Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Kesembilan:

Pergerakan Bagi Allah

 

 الحركة

 

 

Sebahagian orang masa kini ada yang membuat fitnah ke atas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dengan mendakwa beliau menetapkan sifat bergerak atau pergerakan (al-Harakah) bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Untuk menjawab fitnah ini, marilah kita lihat apa perkataan sebenar Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Dalam kitabnya Dar‘u Ta‘arudh, beliau menulis:

Para imam al-Sunnah dan al-Hadis menetapkan dua jenis sifat bagi Allah (iaitu sifat Zatiyyah dan sifat al-Ikhtiyariyyah). Inilah yang dinukil daripada mereka berkenaan pandangan mereka, seperti Harb bin al-Kirmani[1], ‘Utsman bin Sa‘id al-Darimi[2] dan selain mereka. Mereka secara nyata menyebut lafaz Pergerakan. Ini menjadi pandangan para imam al-Sunnah dan al-Hadis dahulu dan kini.

 

Harb al-Kirmani menyebut bahawa ini adalah pendapat orang-orang yang beliau jumpai daripada kalangan para imam al-Sunnah seperti Ahmad bin Hanbal[3], Ishaq bin Ruhuyah[4], ‘Abd Allah bin al-Zubair al-Humaidi[5] dan Sa‘id bin Manshur[6]. Berkata ‘Utsman bin Sa‘id: Pergerakan adalah sebahagian perkara lazim dalam kehidupan dan setiap yang hidup pasti bergerak. Hanya golongan al-Jahmiyyah yang menafikan perkara ini, padahal golongan al-Salaf dan para imam bersepakat akan kesesatan dan kebid‘ahan mereka.

 

Sementara itu sekumpulan lain daripada kalangan al-Salaf seperti Nu‘aim bin Hammad al-Khuza‘e[7], al-Bukhari[8] – pengarang kitab al-Shahih, Abu Bakar bin Khuzaimah[9] dan selain mereka seperti ‘Amr bin ‘Abd al-Barr dan semisalnya, mereka menetapkan makna bagi apa yang ditetapkan oleh kumpulan (yang menetapkan al-Harakah secara lafaz) dan mereka menyebutnya sebagai perbuatan. Namun sebahagian daripada kalangan mereka menegah dari penggunaan lafaz al-Harakah kerana ia tidak bersumber dari riwayat (hadis).[10]

 

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga menulis dalam sebuah kitab yang lain:       

Demikianlah lafaz al-Harakah telah ditetapkan oleh sekumpulan daripada kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Hadits, dan inilah yang disebut oleh Harb bin Ismail al-Kirmani dalam kitab al-Sunnah berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada beberapa orang yang ditemuinya seperti al-Humaidi dan Ahmad bin Hanbal. ……Namun ada juga sekumpulan yang menafikan (lafaz al-Harakah) seperti Abu al-Hasan al-Tamimi[11] dan Abu Sulaiman al-Khaththabi[12].

 

……Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad mengingkari penafian sedemikian, akan tetapi tidak sabit daripada beliau bahawa beliau menetapkan lafaz al-Harakah…Justeru apabila beliau mendengar seseorang meriwayatkan hadis al-Nuzul[13] dan berkata: “Turun dengan tiada pergerakan, tiada perpindahan dan tidak juga dengan apa saja keadaan”, Ahmad mengingkarinya. Beliau berkata: “Katakanlah sebagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah berkata. Baginda lebih bersungguh-sungguh daripada kamu dalam urusan berkaitan dengan Allah.”[14]

 

Berdasarkan nukilan di atas, amatlah nyata bahawa:

  1. Di kalangan al-Salaf al-Shalih terdapat sekumpulan yang tidak menetapkan lafaz al-Harakah bagi Allah. Ini kerana lafaz tersebut tidak berasal dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka hanya menetapkan lafaz yang ada asalnya dari al-Qur’an dan al-Sunnah seperti Kedatangan Allah[15], Turun (al-Nuzul) dan sebagainya.

     

  2. Di kalangan al-Salaf al-Shalih terdapat sekumpulan yang menetapkan lafaz al-Harakah bagi Allah, dengan makna Allah Datang dan Turun sebagaimana Dia sifatkan diri-Nya. Ia adalah sifat yang khas bagi Allah sebagaimana yang layak bagi-Nya, bukan seperti pergerakan manusia. Al-Harakah hanya satu lafaz sementara penafsiran atau maknanya ialah apa yang sabit daripada Allah (melalui al-Qur’an dan hadis Rasul-Nya).

