Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

BOLEHKAH MENYAPU JAURAB (STOKING)?

 

Sebagaimana yang telah penulis bahas sebelum ini telah sepakat di kalangan ulamak Ahlus Sunnah wal Jamaah tentang pensyari’atan menyapu khuf atau kasut sebagai pengganti membasuh kaki ketika berwuduk. Namun begitu mungkin ramai yang belum terdedah dengan hukum-hakam disebalik menyapu jaurab. Apakah itu jaurab?

 

اَلْجَوْرَبَ adalah sesuatu yang dipakai oleh seseorang pada kedua kakinya baik yang diperbuat dari bahan kapas, wol, bahan sintetik, polyster dan lain-lain lagi. Jaurab yang lazimnya dipakai di Malaysia adalah stoking.

 

Ulamak berbeza pendapat tentang hukum menyapu jaurab dan ianya terbahagi kepada tiga pendapat.

 

PENDAPAT PERTAMA: Boleh menyapu jaurab sebagaimana menyapu khuf secara mutlak. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

 

Ibnu Mundzir berkata kebolehan mengusap jaurab ini diriwayatkan daripada sembilan sahabat Rasulullah; ‘Ali, ‘‘Ammar, Ibnu Mas’ud, Anas, Ibnu ‘Umar, al-Bara’, Bilal, Ibnu Abi Awfa dan Sahl bin Sa’ad. Abu Dawud menambahkan; ‘Amar bin Huraits. Dia berkata; diriwayatkan dari ‘Umar dan Ibnu ‘Abbas. Inilah juga pendapat Atha’, al-Hassan, Said bin al-Musayyab, al-Thawri, Ibnul Mubarak, Ishaq, Ya’qub dan Muhammad.[1]

 

Syaikh Kamal bin as-Sayyid Salim pula berkata:

 

Ini juga merupakan pendapat Ibnu Hazm, Ibnu Taymiyyah dan dipilih oleh Ibnu ‘Utsaimin serta al-Syinqithi dan inilah pendapat yang kuat.[2]

 

 

PENDAPAT KEDUA: Boleh menyapu jaurab tetapi ianya harus tebal dan menutupi anggota wuduk. Ini merupakan pendapat al-Hassan, Ibnul Musayyib, Ahmad dan para fuqaha mazhab Hanafi, Syafi’i dan Hanbali.

 

 

PENDAPAT KETIGA: Tidak boleh menyapu jaurab secara mutlak. Ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam al-Syafi’i rahimahumullah. Menurut mereka jaurab adalah berbeza dengan khuf maka tidak boleh menyamakan hukum menyapu jaurab dengan khuf. Bagi mereka tidak ada hadis yang mengkhabarkan tentang menyapu jaurab.

 

Bagi ulamak yang membolehkan menyapu jaurab mereka berdalilkan kepada sebuah hadis dari al-Mughirah bin Syu’bah radhiallahu 'anh:

 

Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berwuduk dan menyapu kedua jaurabnya dan sandalnya.[3]

 

Mereka juga berpendapat bahawa jaurab dan khuf adalah sama kerana kedua-duanya ada sesuatu yang dipakai serta menutupi kaki. Dari al-Azraq bin Qais, dia berkata:

 

“Aku pernah melihat Anas bin Malik (radhiallahu 'anh) berhadas maka dia membasuh mukanya,

dua tangan (yakni berwuduk) dan menyapu dua jaurab kakinya yang diperbuat dari kain benang bulu.

Aku bertanya: Engkau mengusapnya?” Dia (Anas) menjawab:

“Keduanya adalah khuf, hanya sahaja diperbuat dari wol.”[4]

 

 

Setelah membawa pendapat ulamak berkaitan menyapu jaurab, Dr. Yusuf Qaradhawi lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkan menyapu jaurab secara mutlak. Beliau berkata:

 

Pada pandangan saya pendapat yang paling kuat adalah memberi kelapangan dan kemudahan dalam masalah ini. Sebab tujuan disyari’atkan menyapu kedua khuf dan kedua jaurab adalah memberi keringanan, kemudahan dan kelapangan kepada manusia…

 

Walaupun kebanyakan jaurab pada masa kini nipis, namun ianya kuat dan bukan menjadi suatu kemestian bahawa jaurab itu boleh dipakai untuk berjalan di atas tanah. Sebab umumnya manusia tidak berjalan hanya dengan menggunakan jaurab. Sebab mereka sentiasa memakainya bersama kasut.

