Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

PERLUKAH BERWUDUK UNTUK MEMEGANG  DAN MEMBACA AL-QUR’AN?

 

Lazimnya rata-rata umat Islam berpendapat bahawa wajib untuk kita suci dari hadas kecil (yakni dengan berwuduk) mahupun hadas besar (yakni dengan mandi wajib) sebelum memegang atau membaca al-Qur’an. Ini juga merupakan pandangan yang dipegang oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah serta ketiga-tiga Imam mazhab yang lain dan jumhur (majoriti) para ulamak.

 

 

DALIL YANG DIGUNAKAN UNTUK MEWAJIBKAN BERWUDUK SERTA BANTAHAN TERHADAPNYA

 

Dalil yang paling utama dipergunakan untuk mewajibkan berwuduk dan juga menyucikan diri dari hadas besar ketika hendak memegang al-Qur’an adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia,

(yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang disucikan;

Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.[1]

 

 

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala ini sebenarnya menunjukkan bahawa al-Qur’an itu dipelihara oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala di Lauh Mahfuz sebelum diturunkan kepada umat manusia yang hanya boleh disentuh oleh para malaikat. Pendapat ini lebih sesuai menurut balagah (gaya bahasa) al-Qur’an kerana dhamir hu di dalam (la yamassuhu) merujuk kepada (Kitabin Maknun) yakni bermaksud di langit di Lauh Mahfuz dan bukan al-Qur’an. Inilah tafsiran Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh. Mari kita lihat beberapa komentar para ulamak berkaitan ayat di atas.

 

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi:

 

Makna nash al-Qur’an tadi adalah bahawa Allah telah menjaga al-Qur’an itu di dalam Lauh Mahfuz di sisi-Nya. Yang tidak disentuh atau dipegang oleh sesiApapun kecuali para malaikat yang Allah sucikan dan dekat kepada Allah yang tidak mungkin disentuh oleh syaitan.

 

Dan tidak layak bagi syaitan-syaitan itu berbuat demikian, dan mereka juga tidak akan dapat melakukannya.

Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu (al-Qur’an) yang dibawa oleh Malaikat.[2]

 

 

Yang menguatkan pendapat ini adalah bahawa Allah Ta’ala berfirman al-Muthahharun yang bermaksud makhluk-makhluk yang disucikan dan tidak menyatakan al-Mutathahhirin iaitu orang-orang yang membersihkan diri sebagaimana yang kebiasaannya disebutkan untuk manusia, sebagaimana yang Allah firmankan tentang manusia:

 

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat,

dan mengasihi orang-orang yang sentiasa membersihkan diri.[3]

 

Dengan demikian, tidak ada petunjuk yang kuat di dalam ayat tersebut bagi larangan menyentuh al-Qur’an (bagi yang tidak berwuduk).[4]

 

Seterusnya penulis akan membawa pendapat dua orang ulamak yang berpendapat wajib berwuduk sebelum memegang al-Qur’an namun mereka menolak penggunaan surah al-Waqi’ah di atas sebagai dalilnya.

 

Menurut Syaikh al-‘Utsaimin rahimahullah:

 

Maksud dari Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang disucikan”, Kitabin Maknun itu bermaksud Lauhul Mahfuz, dan al-Muthahharun bermakna para malaikat. Sekiranya ayat itu adalah tentang bersuci tentulah bunyinya Muthahhirun atau Muthathahhirun sehingga tidak boleh menyatakan dilarang menyentuh al-Qur’an kecuali dia suci (dari hadas) dengan dalil ayat tersebut…[5]

 

Syaikh Shalih Fauzan pula berkata:

 

…ayat ini “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang disucikan” bukan dalilnya (yang mewajibkan berwuduk ketika menyentuh al-Qur’an), akan tetapi yang dimaksudkan adalah kitab yang terpelihara (Kitabin Maknun) iaitu di Lauhul Mahfuz, dan yang dimaksudkan dengan al-Muthahharun adalah para malaikat. Sekiranya yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang-orang yang suci (manusia) maka yang akan disebutkan la yamassuhu illal Mutthahhirun atau la yamassuhu illal Muthathahhirun dan bukan hamba-hamba yang disucikan (malaikat).[6]

 

