Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

PERLUKAH BERWUDUK UNTUK TAWAF DI SEKELILING KA’ABAH?

 

Bagi mereka yang mengerjakan ibadah haji mahupun umrah mereka pasti akan melakukan tawaf di sekeliling Ka’abah yang merupakan salah satu rukun bagi ibadah tersebut sebagaimana yang telah diperintah oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui Rasul-Nya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

… dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu".[1]

 

Telah terjadi perdebatan di kalangan para ulamak samada wajibkah berwuduk untuk melakukan tawaf ataupun ianya hanyalah berbentuk satu anjuran.

 

 

PENDAPAT PERTAMA : Wajib berwuduk ketika hendak tawaf mengelilingi Ka’abah. Kelompok ini berhujahkan kepada hadis-hadis di bawah:

 

Daripada Ibnu ‘Abbas bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berkata:

Tawaf mengelilingi Ka’abah adalah sama seperti perbuatan solat, hanya sahaja dibenarkan berbicara di dalamnya,

bagi sesiapa yang berbicara di dalamnya maka janganlah berbicara kecuali perkara yang baik-baik.[2]

 

 

Hadis yang pertama menunjukkan ibadah tawaf adalah menyamai ibadah solat maka bagi sesiapa yang ingin mengerjakannya hendaklah dia berwuduk kerana ia termasuk dalam ibadah yang baginya seseorang bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata:

 

Kami keluar (mengerjakan haji) bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Tidaklah ada apa yang kami fikirkan melainkan ibadah haji. Ketika kami tiba di Sarif aku kedatangan haid.

Lalu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam masuk menemuiku dan aku sedang menangis. Maka baginda bertanya:

“Apakah yang menyebabkan kau menangis?”

Aku menjawab: “Aku inginkan sekiranya aku tidak berhaji tahun ini”

Baginda bertanya: “Apakah engkau sedang bernifas (berhaid)?”

Aku menjawab: “Ya!” Baginda bersabda:

 

Sesungguhnya ia adalah sesuatu yang telah Allah tentukan untuk anak-anak perempuan Adam,

oleh itu kerjakanlah setiap yang dikerjakan oleh orang yang sedang menunaikan ibadah haji selain tawaf di bait (Kaabah)

sehinggalah engkau di dalam keadaan suci.[3]

 

 

Hadis kedua ini pula menunjukkan pula seseorang itu perlu suci dari hadas besar sebelum mengerjakan ibadah tawaf sebagaimana solat.

 

Menurut ‘Aisyah radhiallahu 'anha

 

Bahawa ketika Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sampai ke Makkah,

pertama kali yang baginda lakukan adalah berwuduk kemudian melakukan tawaf.[4]

 

 

Hadis ini lalu digabungkan dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam agar mengambil tatacara perlaksanaan ibadah haji daripada baginda menunjukkan wajibnya untuk berwuduk sebelum melakukan tawaf.

 

Pendapat yang menyatakan wajibnya berwuduk ketika hendak tawaf mengelilingi Ka’abah merupakan pegangan bagi jumhur (majoriti) ulamak.

 

 

PENDAPAT KEDUA: Tidak wajib berwuduk ketika hendak melakukan tawaf mengelilingi Ka’abah. Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah berkata di dalam kitab Majmu Fatawa (jilid 26, ms. 298):

 

Sudah jelas menurutku bahawa bersuci dari hadas (kecil) tidak disyaratkan pada waktu tawaf dan tidak diwajibkan melainkan dianjurkan bersuci dari hadas kecil (iaitu dengan berwuduk) kerana dalil-dalil syar’i menunjukkan tidak diwajibkan padanya. Di dalam syari’at juga tidak ada dalil yang mewajibkan untuk bersuci dari hadas kecil pada waktu tawaf.[5]

 

Hujah kelompok ini adalah seperti berikut:

 

1)                  Tidak ada hadis yang shahih menunjukkan wajibnya berwuduk ketika hendak tawaf. Mereka menyatakan hadis Ibnu ‘Abbas itu sebenarnya berstatus mauquf yakni hanyalah perkataan Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh. Di antara ulamak yang berpandangan sedemikian rupa adalah Imam al-Tirmidzi, al-Baihaqi, Ibnu Taymiyyah dan al-Hafidz Ibnu Hajar.

 

2)                  Sekiranya hadis tersebut marfu’ atau shahih, tawaf dan solat merupakan dua ibadah yang sama sekali berbeza dan mempunyai struktur hukum yang tersendiri. Solat sebagaimana yang disabdakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah:

 

Kunci solat adalah bersuci (wuduk) dan permulaan pengharamannya (melakukan perbuatan-perbuatan selain dari

yang disyari’atkan dalam solat) adalah takbiratul ihram serta penghalalannya adalah salam.[6]

 

Sedangkan tawaf tidak ada takbiratul ihram pada awalnya dan tidak juga diakhiri dengan salam.

 

3)                   Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hanya mewajibkan wuduk ketika hendak solat sahaja.

 

Daripada Ibnu ‘Abbas bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menuju tempat pembuangan air

atau beliau makan dalam keadaan berhadas maka diingatkan kepada baginda tentang berwuduk.

Jawab baginda: Sekiranya aku hendak bersolat maka aku berwuduk.[7]

 

4)                  Manakala hadis ‘Aisyah radhiallahu 'anha hanya menunjukkan wanita yang sedang haid tidak dibenarkan untuk melakukan tawaf. Sebagaimana yang telah kita sedia maklum bahawa telah sepakat Imam-Imam mazhab yang empat bahawa dilarang untuk tawaf bagi mereka yang sedang haid dan junub.

