dahulu. Allah Ta’ala berfirman:

Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu…[70]

 

Allah juga berfirman:

 …dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…[71]

 

Dalam hal ini Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 Bila aku perintahkan sesuatu kepada kalian, maka lakukan semampu kalian.[72]

 

 

Walaubagaimanapun apa yang ingin penulis tekankan di sini adalah bahawa kemaafan hukum ini adalah bagi seseorang yang benar-benar tidak dapat berwuduk atau bertayamum setelah segala usaha yang sewajarnya telah dilaksanakan semampu mungkin dan bukan kerana sikap malas atau perbuatan mengabaikan perintah agama.

 

Begitulah perbahasan berkaitan dengan tayamum dan hukum-hakam berkaitan dengannya menurut al-Qur’an dan al-Sunnah.


 

 


[1]               al-Maaidah (5) : 6

[2]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Tayammum, no: 344.

[3]               Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 334.

[4]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Tayammum, no: 335.

[5]               al-Nuur (24) : 51-52

[6]               Al-Ikhtiyar fi Syarh al-Mukhtaar, jilid 1, ms. 20.

[7]               Al-Syarh al-Shaghir/Dardir, jilid 1, ms. 195-196

[8]               al-Kahfi (18) : 40

[9]               al-Kahfi (18) : 8

[10]             Dr. Yusuf al-Qaradhwi, Fikih Thaharah, ms. 345.

[11]             Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 72.

[12]             Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 245

[13]             Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 73.

[14]             Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah : Bab Ibadah, ms. 300-301.

[15]             al-Maaidah (5) : 6

[16]             Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, Jilid 1, ms. 170.

[17]             al-Maaidah (5) : 6

[18]             Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah : Bab Ibadah, ms. 300.

[19]             al-Maaidah (5) : 6

[20]             al-Maaidah (5) : 6. Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 66-67.

[21]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Tayammum, no: 337.

[22]             Ibnu Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, jilid 1, ms. 234. Penulis nukil dari artikel Tayammum tulisan al-Ustadz Abu Ishaq Muslim al-Atsary di dalam majalah Salafy, edisi 41, ms. 38.

[23]             al-Maaidah (5) : 6

[24]             Dr, Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 340.

[25]             Ini sebagaimana sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Tayammum, no: 337 yang telah penulis  sertakan sebelum ini.

[26]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thoharaah, no: 286

[27]             Sila rujuk al-Sail al-Jarrar, jilid 1, ms. 128. Penulis nukil dari kitab Fikih Thaharah karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi, ms. 340.

[28]             Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 169.

[29]             Hadis riwayat Imam Daruquthni.

[30]             Ibnu Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, jilid 1, ms. 315-316 dan Ibnu Taymiyyah, Syarah al-‘Umdah, jilid 1, ms. 428. Penulis nukil dari buku Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani, Thaharah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam: Tuntunan Bersuci Lengkap, ms. 143.

[31]             Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 342.

[32]             al-Nisaa’ (4) : 29

[33]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 283.

[34]             al-A’laa (87) : 8

[35]             al-Baqarah (2) : 195

[36]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 284.

[37]             Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jilid 1, ms.170.

[38]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Tayammum, no: 338.

[39]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab Bada’ al-Wahyu, hadis no. 1.

[40]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Tayammum, no: 338.

[41]             Hadis mauquf riwayat Imam al-Daruquthni. Menurut al-Albani rahimahullah hadis-hadis yang meriwayatkan dua kali tepukan kesemua terdapat kecacatan dan kelemahan. Berkenaan dengan hadis-hadis tersebut al-Khallal rahimahullah berkata: “Hadis-Hadis itu sangat dha’if dan tidak terdapat di dalam kitab-kitab sunan kecuali hadis Ibnu ‘Umar.” Imam Ahmad rahimahullah pula berkata: “Tidak benar bahawa hadis tersebut berasal daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.”

[42]             Hadis marfu’ adalah hadis yang sanadnya bersambung sehingga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

[43]             مَوْقُوْفُ secara bahasa ertinya yang diberhentikan. Namun begitu menurut istilah ianya bermaksud perkataan atau perbuatan atau taqrir (persetujuan) yang disandarkan kepada seorang sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Riwayat mauquf tidak boleh dijadikan dasar bagi hukum agama kecuali terjadi kesepakatan di antara para sahabat.

[44]             Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 430.

[45]             Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 427.

[46]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Tayammum, no: 338.

[47]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 6

[48]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Tayammum, no: 338.

[49]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Tayammum, no: 347.

[50]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 642.

[51]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Tayammum, no: 341.

[52]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 616-617.

[53]             Diantara hadis-hadisnya adalah:

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Jauhaim yang diantara lafaznya adalah:

Sampai baginda berdiri dan menggosok tembok tersebut dengan tongkatnya, kemudian dia meletakkan kedua tangannya di atas tembok tersebut lalu manyapu wajah dan kedua lengannya, kemudian menjawab salam orang tersebut – Hadis munkar (اَلْمُنْكَرِ) riwayat Imam al-Syafi’i dalam Musnadnya dan Imam al-Baihaqi. Hadis munkar adalah hadis yg diriwayatkan perawi yang dha’if bertentangan dengan riwayat dari perawi yang thiqah.

Hadis daripada ‘‘Ammar bin Yaasir radhiallahu 'anh bahawa suatu ketika terjadilah sesuatu, para sahabat menyapu debu (bertayamum) untuk solat subuh, di saat itu, mereka bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka mereka kembali menepuk debu dengan tapak tangan mereka lalu mereka menyapu tangan mereka semuanya sampai bahu dan ketiak bahagian dalam tangan mereka – Hadis mudhtharib (اَلْمُضْطَرِبُ) riwayat Imam Abu Dawud, Ibnu Majah (564) dan al-Nasa’i di dalam kitab Sunan mereka. Hadis mudhtharib adalah hadis yang diriwayatkan dari jalur yang berbeza-beza serta sama dalam tingkat kekauatannya di mana satu jalur dengan lainnya tidak memungkinkan untuk disatukan atau digabungkan dan tidak memungkinkan pula untuk dipilih salah satu yang terkuat. Hadis mudhtharib termasuk dalam kategori hadis dha’if dan tidak boleh dijadikan hujah dalam menetapkan hukum sesuatu perkara.

[54]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 615.

[55]             Penulis nukil dari kitab tulisan Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam bertajuk Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 430-431.

[56]             al-Maaidah (5) : 6

[57]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Tayammum, no: 347.

[58]             al-Ahzaab (33) :21

[59]             Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 350.

[60]             Penulis nukil dari kitab Fikih Thaharah, ms. 350.

[61]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 115.

[62]             Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 352. Beliau menukil pendapat ini dari kitab al-Raudhah al-Nadiyah, jilid 1, ms. 61.

[63]             Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 352.

[64]             Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 172.

[65]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thoharaah, no: 286.

[66]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 115.

[67]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Tayammum, no: 344.

[68]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Tayammum, no:336.

[69]             Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 176

[70]             al-Taghabun (64) : 16

[71]             al-Hajj (22) : 78

[72]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-I’tishom bi al-Kitab wa al-Sunnah, no:7288.

 

kandungan