Jelas kedua-dua Syaikh al-‘Utsaimin dan Syaikh Shalih Fauzan tidak menafsirkan surah al-Waqi’ah sebagaimana tafsiran sesetengah pihak yang mewajibkan berwuduk ketika hendak memegang atau membaca al-Qur’an. Kedua mereka sepakat bahawa dalil yang lebih tepat untuk menyokong hujah mereka adalah sebuah hadis yang diriwayatkan dari ‘Amr bin Hazm radhiallahu 'anh, dia berkata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.[7]

 

Status hadis di atas masih diperbincangkan di kalangan ulamak hadis.[8] Sekiranya hadis tersebut berstatus sahih, perkataan Thoohirun atau orang yang suci yang terdapat di dalam hadis di atas boleh mengandungi pelbagai makna. Inilah yang kita namakan lafaz Musytarak. Thoohirun di dalam hadis di atas boleh ditafsirkan sebagai suci dari hadas kecil ataupun besar, suci dari najis dan aqidah yang suci dari syirik, munafik dan kekafiran.  Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:

 

Kalimat Thoohirun (orang yang suci) dalam hadis merupakan lafaz musytarak yang dapat diertikan dengan empat makna:

 

1)     Maksud kata tersebut adalah seorang muslim, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis.[9]

 

Ayat ini menjelaskan bahawa orang Islam itu suci. Yang dimaksudkan suci di sini adalah kesucian aqidah.

 

2)    Maksud Thoohirun (orang yang suci) di dalam hadis adalah orang yang suci dari najis. Sebagaimana   sabda Rasulullah dalam masalah kucing bahawa kucing bukan haiwan najis.

 

3)    Maksud Thoohirun (orang yang suci) di dalam hadis adalah orang yang suci dari hadas besar. Sebagaimana diriwayatkan oleh Ahmad dan penyusun kitab sunan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Tidak ada apapun yang menghalangi dari al-Qur’an kecuali al-Janabah (berada dalam keadaan junub)[10]

 

4)    Maksud kata Thoohirun (orang yang suci) di dalam hadis merujuk kepada orang yang sudah berwuduk. Sebagaimana diriwayatkan di dalam kitab Shahihain bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Allah tidak menerima solat salah seorang di antara kalian yang berhadas hingga dia berwuduk.

 

Menurut kaedah Usul Fekah sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz musytarak) tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut. Ternyata hadis ini tertulis di dalam sepucuk surat yang ditulis untuk ‘Amr bin Hazm ketika dia diutus ke Yaman. Pada saat itu Yaman adalah sebuah negara yang penduduknya masih terdiri daripada orang Islam dan kafir. Maka hadis tersebut merujuk kepada larangan al-Qur’an dari disentuh oleh golongan kafir. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

 

Di sini (lafaz Thoohirun) ada qarinah (pentunjuk) kata yang menunjukkan kepada makna yang sebenarnya di dalam ayat tersebut, yakni bahawa yang dimaksudkan dengan orang yang suci adalah orang mukmin. Dengan dalil dari hadis yang sahih:

 

Maha Suci Allah, orang mukmin itu tidak mungkin najis.”[11]

 

Dan firman Allah yang mengatakan:

 

Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis.[12]

 

Dengan demikian, makna hadis itu adalah; janganlah seorang yang musyrik diberi peluang untuk menyentuh al-Qur’an. Ini adalah kerana dia menyentuh tanpa memberi rasa hormat kepadanya, tidak mengakuinya bahkan sebaliknya dia merendahkannya. Dan ini sangat sesuai dengan larangan mengirimkan al-Qur’an ke wilayah musuh kerana khuatir ianya jatuh ke tangan mereka yang kemudian diperlakukan dengan tidak sopan dan penuh permusuhan.[13]

 

Seterusnya terdapat sebuah riwayat daripada ‘Abdullah ibnu ‘Umar, dia berkata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Janganlah orang yang didatangi haid atau berjunub membaca walau sedikit daripada al-Qur’an.[14]

 

Namun begitu hadis di atas adalah dha’if (lemah) dan tidak boleh dijadikan hujah. Menurut Imam al-Nawawi rahimahullah:

 

Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.[15]

 

Oleh itu penulis merasakan sudah memadai dengan bantahan di atas untuk menguatkan bahawa dalil-dalil di atas tidak selayaknya dipergunakan untuk dijadikan hujah untuk mewajibkan wuduk mahupun menyucikan diri dari hadas besar sebelum menyentuh al-Qur’an.

