Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

BOLEHKAH MENYAPU PENUTUP KEPALA?

 

Terdapat beberapa penutup kepala yang lazimnya dipakai oleh umat Islam di Malaysia. Di dalam risalah ini penulis akan membincangkan tiga jenis penutup kepala iaitu:-

 

1)      Serban (اَلْعِمَامَةِ atau  (اَلْخِمَارِ

2)      Kain tudung wanita

3)      Kopiah atau Ketayap

 

Apakah boleh menyapu ketiga-tiga jenis penutup kepala di atas sebagai pengganti menyapu kepala ketika berwuduk? Insya-Allah penulis akan membincangkannya satu-persatu.

 

 

HUKUM MENYAPU SERBAN

 

Ulamak berbeza pendapat tentang menyapu serban. Ada yang membenarkannya dan ada yang melarangnya. Namun pendapat yang lebih tepat adalah diperbolehkan menyapu serban sebagai menggantikan menyapu kepala ketika berwuduk. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

 

Di antara mereka yang menyatakan boleh (iaitu menyapu serban) adalah Abu Bakar, ‘Umar bin al-Khaththab, Anas dan Abu Umamah. Sebagaimana pandangan ini juga diriwayatkan dari Sa’ad bin Malik (Ibnu Abi Waqqash) dan Abu al-Darda’. Pendapat ini juga merupakan pendapat ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz, al-Hassan, Makhul, Qatadah Ibnul Mundzir dan yang lainnya. Pendapat ini juga merupakan pendapat fuqaha’ dari pelbagai wilayah yang antaranya al-Awza’i (dalam sebuah riwayat darinya), juga Ahmad, Ishaq, Abu Tsaur, Dawud, al-Thabarani dan Ibnu Khuzaimah.[1]

 

Dalil yang dijadikan hujah bagi mereka adalah hadis daripada ‘Amr bin Umayyah al-Dhamiri, dia berkata:

 

 

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ عَلَى عِمَامَتِهِ وَخُفَّيْهِ.

 

Aku melihat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sedang mengusap khuf dan serbannya.[2]

 

 

Daripada Bilal, dia berkata:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَسَحَ عَلَى الْخُفَّيْنِ وَالْخِمَارِ.

 

Bahawa Rasulullah mengusap khuf dan khimarnya.[3]

 

 

Namun begitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam al-Syafi’i rahimahumullah berpendapat tidak memadai sekadar menyapu serban sahaja  tetapi hendaklah disapu juga bahagian depan (ubun-ubun) kepala. Malah bagi mereka menyapu ubun-ubun itu wajib sedangkan menyapu serban hanya sekadar tambahan (sunat). Mereka berpegang kepada hadis mengusap sebahagian kepala ketika berwuduk yang datang daripada Mughirah bin Syu’bah:

 

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ فَمَسَحَ بِنَاصِيَتِهِ وَعَلَى الْعِمَامَةِ وَعَلَى الْخُفَّيْنِ.

 

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berwuduk dan menyapu ubun-ubunnya dan juga di atas serbannya serta di atas khuf.[4]

 

 

Menerusi hadis di atas ada ulamak yang berpendapat bahawa disunatkan menyapu bahagian kepala yang tidak tertutup dengan serban dan setelah itu bolehlah disapu ke atas seluruh atau sebahagian besar serban. Syaikh al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:

 

Seseorang boleh manyapu semua atau sebahagian besar daripadanya (yakni serban) dan disunatkan pula menyapu bahagian kepala yang kelihatan seperti ubun-ubun dan bahgian tepi kepala dan telinga.[5]

 

Ternyata kesemua pendapat di atas didirikan berdasar hujah yang sahih. Maka bolehlah diamalkan mana-mana pendapat yang dianggap lebih tepat dan sesuai dengan suasana di Malaysia. Sedangkan pendapat ulamak yang melarang menyapu serban adalah pendapat yang lemah tanpa dalil yang sabit daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

 

 

MENYAPU KAIN TUDUNG KEPALA WANITA

 

Para ulamak juga berbeza pendapat tentang hukum menyapu tudung kepala bagi para wanita. Namun begitu haruslah kita fahami bahawa keizinan Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk menyapu khuf, stoking dan serban adalah bertujuan untuk memberi rukhshah (kemudahan) demi menghindari kesulitan. Ternyata sebagaimana sulitnya bagi pihak lelaki untuk membuka serbannya, ia juga menyulitkan bagi pihak wanita untuk menanggalkan tudung kepala setiap kali hendak berwuduk. Maka para ulamak mengqiyaskan hukum menyapu kain tudung kepala ketika berwuduk sama seperti menyapu serban. Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:

 

Kes yang sama dengan khuf adalah serban dan kain tudung kepala wanita menurut ulamak yang memperbolehkan menyapu kedua jenis (penutup kepala) tersebut. Pendapat yang kuat adalah membolehkannya.[6]

 

Menurut Syaikh al-‘Utsaimin rahimahullah:

 

Adapun untuk para wanita, mereka dibolehkan mengusap kain tudung kepala mereka menurut pendapat yang masyhur dari mazhab Imam Ahmad apabila kain tudungnya itu menutupi hingga ke bahagian bawah lehernya, kerana yang demikian itu telah dilakukan oleh sebahagian sahabat perempuan radhiallahu 'anhum.[7]

 

