Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

BOLEHKAH MENYAPU BALUTAN KETIKA BERWUDUK?

 

Apa yang dimaksudkan dengan al-Jabirah adalah sesuatu yang dijadikan pengikat pada anggota badan yang patah atau tergeliat mahupun balutan kepada anggota yang luka, melecur dan lain-lain bentuk kecederaan dan balutan tersebut diperbuat dari kain, bahan plastik, simen, kayu dan selainnya.

 

Ulamak berbeza pendapat tentang hukum menyapu air di atas balutan yang menyeliputi anggota wuduk yang perlu dibasuh.

 

PENDAPAT PERTAMA: Mereka mewajibkan menyapu di atas balutan tersebut sebagai ganti kepada membasuhnya.

 

PENDAPAT KEDUA: Golongan ini pula berpendapat tidak perlu disapu kerana telah gugur hukum wajib membasuh ke atasnya dalam rangka memberi kemudahan (rukhshah).

 

 

PENDAPAT MEREKA YANG MENSYARI’ATKAN MENYAPU DI ATAS BALUTAN

 

Terdapat beberapa hadis dha’if yang dijadikan hujah bagi mereka yang mewajibkan menyapu di atas balutan ketika berwuduk. Walaupun hadis dha’if tidak boleh dijadikan hujah bagi menetapkan sesuatu hukum, namun ianya mempunyai jalan periwayatan yang banyak sehinggakan ianya saling menguatkan di antara satu sama lain. Menurut Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah:

 

Disyari’atkan menyapu balutan atau benda lainnya yang digunakan untuk mengikat anggota yang sakit berdasarkan hadis yang diterima berkenaan hal tersebut. Walaupun hadis-hadis itu dha’if, tetapi ia mempunyai berbagai sumber yang saling menguatkan antara satu sama lain dan menyebabkannya boleh diterima sebagai dalil.[1]

 

Di antara hadis-hadis tersebut adalah:

 

Daripada Jabir radhiallahu 'anh tentang seorang lelaki yang terluka kepalanya

kemudian dia mandi (janabah) lalu meninggal dunia. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Sesungguhnya dia cukup bertayamum dan mengikat lukanya dengan sepotong kain

kemudian menyapunya dan membasuh sisa badannya yang lain.[2]

 

 

Daripada Ali radhiallahu 'anh, dia berkata:

 

Salah satu bahagian bawah tulang lenganku retak lalu aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

kemudian baginda memerintahku untuk menyapu pembalutnya sahaja.[3]

 

 

Sebuah athar mauquf[4] daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu 'anh:

 

Barangsiapa yang mempunyai luka yang sudah dibalut dengan kain, maka dia berwuduk

dan menyapu balutan tadi dan membasuh daerah sekitar balutan-balutan tersebut[5]

 

 

Terdapat juga ulamak yang menggunakan kaedah qiyas dalam mensyari’atkan menyapu balutan. Menurut Syaikh Ben Bazz rahimahullah hadis-hadis menyapu balutan ini boleh digabungkan dengan hadis-hadis yang membolehkan menyapu khuf bagi menunjukkan dibolehkan menyapu balutan. Sekiranya menyapu khuf dibenarkan bagi mereka yang sihat tentu sekali menyapu balutan bagi mereka yang tercedera adalah lebih patut dibenarkan dalam rangka memberi kemudahan.[6]

 

Menyapu balutan ini memiliki perbezaan berbanding dengan menyapu khuf, serban atau kain tudung wanita:

 

1)      Menyapu balutan boleh digunakan untuk bersuci dari hadas besar dan hadas kecil sedangkan menyapu khuf, serban atau kain tudung wanita hanya untuk bersuci dari hadas kecil.

 

2)      Batas waktu menyapu balutan adalah sehingga luka atau patah itu sembuh sedangkan menyapu khuf dan semisalnya hanya sehari semalam bagi mereka yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi mereka yang bermusafir.

 

3)      Mengusap balutan harus mengenai seluruhnya menurut mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali. Sedangkan menurut Imam Hanafi cukup mengusap sebahagian besar balutannya. Berbeza halnya dengan menyapu khuf, serban dan kain tudung hanya sebahagian sahaja.

 

4)      Tidak disyaratkan untuk kain balutan tersebut suci. Berbeza dengan khuf, serban dan  kain tudung wanita.

 

5)      Menyapu balutan disebabkan kekhuatiran akan menyebabkan kecederaan semakin parah manakala menyapu khuf, serban atau kain tudung wanita boleh dilakukan di dalam keadaan yang sihat. Mengusap atau menyapu khuf, serban atau kain tudung wanita berbentuk pilihan manakala menyapu pembalut luka bersifat terpaksa.[7]

 

Syaikh al-‘Utsaimin rahimahullah pula telah menggariskan beberapa langkah dalam menyucikan anggota wuduk yang tercedera:

 

1)      Luka yang terbuka (tidak dibalut) dan tidak membahayakan jika dibasuh, maka pada keadaan ini dia wajib membasuhnya.

 

2)      Luka yang terbuka tetapi membahayakan jika dibasuh tetapi tidak mengapa jika disapu, maka pada keadaan seperti ini dia wajib menyapunya, tidak wajib membasuhnya.

 

3)      Luka yang terbuka dan membahayakan jika dibasuh dan disapu, maka pada keadaan ini hendaklah dia bertayamum.

 

4)      Luka yang dibalut dengan kain pembalut atau sejenisnya yang diperlukan, maka pada keadaan ini, dia cukup menyapu balutan tersebut tanpa harus membasuhnya untuk berwuduk.