 

5)                  Berkaitan dengan hadis ‘Aisyah radhiallahu 'anha  yang berbunyi “pertama kali yang baginda lakukan adalah berwuduk kemudian melakukan tawaf. Ianya merupakan pendalilan yang tidak begitu tepat kerana ia tidak menyebut secara pasti baginda berwuduk kerana tawaf. Mungkin sahaja baginda berwuduk kerana ingin melakukan solat sunat tawaf.[8]

 

Berkenaan hukum berwuduk sebelum tawaf Syaikh Kamal as-Sayyid Salim berkata:

 

Kami tidak menemukan dalil yang shahih yang mengharuskan berwuduk bagi orang yang tawaf, jumlah kaum Muslimin yang melaksanakan tawaf pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak terhitung jumlahnya sementara tidak ada keterangan yang menyatakan bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan salah seorang daripada mereka untuk berwuduk ketika hendak melakukan tawaf, padahal kemungkinan di antara mereka ada yang batal wuduknya ketika melaksanakan tawaf, atau kebanyakan dari mereka memulai tawaf tanpa wuduk khususnya pada saat hari yang sangat penuh sesak seperti semasa thawaf qudum dan ifadhah. Dengan tidak adanya dalil yang mewajibkan wuduk untuk orang yang tawaf dan tidak ada ijmak ulamak mengenai hal itu padahal ianya diperlukan, maka menunjukkan tidak wajibnya wuduk bagi orang yang melakukan tawaf.[9]

 

 

KESIMPULAN

 

Bukanlah menjadi satu perkara yang tersembunyi bagi sekalian penuntut ilmu bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sentiasa berusaha untuk menyucikan dirinya dari hadas (yakni dengan berwuduk) sekiranya baginda ingin menyebut nama Allah 'Azza wa Jalla.

 

Daripada Muhajir bin Qunfaz, sesungguhnya beliau pernah datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam

dan baginda sedang membuang air kecil, lalu dia memberi salam kepada baginda,

akan tetapi baginda tidak menjawabnya sehinggalah baginda berwuduk.

Kemudian baginda meminta keuzuran (beralasan) dan kemudian bersabda:

 Sesungguhnya aku tidak suka menyebut Nama Allah kecuali di dalam keadaan suci (tidak berhadas).[10]

 

Begitu juga tidak tersembunyi bagi sekalian penuntut ilmu bahawa ibadah tawaf dihiasi dengan zikir-zikir, doa-doa dan juga bacaan-bacaan ayat al-Qur’an.[11]

 

Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Diadakan tawaf di Ka’abah, sa’i antara Shafa dan Marwah

dan melempar di jumrah-jumrah itu tiada lain hanyalah untuk membangkitkan zikir kepada Allah.[12]

 

 

Oleh itu sewajarnya bagi mereka yang ingin mengerjakan ibadah tawaf untuk berwuduk sebelum mengerjakannya dalam rangka untuk mencapai kesempurnaan dalam beribadah walaupun mereka cenderung kepada pendapat yang tidak mewajibkannya. Wallahu A’lam.

 


 

[1]  al-Hajj (22) : 29

[2]               Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Hajj, no: 883.

[3]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Hajj, No: 1211.

[4]               Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Hajj, no: 1642.

[5]               Dinukil dari Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 218.

[6]               Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 3.

[7]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Haidh, No: 374.

[8]               Dalil menujukkan disyari’atkan solat sunat Tawaf adalah sebuah hadis daripada Ibnu ‘Umar r.a, dia berkata:

 

قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَطَافَ بِالْبَيْتِ سَبْعًا ثُمَّ صَلَّى خَلْفَ الْمَقَامِ رَكْعَتَيْنِ وَطَافَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ. وَقَالَ: لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ إِسْوَةٌ حَسَنَةٌ.

 

Rasulullah s.a.w. datang dan thawaf di ka’abah sebanyak tujuh kali lalu solat dua rakaat di belakang makam Ibrahim kemudian sa’i di antara Shafa dan Marwah. Lalu dia (Ibnu ‘Umar) berkata: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.(al-Ahzaab (33) : 21) – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Hajj, no: 1623.

 

[9]               Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 217.

[10]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 16.

[11]             Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:

Disunatkan pula memperbanyakkan zikir dan doa dengan memilih mana-mana yang dirasanya baik tanpa mengikat diri dengan sesuatu doa tertentu atau mengikuti apa yang diajarkan oleh muthawwif (mereka yang menjadi petunjuk tawaf). Dalam hal ini tidak ada bentuk zikir tertentu yang diwajibkan oleh syarak. Mengenai pendapat sesetengah pihak tentang doa dan zikir tertentu yang diharuskan bagi putaran pertama, kemudian kedua, ketiga dan seterusnya, maka ianya tidak berdasar dan tidak dihafalkan daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (tidak berdasarkan hadis-hadis baginda). Maka orang yang tawaf boleh berdoa apa sahaja yang dirasai baik, berupa kepentingan dunia dan akhirat, buat diri dan kaum keluarganya. – Syaikh Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jilid 5, ms. 135.

Seterusnya di dalam kitab Fikih Sunnah, Syaikh Sayyid Sabiq membawa beberapa zikir-zikir serta doa daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang diamalkan secara umum tanpa batasan menurut putaran yang tertentu. Sewajarnya peringatan Syaikh Sayyid Sabiq ini diberi perhatian bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah haji mahupun umrah.

[12]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Manasik, no: 1612

 

kandungan