 

 

DALIL YANG MENUNJUKKAN TIDAK DIWAJIBKAN BERWUDUK UNTUK MEMEGANG DAN MEMBACA AL-QUR’AN

 

Memegang atau membaca al-Qur’an merupakan amalan yang lazimnya dikerjakan oleh generasi sahabat Nabi baik lelaki mahupun wanita. Generasi mereka yang merupakan generasi terbaik bagi umat Islam ini juga terkenal dengan gelaran Generasi al-Qur’an. Dalam erti kata lain al-Qur’an sentiasa dibaca, difahami dan diamalkan oleh para sahabat Nabi radhiallahu 'anhum. Sekiranya sebelum membaca mahupun memegang al-Qur’an wajib hukumnya untuk menyucikan diri dari hadas besar mahupun kecil, pasti Nabi shallallahu 'alaihi wasallam akan memperjelaskannya kepada para sahabat dan pasti riwayat tentang hal ini akan tersebar kepada orang ramai. Namun tidak ada satu riwayat pun yang sabit daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang mana baginda memerintahkan perkara tersebut. Oleh itu tidak diwajibkan untuk berwuduk tatkala hendak memegang dan membaca al-Qur’an. Di samping itu terdapat pula beberapa hadis yang sabit dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang boleh dijadikan dalil tentang bolehnya membaca al-Qur’an tanpa berwuduk. Menurut Syaikh al-Albani:

 

Membaca al-Qur’an tanpa berwuduk adalah satu perkara yang diperbolehkan, kerana tidak ada suatu nash dalam al-Kitab ataupun al-Sunnah yang melarang membaca al-Qur’an tanpa bersuci. Dan tidak ada perbezaannya di dalam hal ini di antara seorang lelaki yang telah bersuci atau belum dan perempuan yang sedang haid ataupun tidak. Sebahagian dalilnya adalah hadis ‘Aishah di dalam Shahih Muslim bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berzikir kepada Allah dalam segala keadaan. Yang dilarang bagi wanita haid adalah solat. Larangan ini mengandungi hikmah yang sangat dalam, iaitu agar dia beribadah kepada Allah dalam keadaan suci sebagaimana sebelum datang haid. Kita tidak boleh mempersempitkan daerah ibadah yang dulunya (sebelum haid) disyari’atkan bersama dengan solat. Jika kemudian dia dilarang solat, ini bukan bererti dia dilarang daripada melakukan ibadah yang lain. Kita harus melapangkan apa yang telah Allah lapangkan bagi manusia.[16]

 

 

Mari kita lihat dalil-dalil tersebut.

 

Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata:

 

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sentiasa berzikir kepada Allah dalam segala keadaan.[17]  

 

Hadis ini menunjukkan bahawa dibolehkan berzikir termasuklah membaca al-Qur’an walaupun di dalam keadaan tidak berwuduk mahupun tidak suci dari hadas besar.

 

Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata:

 

Kami keluar (mengerjakan haji) bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Tidaklah ada apa yang kami fikirkan melainkan ibadah haji. Ketika kami tiba di Sarif aku kedatangan haid.

Lalu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam masuk menemuiku dan aku sedang menangis.

Maka baginda bertanya: “Apakah yang menyebabkan kau menangis?”

Aku menjawab: “Aku inginkan sekiranya aku tidak berhaji tahun ini”

Baginda bertanya: “Apakah engkau sedang bernifas (berhaid)?” Aku menjawab: “Ya!” Baginda bersabda:

 

Sesungguhnya ia adalah sesuatu yang telah Allah tentukan untuk anak-anak perempuan Adam,

oleh itu kerjakanlah setiap yang dikerjakan oleh orang yang sedang menunaikan ibadah haji

selain tawaf di bait (Ka’abah) sehinggalah engkau di dalam keadaan suci.[18]

 

 

Di dalam hadis di atas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melarang ‘Aishah radhiallahu 'anha memasuki masjid atau membaca al-Qur’an yang kebiasaannya dilakukan oleh mereka yang mengerjakan ibadah haji. Jika larangan tersebut memang benar wujud maka pasti Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan memperjelaskan hal itu kepada ‘Aishah radhiallahu 'anha.

 

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam juga pernah memerintahkan perempuan haid untuk keluar pergi ke musholla[19] semasa solat hari raya.