Sebagaimana disunatkan mengusap di bahagian depan kepala (ubun-ubun) ketika menyapu serban, maka ada juga ulamak yang menganjurkan untuk menyapu sedikit dari rambut sebelum menyapu tudung kepala. Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah berkata:

 

Jika seorang wanita mengkhuatirkan hawa dingin dan keadaan lain yang serupa, dia boleh menyapu kain tutup kepalanya. Sesungguhnya Ummu Salamah radhiallahu 'anha pernah mengusap kain tudung kepalanya. Sebaiknya, selain mengusap kain tudung kepalanya, dia juga menyapu sedikit rambutnya. Tetapi jika dia tidak terdesak untuk melakukannya (untuk menyapu kain tudung kepala), maka tentang persoalan ini terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulamak.[8]

 

Antara manhaj Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam membuat pilihan ketika memberi pandangan adalah sebagaimana yang dikhabarkan oleh Umm al-Mukminun ‘Aishah radhiallahu 'anha:

 

مَا خُيِّرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَمْرَيْنِ إِلَّا اخْتَارَ أَيْسَرَهُمَا مَا لَمْ يَأْثَمْ

 

Tidaklah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam jika diberi dua pilihan kecuali

baginda memilih yang paling mudah di antaranya selagi tidak mengandungi dosa.[9]

 

 

Semoga kemudahan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala anugerahkan akan menjadi pilihan kita kerana mustahil apa yang datangnya daripada Allah dan Rasul-Nya serta menjadi amalan para sahabat Nabi radhiallahu 'anhum mengandungi unsur-unsur dosa. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala hanya menginginkan kemudahan kepada hamba-hamba-Nya dan tidak mahu memberati kita semua. Ini sebagaimana Firman-Nya:

 

…(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan,

dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…[10]

 

 

 

MENYAPU KOPIAH ATAU KETAYAP

 

Hendaklah kita fahami bahawa hukum asal yang wajib dalam berwuduk adalah menyapu kepala. Namun begitu syarak membenarkan ianya diganti dengan menyapu serban mahupun kain tudung kepala wanita kerana terdapat unsur kesukaran jika membukanya. Oleh itu apa jua yang dipakai di atas kepala dan menyukarkan pemakai untuk membukanya maka diperbolehkan untuk menyapunya. Atas dasar ini ada di kalangan para ulamak yang membenarkan penyapuan dilakukan pada topi yang dipakai di musim dingin. Namun begitu dalam konteks memakai kopiah atau ketayap kesukaran tersebut tidak wujud. Maka jumhur ulamak tidak membenarkan menyapu kopiah, ketayap, songkok, tarbus (topi ala Mesir) dan lain-lain penutup kepala yang tidak menyulitkan untuk memakai serta membukanya. Menurut Syaikh al-‘Utsamin rahimahullah:

 

Ada pun Simagh (penutup kepala yang biasa dipakai orang Arab) atau peci (kopiah, ketayap atau songkok) sama sekali tidak termasuk dalam kriteria serban yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

 

Yang jelas apabila tarbus itu tidak sulit untuk melepasnya, maka tidak boleh menyapu di atasnya. Kerana ia sama dengan peci atau kopiah dari beberapa segi. Hukum asal, adalah wajib menyapu kepala sehingga jelas bagi seseorang bahawa sesuatu yang dikenakannya itu boleh disapu di atasnya.[11]

 

Namun begitu terdapat juga ulamak yang membenarkannya seperti Ibnu Hazm dan Ibnu Taymiyyah rahimahumallah dengan mengqiyaskannya kepada al-‘Imaamah atau serban. Mereka berpendapat bahawa dalam menyapu kepala ketika berwuduk adalah tidak wajib untuk air tersebut menyentuh kulit kepala. Yang terkena hanyalah rambut dan bukan kepala. Rambut posisinya sama dengan penghalang kepada kepala. Oleh itu apa sahaja yang dipakai di atas kepala maka dibenarkan untuk menyapunya walaupun tidak wujud kesukaran untuk melepas dan membukanya.

 

Apa yang lebih patut kita ikuti adalah hukum asal dalam berwuduk yakni diwajibkan menyapu kepala sekiranya tidak ada kesukaran yang dihadapi dalam perlaksanaannya. Wallahu A’lam.

 

 

 

 

[1]               Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 279.

[2]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 205.

[3]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 275.

[4]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 274.

[5]               Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dan Fahd bin Abdur Rahman al-Syuwayyib, Beginilah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Berwuduk, ms. 125. Ini juga merupakan pendapat Syaikh Ben Bazz rahimahullah ketika mengomentar kitab Fathul Baari seperti yang telah dikemukakan ketika membicara tentang tatacara Nabi menyapu kepalanya dalam berwuduk.

[6]               Syaikh ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, jilid 1, ms. 283.

[7]               Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dan Fahd bin Abdur Rahman al-Syuwayyib, Beginilah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Berwuduk, ms. 125.

[8]               Ibnu Taymiyyah, Majmu al-Fatawa, jilid 21, ms. 218. Penulis nukil daripada kitab Shahih Fiqih Sunnah karya Syaikh Abu Malik Kamal Ibnu Sayyid Salim, jilid 1, ms 239.

[9]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Hudud, hadis no. 6786.

[10]             al-Baqarah (2) : 185

[11]             Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dan Fahd bin Abdur Rahman al-Syuwayyib, Beginilah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Berwuduk, ms. 125-126.

 

kandungan