Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

 

PENDAHULUAN BERKENAAN WUDUK

 

Wuduk diambil dari kata dasar  الوَضَاءَةُal-wadha’ah yang bermaksud bersih atau indah. Adapun الوَضُوْءٍ al-Wadhu’ adalah air yang digunakan untuk berwuduk. Definisi wuduk menurut istilah hukum Islam adalah penggunaan air yang menyucikan kepada empat anggota tubuh yang sudah ditentukan dengan cara-cara yang sudah ditetapkan syari’at untuk menghilangkan sesuatu yang menghalangi sahnya solat.

 

Wuduk ini telah disyari’atkan berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil),

maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku,

dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali;

dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib;

dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam perjalanan,

atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air,

atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi),

maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu.

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan),

tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu,

supaya kamu bersyukur.[1]

 

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأ.

 

Allah tidak menerima solat salah seorang di antara kalian yang berhadas hingga dia berwuduk.[2]

 

 

Daripada Abu Sa’id radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

 

مِفْتَاحُ الصَّلاَةِ الطُّهُورُ وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ.

 

Kunci solat adalah bersuci (wuduk) dan permulaan pengharamannya (melakukan perbuatan-perbuatan selain dari yang

disyari’atkan dalam solat) adalah takbiratul ihram serta penghalalannya adalah salam.[3]

 

 

 

[1]               Al-Maaidah (5) : 6

[2]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 225.

[3]               Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 3.

 

kandungan