 

Ummu ‘Athiyah  radhiallahu 'anha telah berkata:

 

Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) untuk keluar,

maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar.

Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita pingitan,” dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (Nabi shallallahu 'alaihi wasallam)

agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat.[20]

 

 

Wanita-wanita yang sedang haid tersebut berada di belakang seluruh umat Islam dan mereka bertakbir dan berdoa bersama-sama. Hal ini menunjukkan perempuan haid boleh bertakbir dan berzikir mengingati Allah.

 

Menurut Syaikh Kamal bin as-Sayyid Salim:

 

Dapat diketahui sekarang bahawa tidak ada dalil yang menunjukkan wajibnya berwuduk untuk menyentuh al-Qur’an, ini adalah mazhab Abu Hanifah, Daud, Ibnu Hazm, Ibnu ‘Abbas, sekelompok kaum salaf dan pendapat ini pula yang dipilih oleh Ibnu Mundziri. Wallahu A’lam.[21]

 

Dari sini dapat kita fahami bahawa dakwaan sesetengah pihak bahawa pendapat tidak wajibnya berwuduk untuk menyentuh al-Qur’an merupakan satu pendapat yang bertentangan dengan mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah satu dakwaan yang tidak benar.

 

 

KESIMPULAN

 

Maka dengan penjelasan ringkas ini penulis lebih cenderung untuk menyokong pendapat golongan yang menyatakan tidak diwajibkan berwuduk mahupun menyucikan diri dari hadas besar sebelum memegang atau membaca al-Qur’an. Hanya sahaja berwuduk sebelum memegang atau membaca al-Qur’an adalah bersifat anjuran (mustahab) kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menyukai sekiranya kita berada di dalam keadaan suci apabila hendak menyebut nama Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

Dari Muhajir bin Qunfaz, sesungguhnya beliau pernah datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam

dan baginda sedang membuang air kecil, lalu dia memberi salam kepada baginda,

akan tetapi baginda tidak menjawabnya sehinggalah baginda berwuduk.

Kemudian baginda meminta keuzuran (beralasan) dan kemudian bersabda:

 

Sesungguhnya aku tidak suka menyebut Nama Allah kecuali di dalam keadaan suci (tidak berhadas).[22]

 

Oleh itu disunatkan untuk kita berwuduk bukan sahaja ketika membaca al-Qur’an, malah ketika membuka kitab-kitab hadis, buku-buku agama, menghadiri majlis-majlis ilmu, berdoa, ketika berzikir atau di dalam apa sahaja aktiviti yang banyak menyebut nama Allah 'Azza wa Jalla.

 


 

[1]               al-Waqi’ah (56) : 78-80

[2]               al-Syu’araa’ (26) : 211-212

[3]               al-Baqarah (2) : 222

[4]               Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 222.

[5]               Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah : Bab Ibadah, (edisi terjemahan oleh Furqan Syuhada, Qosdi Ridwanullah dan Irwan Raihan, Pustaka Arafah, Solo, 2002) ms. 292.

[6]               Syaikh Shalih bin Fauzan bin ‘Abdullah al-Fauzan, Fatwa-Fatwa Syaikh al-Fauzan, (edisi terjemahan oleh Ali Murtadho Syahudi, Jakarta, 2004) ms.153.

[7]               Hadis riwayat Imam Ibn Hibban, al-Hakim dan Baihaqi.

[8]               Hadis ini disahihkan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah di dalam al-Irwa’ (jilid 1, ms. 158). Namun begitu menurut pengarang kitab Shahih Fikih Sunah (jilid 1, ms. 219) hadis ini dha’if kerana memiliki sanad-sanad yang lemah.

[9]               Al-Tawbah (9) : 28

[10]             Hadis ini diperselisihkan statusnya. Bagi mereka yang menganggapnya sahih, hadis tersebut dijadikan sebagai bukti bahawa mereka yang berada dalam keadaan janabah tidak dibenarkan memegang atau membaca al-Qur’an sehinggalah dia menyucikan dirinya dengan mandi wajib. Memang terdapat para ulamak yang membezakan mereka yang berada dalam keadaan haid dan janabah. Haid adalah satu keadaan yang mana seseorang tidak ada pilihan melainkan sekiranya putaran waktu telah cukup maka darah haid pasti akan keluar. Apatah lagi seseorang yang haid hanya boleh menyucikan diri apabila darah tersebut berhenti dan ini juga tidak dapat ditentukannya sendiri. Berbeza dengan janabah yang mana seseorang boleh membuat pilihan samada ingin melakukan jimak ataupun tidak dan dia juga boleh membuat pilihan samada untuk segera menyucikan diri ataupun melewatkannya. Wallahu A’lam.