     

    Semua ini menunjukkan perselisihan hanyalah dari sudut lafaz (sama ada “al-Harakah” patut digunakan atau tidak) sedangkan mereka semua mengetahui bahawa lafaz tersebut tidak berasal dari mana-mana nas al-Qur’an mahu pun al-Sunnah. Cuma mereka menggunakan lafaz al-Harakah sebagai satu cara penafsiran terhadap sifat-sifat Allah yang sabit dalam al-Qur'an dan al-Sunnah.[16]

     

  3. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menukil dua pendapat, kedua-duanya dengan makna yang sama sekali tidak timbul darinya sebarang kesamaran berlakunya penyerupaan antara Allah dan makhluk.

     

  4. Orang-orang yang memfitnah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dengan aqidah al-Harakah, mereka sebenarnya tidak tahu asal usul permasalahan. Padahal adalah haram bagi seseorang menyibukkan diri dalam sesuatu permasalahan yang tidak diketahuinya lalu membuat fitnah, sekali pun dalam bidang kimia. Apatah lagi jika ia dalam bidang agama dan melibatkan pendapat para ilmuan kaum Muslimin.

     

  5. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tidak memiliki aqidah al-Harakah. Beliau hanya menukil pendapat para ilmuan terdahulu dan membicarakannya.

 

 


 

 


[1] Beliau ialah Harb bin Ismail Khalaf al-Hanzali al-Kirmani, seorang sahabat Ahmad bin Hanbal dan tokoh dalam Mazhab Hanbali. Meninggal dunia pada tahun 280H.

[2] Beliau ialah Abu Sa‘id ‘Utsman bin Sa‘id bin Khalid al-Darimi al-Sijzi (al-Sijistani). Seorang ahli hadis yang masyhur lagi dipercayai pada zamannya. Memiliki sebuah kitab hadis al-Musnad yang amat besar. Meninggal dunia pada tahun 282H. Jangan dikelirukan beliau dengan seorang lagi ahli hadis yang bergelar al-Darimi, iaitu Abu Muhammad ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman bin al-Fadhl al-Darimi yang meninggal dunia pada tahun 255H. Beliau ialah pengarang kitab hadis al-Musnad al-Jami’, lebih masyhur disebut sebagai Sunan al-Darimi.

[3] Beliau ialah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal al-Syaibani, lahir di Baghdad pada tahun 164H dan meninggal dunia pada tahun 241H. Terkenal dengan kitab hadisnya – Musnad Ahmad dan kepada beliau disandarkan Mazhab Hanbali.

[4] Beliau ialah Ishaq bin Ibrahim bin Mukhallad bin Ruhuyah. Lahir di Turmen pada tahun 161H dan merupakan seorang ahli hadis yang ulung pada zamannya. Antara karyanya yang masyhur ialah kitab hadis Musnad ibn Ruhuyah. Meninggal dunia di Nishapur pada tahun 238H.

[5] Beliau ialah Abu Bakar ‘Abd Allah bin al-Zubair bin ‘Isa al-Humaidi al-Asdi. Seorang ahli hadis, juga merupakan salah seorang guru kepada al-Bukhari – pengarang kitab Shahih al-Bukhari. Meninggal dunia pada tahun 219H di Mekah.

[6] Beliau ialah Abu ‘Utsman Sa ‘id bin Manshur bin Syu’bah al-Marwazi. Seorang ahli hadis dimana kitab Sunannya sampai kepada kita pada masa kini. Meninggal dunia di Mekah pada tahun 227H.

[7] Beliau ialah Abu ‘Abd Allah Nu‘aim bin Hamad bin Mu‘awiyah al-Khaza‘e al-Marwazi. Seorang ahli hadis yang juga memiliki sebuah kitab, akan tetapi ia tidak sampai kepada kita pada masa kini. Meninggal dunia pada tahun 228H.

[8] Beliau ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim al-Bukhari. Lahir di Bukhara (Uzbezkistan) pada tahun 194H dan kemudiannya mengembara ke hampir seluruh dunia Islam untuk menuntut ilmu dan mencari hadis. Meninggal dunia pada tahun 256H.

