Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Kelapan:

Kebinasaan Neraka[1]

 

فناء النار

 

 

Kajian terhadap persoalan ini dapat disempurnakan melalui dua poin:

 

Poin Pertama: 

Ia adalah satu dakwaan yang tidak memiliki hujah sama sekali. Selepas membuat kajian dan semakan ke atas kitab-kitab karangan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, sama ada kitab yang tebal atau nipis, saya tidak menjumpai satu huruf pun yang menunjukkan beliau berpegang dengan pendapat bahawa neraka akan binasa.[2]

 

Poin Kedua:

Terlalu banyak pandangan yang dapat dinukil dari kitab karangan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang menunjukkan beliau tidak berpegang kepada pendapat kebinasaan neraka. Buat permulaan, beliau menyatakan bahawa pendapat kebinasaan neraka ialah pegangan al-Jahm bin Safwan daripada aliran al-Jahmiyyah, satu aliran yang disepakati kesesatannya. Beliau menyatakan:

Rentetan dari perbahasan ini ialah kata-kata mereka berkenaan peristiwa dan kejadian yang berlaku pada masa akan datang. al-Jahm bin Safwan, imam aliran al-Jahmiyyah dan Abu al-Huzail al-'Allaf, imam aliran al-Mu’tazilah – al-Qadariyyah, kedua-duanya menafikan sifat kekal bagi benda yang tidak ada pengakhiran pada masa akan datang. Justeru al-Jahm mengatakan neraka dan syurga akan binasa manakala Abu al-Huzail membataskan pendapat berkenaan kebinasaan kepada segala pergerakan ahli neraka dan syurga.[3]

 

Seterusnya Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menerangkan pendapat yang benar tentang kekal atau binasa bagi neraka:

Telah bersepakat generasi al-Salaf daripada kalangan umat dan para ilmuan, termasuklah keseluruhan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah bahawa di antara ciptaan Allah yang bersifat tidak lenyap dan tidak binasa secara keseluruhannya ialah syurga, neraka, Arasy dan selainnya. Tidak ada yang mengatakan semua ciptaan Allah akan binasa kecuali sekumpulan al-Mutakallimin pembuat bid‘ah dan juga yang sefaham dengan mereka daripada aliran al-Mu’tazilah. Ini adalah pendapat yang batil yang menyelisihi al-Qur’an, al-Sunnah dan kesepakatan genarasi al-Salaf dan para imam mereka.[4]


 

[1] Antara yang melontar fitnah ini ialah Zamihan Mat Zin al-Ghari dalam Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian, ms. 115.

[2] Kenyataan di atas dari satu sudut adalah benar, iaitu tidak ditemui dalam mana-mana kitab Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah bahawa beliau berpendapat neraka akan binasa. Akan tetapi dari sudut yang lain terdapat riwayat yang menyatakan beliau berpendapat sedemikian. Ia diriwayat dan dikemukakan oleh anak muridnya yang masyhur lagi dipercayai, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah (757H) dalam dua karyanya: Hadi al-Arwah ila Bilad al-Afrah dan Syifa’ al-‘Alil fi al-Masail al-Qadha’ wa al-Qadar.

Ijtihad Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tentang kebinasaan neraka adalah berdasarkan hujah-hujah berikut:

1.     Riwayat daripada beberapa sahabat yang menyatakan kebinasaan neraka.

2.     Ayat-ayat al-Qur’an yang lazim dijadikan dalil kekekalan neraka, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menggariskan bahawa ayat-ayat tersebut hanya menerangkan kekekalan orang musyrik di dalam neraka. Tidak pula disebut sama ada neraka itu sendiri akan kekal atau binasa. Maka orang musyrik kekal di dalam neraka selagi mana neraka masih wujud.

3.     Justeru apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mendiamkan kekekalan atau kebinasaan neraka, bererti ia adalah satu persoalan yang terbuka kepada ijtihad. Di sini Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berijtihad bahawa Allah, dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tidak mungkin akan membiarkan neraka kekal. Sebaliknya mungkin Allah akan membinasakannya.

[3] Dar’u Ta‘arudh, jld. 1, ms. 305.

[4] Bayan Talbis al-Jahmiyyah, jld. 1, ms. 851. Perkataan yang sama dikemukakan oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah sekagi lagi sebagai jawapan bagi satu soalan yang dikemukakan kepadanya. Rujuk Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah, 2001), jld. 18, ms. 307.

Jika dikaji secara adil persoalan ini, akan ditemui bahawa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah memiliki dua pendapat. Pendapat pertama menyebut kebinasaan neraka manakala pendapat kedua menyebut kekekalan neraka. Di sini ada beberapa kemungkinan:

 

  1. Pendapat kebinasaan neraka bukanlah pegangan beliau yang muktamad. Ia hanya sesuatu yang dibincang-bincang bersama anak muridnya (Ibn al-Qayyim). Oleh kerana itulah beliau (Ibn Taimiyyah) tidak pernah membukukannya. Yang dibukukan ialah pendapat kekekalan neraka.

  2. Pendapat kebinasaan neraka adalah pegangan terakhir beliau. Beliau tidak sempat membukunya tetapi sempat menerangkannya kepada Ibn al-Qayyim.

  3. Pendapat kebinasaan neraka adalah pegangan beliau yang awal. Beliau kemudian mengubahnya kepada pendapat kekekalan neraka. Pendapat kekekalan neraka ini beliau nyatakan dalam kitabnya Bayan Talbis al-Jahmiyyah sebagaimana yang dinukil di atas. Dr. ‘Abd Allah bin Shalih dalam kitabnya Da‘awa al-Munawi’in li Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah: ‘Ard wa Naqd (Dar Ibn al-Jauzi, Riyadh, 1424H) menyatakan bahawa beliau (Ibn Taimiyyah) juga memiliki sebuah risalah yang berjudul al-Rad ‘Ala Man Qala bi Fana’ al-Jannah wa al-Nar (Bantahan Ke Atas Orang Yang Berpendapat Dengan Kebinasaan Syurga Dan Neraka)

Daripada tiga kemungkinan di atas, dua daripadanya menunjukkan bahawa pendapat muktamad yang dipegang oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah ialah kekekalan neraka.

 

 

kandungan