 

Cukuplah bagi kita dalil bahawa sekian banyak sahabat Rasulullah –sebahagian menghitung jumlah mereka sehingga mencapai lapan belas orang- memfatwakan kebolehan menyapu jaurab. Satu hal yang tidak boleh disangkal bahawa bahan dan bentuk jaurab senantiasa berkembang sesuai dengan perkembangan zaman. Walaupun dengan perbezaan ini janganlah sampai ianya menghapuskan keringanan yang Rasulullah berikan kepada kita.[5]

 

 

Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah pula menambah:

 

Seperti halnya jaurab, boleh juga menyapu segala apa yang menutupi kedua kaki, seperti pembalut dan lain-lain, yakni apa jua yang dibalutkan kepada kaki kerana kedinginan atau takut melecet atau kerana luka dan sebagainya.[6]

 

 

Bagaimana pula bagi seseorang yang telah berwuduk dengan menyapu jaurab (stoking), lalu cuaca menjadi dingin sehingga memerlukannya untuk memakai satu lagi stoking di atas stoking yang awal tadi lalu dia berhadas dan ingin berwuduk semula, stoking mana yang perlu di sapu? Jawapan yang akan diberikan adalah dengan memberi beberapa situasi memakai dua pasang stoking secara umum agar perbahasannya lebih menyeluruh:[7]

 

SITUASI 1: Sekiranya dia berwuduk lalu memakai dua pasang stoking, maka apabila dia berhadas dan hendak berwuduk semula, dibenarkan baginya untuk mengusap stoking yang paling atas dari kedua stoking yang dipakai tersebut. Ini merupakan pendapat mazhab Hanafi, yang kuat menurut mazhab Maliki, Hanbali dan Syafi’i dan pendapat lamanya (qaul qadiim).

 

SITUASI 2: Setelah dia berwuduk lalu dia memakai dua pasang stoking dan di ketika yang lain setelah dia berhadas dia telah mengusap stoking pada bahagian atas sekali. Setelah itu dia membuka stoking pada bahagian atas dan memakai hanya sepasang sahaja, maka diperbolehkan baginya sekira berhadas untuk menyapu stoking yang berada di bahagian bawah tadi.

 

SITUASI 3: Sekiranya telah berwuduk dan memakai sepasang stoking, tidak berapa lama setelah itu dia memakai sepasang lagi stoking di atas yang pertama tadi sebelum berhadas, maka dia dibenarkan mengusap stoking yang mana sahaja yang mudah baginya.

 

SITUASI 4: Jika dia telah berwuduk dan memakai stoking lalu mengusapnya,. Setelah itu dia memakai sepasang lagi stoking sedangkan pada masa itu dia masih suci dari hadas. Maka sah baginya mengusap stoking yang berada di atas kerana dia memakai stoking ke dua dalam keadaan kakinya suci.

 

SITUASI 5: Namun apabila dia telah berhadas kemudian dia memakai stoking keduanya maka dia tidak boleh mengusap stoking yang berada di atas, melainkan dia perlu membuka stoking ke dua lalu mengusap stoking yang pertama dia pakai. Setelah itu dia pakai semula stoking kedua dan jika dia berhadas semula maka kini boleh baginya untuk menyapu stoking pada bahagian atas.

 

 

KESIMPULAN

 

Oleh itu sekiranya seseorang itu memakai stoking dalam keadaan suci dari hadas besar mahupun kecil maka sekiranya dia ingin berwuduk semula pada ketika yang lain, maka diperbolehkan baginya untuk menyapu di atas stoking tersebut sebagai gantian kepada membasuh kedua kaki. Hukumnya adalah sama sebagaimana menyapu khuf. Inilah kemudahan yang Allah 'Azza wa Jalla kurniakan kepada hamba-hamba-Nya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala berkaitan dengan berwuduk:

 

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan),

tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu,

supaya kamu bersyukur.[8]

 

  

 

 

[1]               Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 273.

[2]               Abu Malik Kamal ibnu Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah , jilid 1, ms. 234-235.

[3]               Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 92.

[4]               Riwayat ini dinukil dari buku Shahih Fiqih Sunnah karya Syaikh Abu Malik Kamal ibnu Sayyid Salim, jilid 1, ms. 235. Menurut beliau hadis ini disahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir, Riwayat al-Dulabi dalam al-Kuni (1/181).

[5]               Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 273.

[6]               Syaikh Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 1, ms. 131.

[7]               Penulis ringkaskan dari kitab Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 236

[8]               Al-Maaidah (5) : 6

 

kandungan