[9] Beliau ialah Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah al-Naisaburi, seorang imam dalam bidang aqidah, hadis dan fiqh. Juga guru kepada para imam yang lain. Lahir pada tahun 223H dan meninggal dunia pada tahun 311H. Antara karyanya yang terkenal ialah Kitab al-Tauhid dan Shahih Ibn Khuzaimah.

[10] Dar‘u Ta‘arudh, jld. 2, ms. 7.

[11] Beliau ialah Abu al-Hasan ‘Abd al-‘Aziz bin al-Harith al-Tamimi, pakar dalam fiqh Mazhab Hanbali. Lahir pada tahun 317H dan meninggal dunia pada tahun 371H.

[12] Beliau ialah Abu Sulaiman Hamid bin Muhammad bin Ibrahim bin al-Khaththabi seorang ilmuan yang lahir pada tahun 319H dan meninggal dunia pada tahun 388H. Antara karyanya yang masyhur ialah Ma‘alim al-Sunan yang merupakan syarahan ke atas kitab hadis Sunan Abu Daud.

[13] Hadis al-Nuzul yang dimaksudkan ialah:

 

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَىَ كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَىَ السَّمَاءِ الدُّنْيَا. حِينَ يَبْقَىَ ثُلُثُ اللَّيْلِ الاَخِرُ، فَيَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرُ لَهُ.

Tuhan kami (Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam Turun ke langit dunia, yakni pada baki terakhir satu pertiga malam. Maka Allah berfirman: “Siapakah yang sedang berdoa kepada aku supaya dapat aku menjawabnya dan siapakah yang sedang meminta daripada aku supaya aku dapat mengabulkannya dan siapakah yang sedang meminta ampun daripada aku supaya dapat aku ampuni dia?” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 758 (Kitab al-Solat, Bab Anjuran berdoa dan berzikir di akhir malam........)]

[14] Nukilan berpisah dari al-Istiqamah (tahqiq: Dr. Muhammad Rasyad Salim; Dar Ibn Hazm, Beirut 2000), jld. 1, ms. 70.

[15] Sifat Datang adalah berdasarkan ayat berikut:

Dan Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah) [al-Fajr 89:22]

[16] Di sini timbul persoalan, jika lafaz al-Harakah dan sesuatu yang lain seumpama al-Had, al-Jisim, al-Jihah dan sebagainya tidak berasal dari al-Qur’an dan al-Sunnah, maka mengapa hendak membahasnya? Kenapa tidak ditolak terus lafaz-lafaz tersebut? Jawapannya dapat diketahui dengan merujuk kepada manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam menetap dan menafikan sesuatu sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Manhaj tersebut ialah:

·         Pertama: Manhaj dalam menetapkan sejumlah nama dan sifat. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menetapkan nama-nama dan sifat-sifat yang telah ditetapkan oleh Allah untuk diri-Nya sendiri baik melalui al-Qur’an atau pun al-Sunnah.

·         Kedua: Manhaj dalam menafikan sejumlah nama dan sifat. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menafikan nama-nama dan sifat-sifat yang telah dinafikan oleh Allah daripada diri-Nya baik melalui al-Qur’an atau pun al-Sunnah.

·         Ketiga: Manhaj dalam berinteraksi dengan nama-nama dan sifat-sifat yang tidak ditetap atau dinafi dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, seperti al-Jisim, al-Had, al-Jihah, al-Harakah dan sebagainya. Maka manhajnya ialah memerhatikan makna yang dikandung oleh lafaz tersebut:

1.     Jika makna yang dibawa oleh lafaz adalah sesuatu yang batil lagi mustahil dimiliki oleh Allah, maka lafaz itu ditolak.

2.     Jika makna yang dibawa oleh lafaz adalah sesuatu yang benar lagi tidak bertentangan dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah yang disebut dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, maka para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terbahagi kepada dua pandangan:

a)   Mereka menerima lafaz itu sebagai satu bentuk penafsiran ke atas apa yang sabit dari al-Qur’an dan al-Sunnah.

b)   Mereka enggan menerima lafaz itu, sebaliknya mencukupkan diri dengan apa yang sabit dari al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

 

kandungan