 

Haruslah kita fahami bahawa membuka balutan tersebut setelah seseorang itu menyapunya untuk bersuci tidaklah membatalkan wuduk seseorang kerana dia telah melakukannya secara sempurna sesuai dengan tuntutan syari’ah. Wuduk tersebut hanya terbatal disebabkan perkara-perkara yang membatalkan wuduk menurut hadis-hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang sabit.

 

Demikianlah pendapat serta hukum-hukum berkaitan menyapu balutan bagi ulamak yang mewajibkannya.

 

 

PENDAPAT MEREKA YANG MENOLAK PENSYARI’ATAN MENYAPU DI ATAS BALUTAN

 

Bagi para ulamak yang menolak pensyari’atan menyapu balutan mereka melihat hadis-hadis yang dijadikan hujah oleh mereka yang mewajibkannya kesemuanya memiliki kecacatan yang teruk sehingga tidak boleh saling menguatkan di antara satu sama lain dan tidak boleh dijadikan hujah dalam menetapkan hukum. Oleh itu hukum membasuh bahagian yang dibalut kerana kecederaan itu telah gugur.

 

Menurut Syaikh al-Albani rahimahullah:

 

Hadis-hadis ini -kerana begitu sangat lemahnya- tidak dapat dikuatkan oleh banyaknya jalur periwayatan.[8]

 

Seterusnya Syaikh al-Albani membahaskan secara ringkas kelemahan hadis-hadis tersebut lalu beliau membawa pendapat Imam Ibnu Hazm rahimahullah:

Oleh sebab itu, Ibnu Hazm memilih tidak disyari’atkan menyapu pembalut. Beliau berkata:

 

Dalilnya adalah firman Allah:

 

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.[9]

 

 

Dan Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

 

… dan jika aku menyuruh kamu melakukan sesuatu maka lakukanlah sesuai dengan kemampuanmu.[10]

 

 

Maka berdasarkan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah ini, gugurlah semua perbuatan yang seseorang tidak mampu melakukannya, sedangkan kompensasi harus sesuai dengan syari’at dan syari’at hanya ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah, padahal baik al-Qur’an mahupun al-Sunnah tidak mengganti membasuh anggota yang tidak mampu dibasuh dengan mengusap pembalut dan ubat. Dengan ini gugurlah pendapat di atas (yakni wajib menyapu balutan).[11]

 

Menurut Syaikh al-Albani rahimahullah inilah pendapat yang yang lebih menepati kebenaran dan penulis juga lebih cenderung kepada pendapat ini kerana ianya lebih mencerminkan kemudahan dalam bersuci sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

…(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan,

dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…[12]

 

 


 

[1]               Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 174.

[2]               Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 284. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani di dalam Bulughul Maram, no: 115 sanadnya dha’if dan juga didha’ifkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Dha’if Abu Dawud, no: 236.

[3]               Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah wa Sunanuha, no: 649. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani di dalam Bulughul Maram, no: 114 sanadnya dha’if dan juga didha’ifkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Tamamul Minnah, jilid 1, ms. 155-156.

[4]               مَوْقُوْفُ secara bahasa ertinya yang diberhentikan. Namun begitu menurut istilah ianya bermaksud perkataan atau perbuatan atau taqrir (persetujuan) yang disandarkan kepada seorang sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Riwayat mauquf tidak boleh dijadikan dasar bagi hukum agama kecuali terjadi kesepakatan di antara para sahabat. Riwayat mauquf boleh dihukumkan مَرْفوْعُ marfu’ (sanadnya bersambung sehingga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam) apabila perkataan para sahabat itu disandarkan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ataupun ianya mempunyai dasarnya dari agama dan bukan hasil ijtihad sendiri dari seorang sahabat.

[5]               Hadis riwayat Imam Ibnu Abi Syaibah dan al-Baihaqi. Menurut Imam Ibnu Hazm rahimahullah:

Perihal athar Ibnu ‘Umar yang lalu bahawa ini hanya perbuatan dari Ibnu ‘Umar sendiri. Ini bukan jawapan (hujah) bagi menyapu pembalut. Telah juga diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar bahawa beliau memasukkan air ke dalam kedua matanya ketika berwuduk dan mandi, dan itu tidak disyari’atkan apalagi diwajibkan (Tamaamul Minnah, jilid 1, ms 157)

[6]               Apa yang perlu diperhatikan qiyas hanya boleh dilakukan apabila suatu yang far’u (cabang) iaitu peristiwa yang tidak ada nas akan hukumnya (dalam hal ini menyapu balutan) disamakan dengan ashal (pokok) iaitu suatu peristiwa yang sudah ada nas tentang hukumnya (dalam hal ini menyapu khuf) yang jelas (hukum ashal). Apabila far’u dan ashal memiliki ‘illat yang sama iaitu suatu sifat yang terdapat pada kedua-dua ashal dan far’u barulah qiyas dapat dilakukan. Ternyata menyapu khuf dan balutan mempunyai struktur hukum yang berbeza. Menyapu khuf adalah satu perkara yang optional (berbentuk pilihan) manakala hukum menyapu balutan menurut jumhur ulamak adalah wajib. Oleh itu tidak boleh kita menqiyaskan menyapu balutan dengan hadis-hadis menyapu khuf.

[7]               Penulis gabungkan pendapat Syaikh Abdullah al-Bassam di dalam Syarah Bulughul Maram dan Dr. Yusuf Qaradhawi di dalam Fikih Thaharah.

[8]               Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, jilid 1, ms. 155.

[9]               Al-Baqarah (2) : 286

[10]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab  al-‘Itishom bil Kitab was Sunnah, no: 7288.

[11]             Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, jilid 1, ms. 157.

[12]             al-Baqarah (2) : 185

 

kandungan