Namun begitu Syaikh al-Albani rahimahullah telah mendhai’fkan hadis tersebut dalam Tamamul Minnah, jilid 1, ms. 130. Ini adalah kerana ‘Abdullah bin Salimah telah meriwayatkan hadis ini secara bersendirian dan beliau pada hari-hari terakhir hidupnya telah berubah akalnya seperti diperakui oleh al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah dalam at-Taqrib. Menurut Syaikh al-Albani beliau telah meriwayatkan hadis ini setelah akalnya menjadi lemah.

Terdapat sebuah lagi hadis yang dijadikan hujah untuk mengharamkan seseorang yang janabah dari membaca al-Qur’an yakni hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ali radhiallahu 'anh, dia berkata:

Saya melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berwuduk kemudian membaca sedikit dari al-Qur’an dan bersabda:

هَذَا لِمَنْ لَيْسَ بِجُنُبٍ فَأَمَّا الْجُنُبُ فَلاَ وَلاَ آيَةَ.

Beginilah bagi orang yang tidak junub. Adapun orang yang sedang junub tidak (melakukannya) dan tidak juga (membaca al-Qur’an walaupun dengan) satu ayat. – Hadis riwayat Imam Ahmad, no: 830.

Di dalam Tamamul Minnah, jilid 1, ms. 131, Syaikh al-Albani berkata jalur periwayatan hadis ini memiliki dua kecacatan yakni terdapat perawi yang dha’if dan hadis tersebut juga mauquf sehingga tidak layak dijadikan hujah mahupun penguat bagi hadis ‘Abdullah bin Salimah sebelum ini.

Oleh itu Syaikh al-Albani menguatkan pendapat tidaklah menjadi kesalahan bagi orang yang berada dalam janabah untuk membaca mahupun memegang al-Qur’an kerana tidak terdapat dalil yang sabit daripada baginda shallallahu 'alaihi wasallam yang melarangnya. Apabila tidak ada dalil yang sabit maka ianya kembali kepada hukum asalnya yakni diperbolehkan. Penulis juga lebih cenderung kepada pendapat ini. Menurut Syaikh al-Albani rahimahullah:

Bara’ah Ashliyah (pembebasan asal) itu bersama orang-orang yang berpendapat dibolehkan menyentuh al-Qur’an bagi muslim yang junub. Dalam bab ini tidak diterima dalil sahih yang membolehkan keluar dari bara’ah ashliyah, maka renungkanlah. - Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, jilid 1, ms. 129.

[11]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ghusl, no: 283.

[12]             Al-Tawbah (9) : 28

[13]             Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 224.

[14]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 121 dan oleh Imam Ibnu Majah dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah wa Sunanuha, no: 588.

[15]             Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jilid. 2, ms. 123-125.Penulis nukil dari buku Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa karangan Hafiz Firdaus Abdullah terbitan Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2005.

[16]             Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Fatwa-Fatwa Albani (edisi terjemahan oleh Adni Kurniawan, Pustaka At Tauhid, Jakarta, 2002), ms. 69-70.

[17]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Haid, No: 373.

[18]             Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Hajj, No: 1211.

[19]             Apakah itu musholla dan apakah perbezaanya dengan masjid? Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata:

Adapun perbezaan di antara musholla dan masjid adalah bahawa musholla berada di tempat terbuka (seperti padang-pen) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin. Sedangkan masjid berada di dalam sebuah tempat (bangunan-pen) yang tertutup, sehingga terkadang seorang khatib hanya dapat melihat sebahagian sahaja para hadirin. Shalat ‘Ied disunnahkan untuk dilakukan di musholla, dan tidak dilakukan di masjid kecuali apabila di dalam keadaan darurat (seperti hujan, angin kencang dan lainnya-pen). - Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms.282.

Menurut Sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dikerjakan di musholla dan bukan di masjid. Daripada Abu Sa’id al-Khudri (radhiallahu 'anh), dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى. فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ.

Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar menuju musholla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat hari raya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 956.

[20]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 981.

[21]             Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 220.

[22]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 16.

 

kandungan